Monday, June 15, 2015

Cinta Memang Tak Harus Miliki Dia

Hanya ku mencari 
Rembulan masih ada 
Mungkin seketika
Walau ku bahagia mengejar bayanganmu
Tak mungkin ku beroleh saat indah bersamamu
Hanya aku

Di bawah pohon salak nangka yang berduri tajam, rendang dan berbuah, Zul berbaring sambil menyanyi-nyanyi kecil sambil diiringi petikkan gitar Kapok-nya. Tanpa mengikut tempo lagu yang betul dan hanya mengunakan satu kord saja iaitu kord C, kesumbangan lagu yang dinyanyikan memang tidak dapat disangkal masyarakat. Kehalusan suaranya juga mengakibatkan burung-burung yang tadinya melepak riang di atas dahan-dahan pokok rambutan terbang pergi.

"Kerinduan itu seperti bait-bait hujan terkena pada cermin kereta, jika di-wiper-kan bait-bait hujan itu akan menghilang" Zul berfalsafah sendiri. Gitar Kapok-nya digenggam kemas.

Rindunya pada kekasih bernama Ina sudah tidak dapat dibendung. Sudah seminggu lebih kekasihnya Ina berdiam diri daripadanya. Entah masalah apa yang sedang ditanggung kekasihnya tidak dapat Zul pastikan. Panggilannya tidak dijawab, mesej tidak dibalas dan status Pesbuk pun sudah lama Ina tidak update. Zul merasa bimbang akan hal itu.

Sepanjang Zul berkenalan dengan Ina, belum pernah Ina berdiam diri sedemikian rupa. Entah mati, entah hidup pun Zul tidak tahu. Hendak pergi ke rumah kekasihnya Ina pula, Zul tiada idea atau lebih tepat, Zul tidak di mana terletaknya rumah Ina.

Zul berkenalan dengan Ina pun hanya di dalam telefon, tidak pernah berjumpa secara realiti. Zul percaya cinta itu mampu membutakan yang celik, haq dan batil, jadi kerana itu Zul menerima Ina sebagai kekasihnya dengan hati terbuka walaupun belum pernah melihat wajah Ina.

"Nampaknya gayanya aku kena pergi jumpa Tok Anjang, mungkin Tok Anjang boleh menilik di mana Ina" Zul terbangun dari tempat berbaringannya lalu melepaskan satu tumbukkan padu ke udara. Gitar Kapok-nya dicampak di celah-celah pohon salak nangka.

                                                     ***          
"Hoi Tok Anjang, hoi" Di perkarangan rumah Tok Anjang, tanpa mempedulikan agama, bangsa, cakap-cakap belakang dan negara, Zul sedikit menjerit memanggil nama Tok Anjang tanpa terlebih dahulu memberi salam. Ya, perangai Zul macam syaitan.

Keadaan senyap. Pintu dan tingkap rumah Tok Anjang terkatup rapat seperti menandakan tiada orang di belakang.

"Hmmm, mana pula orang tua ni ? Dah mampus ke menda" Zul cakap perlahan.

Zul perhatikan keadaan di sekeliling rumah Tok Anjang, motor Yamaha Sukan Tok Anjang masih tertongkat elok di bawah rumah. Itu satu petanda yang bagus, menunjukkan Tok Anjang masih berada di persekitaran rumah. Ini kerana jika Tok Anjang hendak ke mana-mana, pasti motor-nya dibawa sekali.

"Tok ooooooooooooo, Tokkkkk" Zul cuba sekali lagi. Kali ini nama Tok ditarik panjang.

"Belakang woi, belakang !" Tok Anjang memanggil.

                               KELETAK KELETAK KELETAK

Zul berlari tak jejak tanah menuju ke belakang rumah Tok Anjang. Larian Zul laju tak terkira, macam burung puyuh. Lariannya menyereng ketepi, sekali pandang macam ketam, dua kali baru nampak Zul.

Tok Anjang berhenti mencangkul tanah bila melihat larian Zul. Sudahlah penat dan dahaga mencangkul tanah, kini Tok Anjang terpaksa pula melihat cara larian Zul yang menjelekkan, makin bertambah rasa meluap. Tok Anjang geleng kepala tiga kali.

"Menda kau ni ? Menjerit nama aku tak bagi salam ?" Tok Anjang baran melihat Zul yang kini terpacak di depannya. Cangkul di tangan digenggam kemas.

"Ni Tok, saya ada masalah sikit ni" Zul mengadu.

"Kau ni tak habis dengan masalah. Menda nak jadi laa dengan kau ni, kalau kau tak cari masalah, mesti masalah yang cari kau. Pelik betul aku tengok cara hidup kau. Ni aku nak kabor, kes motor Gamma kau tu, kau tak bayar lagi upah aku tu" Tok Anjang tarik muka.

"Nanti saya bayar laa Tok, ni ada masalah ni. Pasal makwe saya"

"Baik. Aku tolong kau. Kau nak minyak dagu ke menda ?"

"Tak. Saya nak Tok tolong tilikkan kat mana makwe saya berada. Saya bimbang ni Tok, dah seminggu lebih makwe saya berdiam diri. Call tak jawab, mesej tak balas, dalam Pesbuk pun saya dah cari juga, tapi tetap tak jumpa. Ni saya nak minta tolong Tok carikan ni" Zul beri penerangan panjang lebar.

"Hmmmm, makwe kau nama Ina kan ?" Tok Anjang menduga.

Zul kaku. Ilmu batin Tok Anjang memang sukar diduga, baru je bagi penerangan sikir-sikit terus nama kekasihnya diketahui tanpa terlebih dahulu diberitahu.

"Power Tok, power. Macam bomoh dalam drama Melayu, saya belum bagi tahu nama makwe saya, Tok dah tahu. Tak sia-sia Tok jadi bomoh" Zul memuji.

"Gini laa senang cerita. Menda yang aku kabor ni, harap kau dapat bertenang laa. Kau anggap je ia sebagai pengajaran......."

Tok Anjang berhenti bercakap, wajahnya memberi respon yang mendebarkan. Zul gelisah menanti perkhabaran yang bakal diterima. Air jenih mula bertakung di kelopak matanya, rasa sebak. Di fikiran Zul, bermacam-macam perkara buruk yang difikirkan tentang Ina. Matikah Ina ?

"Gini Zul. dua hari yang lepas aku lepak Warung Kak Cah. Masa aku melepak tengah sedap pekena laici kang tu, aku terdengar perbualan Zaim, Amy Donat dengan Amir. Sebenarnya makwe kau yang bernama Ina tu tak wujud, Zaim menyamar sebagai Ina untuk mainkan perasaan kau je. Pendek kata selama ni kau hanya bercinta dengan Zaim sebabnya Ina adalah Zaim dan Zaim adalah Ina" Tok Anjang berkata sambil menepuk belakang Zul.

Hancur hatiku mengenang dikau
Menjadi keping-keping setelah kau pergi
Tinggalkan kasih sayang
Yang pernah singgah antara kita

Lagu Dewa meresap masuk ke dalam hati Zul sebelum Zul menggelupur histeria.

No comments:

Post a Comment