Wednesday, June 17, 2015

Khairul, Azam Ramadhan dan Palestin

Khairul melihat jam Tag Heuer di pergelangan tangan kirinya. Jam sudah hampir 5 petang. Sudah hampir tiba masa untuk pulang ke rumah selepas seharian bekerja. Khairul mengemas segala dokumen di atas meja. Kemudian, dia shut down komputernya.

Esok hari terakhir bulan Syaaban, Khairul mengambil cuti untuk membuat persediaan menyambut Ramadhan. Sebelum pulang, Khairul berjumpa dengan semua rakan pejabatnya untuk memohon maaf segala salah dan silap. Khairul mahu dirinya suci dan bersih daripada segala dosa menjelang Ramadhan.

Dalam perjalanan pulang, Khairul menanam azam sepanjang bulan Ramadhan yang mendatang. Khairul mahu berhenti merokok, tidak berbelanja mewah, tidak online terlalu lama, tidak mengumpat, khatam al-Quran, memperbanyakkan sedekah dan yang paling mustahak adalah tidak memaki hamun. Khairul mengulangi azam itu di dalam hatinya - tidak memaki hamun.

Tiba di persimpangan rumahnya, sebuah Proton Juara memotong Khairul menggunakan lorong kiri dan terus membelok tanpa memberikan sebarang isyarat baik dari segi elektronik mahupun manual. Khairul amat marah dengan tindakan pemandu Proton Juara tersebut namun dia bersabar dan beristighfar. Astaghfirullahal’azim.

Khairul tiba di rumah dengan selamat. Dia mandi membersihkan diri dan bersiap-siap untuk ke surau. Khairul tiba di surau lebih awal daripada biasa. Dia mengambil al-Quran dan membacanya sehingga masuk waktu Maghrib. Khairul berjaya menghabiskan hampir 3 juzuk pada petang itu.

Selepas waktu Maghrib, Khairul mendengar pula kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hashim, penceramah bebas yang pandai membuat jenaka. Khairul mendengar kuliah dengan penuh khusyuk dan tawadduq. Dia turut mencatat isi-isi penting kuliah pada buku nota yang dibawanya.

Selepas selesai solat Isyak, Khairul bersalaman dengan semua jemaah. Mereka saling memaafi antara satu sama lain. Khairul turut menyumbangkan sumbangan bernilai lima ratus ringgit kepada tabung surau. Sedekah adalah salah satu daripada tiga perkara yang akan kekal selepas kita meninggal dunia kelak. Dua yang lain adalah anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat.

Khairul tiba di rumah pada jam 9 malam. Dia membuka televisyen siaran 801 Astro Arena. Perlawanan bola sepak di antara Malaysia melawan Palestin sudah 15 minit berlangsung dan Palestin sedang mendahului 1-0. Khairul berfikiran positif dan berharap Malaysia mampu bangkit. “Awal lagi ni, come on Malaysia!” Khairul bermonolog sendirian.

Minit ke 23 Malaysia 0-2 Palestin. “Come on Malaysia. Bangkit!”
Minit ke 41 Malaysia 0-3 Palestin. “Come on! Secon half buat comeback!”
Minit ke 63 Malaysia 0-4 Palestin. “Main bola apa macam ni? Kepala kuda betul!”
Minit ke 75 Malaysia 0-5 Palestin. “Ah, dah serupa setan je main bola!”
Minit ke 85 Malaysia 0-6 Palestin. “Beruk! Gampang! Pundek! ”

Khairul terus menutup televisyen dan mencampakkan remote ke lantai sambil memaki hamun. “Ah, esoklah aku azam semula.”

                                    **************
                   *Viva Palestine * Pray For Gaza*

No comments:

Post a Comment