Thursday, June 4, 2015

Rindu Setengah Gila

Hari ini Kamarul akan pulang ke kampung di Paya Rambutan, Maran. Sudah tujuh bulan dia tidak pulang ke kampung dek kesibukan bekerja di Kuala Lumpur. Kamarul seorang eksekutif di sebuah syarikat insurans tersohor. Masanya banyak dihabiskan dengan berjumpa klien tanpa mengira masa siang dan malam. Kamarul mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dengan menaiki bas sahaja demi menikmati suasana balik kampung yang lebih natural. Perjalanan mungkin akan memakan masa tiga atau empat jam berbanding dua jam sahaja yang diperlukan sekiranya beliau pulang ke kampung dengan menaiki kereta Mitsubishi Lancer GT yang dibeli kira-kira setahun yang lalu. 
Sebaik menaiki tangga bas ekspress Mara Liner, hati Kamarul sangat teruja. Semenjak bekerja dan memiliki kenderaan sendiri ini adalah kali pertama dia menaiki bas untuk pulang ke kampung. Hampir lapan tahun juga dia tidak menaiki bas ekspress. Fikirannya terus terbanyang akan kenangan ketika di zaman menjadi pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dahulu. Menaiki bas mini untuk ke Kuala Lumpur, berjalan kaki ke Hentian Pekeliling, singgah makan nasi ayam di gerai bersebelahan Sungai Klang, melihat keletah manusia dan pelbagai lagi kenangan yang tak bisa dilupakan. "Ah rindu sungguh saat dahulu," Kamarul bermonolog di dalam hati dan tersenyum sendirian.

Bas Ekpress Mara Liner memulakan perjalanannya tepat jam 12.30 tengah hari. Bas ini akan berhenti di Temerloh jadi Kamarul perlu menaiki bas "ting-tong" untuk ke kampungnya. Sepanjang perjalanan, Kamarul mengulit kenangan-kenangan semasa di zaman kanak-kanak. Suasana dan kehidupan kampung yang amat dirinduinya bagai membelasah seluruh jiwa raganya. Mandi sungai, melastik burung, bermain konda-kondi, mencuri durian di dusun Pak Wahab, memancing haruan, berkhemah di puncak bukit, dan banyak lagi kenangan yang mencakar segenap memori imbas kembali Kamarul. Dia berasa tidak sabar untuk sampai ke kampung dengan secepat mungkin. Jika diikutkan hati, mahu sahaja disuruh pemandu bas itu memandu dengan kelajuan 220 km/j agar lekas tiba di kampung. Namun, masih ada rasional dalam diri Kamarul. Perbuatan sebegitu tidak ubah seperti kelakuan membunuh diri. Kamarul bertabah pada kelajuan 75 km/j yang dipandu oleh pemandu bas tersebut.

3.27 petang. Bas telah tiba di hentian Temerloh. Semua penumpang turun. Kamarul berjabat tangan dengan pemandu bas sambil berkata "Terima kasih kerana membawa saya dan penumpang lain sampai ke destinasi dengan selamat. Terima kasih." Kelihatan pemandu bas agak terkesima dengan ucapan terima kasih Kamarul itu. Mungkin terharu. Kamarul melihat bas ke kampungnya sudah dihidupkan enjin. Ada beberapa penumpang sudah menunggu di dalam. Dia lekas-lekas berjalan bagai seorang atlit pejalan kaki menuju ke arah bas kerana bimbang akan terlepas bas itu. Kamarul tidak mahu menaiki teksi walaupun dia mampu kerana menaiki teksi tidak cukup natural. Tepat jam 3.36 bas itu pun memulakan perjalan ke Maran. Kamarul sungguh teruja. Inilah saat yang dinantikannya. Perjalanan selama 45 minit ini akan melalui sepenuhnya jalan lama. Dia mahu menikmati sepuasnya kehijauan alam semulajadi yang hanya dapat dinikmati di Kuala Lumpur jika ke Zoo Negara.

5.14 petang. Iya, perjalanan memang memakan masa 45 minit. Namun, pemandu bas ini singgah mengisi minyak, membeli rokok dan air bungkus sesuka hati. Kamarul agak bengang, sepatutnya waktu begini dia sudah lepak di pangkin hadapan rumahnya. Kamarul memicit loceng bas selepas melihat papan tanda nama kampungnya. Dia turun di simpang utama kampungnya. Di simpang itu, ada kedai makan Timah Janda, kedai runcit Zamri Zakaria, gerai pisang Paklong Ambok dan bengkel motosikal Yazid. Semuanya kelihatan usang, namun tetap mententeramkan hati Kamarul. Cuma petang itu agak sepi, tidak ramai penduduk kampung yang melakukan kegiatan mereka di simpang utama. "Agaknya ada perlawanan bola sepak di padang," Kamarul meneka dalam hatinya. Dia menggalas beg Deuter seberat 8 kilogram dan berjalan kaki menuju ke rumahnya. Jarak ke rumahnya dari simpang utama kira-kira 1.5 kilometer. Kamarul melalui padang bola, dia agak kehairanan kerana tiada sesiapa pun di situ. Yang ada hanya sekawan lembu sedang asyik meragut rumput. "Ke mana pula semua orang kampung ni? Dah meninggal ke apa?"

"Abang Kamarul!". Kamarul sedikit terperanjat mendengar pekikan suara itu. Kedengaran bagai suara seorang gadis yang masih perawan. Kamarul menoleh ke belakang. "Oh, awak rupanya Samsidar. Abang ingatkan bunian mana tadi," Kamarul cuba berjenaka dengan Samsidar. Samsidar adalah jirannya, berusia 22 tahun, badan kecil molek, kulit sawo matang dan berlesung pipit. "Kenapa tak bagitahu nak balik kampung?" Samsidar bertanya. "Sajalah, nak buat suprise," Kamarul menjawab dengan jawapan tipikal. Mereka berdua ketawa. "Dah besor aok ni Samsidar, geram pulek koi tengok badan kecik molek aok ter, tamboh dengan lesung pipit lagi. Jadi bini koi, nak?" Kamarul berkata pada Samsidar dalam loghat Pahang. Berkata dalam hati. "Jomlah, saya nak balik ke rumah juga ni dari rumah Ina anak Pak Abas. Boleh kita jalan sekali," Samsidar cuba berkata dengan tenang walaupun hatinya berasa kagum dengan ketulan-ketulan otot pada lengan Kamarul. Samsidar juga seperti wanita lain yang punyai hati, perasaan dan nafsu.

"Sebenarnya abang rindu sangat dengan suasana kampung ni, Samsidar. Rindu setengah gila." Kamarul memulakan bicara sebaik mereka mula melangkah. "Abang tak rindu Samsidar?" Samsidar cuba bertanya dalam hati lalu tersipu-sipu sendirian. "Abang rindu nak menghirup udara segar, terjun tiruk di sungai, panjat pokok rambutan depan rumah, raut daun kelapa buat penyapu dan macam-macam lagi, Samsidar," Kamarul meneruskan bicara. "Di Kuala Lumpur tak seronok ke, Bang?" kali ini Samsidar tidak lagi bertanya di dalam hati. "Mana seronok, udara kotor, bising dengan kenderaan, padat dengan manusia." Kamarul menerangkan kepada Samsidar akan keburukan Kuala Lumpur. Samsidar membalas ringkas, "oh, macam tu pula,". "Ke mana semua orang kampung ni Samsidar? Sepi je abang tengok kampung kita ni," Kamarul bertanya akan kehairanannya terhadap kampung yang sepi itu. "Biasalah abang, petang-petang begini orang duduk di rumah sahaja," Samsidar menjawab. "Duduk di rumah sahaja?" Kamarul bertanya sambil menggaru kepala yang tidak gatal. "Iyalah, abang. Petang-petang begini orang kampung kita hanya sibuk di group What'sapp, makcik-makcik pun mengumpat dalam tu je. Nak order goreng pisang pun pakai what'sapp, Kak Junaidah ada buat delivery. Budak lelaki sekarang main bola di rumah Ayob Rahman, ada 5 PS3 di situ, sejam RM2 sahaja. Kalau abang nak mandi sungai, baik tak payah. Belakang rumah Tok Empat Sidek tu ada swimming pool siap dengan papan anjal lagi. Satu kepala RM 1.50 untuk dua jam. Malam hari orang kampung kita lebih suka main Facebook. Ada juga yang main twitter tapi tak ramai sangat. Abang ada instagram? Kalau ada jangan lupa follow saya, Bunga_Sam22 tahu nama saya." Saat itu, Kamarul berasa bagai mahu berlari mengejar bas yang dinaikinya tadi dan pulang ke Kuala Lumpur segera. Rindunya hanyalah rindu setengah gila yang tidak akan terubat.

No comments:

Post a Comment