Tuesday, August 11, 2015

Antologi Gagalis : Kita Bermula Dari Kegagalan



Antologi Gagalis : Kita Bermula Dari Kegagalan
Sudah tiga hari aku di kampung. Cuti masih berbaki empat hari dan aku sudah mati akal. Mak dan abah keluar ke balai raya, ada wakil rakyat datang mahu memberikan janji-janji palsu. Kawan-kawan pun semua sedang sibuk bekerja. Aku mengelamun sendirian dalam jiwa yang hanyut terkenangkan perkara yang telah lama berlalu. Yang telah jauh.
                Aku mencapai tuala dan mandi. Usai membersihkan badan aku terus bersiap. Mahu ke bandar Kuantan, mencari apa yang boleh dicari. Melihat apa yang boleh dilihat. Sampai sahaja di bandar, aku terlihatkan bangunan Kuantan Parade. Sebuah kompleks membeli-belah pujaan orang Kuantan. Sudah lama tidak menjejak kaki di sini. Aku memberikan isyarat signal ke kiri dan terus membelok ke Kuantan Parade.
                Setelah mendapatkan parkir, aku berjalan masuk ke dalam Kuantan Parade. Tidak banyak yang berubah, masih sama seperti dahulu Cuma sudah tidak kelihatan budak-budak ‘bustand’ yang berpeleseran di situ. Sudah bertaubat barangkali. Aku melangkah malas menaiki tangga dan terus ke kedai buku MBS di tingkat satu. Langkahku terus ke bahagian buku fiksyen.
                Seorang wanita bertudung kelabu sedang khusyuk membelek sebuah novel. Membelek helaian demi helaian. Dia berdiri bertentangan dengan aku. Haruman minyak wangi Dior menusuk deria aku. Bau yang pernah aku kenal. Aku memegang sebuah buku fiksyen, mataku masih tajam memandangnya. Wanita bertudung kelabu itu mungkin perasan dengan tingkah aku, dia mendongak memandang aku perlahan-lahan. Aqilah!
* * * * *      
Ketuk! Ketuk! Ketuk!
Pintu bilik aku diketuk dengan kuat. Aku membuka daun pintu dan terpacul wajah Aizat, classmate aku yang juga Biro Aktiviti Sosial di kampus. Seorang yang berkaca mata berbingkai tebal dan bermisai nipis. Anak jati kelahiran Kedah, bertubuh tinggi lampai dan seorang pemain bola tampar kolej. Sangat merbahaya di hadapan jaring jika diberikan bola tanggung. Pakar spike dengan pukulan ‘paku’ yang selalu mematikan servis pihak lawan. Aku mendongak.
                “Hah, apahal ni? Macam setan je cara ketuk pintu bilik aku. Macam nak runtuh,”
                “Kah! Kah! Kah! Rilekslah woi. Awat dok baran sangat ni? Ada benda sikit nak minta tolong dengan hang ni,”
                “Nak minta tolong apa?”
                “Lagu ni, malam satgi depa nak buat upacara penutup minggu suai kenal. Ada buat baca puisi. Nanti Mat Yed baca puisi hang main gitar, boleh dak?”
                “Pasang jelah mp3 ke, minus one ke, lagi senang,”
                “Tak sempoi buat lagu tu. Kalau hang main gitar baru real,”
                Real apa? Real Madrid? Ada makan free tak?”
                “Ada sate malam ni wei. Hang mesti mau punya kan? Kahkahkah!”
                “Cilaka! Yelah, pukul berapa start?
                “Lapan. Satgi petang dalam pukul 6 hang mai la dewan dulu, boleh practice sat dengan Mat Yed,”
                Okay, okay,”
                “Tenkiu, wei. Jumpa satgi,”
                Aizat berlalu meninggalkan aku. Aku menutup daun pintu, juga menutup buku fiksyen yang baru beberapa helaian dibaca. Aku mencapai gitar kapuk di atas loker. Memetik-metik talinya dan seperti biasa, tuning dahulu.  Malas juga sebenarnya, tapi kasihan pula pada kawan-kawan yang meminta tolong. Tak dapatlah aku nak main bola petang ini, baru terfikir nak cuba crossing bola dengan gaya ‘rabona kick’ Cristiano Ronaldo yang aku lihat di You Tube malam semalam.
                Mat Yed sudah menunggu aku di dewan. Wajahnya nampak kelat. Aku tidak bertanya berapa lama dia menunggu, sebaliknya terus berkata “Jom,” dan dia mengangguk. Memang kami selalu membuat persembahan bersama. Pernah juga mewakili kolej untuk sayembara puisi, dapat tempat ketiga. Okaylah tu. Mat Yed sudah bersedia dengan kertas di tangan. Dia menyuruh aku memainkan lagu instrumental classic. Mat Yed membaca puisi dengan beremosi.

             Aku pegang paksi,
             Ada janji-janji,
Yang kau murkai,
Kau lupai,
Madah-madah berintonasi,
Mengganggu dan menggusari,
Malam-malam sepi,
Noktah bukan terhenti,
Angan bukan mimpi,
Sakit bukan mati,
Aku masih di sini,
Kau masih aku perhati,
Kau yang memungkiri,
Masa-masa yang berlalu pergi,
Tinggal menjadi memori-memori,
Yang merobek dinding hati,
Dan kau pergi lagi,
Tinggalkan aku bergelumang sendiri,
Ke mana kau pergi?
Wahai si pencuri hati,
Aku masih menanti. 

                “Woi, mana kau dapat sajak ni? Tak guna betul!” kata aku meninggi suara kepada Mat Yed. “Kah! Kah! Kah! Dalam buku yang aku pinjam kat kau minggu lepas. Ada terselit kertas dengan puisi tulisan tangan. Power juga kau punya puisi cinta ni, Iqram,”. Aku hanya menggeleng-geleng kepala. Malu pun ada juga sebenarnya. Belum pernah puisi aku dibacakan orang lain. Biasanya aku akan tulis dalam kertas dan simpan untuk koleksi sendiri sahaja. Tak pernah dihantar untuk menyertai mana-mana pertandingan.
                Malam ini aku di pentas, disaksikan dengan ratusan pelajar-pelajar baharu, juga yang lama. Tiba giliran kami untuk membuat persembahan. Entah mengapa, aku merasakan debaran yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Mungkin sudah ketahuan yang Mat Yed akan membaca puisi hasil tangan aku sendiri. Aku cuba bertenang dengan membaca selawat berulang kali. Peluh-peluh jantan halus mula keluar di dahi saat Mat Yed memberikan isyarat untuk aku memulakan petikan gitar.
                Aku merasakan Mat Yed membacakan puisi ini dengan terlalu perlahan. Aku cuba fokus, sambil mata mengalihkan pandangan ke arah audiens. Mata terus tepat memandang ke arah seorang pelajar wanita di barisan ketiga kerusi. Dia duduk di hujung sekali dan pandangannya tajam ke arah aku. Aku terus mengalihkan pandangan, tunduk memandang tali gitar.
                Tepuk! Tepuk! Tepuk!
                Audiens memberikan tepukan yang gemuruh. Mat Yed mengucapkan terima kasih. Sempat juga dia berucap memberitahu yang dia membaca puisi karya aku tadi. Aku mengusung gitar turun dari pentas dan terus mencapai sapu tangan, mengelap peluh jantan yang degil. Debaran di atas pentas sudah mulai reda. Aku beransur pulih. Aku mengintai dari luar dewan ke arah gadis tadi. Dia sedang berbual dengan rakan sebelahnya. Aku perhatikan wajahnya. Cantik.
                “Wei! Dok usha apa tu?” Aizat mencucuk pinggang aku membuatkan aku terperanjat. Mujurlah aku tidak melatah, jika tidak mungkin gitar ini sudah singgah ke kepala Aizat. “Takde usha siapa-siapa pun,” balas aku. Aizat ketawa terbahak-bahak. Entah apa yang lucu pun aku tidak tahu. Aku mengambil kerusi dan duduk di luar dewan sahaja. Mencari posisi yang sesuai untuk melihat gadis tadi tanpa sebarang lindungan objek pejal.
                Tamat sudah upacara penutup program suai kenal. Sekarang majlis yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pelajar. Kesemua sebenarnya. Majlis jamuan. Sudah panjang barisan yang beratur untuk mengambil makanan. Aku mengambil air terlebih dahulu membasahkan tekak yang dahaga. Kehausan dek kerana debaran sewaktu orang lain membacakan karya aku.
                Ketika menghirup air dari gelas polisterin, aku ternampak kelibat gadis tadi. Dia juga seperti aku, tidak beratur mengambil makanan hanya mengambil segelas air bersama seorang lagi kawannya. Aku terus leka memerhatikan tingkahnya. Dia duduk di sebuah kerusi di luar perkarangan dewan, tidak jauh dari aku. Mungkin dua puluh langkah. Kemudian, dia berpaling ke arah aku. Dia tersenyum. “Ah, dia perasan pula,”
                “Wei, kalau hang berkenan kat dia, pergilah tegoq. Satgi melepaih, hang juga hat melopong.  Gentle jaa, Iqram,” sekali lagi aku kantoi dengan Aizat. Aku hanya memandang Aizat, senyum dan menggeleng-geleng kepala. “Okay, kalau hang tak mau pi, biaq aku yang bagi tau kat dia, hang nak minta nombot handphone dia. Aku pi la ni juga,” Aizat menyambung, aku terus menarik lengannya. “Kau jangan buat gila,” kata aku.
                “Kalau lagu tu aku suruh Mat Yed pi bagi kertas hat hang tulis puisi tu kat dia. Mat Yedddd!” Aizat memekik. Mat Yed tiba dan menunjukkan kertas puisi aku di tangannya. Dia mengacah-acah untuk berjalan ke arah gadis itu. “Woi, jangan woi!” aku melarang Mat Yed. Aku bangun dari kerusi. “Okay, okay, aku pergi kat dia. Korang berdua boleh pergi mati sekarang,” balas aku dan disambut dengan hilai tawa Aizat dan Mat Yed.
                Entah mengapa, kaki aku dikurniakan kekuatan untuk pergi ke arah gadis itu dalam keadaan jantung yang berdebar, tidak stabil denyutannya, aku menghampiri gadis itu. “Tak makan ke?” pertanyaan pertama aku memulakan bicara. Entah betul atau silap cara aku menegur ini, aku tidak tahu. “Assalamualaikum, tengah ramai lagi beratur,” balas gadis itu. Nampaknya cara aku silap untuk menegur buat kali pertama. “Waalaikumussalam,” aku tersipu, dia tersenyum. Manis!
                “Sedap persembahan awak tadi. Puisi pun boleh tahan,” belum sempat aku memikirkan soalan untuk seterusnya dia membuka bicara lagi. Aku tersenyum dan memerhatikan name tag yang dipakainya. Nurul Aqilah. “Terima kasih, Nurul Aqilah,” aku membalas. “Biasa-biasa je tu. Persembahan tangkap muat,” sambungku lagi. Dia tersenyum memegang name tag yang dipakai. “Kalau bukan persembahan tangkap muat, mesti lagi bagus kan?” kata Aqilah. “Entahlah, mungkin iya, mungkin tidak,” balas aku.
                “Orang dah kurang beratur tu, jom kita pergi ambil makanan,” aku tak tahu bagaimana aku boleh mempelawa Aqilah. Mungkin sudah kehabisan idea untuk berbicara soal lain. Aqilah memandang kawannya di sebelah dan mengangguk. “Jom,” katanya. Saat itu, aku rasa bagaikan seorang pemenang. Aku memandang Aizat dan Mat Yed, melemparkan senyuman nipis dan mengangkat tangan menunjukkan isyarat menyuapkan makanan ke dalam mulu sebagai tanda mengajak mereka makan bersama.
                Aku, Aizat, Mat Yed, Aqilah dan kawannya, Fatin makan bersama-sama malam itu. Banyak perkara yang dibualkan kami seolah-olah telah lama berkenalan. Entah mengapa, kemesraan itu cepat benar terjalin dalam maasa yang singkat. Mungkin menyedari yang masing-masing berada di bawah satu payung yang sama. Esok lusa akan berjumpa lagi.
                Kemesraan itu terus terjalin antara kami semua. Semakin hari semakin baik perhubungan. Aku semakin berminat untuk menyertai program-program yang dianjurkan kampus. Minat aku hanya apabila Aqilah turut serta terlibat. Hari demi hari berlalu dan hubungan kami bertambah rapat walaupun belum bergelar ‘kekasih rasmi’ dan belum pernah salah seorang daripada kami mengucapkan I love You baik dalam nyata mahupun maya. Tetapi aku cukup senang dengan Aqilah. Bahagia.
                Sejujurnya aku harus akui yang aku mencintai Aqilah. Tetapi mulut berat untuk mengungkapkannya. Hanya hati yang tahu. Tahukah dia? Sampai bila aku harus memendam perasaan? Biarlah, aku lebih selesa begini. Mungkin Aqilah juga begitu kerana aku tidak pernah melihat dia merasa tidak selesa bersama dengan aku. Dia tidak pernah menyakiti aku dan membuatkan aku merasa kurang senang. Cuma aku berasa rindu jika tidak bertemu dengan dia dalam sehari. Semoga dia juga begitu.
                Hubungan kami terus mesra. Banyak perkara yang dikongsikan bersama, tiada sengketa. Masa berlalu laju. Semester sudah tiba di penghujungnya. Peperiksaan akhir akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Ketika ini kami sudah jarang bertemu, lebih banyak berhubung melalui SMS. Iya, aku sedar ini semester aku yang terakhir, dan Aqilah pula semester pertama. Selepas aku tamat belajar, entah bila kami akan bertemu lagi. Atau mungkin tidak akan bertemu lagi selepas ini. Tak mungkin.
                Selepas tamat peperiksaan, aku mengajak Aqilah berjumpa di bandar. Barang-barang semua sudah aku kemas, hanya menunggu masa untuk pulang. Kami duduk di sebuah kerusi di sebuah taman. Tempat yang terlalu klise buat pasangan yang bercinta. Itu saja pilihan yang ada. Kami berbual-bual tentang perkara-perkara yang ringan untuk dibincangkan.
                “Awak belajar baik-baik ya lepas ni, jangan kecewakan ibu dan bapa awak,”
                “Awak pun sama, lepas ni kalau sudah dapat kerja, kerjalah baik-baik juga,”
                “Lepas ni, tak tahu bila pula kita boleh jumpa,”
                “Kenapa? Awak dah tak nak jumpa saya lagi ke?”
               “Bukan macam itu, maksud saya kita dah tak boleh berjumpa dengan kerap seperti sebelum-sebelum ini,”
                “Insya-Allah, kalau ada rezeki kita akan berjumpa juga nanti, saya pun masih lama lagi di sini,”
                “Saya doakan awak berjaya. Jangan lupakan saya nanti, okay?
                “Amin. Saya takkan lupakan awaklah, budak seniman,”
                Aku bersalaman dengan semua kawan. Perasaan sebak ada terasa saat berpelukan dengan Aizat dan Mat Yed. Banyak kenangan yang terpaksa aku tinggalkan walaupun berat hati. Kawan-kawan yang banyak memberi semangat, dorongan, gurau senda dan segalanya. Selamat tinggal sahabat, semoga kita berjumpa lagi. Selamat tinggal Aqilah, bukan untuk selamanya.
Enam bulan berlalu, aku masih belum mendapat sebarang tawaran kerja. Sekadar membuat kerja-kerja sambilan di kampung yang tidak seberapa upahnya. Dapatlah untuk membeli prepaid untuk aku terus berhubung dengan Aqilah. Dia baik-baik sahaja di sana katanya. Jika ada kelapangan, aku akan ke cyber cafe untuk berhubung dengan Aqilah menggunakan Yahoo Mesenger atau Skype. Aku mengadu kepadanya susah untuk mencari kerja. Dia minta aku bersabar dan terus berusaha, jangan lupa bersolat hajat dan berdoa. Baik, Aqilah!
                Aku akhirnya mendapat tawaran kerja jauh di Utara tanah air. Meninggalkan kampung halaman di Pantai Timur, meninggalkan Aqilah di Selatan tanah air. Hari demi hari yang berlalu, bulan demi bulan yang berlalu. Aku merasakan hubungan kami semakin renggang, semakin jauh sebagaimana jarak terpisah. Tidak lagi kerap berhubung. Aku sibuk bekerja dan dia sibuk belajar. Dan hari-hari aku mula merasakan kekosongan. Kesunyian.
                Jiwa yang kesunyian dan didatangi pula seseorang yang mahu berdamping. Tidak berdaya untuk menolak. Tiada upaya untuk menidakkannya. Kehadiran sesorang yang aku harapkan mampu mengisi kekosongan hati. Kekosongan yang sengaja aku ciptakan sendiri. Menjauhkan diri dengan jarak, menjarakkan diri dengan berdiam. Tiada lagi perkhabaran tentang Aqilah. Tiada rasa bersalah bagi aku kerana kami tidak pernah bergelar kekasih secara rasmi. Tiada declare apa-apa. Egois.
                Namun, bayangan Aqilah tetap muncul setiap kali aku menjalinkan hubungan yang serius dengan seseorang. Lama kelamaan hubungan itu terhenti begitu sahaja. Bukan sekali, malah berkali-kali. Aku gagal untuk tidak membandingkan mereka dengan Aqilah yang pernah aku kenali. Aku gagal untuk meyakini mereka lebih baik daripada Aqilah. Dan aku gagal untuk tidak dibayangi Aqilah. Mungkin balasan di atas kegagalan aku sendiri. Gagal mengungkapkan kata aku cinta padamu dan gagal menjaga perasaan cinta itu sebaik-baiknya.
                Bertahun-tahun aku hidup dalam kegagalan ini. Bertahun-tahun juga aku cuba mengatasi kegagalan ini. Namun masih tidak berjaya. Aqilah langsung tidak aku tahu khabar berita. Jika dinilai pada waktu, sudah dua tahun dia tamat belajar. Mungkin sudah bekerja, mungkin sudah berkahwin dan mungkin sudah menjadi ibu. Segala kemungkinan itulah yang membuatkan aku gagal menemui kekuatan untuk mencari dan menghubungi Aqilah. Jiwa diburu rasa bersalah dan penyesalan. Biarlah.
                                                                                * * * * *
                Aku terus pergi ke arah Aqilah. Dia tersenyum mesra. Senyuman yang masih sama seperti dahulu. Senyuman yang aku terlalu rindu. “Awak apa khabar Aqilah? Buat apa kat Kuantan ni?” tanya aku. “Alhamdulillah, sihat. Awak? Nampak makin kurus sekarang. Datang ke rumah kakak saya di Indera Mahkota,” dia menjawab. “Tak sangka boleh berjumpa di sini lepas 7 tahun,” kata aku. “6 tahun 9 bulan sebenarnya Iqram kita tak berjumpa,” jawab Aqilah.
                Aku terdiam dengan jawapan itu. Bersalah. Aqilah juga membisu, wajahnya tertunduk ke lantai bagai menyimpan kata-kata yang hendak diucapkan lagi. Amarah atau mungkin dendam. “Maafkan saya,” aku cuba menenangkan Aqilah. “It’s okay. Benda dah lama berlalu. Saya dah lupakan semua. Saya tak berdendam dengan awak dan awak tak perlu rasa bersalah, Iqram,” jawapan Aqilah yang membuatkan aku berasa tidak selesa sebenarnya. Dia sudah lupakan semua. Semua itu aku.
                “Umi! Umi!” jeritan kecil seorang kanak-kanak perempuan lingkungan umur 4 tahun mengejutkan aku. Dia meluru ke arah Aqilah dan memegang tangan Aqilah. “Umi, Dhia nak buku ni boleh?” tanya budak kecil yang comel itu sambil menunjukkan sebuah buku mewarna. “Boleh sayang, nanti Umi belikan ya,” jawab Aqilah. Aku tersenyum melihat keletah anak kecil itu. Kemungkinan yang telah lama aku fikirkan benar-benar terjadi. “Tahniah, Aqilah!” kata aku di dalam hati.
                “Berapa tahun umur anak awak ni, Aqilah?” aku bertanya sambil memegang pipi budak comel itu. “4 tahun 7 bulan,” jawab Aqilah, ringkas. “Mana ayahnya?” tanya aku lagi. “Ayah? Ayah dia di rumah. Iqram, ini anak kakak saya. Anak-anak buah saya semuanya panggil saya Umi,” jawab Aqilah. Aku tersenyum, tertunduk tersipu. “Saya belum kahwin lagi, Iqram. Awak?” sambung Aqilah sambil bertanya. “Saya? Belum juga. Belum cuba meminang sesiapa lagi. Boleh saya meminang awak?” jawab aku dan mengajukan soalan cepumas. “Belum cuba belum tahu. Kalau nak tahu cubalah dahulu,” jawab Aqilah menjeling mesra. Jelingan yang selalu aku rindukan.









No comments:

Post a Comment