Monday, June 8, 2015

Azmi dan Saka Kepala Kuda

Sampai sahaja di rumah, Azmi terus meletakkan beg sandangnya di lantai dan terus berbaring di atas sofa. Dia memicit-micit kepala yang terasa berdenyut-denyut. Badannya juga terasa amat berat dan letih. Jam sudah 8.50 malam, dia baru tiba di rumah selepas bekerja lebih masa di pejabat. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia pulang ke rumah lebih awal. Namun, Azmi harus bekerja dengan lebih kuat untuk mengumpul wang hantaran perkahwinannya kelak.


Semenjak dua menjak ini makin kerap pula sakit-sakit badan menyerang Azmi tanpa mengira masa. Badannya terasa amat berat, bagai dipijak suatu objek berketumpatan tinggi, kadangkala terasa bagai terapung-apung terbang di udara melayang entah ke mana. Azmi mulai runsing terhadap penyakit yang dialaminya. 


Sepanjang bulan ini sahaja sudah sebelas kali Azmi ke klinik mengambil ubat. Adakalanya dia mengambil cuti sakit. Setiap kali penyakitnya datang melanda, Azmi terpaksa mengambil masa yang lama untuk naik ke tingkat 5 di rumah pangsapuri yang disewa. Pangsapuri yang tiada lif, hanya ada tangga yang comot dan berbau basi.

"Entah-entah kau kena buatan orang. Atau ada saka yang menumpang dalam badan kau agaknya." Kata Hadi, housemate Azmi tanpa rasa ragu-ragu. Azmi diam. Dalam diam dia memikirkan mungkin juga ada kebenarannya kata-kata Hadi itu. Tapi mustahil pula ada orang yang dengki. Azmi hanya seorang posmen yang membawa amanah masyarakat. Bukannya orang kenamaan, selebriti ataupun atlit sukan berjaya. Hanya posmen biasa.


Azmi mencapai smartphone lalu meng'google' tanda-tanda tubuh dimasuki saka. Azmi mula bimbang apabila segala sakit yang dialaminya mempunyai persamaan dengan apa yang dibacanya di internet. Dia mula runsing dan mahu mencari jalan penyelesaian. Ketika sedang berfikir Azmi teringatkan tentang Pak Anjang Mokhtar, dukun handal di kampungnya. 


"Aku nak balik kampung malam ni juga. Esok aku emergency leave." Kata Azmi kepada Hadi yang sedang ralit bermain judi online. Azmi lekas-lekas mandi dan bersiap. Usai sahaja semuanya, dia terus menghidupkan kereta Proton Wira turbo 1.8 Gsr lalu terus memecut laju ke kampungnya yang terletak di Kuantan. Hadi masih lagi ralit berjudi.


Azmi tiba di kampung jam 12.15 tengah malam. Itu bukan masa yang sesuai untuk berjumpa Pak Anjang Mokhtar. Kalau pergi juga pada waktu ini, mahu dilibas penyapu lidi ke belakang badan Azmi. Jadi, Azmi memutuskan untuk berjumpa dukun handal itu keesokan pagi sahaja. Azmi menghirup secawan teh halia sebelum tidur. Badannya masih terasa berat.


Esok paginya, Azmi mandi dan bersarapan karipap tiga ketul di gerai Shukri Kojet. Usai sahaja sarapan dia terus bergegas ke rumah Pak Anjang Mokhtar. Shukri Kojet menggeleng-geleng apabila melihat Azmi yang kelam-kabut tadi. Dia berkata kepada pelanggan lain "Nak mampuih ka apa si Azmi tu?". Pelanggan-pelanggan hanya mengangguk dan meneruskan sarapan sambil mengumpat. 


Azmi tiba di rumah Pak Anjang Mokhtar dan terus memberikan salam. Salamnya disahut oleb isteri Pak Anjang. "Masuklah dulu, Pak Anjang kau tengah memerut tu. Pagi tadi minum teh Mahkota Dewa dan roti jala. Itu yang sakit perut agaknya." Kata isteri Pak Anjang Mokhtar sambil ketawa menutup mulut. Azmi hanya ketawa kecil. Itu tidak cukup kelakar baginya.


"Hah, apahal kau datang pagi-pagi ni Azmi? Nak berubat atau nak jemput kenduri?" Kata Pak Anjang sebaik keluar dari tandas. Dia masih memakai tuala dan tidak berbaju. "Saya sakit-sakit badan ni Pak Anjang Mokhtar, dukun handal. Eh, tersebut nama penuh dan nama timangan pula. Maafkan saya." Azmi cuba mengcover line sambil memegang belakang badannya. "Kau tunggu sekejap, aku nak pakai baju dan ambil kemenyan." Balas Pak Anjang Mokhtar, dukun handal.


"Sakit di mana? Di sini?" Tanya Pak Anjang sambil memegang belakang badan Azmi. "Bukan di situ saja, seluruh badan terasa sakit Pak Anjang." Azmi menjawab. Pak Anjang menunjukkan muka kehairanan dengan jawapan Azmi itu.


"Seluruh badan? Kau biar betul Azmi."


"Betul. Takkan saya nak tipu pula."


"Kau rasa macam mana sakitnya?"


"Saya rasa badan ni berat semacam. Berjalan sikit dan termengah-mengah. Kalau naik ke rumah di tingkat lima tu lagilah teruk."


"Ini bukan sebarang saka ni Azmi, payah ni aku nak halau saka ni."


"Iya ke Pak Anjang? Dulu masa saya mula-muka kerja posmen di KL tak pernah pun rasa macam ni. Baru-baru ni saja kerap rasa macam ni. Dari mana datangnya saka ni?"


"Dari diri kau sendiri, Azmi. Diri kau sendiri! Diri kau!"


"Hah, saya tak pernah bela saka pun. Keluarga saya pun tiada saka warisan. Kat KL pun saya tak pernah mengamalkan ilmu hitam Pak Anjang."


"Ini namanya saka kepala kuda kau."


"Kepala kuda? Saka apa tu?"


"Iya, kepala kuda kaulah Azmi. Tiga bulan lepas kau balik kampung kenduri si Iwan Kenduk. Kau ingat?"


"Ya, ingat. Saya jumpa Pak Anjang masa tu."


"Bagus kalau kau ingat. Masa tu kau berborak dengan aku. Aku rasa masa tu badan kau taklah gemuk macam sekarang. Dalam anggaran 75 kilogram masa tu. Tapi sekarang aku tengok kau dah macam badak sumbu. Cuba kau timbang berat kau di mesin penimbang aku tu."


"108 kilogram Pak Anjang. Ini mesti berat saka yang menumpang tu kan?"


"Saka menumpang kepala kuda kau! Semalam masa kau on the way balik kampung, Hadi call aku. Dia bagitahu setiap hari kau melantak Burger King kat Kolumpo tu. Time kerja pun kau boleh makan burger lagi sambil hantar surat. Sehari sampai tiga biji burger kau bedal kata Hadi. Itu saka yang kau cakap? Saka kepala kuda kau! Kepala kuda kau!" 


Sementelah dengan itu, Azmi terus bangkit dan meluru keluar. Dia pulang ke rumah sambil berjogging. Azmi juga nekad untuk pulang ke Kuala Lumpur sambil berjogging. Pak Majid yang tua pun boleh, takkan lelaki muda seperti dia tak boleh, ye dak?


Kata orang, kalau disampuk saka jangan pergi menunggang kuda.

No comments:

Post a Comment