Wednesday, June 10, 2015

Joe Hanya Mampu Merancang

“Tahniah, awak diterima bekerja di sini. Esok, awak boleh mulakan kerja. Kalau boleh datang awal sikit ya, masuk pukul 7 pagi”

Dibawah pokok rambutan belakang rumahnya, Joe berbaring dengan keadaan bibir menguntum senyuman. Senyumannya melebar sehingga ke telinga bila mengingatkan kembali jawapan yang diterimanya semasa temuduga tadi. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang dirinya akan bekerja di sebuah syarikat oil and gas terkemuka dunia seperti Petronas. Tidak pernah walaupun sesekali. Nyaris juga Joe nak sujud syukur di dalam bilik temuduga selepas diterima jawapan yang menggembirakan itu namun bimbang dicemuh masyarakat, Joe batalkan niatnya.

“Sujud syukur di atas sejadah rumahnya sendiri lebih baik” Joe bersuara halus.

Ini bukan kali pertama Joe menghadiri temuduga, jika dikumpul dan disusun elok kesemua surat temuduga Joe yang pernah dihadiri Joe, surat-surat temuduga itu boleh disusun mengelilingi Bumi sekaligus cipta rekod dunia. Banyak tidak terkira.

Baik dari sektor kerajaan dan swasta, jawapan yang selalu diterima oleh Joe setiap kali temuduga memang menghampakan. Tiada satu jawapan pun yang dapat membuatkan dirinya boleh melompat bintang. Kalau temuduga di sektor kerajaan harus ada ‘kabel’ atau ‘orang dalam’ atau paling koman pun mesti ada surat sokongan dari mana-mana ahli politik, baru senang hendak diterima. Kalau tak ada kedua-dua itu, bolehlah anggap temuduga itu sebagai mengisi masa lapang. Di sektor swasta pula, kelulusan Joe tak layak untuk dijawat.

Joe tak ada ijazah. Diploma pun tak ada. Master jauh sekali. Joe belajar setakat SPM sahaja, itu pun keputusan SPM cukup-cukup makan untuk Joe meneruskan sisa kehidupan merempuh hari yang akan mendatang.

“Mungkin Tuhan berikan aku kerjaya ini supaya aku dapat mengubah hidup aku menjadi lebih baik” Joe bermain dengan perasaan sendiri sambil berbaring dari kedudukan tadi, tak bergerak.

Joe sudah berkira-kira, selepas dijawat jawatan cashier di Stesen Petronas Bukit Ubi itu mulai esok, Joe nak simpan harta. Gaji pertama Joe nak beli handphone Lenovo. Biarkan murah asalkan boleh berWasap dan Wechat. Handphone Nokia XpressMusic tak ada Wasap dan Wechat, susah nak berhubung dengan rakan-rakan. Nak cari makwe pun susah.

Gaji seterusnya Joe mahu simpan dalam bank. Cukup sampai 7 8 ribu, Joe nak beli kereta wira. Kalau ada duit lebih pula, Joe nak ubah wira tu jadi kereta kebal atau Evo7, biar orang kampung tidak lagi memandang serong pada dirinya.

Joe senyum lagi memikirkan impiannya yang akan bakal terlaksana.

“Ah, cepat betul masa berlalu. Dah pukul 6 petang, ada baiknya aku persiapkan diri untuk bekerja esok. Mengelamun begini tidak akan membuahkan hasil” Joe melihat jam ditangannya.

Berangan atau berhalusinasi itu mungkin menyihatkan, mungkin sebagai terapi untuk mencapai impian dan cita-cita namun jika ianya berlebihan tanpa sebarang usaha, ianya amatlah merugikan. Bisa memakan diri sendiri.

Malam itu Joe tidur awal. Selepas makan malam pukul 8 malam, Joe terus masuk beradu di dalam bilik bujangnya yang berbau hapak. Baju, seluar, tali pinggang dan kasut semua Joe dah siapkan untuk mulakan tugasnya esok hari. Malam itu Joe tidur dalam keadaan tersenyum

                                       KRING KRINGG KRINGGG

Pagi itu, jam loceng yang dibeli Joe beberapa tahun lepas berbunyi riang mengejutkan Joe dari tidur. Joe bangun terpisat-pisat lalu menutup suiz jam loceng dari terus berbunyi. Joe sambung baring.

“Ah, lain kali laa aku pergi temuduga kerja lain.” Joe menarik kembali selimut menutup tubuh badannya.


No comments:

Post a Comment