Sunday, June 7, 2015

Roslan Mengharungi Liku Liku Kehidupan Perokok

Roslan gelisah. Kejap dia ke dapur, kejap dia pergi lepak di ruang tamu, kejap melepak di atas peti ais, kejap dia berbaring sambil letak tangan atas dahi. Seperti cacing kepanasan, keadaannya ketika itu serupa perempuan baru diceraikan suami dengan talak tiga. Fikirannya gelisah tak tentu hala tuju.

Rambut Roslan yang keras dan kasar serupa berus dawai dibiarkan tidak bersikat, bajunya di letakkan di atas bahu dan hanya berseluar pendek ke hulu ke hilir di dalam rumah. Kawan serumah Roslan iaitu Jefri hanya mampu menggelengkan kepala sebanyak 3 kali bila melihat keadaan Roslan yang agak barai.

"Kau ni kenapa ? Ke hulu ke hilir tak tentu arah ni ? Naik menyampah pulak aku tengok gaya kau macam ni" Jefri hilang sabar.

"Aduh. Kau ni langsung tak memahami jiwa rockers. Aku gelisah ni" Jawab Roslan sambil mengeluh di dahi.

Jefri yang tadinya sedang rilekss menonton tv, mengalih pandangannya ke arah Roslan tegak berdiri. Matanya sekejap mengecil, sekejap besar memandang Roslan dengan gaya pandangan serong serupa melihat orang gila masuk ke dalam bank.

"Kau kabor kat aku, menda masalah kau ni ? Teruk sangat dah aku tengok kau ni" Jefri bersuara simpati. Sedih juga hati dia sikit-sikit bila tengok keadaan Roslan yang tak terurus begitu. Sebagai kawan perantau, sudah menjadi tanggungjawab dia untuk menjaga akhlak Roslan jika akidahnya terpesong.

"Hmmm, aku nak tunaikan azam aku ni" Roslan jawab pendek. Tak ada mood sangat gayanya.

"Bagus Lan, bagus. Aku doakan kau berjaya" Jefri seolah-olah mengejek.

Jefri mengambil kotak rokok yang diletakkan di atas meja bersebelahannya. Keluarkan sebatang rokok dan letakkan rokok yang belum dibakar itu ke bibirnya yang hitam. Roslan telan air liur melihat rokok yang tercokeng di bibir Jefri.

                                                  Krek Krek Krek

Jefri nyalakan lighternya untuk membakar rokok. Dengar saja batu lighter bergesek, Roslan bertambah menjadi tak senang duduk. Gelisahnya makin bertambah. Mukanya pucat memandang asap rokok yang dihembus Jefri. Jefri tersengih.

"Ahh, mampuslah. Tahun depan laa aku tunaikan azam berhenti merokok. Apa-apa hal, bak sini rokok kau sebatang"

                                                          ***

Mereka berdua pun hisap rokok dengan riang. Asap rokok menjulang naik menemani gelak tawa Jefri mengutuk Roslan.

"Berhenti merokok my ass" Getus hati kecil Jefri.

No comments:

Post a Comment