Wednesday, July 13, 2016

Dia Ingin Menjadi Samseng

Dia ingin menjadi samseng atau dipandang tinggi sekurang-kurangnya, namun dia tidak tahu bagaimana caranya untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Oleh sebab itu dia membeli vcd cetak rompak Crew Zero dan menonton bersama kucing peliharaannya. Setelah menonton cerita Crew Zero, dia menemui cara untuk menjadi samseng. 
     Menjadi samseng bukanlah perkara yang senang kerana dirinya takut darah, tidak berani memukul orang, takut dipukul, mencuri atau melakukan kejahatan lain. Jadi, satu-satunya cara untuk dia menjadi samseng adalah dengan pergi ke pusat membeli-belah dengan tujuan syok sendiri - memakai pakaian yang bukan-bukan supaya dapat menarik perhatian orang. 
     Dengan wajah bengis syok sendiri, dia masuk ke dalam sebuah menjual barang kaca. Tujuannya hanya satu. Hanya mahu menunjukkan yang dirinya betul-betul samseng.
     Malang. 
     Tanpa disengajakan, seperti kemalangan jalanraya biasa kita lihat, barang jualan di dalam kedai itu jatuh ke lantai lalu hancur menjadi keping-keping. Semuanya berlaku cukup pantas. Bagaikan kilat memancar cahaya atau kelipan mata pantasnya.
     Tuan punya menyuruhnya membayar ganti rugi supaya keadaan menjadi sedia kala dan menganggap tiada apa yang berlaku tetapi dia tiada sesen pun wang di dalam poket ketika itu. Dia hanya mampu meminta maaf seikhlas yang mungkin. 
     Dia tersilap. Perkataan maaf tidak laku bagi tuan punya kedai. Akibatnya mukanya ditumbuk oleh tuan punya kedai dan menyebabkan hidungnya menjadi kemek dan darah memancut-mancut keluar dari kedua lubang hidung.
     Dia jatuh tergolek di lantai.
     Di saat kaki tuan punya kedai belum sempat hinggap pada dagunya, masa seolah-olah terhenti lalu sempat dia berfikir "Oh, jika aku tidak ada keinginan menjadi samseng dan menarik perhatian orang ramai, pasti sekarang aku sedang bersenang-lenang makan nasi di rumah sambil menonton tv. Walaupun nasi berlauk garam, sekurang-kurangnya itu lebih baik berbanding makan penyepak" dan sebaik saja dia habis berfikir begitu, kaki tuan kedai hinggap pada dagunya sehingga tulang dagunya teralih daripada kedudukan asal.