Friday, June 5, 2015

Malik Gila Bella

Lilin diri takkan padam,
Seandainya engkau adalah sumbunya,
Kaulah puteri kudambakan,
Bidadari syurga jelmaan dunia,
Akan kujaga,
Seluruh jiwaku,
Biarlah karam berdua,
Asal kau tak terlepas,
Dari genggaman ku,
Biar kulamar,
Sahih diri mu menjadi ratu,
Beradu dalam perlukan ku,
Kejora ku bersatu.

"Celaka! Macam mana aku boleh layan lagu jiwang pula malam ni," Malik bermonolog sendirian sambil memaki hamun diri sendiri. "Sebagai punk rocker aku tak patut dengar lagu begini. Celaka sungguh!" Dia menyambung lagi perbuatan mengeji diri sendiri. Malik terus menutup radio. Dia berbaring menghadap siling bilik tidurnya. Kipas siling berpusing pada kelajuan maksimum. Malik meletakkan lengannya ke atas dahi. Sudah dinihari,namun matanya masih degil seiring dengan otak yang terfikirkan seseorang. Iya, sesorang.

"Bella," Malik terkenang-kenang akan manusia bernama Bella. Pekerja di kedai The Body Shop di shopping complex yang sama dengan tempat Malik bekerja. Malik di tingkat satu menjual peralatan muzik dan Bella di aras bawah. Petang tadi Malik singgah di situ membeli deodorant. Walaupun seorang punk rocker, bau ketiak tetap perlu dijaga dan diselenggara dengan baik. Bau yang tengik boleh mengundang musibat kepada agama, bangsa, negara dan diri sendiri. Ketika mahu membayar deodorant yang dibeli, Malik berurusan dengan Bella di kaunter. Saat itu Malik mula menjadi tidak ketahuan. Lenggok badan yang manja, potongan badan persis peragawati, mata berwarna koko, kulit putih gebu dan senyuman yang menggoda. Ketika itu Malik mencuri lihat name tag yang dipakai Bella. Dari situlah Malik mengetahui nama Bella. “RM 13.90 semua ya, encik,” Bella memberitahu Malik jumlah yang perlu dibayar. Malik menghulurkan not RM 20 sambil berkata dalam hati “Ini duitnya, sayang.”. Malik berlalu dengan hati dan perasaan yang berbunga.

Malik nekad. Esok dia mahu ke kedai itu lagi. Kali ini dia mahu meminta nombor telefon Bella. Malik memikirkan apakah cara yang paling sesuai. “Esok aku nak beli perfume lah,” bisik hatinya. Keesokannya, Malik sungguh bersemangat untuk ke tempat kerja. Dia sudah mula terbayang detik-detik indah ketika keluar dating bersama Bella. Menonton wayang, makan popcorn bersama, satu gelas dua straw dan berpimpin tangan di taman bunga. “Pergi mati sama punk rockers!” Malik bagai bernekad untuk sehidup semati dengan Bella dan meninggalkan perjuangan anarkinya selama ini.

Pada waktu rehat, Malik bergegas ke kedai The Body Shop. Dia mengambil sebotol perfume dan terus ke kaunter. Bella sedang berurusan dengan seorang pelanggan wanita. Malik beratur di belakang wanita itu sambil matanya tajam memerhatikan name tag Bella. Malik dapat melihat dengan jelas pada name tag Bella ada tertulis nombor kad pengenalan. Malik mencuri baca untuk mengetahui tarikh lahir Bella. Akan datang boleh juga dia belikan hadiah pada hari jadi Bella. Malik membaca nombor kad pengenalan Bella dalam hati “871204-06-527...5!”. Serentak dengan itu, Malik terus mencampakkan botol perfume yang diambilnya tadi dan terus berlari pecut keluar dari kedai itu. “Gampang! Gampang! Gampang!” maki hamun Malik sambil berlari.

1 comment: