Malam itu, ada
program “Burung Hantu” sempena minggu orientasi untuk semua pelajar Tingkatan
Satu yang menetap di asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar (SMKAA).
Mata pelajar akan diikat dengan kain dan dilepaskan di tengah padang bola.
Tiada apa-apa yang mampu aku lihat dalam keadaan begitu.
Tangan
aku meraba-raba laju mencari objek untuk dipegang. Tiba-tiba aku terasa bagai
terpegang suatu objek. Aku cuba memegangnya dengan erat untuk memastikan objek
tersebut. Lembut. Aku mengamati kelembutan objek tersebut dengan fikiran yang
melayang-layang.
“Woi,”
terdengar suara seorang perempuan menjerit sebaik aku memicit objek tersebut
untuk kali kedua. Tapi objek itu masih lembut.
Aku
yakin, objek yang lembut itu adalah milik perempuan yang menjerit tadi. Mungkin
pahanya yang lembut itu dan aku tidak memikirkan abdomen lain yang lebih lembut
daripada paha perempuan pada ketika itu. Iya, ketika itu aku berusia 13 tahun,
jika sekarang, mungkin lain yang aku fikirkan.
Seorang
pengawas asrama bernama Amar datang dan membuka ikatan pada mata aku menandakan
sudah tamat malam burung hantu. Aku mencelikkan biji mata untuk melihat
siapakah empunya badan yang memiliki abdomen yang lembut itu.
“Hussien!”
aku berteriak sebaik melihat sang empunya badan.
“Cis!
Kau rupanya Khairul. Tangan macam ketam, nasib baik aku tak lempang,”
Hussien
adalah penolong ketua kelas aku untuk Tingkatan 1 Ibnu Sina. Iya, aku seorang
ketua tingkatan yang dipilih berdasarkan sistem merit, bukan politik wang
mahupun undian sms. Hussien banyak membantu aku dalam urusan seharian di kelas
dan sebagai ketua tingkatan yang berkuasa sudah pastinya aku tidak banyak
membantu dia. Tugas aku hanya mengarah.
Oh
ya, Hussien adalah seorang wanita. Nama sebenarnya Husna. Norhidayatul Husna. Memang
aku suka memberi gelaran kepada nama-nama orang di sekeliling aku mengikut apa
yang terlintas di fikiran.
*****
“Ini bukan masa untuk kita mencuba lagi. Kita
sudah cukup dewasa, cukup matang. Bukan masa untuk bereksperimen lagi tentang
perasaan,”
Aku
membalas pesanan ringkas yang dihantar oleh kekasih. Berbicara tentang cinta,
tentang perasaan dan tentang masa depan. Ini pesanan ringkas yang aku hantar
sewaktu awal perhubungan kami terjalin. Saat bulan dan bintang terasa bagai
boleh digapai dengan sedikit jengketan. Saat manisnya hempedu yang bersulamkan
cinta.
Hubungan
kami berjalan dengan lancar dan baik. Setiap hari yang aku lalui padat dengan
rasa cinta yang biasa. Iya, cinta yang biasa adalah untuk manusia normal. Jika kita
mahu mencari yang agung dan megah dalam cinta itu adalah kesilapan besar kerana
cinta itu perkara biasa sahaja. Sifat biasa yang ada dalam jiwa manusia normal.
Aku
belajar tentang itu dari kesilapan lalu. Mencari keagungan yang sebenarnya
tidak wujud dalam cinta. Mendambakan kemegahan yang tidak pernah termaktub
dalam cinta. Hanya manusia yang cuba menjadikan cinta itu luar biasa sehingga
ketewasan kerana terlalu mencari keagungan dan kemegahannya.
Masa
berlalu bagai terlalu pantas. Aku mengambil keputusan untuk memperkenalkan dia
dengan keluarga. Dalam beberapa hari, keluarga aku pula datang ke rumahnya atas
tiket ziarah. Kebetulan, ziarah itu berlaku dalam musim raya aidiladha. Maka,
tidaklah nampak terlalu jengkel. Dan pertemuan sesingkat itu menjadikan kemesraan
itu semakin erat.
“Kamu
dah boleh kumpul duit. Dah boleh tu,” pesan abah sebaik tiba di rumah. Pesan yang
membuatkan aku terus melangkah lebih yakin dengan perasaan. Mak juga berpesan
dengan perkara yang sama. Jadi, keyakinan ini terus bertambah.
Mungkin
benar ini yang dinamakan jodoh. Aku tak menyedarinya kerana aku tidak pernah
percaya dengan tips-tips yang memberitahu bagaimana untuk mengetahui dia adalah
jodoh kita yang sering dikongsi di Facebook. Bagi aku, mudah. Untuk mengetahui
jodoh kita, dia akan menjadi isteri kita. Kau akan menikah dan berkahwin dengan
dia, itulah jodoh kau. Tak perlu kau nak mengkaji sampai gugur rambut di kepala
otak yang berjambul.
Kalau
dia tak nak kahwin dengan kau buat penat sahaja kau mengkaji tips bagaimana
untuk mengetahui dia jodoh kita, bukan? Rasa macam bangang pun ada juga nanti. Padan
muka kau, siapa suruh kau percaya? Kah! Kah! Kah!
Maka,
bermulalah episod seterusnya. Dari rombongan merisik, meminang seterusnya
bernikah. Segalanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, syukur padamu ya
Allah ketemukan aku dengan dia. Permudahkan perjalanan kami untuk hidup bersama
walau kami ini sekecil-kecil hamba yang kadangkala terlalai tentang-Mu.
Sudah
dua tahun lebih kami mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya
mata. Kata orang bunting pelamin. Entahlah, iya ke tidak. Aku tak peduli sangat
fasal benda-benda macam itu. Syukur sekali lagi kepada Allah, alhamdulillah. Semoga
kami akan terus mencintai untuk hari seterusnya sehingga ke hari terakhir dalam
hidup .
Aku
tidak berjanji untuk membahagiakan isteri sebagaimana yang biasa dilihat dalam
cerita-cerita cinta. Kerana membahagiakan isteri itu bukan satu janji, ia
adalah tanggungjawab. Sebagai lelaki, suami dan ayah itu tanggungjawab aku
terhadap diri sendiri iaitu untuk membahagiakan. Jika gagal, itu maknanya aku
gagal terhadap diri sendiri.
Matematiknya
cukup mudah, untuk merasa bahagia maka bahagiakan orang lain dahulu. Jika kita
sudah membahagiakan orang lain, namun masih belum rasa bahagia, maka segeralah
merawat diri di Hospital Bahagia, Tampoi. Kalau bernasib baik, boleh berkawan
dengan Kluang Man di situ.
Tak
perlu untuk kau meraikan hari jadi dengan memasang belon berwarna-warni di
bilik tidur pasangan, menghadiahkan dia dengan barangan yang berharga tiga
bulan gaji kau atau membelikan teddy bear
yang jauh lebih besar daripada saiz beruang sebenar. Maksud aku tak perlu
kau nak buat semua itu untuk mencari kemegahan dan keagungan cinta. Kalau kau
nak bagi tak ada masalah, tapi jangan berharap dengan pemberian itu akan
menghadirkan cinta luar biasa.
Kalau
betul keagungan cinta itu nak datang, bagi hadiah semangkuk laksa pun ia akan
datang. Aku tahulah, aku pernah buat.
Justeru,
usahlah mencari yang agung dan megah dalam cinta kerana ia akan hadir sendiri
tanpa kau sedari. Rasa cinta itu suatu perkara yang biasa maka tak perlu untuk
kita mencari yang luar biasa, yang diluar kemampuan kita sebagai manusia biasa.
Hadapilah cinta sebagaimana kau menghadapi hari-hari yang biasa kau lalui.
Untuk
Hussien, terima kasih kerana pernah menjadi pembantu ketua kelas aku yang baik
hati. Juga terima kasih kerana kini kau telah menjadi pembantu aku pula dalam
hal menguruskan rumah tangga dan keluarga kita. Semoga kita akan terus menjadi
suami isteri yang bahagia seperti manusia-manusia normal yang lain. Semoga cinta
kita yang biasa-biasa ini akan terus megah dan agung dengan sendiri.
Selamat
hari jadi, Hussien!
No comments:
Post a Comment