Sunday, June 7, 2015

Diganggu Puaka Watson Nyambek

"Hoi!"
Ah, puaka mana pula yang hoi tengah-tengah malam ni. Sudahlah aku kejap lagi kena lalu kawasan tanah kubur. Aku langsung tak menoleh ke kiri, kanan mahupun belakang. Aku terus sahaja mara ke hadapan. Aku melajukan lagi langkah kaki. Sekarang kelajuan aku bagaikan seorang atlit pejalan kaki peringkat MSSD. Kira-kira dalam 39 meter lagi aku akan melalui tanah kubur. Nak balik ke rumah aku inilah satu-satunya jalan yang paling dekat. Kalau nak patah balik ikut jalan satu lagi, aku kena berjalan 4 kilometer. Aku bukan atlit pejalan kaki mahu berjalan sejauh itu. Aku hanya mahu membawa pulang ubat nyamuk ke rumah bukannya pingat emas,perak atau gangsa.

Ketika semakin hampir ke kawasan tanah kubur, suara misteri itu bersorak lagi. Kali ini dua kali. "Hoi! Hoi!". Aku mula berasa tidak sedap hati dan berdebar-debar. Peluh mula beranak di dahi jendulku. Puaka mana pula agaknya yang mahu mengusik aku. Sekali lagi aku tidak mempedulikan suara misteri itu. Kali ini aku berjalan lebih laju. Bagai berlari anak pun iya juga. Terasa masih jauh pula rumah aku walaupun jaraknya dengan tanah kubur hanya 163 meter.

Kepantasan kaki aku melangkah di samping jantung yang berdebar bagai nak gugur membuatkan aku berjaya menempuh tanah kubur dalam tempoh hanya 11.48 saat. Aku terasa bagai mahu mencabar Watson Nyambek satu hari nanti. Selepas beberapa langkah, aku sudah dapat melihat lampu jalan di hadapan rumahku. Dari jauh aku melihat mak melambai-lambai tangan seolah-olah menunjukkan ada sesuatu di belakang. Aku kaget.

"Hoi! Tunggu! Hoi!" Suara misteri itu berbunyi kali ketiga. Sementelah dengan itu, aku terus menyinsing kaki seluar trek ke paras betis dan berlari. Kali ini benar-benar aku merasakan aku lebih pantas daripada Watson Nyambek. Sasaran aku hanya satu, Mak. Sebagai seorang ibu, pastilah Mak akan melindungi aku dari segala puaka yang cuba mengganggu aku. Dan aku berjaya. Aku berjaya tiba dan terus memeluk Mak.

Impak kelajuan maksima itu, jantung aku berdegup 180 kali per minit. Aku masih memeluk Mak dengan erat. Mak mengusap-usap peluh di dahiku. Tiba-tiba aku kedengaran tapak kaki seseorang semakin menghampiri kami. Jantung aku terasa bagai nak pecah dan kaki bagai terapung di udara. Mujurlah, ada Mak. Tapi aku tidak menoleh ke belakang. Mak cukup steady. Inilah ibu yang terhebat, sanggup melawan puaka demi anaknya!

"Apahal kau lari macam nampak setan ni, Ayub? Ini, tembakau rokok abah kau tertinggal tadi kat kaunter. Karang marah pula abah kau. Sekali dengan baki pun kau tinggal," Aku menoleh dan melihat Pak Manan taukey kedai runcit mengurut-urut dadanya. Dia kelihatan mengah.

"Saya nak jadi atlit lumba lari macam Watson Nyambek, Pak Manan," aku menjawab dan terus berlalu masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang sangat bangsat kurasakan.



Sehingga ke hari ini rekod 100 meter Watson Nyambek  masih belum berjaya dipecahkan. (10.30 saat)



No comments:

Post a Comment