Thursday, December 31, 2015

Selamat Tinggal 2015



Senja tadi, matahari menyinsing ke arah Barat. Perlahan-lahan cahayanya suram dan hilang. Itulah matahari terakhir buat tahun 2015. Esok, mungkin masih sama cahayanya menyinari bumi dan membekalkan vitamin E secara percuma kepada semua makhluk. Tiada cas tambahan yang akan dikenakan kepada sesiapa yang mahu menikmati cahaya matahari dari mula ia terbit hingga terbenam. Terima kasih, Tuhan! 

Selama 365 hari kita harungi untuk menempuh hidup yang penuh dengan ranjau dan cabaran. Itulah hakikatnya kehidupan seorang manusia. Hidup tanpa cabaran adalah perkara yang paling mencabar. Justeru, tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran semenjak 1 Januari hingga 31 Disember sepanjang 2015 ini. 

Pelbagai peristiwa telah kita lalui sepanjang tahun ini. Ada yang mendukacitakan, ada yang menggembirakan, ada yang serupa gampang dan ada yang tak memberi sebarang makna langsung kepada kehidupan kita. Buat yang telah tiada dan gagal mengakhiri 2015 ini, sama-samalah kita panjatkan doa kepada roh mereka agar dicucuri rahmat.

Januari 2015 dimulakan dengan harapan. Iya, harapan adalah kelangsungan kepada manusia. Jika anda tidak pernah memiliki harapan, maka anda bukanlah manusia. Sedangkan beruk memiliki harapan agar mendapat pisang, ikan Dolphin memasang harapan agar boleh melompat di atas permukaan air, kunang-kunang mempunyai harapan agar kekal bercahaya, malah syaitan juga senantiasa berharap agar dapat menghasut manusia ke arah kejahatan.

Jadi, siapakah sebenarnya anda yang tidak memiliki sebarang harapan?

Kesedihan kita bermula pada Januari apabila Perdana Menteri mengumumkan penerbangan pesawat MH 370 telah berakhir di lautan Hindi. Kesemua 239 penumpang dan anak kapal dianggap terkorban. Tanpa sebarang penemuan sebarang jasad, ia lenyap begitu sahaja. Ia mungkin lebih sedih daripada tragedi MH 17 yang sekurang-kurangnya telah ditemui terhempas pesawatnya.

Namun, apa yang lebih membimbangkan daripada tragedi ini adalah kemunculan orang-orang bangang. Raja bomoh misalnya. Malaysia di mata dunia ketika ini dan kebangangan mereka juga di mata dunia. Lalu, apakah lagi persepsi dunia terhadap kita jika bukan yang bangang-bangang? Kewujudan pakar teori konspirasi juga tidak kurang tongongnya. Bermula dengan buah manggis, emas dan sebagainya yang dikaitkan dengan tragedi ini.

Perkara yang paling sukar untuk dibendung adalah komen-komen di Facebook. Rakyat bertikam lidah di pautan komentar untuk menunjukkan siapa yang lebih bijaksana. Sudahnya, semua jadi bangang dan tongong. Saya selalu tertanya-tanya, dari manakah datangnya manusia yang bangang-bangang dan tongong-tongong ini sebenarnya?

Lupakan Januari, kita terus sahaja ke Februari. Al-fatihah setulusnya buat Allahyarham Tuan Guru Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat. Saya bukanlah seorang pemuda Pas mahupun peminat politik tanah air. Namun, kehilangan ini amatlah dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia buat tokoh yang boleh saya katakan hanya ada satu di Malaysia ini. Anda bukanlah manusia jika tidak bersedih dengan pemergian ini.

Tentang bulan Mac, saya sukar untuk mengingati apa yang berlaku kerana sudah tidak sabar untuk mengolah perihal bulan April.

Dukacita buat rakyat Malaysia apabila tarikh 1 April diumumkan sebagai tarikh perlaksanaan GST. Bagi saya, ia sangat memeritkan kerana terpaksa berkongsi sambutan tarikh lahir dengan perlaksanaan GST. Saya tak pasti, samada hadiah yang isteri saya belikan itu termasuk dengan 6% cukai ataupun tidak.

Apa lagi yang hendak kita perkatakan tentang GST? Sudah cukup Ahmad bin Maslan menerangkan kepada kita dengan penuh kesungguhan. Jika tidak, mungkin kita tidak tahu menghias nasi goreng dengan beberapa hirisan timun di sekeliling kuali. Untuk menjadi rakyat yang inovatif, mungkin kita boleh menukar hiasan timun tersebut dengan meletakkan bunga raya, daun sireh, ranting cempedak dan sebagainya.

Apa kesannya GST setakat ini masih belum menunjukkan sebarang tanda-tanda positif. Pengangkutan awam masih lagi celaka servisnya. Sudahlah celaka, tambang pula dinaikkan. Pada pendapat saya, semakin banyak cukai dipungut maka semakin baik servis perkhidmatan. Adakah anda menikmati servis perkhidmatan yang semakin baik sehingga ke hari ini?

Anda jujur orangnya jika menjawab tidak.

Perodua Myvi Dominic Toretto. Mungkin itu sorotan terbaik untuk bulan Mei. Kemalangan jalan raya yang berlaku melibatkan beberapa buah Perodua Myvi dengan Mitsubishi Pajero yang telah meragut nyawa satu keluarga. Perodua Myvi dikecam teruk dek tragedi ini. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan apa jua bentuk hukuman kepada mereka yang bersalah.

Untuk semua pemilik Myvi, memandulah seperti manusia yang memiliki akal dan perasaan. Untuk semua pengguna jalan raya di Malaysia, usahlah memandu dalam keadaan bangang menguasai diri anda. Pastikan semua aspek keselamatan terjamin pada kenderaan anda. Lampu, brek, tekanan angin tayar, cermin sisi, tali pinggang keledar, prestasi enjin, kejajaran roda dan yang paling penting adalah otak. Jangan sesekali memandu sekiranya terlupa untuk membawa otak.

Gempa bumi yang berlaku di Sabah pada bulan Jun menjadi peristiwa tergempar. Seluruh negara melahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terbunuh. Tiada siapa yang menyangka akan berlaku gempa bumi kerana dalam buku geografi mengatakan bahawa negara kita bebas gempa. Itulah kuasa Allah. Sebagai manusia, kita perlu bersedia menerima walaupun tidak bersedia mengharunginya.

Kes yang berlaku di Low Yatt Plaza pada bulan Julai menjadi viral hangat. Tidak perlu diulas lagi tentang apa yang berlaku. Masing-masing sudah baca pelbagai versi cerita dan laporan. Apa yang hendak saya ulaskan di sini adalah bahawa penipu ada di mana-mana sahaja tanpa mengira kaum. Samada Melayu, Cina atau India. Jika memang kaki temberang, beruk pun dia mahu temberang. Justeru, sebelum membeli sesebuah telefon bimbit, pastikan anda membuat kajian menyeluruh terlebih dahulu tentang model yang hendak dibeli. 

Jangan jadi bebal sangat, sikit-sikit nak bergocoh. Akal yang panjang boleh mengalahkan kudrat yang gagah.

Sementara itu, lagu Najwa Mahiaddin – You Got to Go sangat sesuai ditujukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada bulan Julai. Kes 1 MDB ini jika hendak diulas pun buat sakit hati sahaja. Jadi lebih baik kita langkau sahaja daripada mengulas hal yang penuh mistik ini.

Ogos adalah bulan kemerdekaan. Jika anda tidak tahu tarikh kemerdekaan negara, mungkin anda patut keluar dari negara ini. Itu lebih  baik daripada anda keluar dari negara akibat makan hati dengan status Twitter Pak Menteri. Bulan Ogos juga menyaksikan ulang tahun keempat perhimpunan Bersih. Mungkin tahun 2016 akan ada Bersih 5.0, kemudian 6.0, 7.0, 99.0 dan seterusnya. Begitulah juga dengan perhimpunan baju merah agaknya.

Itulah, masa sekolah dulu suka ponteng perhimpunan, dah besar baru nak sibuk pergi perhimpunan.

September menyapa dengan angin kotor. Sesak sampai ke dada. Bulan jerebu buat seluruh nusantara. Hal jerebu ini telah saya ulaskan dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh Penerbitan Langit secara percuma. Pandai-pandailah cari sendiri kalau nak baca. Saya pun malas nak tulis lagi pasal jerebu. Harap-harap tidak berjumpa lagi di tahun hadapan dan seterusnya.

Oh ya, pada 3 September juga menyaksikan skuad bola sepak negara kalah 0-10 kepada UAE. Jadi, apa lagi? Gelaklah. Kahkahkahkahkah!

Tiada apa yang menarik selain daripada pembentangan bajet 2016 pada bulan Oktober. BR1M akan dinaikkan dan seluruh rakyat bersorak mengenainya. Tidak berapa lama kemudian, pelbagai lagi harga barangan dan servis dinaikkan dan rakyat terus bersorak. Entahlah bersorak marah atau gembira. 

Sebenarnya, tiada apa-apa yang menarik langsung bagi saya dalam bajet 2016. Sama sahaja seperti tahun-tahun terdahulu. Dibagi satu, diambil sepuluh. Sudahnya, kita juga yang ternganga dengan cungap nafas tersekat-sekat. Bak kata Mael XPDC “Orang buncit makan daging, yang kurus makan ikan kering,”

Bulan November menyaksikan kehadiran Presiden Barrack Obama yang juga ketua polis dunia di Malaysia. Apa yang menarik sangat tentang Barrack Obama ini saya pun tidak tahu sampai nak kena tutup jalan untuk bagi laluan kepada dia, kemudian pisau di hujung senapang (bayonet) dalam acara perbarisan tidak dibenarkan untuk digunapakai. Penakut juga rupanya Barrack Obama ini, ya?

Salam takziah diucapkan kepada seluruh warga Johor di atas kemangkatan Tunku Abdul Jalil pada bulan Disember. Baginda dikatakan berjiwa rakyat dan semua orang yang pernah berjumpa dengannya menceritakan perihal tersebut. Jika kita hidup dengan penuh kebaikan, maka orang akan bercerita tentang kebaikan kita hatta sudah 100 tahun kita meninggalkan dunia. Alfatihah juga buat pelawak Pak Yus yang pergi menghadap illahi. Tidak ada pelawak yang seumpanya lagi bagi saya. Semoga kalian semua damai dan tenang di sana.

Perlu ke nak ucap tahniah untuk Selangor di atas kejayan misi 33? Sebenarnya, saya nak ucap terima kasih kerana dengan tercapainya misi 33 tersebut, dapat juga saya menikmati cuti umum di Selangor. Saya harap ia akan terus menjadi cuti umum yang akan disambut setiap tahun.

Sebenarnya masih banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2015 tak dapat saya ulas. Jika hendak diulas semua sekali mungkin akan menjangkau sehingga 60,000 patah perkataan. Lebih baik saya tulis novel dan jual. Guna sahaja tajuk seperti Suamiku Encik Kodok, Sebenarnya Dia Isteri Keempat Saya, Love You Mr. Bajingan dan sebagainya. Pasti laku keras.

Isu vape dan rokok naik harga juga antara yang menyentuh perasaan sepanjang tahun 2015. Buat perokok yang masih membeli rokok bukan seludup, saya menyanjung anda setingginya kerana menjana pendapatan negara tanpa ragu. Besar sebenarnya pengorbanan seorang perokok bukan seludup ini kepada negara. Buat pengevape, bertabahlah sekiranya selepas ini sudah tidak boleh selfie gambar hembus asap dengan kapsyen hashtag #VapeOn.

Jadi, apakah yang kita harapkan pada 2016 kelak? Sudah pastilah kita mengharapkan yang baik-baik sahaja. Orang gila pun tak berharap akan berlaku yang buruk-buruk terhadap dirinya. Malah, iblis pun takkan berharap yang buruk-buruk berlaku ketika cuba menghasut manusia.

Buat adik-adik yang masih bersekolah, belajar rajin-rajin. Cukup-cukuplah main WeChat. Dah macam beruk abang tengok status kat WeChat. Jadilah pelajar sekolah yang berjasa kepada ibu bapa, keluarga, negara dan bangsa.

Buat adik-adik yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi, usahlah setiap kali semester baharu maka pasangan juga baharu. Elakkan menggunakan wang pinjaman ke arah kecelakaan. Melabur ke dalam Multilevel Marketing misalnya. Kalau guna untuk belanja makwe minum sirap bandung di kantin sambil acah-acah berbincang hal pelajaran mungkin boleh dipertimbangkan. Cinta itu boleh lahir dari segelas air sirap bandung jika kena dengan caranya.

Buat yang masih bujang dan sedang mencari jodoh, berusahalah. Mungkin 2016 ini, anda akan ketemu jodoh. Kata orang, kalau sudah jodoh tidak ke mana dan kalau tiada jodoh pun takkan ke mana-mana juga. Usahlah ditangisi makwe lama yang sudah berkahwin pada 2015. Masih ramai di luar sana yang menunggu kamu. Jika masih tidak ketemu jodoh pada 2016, mungkin ia akan tiba pada 2017, atau 2018, atau 2019 atau 2099.

Bukankah di Facebook ramai yang share “Jangan risau jika jodoh lambat tiba kerana yang terbaik itu biasanya memang lambat tiba,’? Jadi, kau tunggulah jodoh sampai kerepot nanti kalau mahu yang terbaik. Kahkahkah!

Apa sekalipun harapan dan impian anda untuk tahun mendatang, biarlah anda sendiri yang tentukan. Bukan saya, bukan makwe anda, bukan jiran anda, bukan Najib Razak, bukan Jasmin Hamid, dan bukan The Faiz Ibrahim yang tentukan. Tanamlah keazaman agar menjadi manusia yang lebih baik daripada tahun 2015. Samada hendak melakukan #2kerja, #3kerja mahupun #77kerja sekalipun, anda yang tentukan bukan Ahmad Maslan yang tentukan.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada anda semua kerana berjaya menghabiskan tahun 2015 ini yang penuh dengan tipu daya dan muslihat. Selamat tahun baru.


Zaim Ramli,
31 Disember 2015, Port Klang.

Tuesday, December 15, 2015

365 Hari Memburu Janji

Saya singsingkan sedikit tirai di jendela. Jauh memandang ke arah timur. Melihat percik-percik cahaya sang suria pagi yang pertama untuk tahun ini. Masih sama cerahnya seperti tahun-tahun terdahulu. Menyapa dunia dengan selembut bahangnya pada hari ini – Khamis, 1 Januari 2015. Syukurlah, masih mampu saya menikmati vitamin E yang percuma ini.

Lalu saya melangut tinggi. Dongak memandang dada langit yang kian berdendang kecerahan. Pagi yang terlalu indah untuk ditinggalkan. Jika saya mampu, ingin saya hentikan putaran waktu sekarang juga. Agar keindahan ini tidak akan terginjak. Agar keindahan ini tidak terkhianati oleh janji-janji.

Tapi saya tidak mampu. Dan bumi semakin hangat.

Manusia berlumba-lumba mengejar kepastian dalam gumpalan cabaran yang semakin kronik. Konflik-konflik meditasi menyelinap di setiap lorong kehidupan tanpa ada rasa simpati. Dalam sedar atau tidak, luluh jua keringat yang tidak berpatutan dengan upah yang diterima. Yang gendut, terus gendut dan yang kerempeng terus kerempeng.

Semput dan gagap.

Dalam sedu, saya mendaki denai perjalanan yang tidak berbukit dan berpuncak. Rata dan sekata. Tapi terlalu perit untuk ditempuhi. Tiada hentian rehat untuk melepaskan hatta sedehem batuk. Masa yang terlalu jaguh untuk kita tewaskan. Paksalah juga diri untuk menuruti agar tidak tertinggalkan yang mustahak.

Kadangkala, langkah hanya sedikit terlewat. Barangkali setapak dua. Tapi terlalu jauh ditinggalkan. Dari setapak dua itu, kelewatannya sampai berskala seribu langkah. Makin dikejar, makin sakit. Tidak dikejar, juga sakit.

Saya perhatikan ulas buah harapan yang masih berbaki ini. Seakan sudah lemau dimamah waktu. Elokkah lagi untuk saya jamah agar esok hari tidak kelaparan? Perut sudah kenyang sebenarnya. Menjamah janji-janji manis, manifesto mega jaya, dan provokasi lantang kosong. Terlalu sarat dengan semua itu. Mahu saja saya jeluakkan semua isi perut ini.

Satu berganjak dua. Dua berganjak tiga. Tiga, empat, lima dan seterusnya. Sudahnya, sampai ke tiga puluh satu. Januari mahu ucap selamat tinggal dengan lambaian yang penuh jerih. Pergilah, wahai sayang Januari. Ada rezeki, panjang umur kita ketemu lagi. Doa-doalah kepada Illahi.

Saya masih melangkah ketika Februari datang. Katanya, bulan cinta, bulan romantis. Saya lihat, manusia masih berlumba-lumba. Mengejar cinta atau ditinggalkan cinta sehingga tiada masa untuk menoleh langsung. Tiada! Tiada bulan cinta dan romantis. Tiada! Semua bulan sama sahaja. Manusia terus berlumba-lumba lalu gila kerana ditabur janji dusta.

Cinta sudah lenyap.

Mac menyapa tanpa salam perkenalan. Dalam gerung hati yang lunak menjerit kesakitan sampai tak terluah suara. Saya menggerumuk memandang hutan batu yang kian bersemak-samun ini. Langit tak terlihat lagi aura impian. Hanya menggermang pada dinding kedustaan. Belakang badan sarat dengan beban helah yang digalas.

Wahai janji, usah berdalih lagi. Saat melangkah ke sempadan April, saya sedar yang langkah ini semakin kejauhan walaupun telah digesitkan berkali ganda kudrat. Semakin laju, semakin ditinggalkan. Celakalah keseluruhannya bila Mei menjemput April yang bagai tidak terkalih ia berlalu.

Jarum saat terus setia berputar seperti paksi yang menuruti kejadian siang dan malam. Angan, impian, doa, harapan juga turut berputar sama. Tinggal lagi, hendak diterjemahkan menjadi lukisan realiti yang saya sendiri tidak pasti bila, di mana dan bagaimana. Sudahnya, kalendar menginjak Jun. Dosa-dosa terus giat terkumpul dalam gerombongan bahu kiri.

Bila saya pejamkan mata, saya terdengar bunyi angin yang maha merdu. Damainya memeluk tubuh yang kian gering beralaskan harapan. Adakah ini petanda makbulnya doa-doa saya sepanjang perjalanan ini? Seperti enggan membuka kelopak mata. Bimbang dek kedamaian ini akan mati.

Tapi, saya perlu terus melihat dunia.

Lalu, dibuka perlahan-lahan mata. Ah, terus sahaja Julai menerpa. Dalam siksa, saya gagahi jua. Memburu janji-janji yang pernah dilaung. Mengejar impian yang pernah dihamparkan dahulu. Jerihnya kaki ini hendak melangkah lagi dalam kecelakaan sakti.

Saya terjerongok bila melihat papan iklan yang memaparkan si tua bongkak berpakaian segak. Iklannya menempel janji-janji lama. Yang saya buru sejak Januari lalu. Kini, sudah Ogos. Janjinya masih tak terungkai. Manakan si bongkak tahu saya sedang gering. Saya makan ikan kering, dia makan daging.

Jadilah saya manusia yang kebuluran harapan ditanam hidup-hidup oleh janji si tua bongkak berpakaian segak.

September menjelma. Saya seakan mahu mengalah. Sembilan purnama terpaksa berjinjit-jinjit untuk meneruskan hidup. Bernafas pun mengah, bernyawa pun semput. Tinggal lagi hendak bercerai dengan badan sahaja. Bagai menapak dalam lubuk jerung yang lapar.

Dalam keluh saya yang semakin menggeru, Oktober tiba. Maka, sesal saya masih belum berkesudahan. Bila papan iklan diturunkan, kemudian diganti dengan yang baru ia kian menggermang saya. Iklan baharu, janji baharu dan kedustaan baharu.

Warna putih ternampak hitam, merah ternampak hitam, biru ternampak hitam, hijau ternampak hitam dan semuanya ternampak hitam. Zulmat. Hitam dengan janji-janji dusta kamu. Lalu, November tiba dengan awan hitam yang memberikan harapan hujan.

Lenjun bermandikan hujan. Saya harap setiap titis kerasnya melunturkan janji-janji dusta.

Bayu Disember menyapa keras. Menggigit tubuh dengan kedinginan hingga ke temulang. Meliatkan urat-urat dan otot-otot yang selama ini berpanji memandu pergerakan saya. Sedingin harapan yang semakin tipis. Saya termenung melihat matahari pagi bulan Disember. Kaku dan tidak berganjak sehingga cahaya menipis jauh di barat. Senipis impian yang mega ketika Januari lalu.

365 hari melangkah, memburu janji-janji dusta. Yang saya dapat hanya lelah. Keringat tak terkira tenatnya. Tipisnya harapan untuk mengharap lagi. Juga impian yang sudah bertranformasikan mimpi. Sekadar mimpi. Lekaslah saya bangkit menggali lubang sedalamnya. Menguburkan semua janji dusta, harapan dan impian. Saya semadikan ke dalam tanah yang menangis kecewa.

Untuk si tua bongkak berpakaian segak, lurutkan suit mewahmu. Melangkahlah bersama manusia-manusia yang menderita dek janji dustamu. Nikmatilah angin kecelakaan yang engkau hembuskan bersama impian dahulu. Berhentilah menghambur slogan harapan. Undur dan pergi sahaja jauh-jauh.





Thursday, December 3, 2015

Bila Resah, Ingat Saat Indah

Semasa kecil dahulu, saya ada seorang kawan. Nama dia Saat. Iya, Saat, bukan Saad. Mungkin bapanya tersilap eja semasa urusan pendaftaran dahulu. Ada kemungkinan juga kerani yang bertugas melakukan kesilapan itu. Samada sengaja atau tidak, Saat hidup dengan melalui zaman kanak-kanak yang sukar.

Di sekolah, Saat sering diejek oleh kawan-kawan. Ada yang menggelarnya Waktu, Masa, Jam, Detik dan sebagainya yang berkaitan tentang perkataan saat.

Semasa kami bersekolah rendah, lagu Anuar Zain – Bila Resah sangat popular ketika itu. Setiap hari, lagu itu akan berkumandang di corong radio. Ia juga menjadi siulan anak muda untuk menyanyikan lagu Bila Resah samada ketika mandi, memancing ikan, menunggang basikal, bermain daun terup mahupun pulang dari surau.

Bila resah, ingat saat indah,
Bila rindu, kunyanyikan lagumu,
Sehari kurasa bagaikan setahun,
Menunggu tibanya oh bahagia.

Itu adalah sepotong lirik pada bahagian korus lagu tersebut. Dan Saat sangat membenci lagu ini tatkala orang lain berasa senang dengan melodinya. Saat membencinya kerana terdapat perkataan saat pada potongan lirik lagu tersebut.

Mungkin bukan itu sebab utama untuk Saat membenci lagu Bila Resah. Disebabkan lagu itu, Saat sering diejek. Kawan-kawan akan menyanyikan potongan lirik tersebut setiap kali berjumpa dengan Saat. Saat sangat sakit hati.

Lagu itu juga telah menjadi pemangkin kepada ejekan kawan-kawan terhadap Saat. Setiap kali berjumpa Saat, mereka akan menyanyikan apa sahaja lagu yang terdapat perkataan saat pada potongan liriknya. Saat sangat tertekan dengan hal tersebut. Mulai hari itu, dia benci dan anti dengan semua lagu yang terdapat perkataan saat dalam liriknya.

-----

Kini, kami semua sudah dewasa. Saat juga telah dewasa. Dia berhijrah ke Kuala Lumpur semenjak usianya berusia 21 tahun iaitu selepas mendapatkan segulung diploma. Kata ibunya, Saat bekerja di sebuah syarikat korporat yang boleh tahan juga gahnya. Kagum juga saya dengan Saat.

Pada suatu hari, saya sedang menonton TV bersama keluarga selepas makan malam. Ada konsert seorang penyanyi bertopeng yang menggelarkan dirinya sebagai Encik Tidur. Sudah hampir 20 lagu dinyanyikan Encik Tidur. Suaranya memang merdu. Saya terpukau dek kemerduan suaranya sejak dari lagu pertama yang dia nyanyikan lagi. Bak buluh perindu.

Walaupun identiti Encik Tidur tidak diketahui kerana terlindung di sebalik imej bertopengnya, dia tetap menjadi pujaan. Ramai wanita yang tergila-gilakan Encik Tidur walaupun tidak pernah melihat tahap ketampanan penyanyi tersebut. Ini dapat dilihat ketika konsert berlangsung.

Peminat wanita melompat terkinja-kinja walaupun Encik Tidur tidak menyanyikan lagu yang rancak. Inilah yang dinamakan menghayati muzik dengan cara gila babi atau bangang lebih tepat. Ada juga yang memegang sepanduk “Encik Tidur, kahwini saya,” “I love you Encik Tidur,” “Suamiku Encik Tidur,” "Saya mahu jadi makmum kamu," dan sebagainya.


Akhirnya, Encik Tidur menamatkan konsert itu sebaik menyanyikan lagunya yang ke-25. Saya rasa saya sudah tahu siapa Encik Tidur. 25 buah lagu yang Encik Tidur persembahkan, tak ada satu pun lagu yang terdapat perkataan saat dalam liriknya. Senyum simpul saya dibuatnya.

Tuesday, December 1, 2015

Politikus

"Kita akan memberikan yang terbaik pada rakyat. Di kampung yang mundur, kerajaan akan bina satu klinik yang cukup lengkap peralatan untuk kegunaan penduduk kampung tanpa perlu lagi pergi ke bandar. Di sekolah, kerajaan akan memberikan kelengkapan dan keselesaan pada murid-murid, pelajar dan tenaga pengajar. Dan untuk anak muda pula, kerajaan akan membina satu padang futsal untuk anak muda melakukan aktiviti sukan supaya lebih ramai pemuda harapan bangsa menjadi lebih kompetitif. Semua ini untuk rakyat !"

Timbalan Perdana Menteri melaung garang menerangkan manifesto yang dijanjikan kerajaan di atas pentas. Penduduk kampung, penyokong parti berlambangkan Tukul dan Bintang mengangguk kepala tersenyum lebar mendengar manifesto yang diucapkan itu. Masing-masing berbisik sesama sendiri mengenangkan jika manifesto itu menjadi kenyataan.

Dan di pihak pembangkang yang menghadiri kempen parti berlambangkan Tukul dan Bintang itu pula hanya mencebik muka. Jika dihitung manifesto ini sudah banyak kali diucapkan ahli kerajaan namun ianya tetap sekadar manifesto janji-janji Melayu. Kata ahli politik pembangkang, pihak kerajaan hanya menabur kata-kata manis pada orang kampung, hanya sekadar meraih undi, dan bila memenangi pilihanraya, janji-janji itu akan menghilang bersama bayang-bayang wakil rakyat.

"Pihak kerajaan juga akan selalu bekerjasama bersama pihak polis dan akan telus memerangi rasuah di kalangan pemimpin. Tiada diskriminasi di antara orang atas dan bawah kerana apa yang kami lakukan, kerajaan lakukan, semua adalah untuk rakyat. Kami bekerja untuk rakyat ! Rakyat adalah bos !" Laung Timbalan Perdana Menteri lagi "Kami, kerajaan bukan hanya menjual omong-omong kosong ! Berdirinya kami semua di sini, di atas pentas ini adalah untuk anda semua ! Masa depan negara anda tentukan !"

Berapa VVIP dan wakil rakyat yang duduk di atas kerusi, di belakang Timbalan Perdana Menteri yang sedang melaungkan kata-kata semangat untuk meraih undi, mengangguk sesama sendiri. Berpuas hati dengan ucapan Timbalan Perdana Menteri.

"Ah sudahlah ! Sudah bertahun-tahun kami dengar janji-janji kosong itu tapi sampai sekarang tidak menampakkan apa-apa hasil !!"

Satu suara menjerit lantang. Lebih lantang daripada suara Timbalan Perdana Menteri yang berdiri di atas pentas. Akibat suaranya lantang dan jelas, kesemua mata yang berada di situ memandang ke arah sekumpulan pemuda yang tidak jauh di belakang. Mungkin dalam 30 orang dalam kumpulan itu.

Keadaan menjadi tegang dan panas bilamana anggota polis dan penyokong parti Tukul dan Bintang menghalang kumpulan itu dari terus menghampiri orang ramai di bawah pentas. Sekelip mata, keadaan yang tadinya aman, hanya suara Timbalan Perdana Menteri yang memecah memasuki gegendang rakyat, kini bertukar menjadi kacau-bilau.

Melihatkan keadaan yang haru-biru itu, anggota polis dan pengawal keselamatan peribadi lantas memberi perlindungan kepada Timbalan Perdana Menteri dan beberapa orang penting. Beberapa orang pemuda dari kumpulan itu yang berjaya meloloskan diri dari kepungan anggota polis dan penyokong parti, merabat naik ke atas pentas.

                                                                       Bam Bam Bam Bam !!

Tidak sempat Timbalan Perdana Menteri bersama orang-orangnya turun dari pentas, bunyi tembakan mencelah di dalam kekacauan itu. Keadaan menjadi senyap seperti Malaikat melintas. Semua yang berada di situ, di bawah pentas dan di atas pantas, baik penyokong parti dan kumpulan pemuda, mencari-cari apa sebenarnya yang terjadi. Siapa yang melepaskan tembakan dan mengapa ?

"Telefon ambulans ! Ambulans !!" Salah seorang pengawal keselamatan peribadi yang memberi perlindungan kepada Timbalan Perdana Menteri menjerit lantang.

Orang ramai yang masih terkejut dengan bunyi tembakan, memandang ke arah pengawal keselamatan peribadi itu. Di lantai, sekujur tubuh terlentang. Merah darah mengalir dari tubuh itu dan pengawal keselamatan peribadi itu cuba menekan luka dari tubuh itu untuk menghentikan pendarahan.

"Tuan Timbalan !" Wakil rakyat berseru kuat. Terus diterpa tubuh kaku itu dan digoncangnya berkali-kali.

Tidak sanggup mengeluarkan suara, dengan wajah yang dipenuhi sesalan kerana gagal memberikan perlindungan terbaik, pengawal keselamatan peribadi yang berada di sisi Timbalan Perdana Menteri hanya menggelengkan kepalanya beberapa kali memberikan isyarat kepada wakil rakyat yang nadi Timbalan Perdana Menteri sudah terhenti. Sudah mati.

Wakil rakyat yang melihat akan gelengan kepala itu, memahami keadaan yang terjadi kepada Timbalan Perdana Menteri, hanya mampu meraung tangis yang panjang.

                                                                                             ***

Di dalam pejabatnya, Perdana Menteri sedang bermesyuarat bersama kroni-kroni seangkatan dengannya. Masing-masing melahirkan rasa tidak berpuas hati kepada Timbalan Perdana Menteri yang tidak sekufu dengan mereka. Bagi mereka, para menteri, mereka menyifatkan Timbalan Perdana Menteri adalah seorang bodoh kerana memperjuangkan hak rakyat. Mana mungkin seorang menteri bekerja untuk rakyat, padahal sepatutnya rakyat yang bekerah tenaga dan ahli menteri yang menikmati hasil.

Masing-masing bimbang akan dengan kedudukan dan jawatan masing-masing kerana jika mereka tidak memusnahkan Timbalan Perdana Menteri pada masa sekarang, pasti dirinya akan menjadi batu penghalang untuk mereka di kemudian hari. Ini kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang yang telus dan berani melawan bahaya menghadapi segala kemungkinan.

"Tuan Menteri, pada pendapat saya, seeloknya kita hapuskan Timbalan Perdana Menteri. Ini kerana jika parti ini melucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, pasti nanti akan menimbulkan masalah kepada kita dan parti kita. Timbalan Perdana Menteri banyak tahu rahsia parti kita dan jika kita membiarkan dia hidup, melucutkan jawatannya, saya pasti dia akan membongkarkan satu persatu rahsia parti kita dan rakyat akan kehilangan kepercaya kepada kita dan jentera parti. Dan kedudukan kita pasti terjejas" Salah seorang menteri memberi cadangan.

Enam pasang mata yang berada di dalam bilik itu mengangguk setuju. Namun Perdana Menteri yang duduk hujung meja hanya mendiamkan diri, memutar-mutarkan pen ditangannya berkali-kali berfikir panjang.

"Saya setuju cadangan itu, Tuan Presiden. Saya bimbang jika Timbalan Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, dia akan mengeluarkan fail-fail lama yang berkaitan dengan kita semua. Apa yang saya tahu, Timbalan Perdana Menteri itu seorang yang telus demi rakyat. Lagipun apa yang satu, dia bukan dari kalangan kita, dia orang mantan Perdana Menteri" Menteri di sebelah Perdana Menteri menyokong cadangan rakan seangkatan dengannya.

"Kerja gila ! Siapa nak melakukannya ?" Bentak salah seorang menteri.

Keadaan menjadi tegang apabila Perdana Menteri tidak memberikan jawapan. Hanya mendiamkan diri, memutar-mutar pen di tangannya. Masing-masing ada pendiriannya, ada yang bersetuju dengan cadangan itu dan ada pula yang membantah cadangan itu, tidak berani menanggung risiko untuk mengambil nyawa diberikan Tuhan.

"Baiklah. Kau, telefon 'Mafia Hukum'" Perdana Menteri menunding jarinya kepada menteri di hujung meja "Beritahu 'Mafia Hukum' Timbalan Perdana Menteri akan berkempen untuk parti di Kampung Selamat, 12/04/2032, jam 8.30 malam"

Perdana Menteri diam sejenak sebelum menyambung "Beritahu 'Mafia Hukum', wujudkan satu kumpulan 'pembangkang' dan penembak, suruh kumpulan 'pembangkang' itu membuat kacau semasa Timbalan Perdana Menteri sedang berucap dan bila keadaan menjadi kacau-bilau, itulah masa yang sesuai untuk mencabut nyawanya"

"Tapi macam mana pula dengan kumpulan 'pembakang' jika mereka ditangkap polis ?" Menteri yang tidak bersetuju dengan cadangan itu mengemukakan soalan.

"Itu hal mudah, kawan. Ketua polis bersama kita dan tiada bukti kumpulan 'pembangkang' yang melepaskan tembakan" Perdana Menteri jawab ringkas. Pen di tangan diputar-putar di celah-celah jari.

Saturday, November 21, 2015

Aiskrim Itu

Di persisiran pantai, angin menyapa lembut di wajah Sukri. Rambutnya yang agak panjang berikal, terhuyung-hayang disapa mesra angin. Deruan ombak menghempas gigi pantai dan dingin aiskrim di tangannya menyedarkan Sukri dari terus mengelamun jauh menanti belahan hati yang masih lagi tidak tiba.

Di pantai itu, Faezah, belahan hati Sukri menyuruhnya datang ke situ - tempat di mana mereka berjumpa untuk kali pertama. Kata Faezah sebentar tadi, di dalam telefon, ada perkara yang perlu mereka bincangkan. Fikir Sukri, mungkin Faezah merindui dirinya sebagaimana dirinya merindui Faezah.

Sukri tiba lebih awal di pantai itu seperti dijanjikan. Bersama aiskrim Sundea Mcd untuk Faezah. Sukri tahu, masih segar di dalam ingatannya saat pertama kali di pantai ini, Faezah mengaku yang dirinya seorang pecinta aiskrim Sundea Mcd.

24 minit menanti, Sukri membunuh waktu dengan mengimbau kenangan lalu. Kenangan yang pertama kali bertemu Faezah sehingga ke akhir-akhir ini. Akhir-akhir ini sepertinya Faezah selalu mengelak jika diajak berjumpa, mesej tidak dibalas, panggilan tidak dijawab. Bagai orang perlarian diburu pihak berkuasa gayanya.

"Maaf lambat" 

Suara itu mengejutkan Sukri dari lamunan. Sukri menoleh ke belakang, melihat Faezah dengan wajah tidak ceria. Tiada senyuman di bibir seperti mana ketika mereka bertemu dahulu. Wajahnya serius.

"Aiskrim Sundea ?" Kata Sukri sambil menghulur cawan plastik berisi aiskrim Sundea perisa strawberi.

"Tak apa. Sekejap je ni" 5 perkataan dibalas Faezah. 5 perkatan yang mampu membuatkan hati kecil Sukri dirodok-rodok sembilu.

"Apa yang penting sangat sampai tak boleh duduk, makan aiskrim dengan saya ?" Sukri bertanya. Nada suara dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu meninggi suara atau sebenarnya merajuk pelawaannya ditolak Faezah.

"Saya rasa kita patut berpisah"

Bagai halilintar membunuh Syaitan, bagaikan kereta hancur yang terlibat dalam kemalangan maut, bagaikan cermin berkecai musnah dihentak ke lantai hati Sukri ketika itu. Terdiam tidak terkata. Mati kata. 

Tanpa sedikit pun perasaan bersalah terpancar di wajah, dengan nada tegas, Sukri terfikir bagaimana Faezah mendapat kekuatan untuk mengungkapkan kalimah keramat sekaligus mampu meretak hati tidak tersisa itu. Berpisah.

Berbeza dengan Faezah yang dahulu, ketika mula-mula bertemu, Faezah yang kini berdiri di hadapannya seolah-seolah mendapat kekuatan dan semangat entah dari mana datangnya. Sepertinya bukan Faezah yang dahulu.

"Saya tak faham" Sukri berkata lembut. Keliru.

"Saya tak boleh nak teruskan hubungan dengan awak" Balas Faezah. Matanya memandang ke arah pantai "Awak tak pernah nak berubah. 3 tahun kita kenal tapi awak masih lagi dengan hidup macam ni. Langsung tak ada perubahan. Serius, saya tak nampak hala tuju hubungan kita kalau kita teruskan"

"Maksud awak, saya tak pernah serius ?"

"Bukan tak serius. Masalahnya awak langsung tak nak cuba memperbaiki kehidupan awak menjadi lebih baik" Balas Faezah "Saya orang perempuan bukan gilakan harta tapi kalau boleh saya inginkan kehidupan yang selesa. Cuba awak terangkan, dengan gaji awak sebagai pekerja kilang, dengan motor Yanaha Sukan awak, macam mana awak nak menyara kehidupan kita bila sudah berkahwin. Ok, jangankan sudah kahwin, nak masuk meminang saya pun, saya rasa 3 4 kali juga awak berfikir. Dalam mana hubungan, kasih sayang memang perlu tapi perlu juga diselarikan dengan duit. Kasih sayang tak mampu beli beras tau, awak"

"Awak janganlah berkecil hati. Berpisah kita bukan terus bermasam muka, tidak bertegur sapa, kita masih boleh berhubung seperti biasa. Awak anggap ini pengajaran untuk awak majukan diri, kuatkan hati. Bila tibanya saat itu, awak dah selesa, saya pasti ada untuk awak" Tambah Faezah lagi.

Tidak terbalas Sukri dengan hujah-hujah yang dilafazkan Faezah. Oksigen yang ditarik masuk ke dalam paru-paru terasa berat, seberat untuknya menerima tamparan dan hakikat yang baru didengari dari mulut Faezah sendiri.

Aiskrim Sundea ditangannya tidak lagi terasa sejuk seperti tadi.

"Awak jaga diri. Awak doakan semoga kita bertemu lagi" Ujar Faezah berlalu pergi.

Dengan berat hati, nafas sesak menyelubungi diri, Sukri hanya mampu membiarkan Faezah yang kini mula memegang status bekas belahan hatinya mengatur langkah pergi. 

Dihujung pandangan, Faezah masuk ke dalam kereta Audi TT sebelum berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang lagi. 

 Doakan semoga kita bertemu lagi. Terngiang-ngiang kata-kata itu di telinga Sukri. Setiap pertemuan ada perpisahan adalah sesuatu yang pasti dan setiap perpisahan pasti bertemu kembali adalah sesuatu yang jarang terjadi. Dan perpisahan itu selalunya berakhir tanpa kerelaan hati.

Obama

Semalam saya jumpa dengan Obama. Sudah lama saya tak berjumpa dengannya. Obama masih sama seperti dahulu, saat pertama kali saya berjumpa dengannya. Saya sangat gembira dapat bertemu kembali dengan Obama.

Saya bawa Obama ke sebuah kedai mamak dan duduk di meja yang paling hujung di bahagian kaki lima bangunan. Memang sudah kebiasaan, saya akan duduk di situ setiap kali datang ke kedai mamak ini.

Obama enggan orang lain menyedari kehadirannya di situ. Jadi, dia tunggu sebentar di luar sementara menunggu pesanan sampai. Seorang pekerja mamak membawakan saya nasi putih dan ayam tandoori. Juga sepiring kuah kari kosong.

Saya tahu, Obama tak suka makan nasi. Jadi saya belanja dia makan ayam tandoori sahaja. Saya panggil Obama sebaik makanan itu tiba. Obama datang dengan wajah yang jelas tidak bermaya.

Saya berikan ayam tandoori kepada Obama. Perlahan-lahan ayam tandoori itu dikunyahnya. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, Obama sangat berselera setiap kali memakan ayam tandoori. Risau juga saya melihat keadaan Obama.

Wajahnya nampak sangat lesu. Mungkin terlalu letih kerana terlalu sibuk dengan aktiviti hariannya. Saya menggosok belakang badan Obama. Mungkin boleh bantu dia keluarkan angin dalam badan.

Kulitnya yang gelap itu nampak pucat dan terasa panas ketika disentuh. Saya syak Obama diserang demam panas. Mungkin tidak biasa dengan keadaan cuaca di Malaysia sekarang ini. Sekejap panas terik, sekejap hujan lebat. Jangankan manusia, anjing pun boleh demam jika cuaca tidak menentu.

Saya hulurkan segelas air suam kepada Obama untuk dihirup. Ketika demam, kita perlu minum air yang banyak supaya kepanasan dalam badan akan lekas terhidrat samada melalui peluh mahupun air kencing.

Saya seluk poket seluar. Ada dua biji panadol. Saya hulurkan kepada Obama. Namun, Obama tidak mahu. Mungkin Obama tidak suka makan ubat. Saya fikir, Obama lebih suka merawat sakit menggunakan herba ataupun kaedah hemopati. Saya kasihan melihat keadaan Obama yang tidak bermaya.

Jika sebelum ini, Obama sangat cergas. Setiap kali berjumpa, Obama tidak akan duduk diam. Pasti ada sahaja keletahnya yang mencuit hati. Tetapi, hari ini sungguh berbeza. Mungkin juga faktor usia yang membuatkan Obama cepat letih dan tidak bermaya.

Saya memicit kepala Obama. Kemudian, Obama meletakkan kepalanya di atas paha saya. Meminta untuk dipicit lagi barangkali. Saya meletakkan minyak angin ke kepala Obama, kemudian memicit dengan lebih kuat. Obama kelihatan terpejam matanya. Pasti sudah berasa lega sedikit dengan urutan saya itu.

Saya lihat seorang pekerja kedai mamak datang meluru ke arah saya. Saya menggerakkan paha menyuruh Obama lekas bangun dan berlalu supaya tiada siapa yang menyedari kehadirannya di situ. Pekerja kedai mamak itu kelihatan sedang marah.

“Hoi orang gila! Saya kasi makan, you makan sorang-sorang saja sudahlah. Jangan bawa itu anjing datang makan sekali. Nanti saya kena samak satu kedai kalau ada orang kasi viral gambar you dengan anjing makan dekat sini dalam itu Facebook!”

Saya lihat Obama sudah pergi jauh dari situ. Mungkin merajuk. Saya sambung makan nasi putih, baki ayam tandoori dan kuah kari. Kemudian, saya ucap terima kasih kepada pekerja kedai mamak tadi. Saya harap esok Jabatan Agama datang sini dan samak satu kedai.




Monday, November 16, 2015

Runtuhnya Cinta Di Kota Paris

Dua hari yang lalu, kita dikejutkan dengan serangan militan di Kota Paris. Dilaporkan sekurang-kurangnya 130 orang maut dek serangan pengebom berani mati ini. Ada juga yang melaporkan lebih 180 angka terkorban dan ada yang melaporkan lebih 200 mangsa maut. Entahlah mana satu yang betul, saya pun tak tahu.

Media ni bukan boleh percaya sangat, ye dak? Pasal nasi goreng menteri pun boleh putar belit lagi beritanya.

Kota Paris sememangnya terkenal sebagai kota cinta, kota romantis dan kota kasih sayang. Itu adalah simbolik kepada keindahan Menara Eiffel barangkali. Mengapa tidak kita mengidentitikan Menara KLCC sebagai lambang kasih sayang? Atau Menara Taming Sari di Melaka sebagai tugu cinta?

Tidak ada yang mustahil dalam dunia moden hari ini. Malah, jika mahu kita boleh menjadikan menara kawalan trafik udara di KLIA sebagai simbolik kasih sayang sekaligus menaikkan taraf bandar Sepang sebagai Kota Cinta di Malaysia. Bukan sekadar bandar litar lumba mahupun lapangan terbang.

Adakah militan yang menyerang Kota Paris ini semuanya dari golongan yang kehilangan cinta?
Iya, manusia yang mengganas dan mencederakan manusia lain adalah manusia yang tiada rasa cinta. Sama seperti yang dilakukan oleh kumpulan militan tersebut. Jika mereka memiliki sekelumit perasaan cinta pasti mereka sendiri tidak sanggup mengebom diri sendiri dan mencederakan orang lain.

Bukankah cinta itu terlalu sinonim dengan kasih sayang? Justeru, kasih sayang apakah yang sanggup menyakiti orang lain hatta sekecil-kecil kesakitan.

Kesannya, dunia semakin bergolak akibat hilangnya nilai cinta dan kasih sayang. Seterusnya, manusia akan hidup dengan perasaan saling membenci dan jiwa yang sakit-menyakiti. Jadi, di mana kesudahannya? Apakah kita mengharapkan kemunculan seorang adiwira cinta untuk menyelamatkan permasalahan global ini?

Walaupun jarak antara Kota Paris dan Kota Ibu Kota ( Sepotong lirik daripada lagu Def Gab C – Ibu Kota Cinta ) adalah sangat jauh dan hanya boleh dijejaki dengan menaiki pesawat, ia tetap medatangkan implikasi kepada rakyat Malaysia. Implikasi yang meruncing sebenarnya jika tidak ditangani secara serius dan berhemah.

Sebaik sahaja berita mengenai Kota Paris diserang pengganas, media-media di Malaysia terus tidak berhenti mengemas kini berita mengenainya. Beberapa gambar serangan juga tersebar dalam masa yang singkat. Ketika Patrice Evra sedang mengawal bola dan mahu membuat hantaran, ketika itulah kedengaran bunyi bom sedang meletup.

Di Malaysia, kita mungkin biasa mendengar bunyi letupan ketika di stadium. Ketika Safiq Rahim sedang menggelecek rumput di atas padang, kemudian dia melakukan hantaran yang mengelirukan Safee Sali dan juga rakan-rakan yang lain. Akibat melakukan hantaran tanpa rasa kasih sayang, seorang penonton di stadium berang lalu melontar sebutir mercun bola lalu ia meletup dan bergema di keseluruhan stadium.

Namun, kejadian yang berlaku itu mungkin dianggap perkara biasa bagi sesetengah daripada kita. Sebenarnya, ia adalah permasalahan cinta yang sangat kronik. Cinta apakah yang hendak dibuktikan dengan sebutir mercun bola? Cinta kepala hotak kau berjambul!

Atas dasar mahu menunjukkan sokongan terhadap Paris, Facebook telah menganjurkan kempen menukar gambar profil dengan berlatar belakang bendera Perancis. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan berserta hashtag #PrayForParis. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, berdoa pada zaman teknologi ini adalah seperti mudahnya berhashtag.

Tidak mengapa, kita tinggalkan dahulu isu hashtag tersebut. Kita berbalik kepada perbincangan asal kita. Dalam sekelip mata, ramai pengguna Facebook menukar gambar profil mereka demi menunjukkan sokongan mereka terhadap Kota Paris.

Dan di sinilah bermulanya perperangan yang sebenar-benarnya.

Ada yang mengecam tindakan menukar gambar profil terebut dengan menyatakan Perancis adalah sekutu Yahudi, Perancis adalah pemangkin kebangkitan liberal dan mengapa tidak menggunakan gambar profil berlatar belakang bendera Palestin sedangkan mereka diserang hampir setiap hari?

Sambil memaki hamun dalam bentuk tulisan mereka berhujah dengan pandangan masing-masing. Golongan agamawan google juga tidak terkecuali dengan berhujah sambil melampirkan hadis-hadis mana yang patut. Kau bodoh! Kau bangang pergi sokong Yahudi! Celakalah kau menyokong kafir laktanullah! Sampai begitu sekali?

Jadi, di mana nilai cinta anda semua? Bergaduh di media sosial sehingga hilai nilai kasih sayang kita sesama insan?

Oleh hal yang demikian, menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Cinta adalah terlalu mustahil sekiranya anda terus bertelagah tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Cinta bukan sekadar memberikan sekuntum mawar merah dan sebuah puisi sahaja. Ia lebih daripada itu.

Jika mampu memupuk semangat kasih sayang sesama kita, mungkin KLCC akan lebih romantis berbanding Menara Eiffel. Sesungguhnya, suasana romantis itu melahirkan ketenangan, kedamaian dan keamanan.

Akhir kata, tidak perlu untuk kita cuba menjadi terlalu pandai di media sosial dengan mengecam tindakan orang lain yang tidak menjejaskan kehidupan seharian kita. Apabila kita cuba berlagak seperti orang pandai, kita sebenarnya kelihatan lebih bangang. Maka, makanlah nasi seperti biasa, dan sebaiknya berhenti sebelum kenyang. Salam cinta dan kasih sayang daripada saya.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Sendi bangsa ialah budi,

Runtuh budi runtuhlah bangsa.