Tuesday, June 23, 2015

Baju Raya, Ketuanan Melayu, Hang Tuah dan Hipster

Kasmirin menikmati juadah moreh selepas selesai solat sunat terawih di surau. Malam itu, menu agak menyelerakan - mee jawa. Kasmirin menambah sehingga dua kali. Mee jawa adalah makanan kegemarannya selain daripada pengat pisang.Usai menikmati juadah moreh,Kasmirin mencucuh sebatang rokok sambil berbual-bual kosong dengan beberapa jemaah lain di perkarangan surau. Tanpa rasa bersalah kepada agama, mereka menghembus asap rokok. Serentak dengan itu, ozon menjadi nipis, udara menjadi tercemar, kadar nikotin di dalam paru-paru bertambah dan jantung semakin bekerja keras.

Sementelah selesai semuanya, Kasmirin pulang ke rumah dengan hanya berjalan kaki. Jarak surau ke rumahnya sekitar 100 meter sahaja. Dia sempat juga menyapa kanak-kanak yang bermain bunga api sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Kasmirin memberikan nasihat kepada sekumpulan kanak-kanak itu agar berhati-hati semasa bermain bunga api. Kasmirin sememangnya seorang pemuda yang prihatin,peramah, dan sosialis. Oleh hal demikian, Kasmirin disenangi oleh penduduk setempat baik yang tua mahupun muda.

Kasmirin tiba di rumah dan meneguk segelas air kosong. Dia mencapai telefon pintarnya untuk melihat sebarang notification yang ada. Kasmirin membuka aplikasi whatsapp messenger. Banyak pesanan yang diterimanya terutama sekali mesej-mesej berantai seperti “sebarkan kepada 30 orang rakan dan kamu akan mendapat manfaat dalam masa 30 hari.”. Sebagai pemuda yang berintelektual, Kasmirin tidak mengendahkan mesej-mesej tersebut. Dia hanya membaca sepintas lalu ibarat masuk mata kanan, keluar mata kiri.

Kasmirin hanya tertarik kepada pesanan mesej yang dihantar oleh kekasihnya, Melati. Melati adalah seorang gadis berusia awal 20-an, berpewatakan menarik dan berkulit putih gebu. Walaubagaimanapun, Kasmirin tidak pernah menyanyikan lagu Putih-Putih Melati untuk kekasihnya itu. Bagi Kasmirin, perkara sedemikian rupa hanyalah akan menjatuhkan martabatnya selaku pemuda yang memegang penuh kepada amanat Wawasan 2020 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. Kasmirin membaca pesanan yang dihantar oleh Melati.

“Kasmir, tahun ini kita pakai baju raya sedondon ya. Kalau tahun lepas awak belanja saya, biar tahun ini saya pula yang belanja awak, okay?”

Kasmirin tersenyum membaca pesanan yang dihantar Melati itu. Dia berasa amat terharu. Seumur hidupnya, belum pernah sesiapa membelikannya baju raya selain dari kedua ibu bapanya. Kasmirin juga bersyukur dipertemukan cinta bersama Melati yang bukan jenis pisau cukur. Melati seorang yang amat memahami dan bertimbang rasa. Jika minggu ini Kasmirin belanja Melati makan KFC, minggu hadapan Melati akan belanja Kasmirin makan Pizza Hut. Begitulah ibaratnya cinta yang terjalin dengan tolak ansur dan saling memahami. 

“Baiklah sayang. Awak pilihlah warna apa pun, jangan warna pink sudahlah.”

Kasmirin membalas pesanan Melati itu. Hatinya amat berbunga dan tidak sabar untuk memakai baju raya sedondon bersama kekasihnya. Kasmirin membayangkan yang mereka akan menjadi pasangan ‘Couple of the Aidilfitri’ kelak. Pasti kawan-kawannya akan mengundi mereka berdua sebagai pemenang kepada anugerah tersebut. Kasmirin juga berkira-kira untuk mengupah jurufoto merakamkan aksi mereka berdua yang berpakaian sedondon pada hari raya kelak.

Beberapa hari kemudian, Melati datang ke rumah Kasmirin membawakan persalinan raya yang sudah dibeli. Memandangkan mereka telah biasa membeli-belah pakaian bersama, tidak menjadi masalah untuk Melati memilih pakaian yang sesuai dengan potongan dan saiz badan Kasmirin. Melati meletakkan pakaian raya Kasmirin di dalam sebuah beg kertas berwarna jingga. 

“Nah, ambil baju Melayu ni. Pergilah cuba dalam bilik, lepas tu awak keluar ye. Saya nak tengok okay ke tidak.” kata Melati sambil menghulurkan beg kertas berwarna jingga itu. “Baik! Awak tunggu di sini tahu. Kalau haus pergilah ke dapur ambil air dalam peti ais.” balas Kasmirin. “Eh, awak ni Kasmir, kita baru hari ketujuh puasa, lambat lagi nak raya. Huhu.” kata Melati sambil berhuhu. “Hehe, terlupa pula saya. Teruja dengan baju awaklah ni. Hehe.” Kasmirin pula berhehe. Dia pun berlalu meninggalkan Melati dan masuk ke bilik untuk mencuba baju Melayu yang dibeli Melati itu. Adalah tidak sopan untuk dia mencuba baju di hadapan Melati walaupun cinta mereka berdua sudah direstui.

Kasmirin menyarung baju Melayu di hadapan cermin. Kemudian dia menyarungkan seluarnya pula. Akhir sekali, dia memadankan sampin songket yang turut dibeli Melati. Kasmirin melihat dirinya di cermin. Serentak dengan itu dia terus keluar dari bilik dan meluru ke arah Melati. “Awak beli baju yang tak siap lagi ke Melati?” tanya Kasmirin. “Eh, kenapa pula? Itu baju yang sudah siaplah Kasmir.” balas Melati. Kasmirin terpinga-pinga. Dia kemudiannya bertanya lagi. “Tapi, kenapa baju ni tiada lengan, kain pun jarang, poket berwarna-warni dan seluarnya senteng?”. Melati menjawab. “Ha, inilah baju Melayu hipster. Sekarang dah trending tau!”

“Trending kepala kuda awaklah Melati! Dah macam orang terencat akal je rupa pakai macam ni! Dah, jangan nak cakap banyak, sekarang kita keluar pergi beli baju lain. Baju ni awak boleh bagi biri-biri ayah awak tu pakai.”

                                                                      
                                                                       **********

Takkan Melayu hilang di dunia - Laksamana Hang Tuah, Kampung Sungai Duyong, Melaka, 1507. 

Takkan Melayu menjadi hipster di dunia - Zaim Ramli, Kampung Melayu Subang, Selangor, 2015.

No comments:

Post a Comment