Thursday, February 11, 2016

Jihad Memerangi Nafsu

“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”

Kata-kata Ustaz Najib dalam kuliah maghrib semalam terngiang-ngiang dalam kepala otak aku yang berjambul. Bagai diganggu sepanjang masa dengan kata-kata tersebut. Dari pagi lagi sejak bangun tidur aku terfikir-fikir tentangnya. Juga wajah tenang Ustaz Najib sewaktu menyampaikan kuliah.

Semalam aku ke surau selepas kali terakhir menziarahinya pada bulan Ramadhan yang lalu. Tiba-tiba rasa tergerak hati untuk ke surau. Kebetulan tiada apa-apa yang hendak dibuat di rumah selepas tiba awal dari pejabat. Hendak layan drama tipikal jam tujuh rasa menyampah.

Rasa tenang menyinggah jiwa sebaik aku mengangkat wuduk. Dingin air kolah surau menggigit sampai ke temulang. Mungkin kedinginan yang penuh dengan barakah kerana ia berada di tempat beribadat.

Jadinya, kebetulan juga kedatangan aku ke surau sewaktu hari Ustaz Najib menyampaikan kuliah maghrib. Tak pernah langsung aku tahu menahu tentang jadual kuliah maghrib Ustaz Najib selama ini jika tidak diberitahu Abang Zahid, ahli jawatankuasa surau.

“Eloklah kau datang surau hari ni, ada kuliah maghrib Ustaz Najib. Simpan dalam reminder kau, setiap Isnin dan Rabu ada kuliah Ustaz Najib,” bahu aku ditepuk-tepuk mesra oleh Abang Zahid yang tak pernah tidak tersenyum walaupun terpijak tahi cicak selepas berwuduk.

Ustaz Najib memang dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang guru agama yang berpengaruh. Masih muda, belum mencecah tiga puluh lagi usianya. Siang harinya mengajar di sebuah sekolah agama, malamnya memberi kuliah di surau dan masjid berhampiran. Ceramah dan kuliahnya ringkas tetapi sangat melekat di hati. Tidak ada berkias-kias dan jenaka keterlaluan.

Ustaz Najib khabarnya pernah dilamar sebuah stesen televisyen swasta untuk mengelolakan sebuah slot kuliah namun ditolaknya dengan berhemah. Alasannya, enggan bergelar ustaz selebriti, cukup sekadar memberi bimbingan kepada masyarakat setempat. Lagipun, masih ramai longgokan ustaz dari program realiti tv yang berpotensi untuk mengelolakan slot tersebut. Sangatlah sederhana bagi aku Ustaz Najib ini.

Kuliah maghrib malam itu bertajuk Nafsu. Banyak isu yang dikupas Ustaz Najib sepanjang kuliahnya yang tidak sampai setengah jam itu. Memang rasa tidak puas mendengar kuliahnya yang dicemburui masa itu. Aku harap dapat datang lagi ke surau untuk kuliah maghrib yang seterusnya.

*****

Sudah dua minggu aku tidak ke surau. Apa tidaknya, balik kerja pun sudah lepas waktu maghrib. Sampai saja di rumah sudah jam sembilan lebih. Surau pun sudah bergelap. Kecewa juga aku sebenarnya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan segera.

Kata Ustaz Najib dalam kuliah terdahulu di bulan Ramadhan yang pernah aku dengar, kerja juga adalah satu ibadat. Maka, laksanakan kerja dengan ikhlas sebagaimana keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah. Jadi, bekerja keras bukanlah nafsu untuk mendapatkan wang lebih semata-mata seperti anggapan kebanyakan orang yang gemar berdialog seperti “Bangla pun cutilah hari minggu,”

Tapi aku tetap kecewa kerana tidak dapat menghadiri kuliah maghrib Ustaz Najib.
Keesokan harinya, aku lihat ada surat di atas meja. Perlahan-lahan aku buka sampulnya. Perasaan bimbang dan teruja bercampur aduk. Perjalanan bisnes syarikat sangat baik ketika ini, tak mungkin ini surat diberhentikan kerja.

Aku hanya mampu tersenyum membaca isi kandungan surat tersebut. Nyata, ia adalah perkhabaran gembira. Aku dinaikkan pangkat dan akan ditukar ke pejabat cawangan yang terletak hanya 20 kilometer dari rumah mak abah di kampung. Lekas-lekas aku telefon mak untuk sampaikan berita ini. Aku juga ucap terima kasih kepada bos, Encik Muhyiddin.

Tempoh masa diberi sebulan untuk aku menyiapkan diri sebelum bertukar ke sana. Terlalu banyak perkara dan urusan yang perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan itu. Maka, setiap hari aku terpaksa pulang ke rumah dengan menyalakan lampu kereta sambil minum kopi segera.

Kuliah maghrib Ustaz Najib memang aku tak dapat nak hadiri langsung.

Aku jumpa dengan Abang Zahid sebelum pindah ke kampung dan minta dia sampaikan salam kepada Ustaz Najib. Abang Zahid seperti biasa, angguk dan senyum sambil ucap Insyaallah. Semoga Ustaz Najib masih ingat aku walaupun hanya sekali datang ke kuliah maghribnya.

*****

Sudah enam bulan aku ditukarkan ke cawangan baru ini. Rasa tenang dan selesa dapat berkerja di kampung. Lebih-lebih lagi dapat tinggal bersama mak abah. Dapat juga aku tengok-tengokkan makan pakai mereka walaupun kedua-duanya masih sihat.

Rutin aku di kampung tidaklah sesibuk seperti di bandar. Kerja pun tak pernah pulang malam. Sempat lagi untuk bermain bola di padang selepas balik kerja. Dapat juga bagi berpeluh badan. Kalau tak main bola, dapat juga tolong mak siram pokok atau sapu sampah di halaman rumah.

Waktu maghrib aku akan ke surau dengan abah. Abah bilal di masjid. Nanti apa pula kata orang kampung kalau aku tidak ke masjid dengan abah. Tapi, itu mulut orang. Kita tak boleh tutup mulut orang walaupun jauh lebih kecil dari mulut tempayan. Aku ke surau bukan kerana abah seorang bilal. Aku ke surau sebab aku mahu ke surau. Bukan juga untuk update status check-in di Facebook.

Di kampung hanya ada sekali-sekala sahaja kuliah maghrib. Tidak ada ditetapkan jadualnya. Jika ada sebarang kuliah dari penceramah luar akan diberitahu dalam masa terdekat. Biasanya, ada tazkirah ringkas. Haji Khairi yang akan bacakan. Selepas tazkirah, ada yang mengaji, ada yang merokok sambil borak-borak di anjung surau dan ada balik rumah makan nasi kemudian datang semula ke surau.

Aku biasanya akan tunggu sahaja di surau sebab abah memang akan balik selepas solat Isyak. Kadang-kadang aku mengaji, kadang-kadang aku berborak dengan Mat Sabu, pemuda kampung sebaya aku. Perkara yang paling bernafsu aku buat di surau adalah melihat Siti Rosmah yang bertelekung sambil berjalan tersipu masuk ke ruang solat wanita. Anak Lebai Anwar ini memang cantik, umur 23 tahun.

Mungkin aku gagal memerangi nafsu untuk tidak melihat mahupun menjeling sipi terhadap Siti Rosmah. Ah, rindu pula pada kuliah Ustaz Najib.

Bila aku balik ke rumah, aku tengok Mak dan Adik Rara sedang ralit menonton televisyen. Mungkin ada rancangan baru kerana sebelum ini mereka tidak pernah aku lihat sekhusyuk itu menonton televisyen sampai aku acah-acah buat bunyi ketuk periuk nasi pun buat tak tahu.

“Amboi, tengok apa tu? Sampai tak perasan kita dengan abah dah sampai rumah. Kita orang nak makan nasi ni,”

“Dah siap semua kat bawah tudung saji tu,”

Tak pernah lagi terjadi bila aku balik ke rumah semua dah siap terhidang. Biasanya hanya lauk yang terhidang, nasi masih dalam periuk. Bila aku dan abah sampai barulah Rara ambilkan nasi dalam periuk letak ke dalam pinggan. Aku pergi jenguk ke ruang tamu untuk tengok rancangan apa yang berhantu sangat itu.

“Program apa pula ni, Rara?” tanya aku.

“Program baru ni, along. Macam Pencetus Ummah dan Imam Muda tu juga. Tapi nama dia Penjalin Ukhwah,” jawab Rara dengan sedikitpun kepala tidak terkalih dari televisyen. Mak juga begitu.

Aku pun berlalu ke meja makan kembali untuk bersama abah. Sempat juga aku alihkan pandangan ke televisyen sekali lalu. Eh, aku pandang ke televisyen sekali lagi. Aku amati betul-betul wajah figura yang terpapar di skrin itu. Macam kenal. Handsome orangnya.

“Haa, ni ha mak, nilah peserta yang Rara cakap tu! Handsome kan?” tempik Rara kepada mak yang mengangguk-angguk tanpa mempedulikan aku.

Lalu, aku terus ke meja makan bersama abah. Sepanjang malam itu aku tersenyum sambil terbayang-bayang wajah Ustaz Najib yang sedang memberikan kuliah sambil berkata ;
“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”


Sebelum tidur, aku berdoa agar Ustaz Najib menang dalam rancangan realiti tv Penjalin Ukhwah dan datang ke kampung aku untuk memberikan kuliah maghrib di surau. Nafsu aku untuk tidur juga sudah sampai, semoga tidak mimpikan Ustaz Najib mahupun Siti Rosmah malam ini.