Thursday, November 12, 2015

Nombor Ekor

“Rosli, jom minta nombor ekor nak ?” Pidot mengutarakan pendapatnya kepada Rosli. Pendapat yang paling bernas pernah dicadangkannya kepada Rosli.

Rosli yang duduk membaca surat khabar di hadapan Pidot hanya menjuihkan bibir seperti ungka kelaparan tanda tidak berminat dengan cadangan Pidot. Baginya meminta nombor ekor adalah satu jalan ke arah perkara syirik. Sejahat-jahat dirinya, belum pernah terfikir untuk menduakan Tuhan dengan meminta pertolongan daripada Syaitan laknat. Kelak nanti apabila mati, jasad tidak diterima Bumi apabila melakukan syirik sebegitu.

Pernah dahulu semasa dia masih kecil, bapanya bercerita yang orang pernah meminta tolong daripada Syaitan hidupnya tidak akan aman. Kata bapanya lagi, arwah Pak Karim jiran sebelah rumahnya dahulu matinya tidak diterima Bumi. Puas dimasukkan jenazah orang tua itu ke dalam liang lahad namun selang beberapa ketika, jenazah itu muncul kembali di atas dimuntahkan Bumi. Berita itu menggemparkan kampung sehingga wartawan Mastika datang menemubual keluarga mangsa.

Dan akibatnya teruk wartawan majalah seram terkemuka di Malaysia itu dihentam oleh keluarga si mangsa dengan menggunakan kayu beluti namun hasilnya berbaloi kerana jualan majalah pada bulan itu meningkat naik hasil cerita dari penduduk kampung yang gemar menyedapkan cerita. Sudah menjadi lumrah manusia, menokok tambah itu bukan setakat elemen sastera seperti hiperbola dan personafikasi, malah menokok tambah itu adalah bahan penyedap ketika menganyam cerita. Biar lebih sedap di telinga yang mendengar dan mata yang membaca.

“Faizul budak kampung sebelah tu dah jadi jutawan sekarang lepas dia pergi berjumpa dengan Tok Anjang. Dia minta nombor lepas tu nombor dia tu naik tepat. 6D Rosli, 6D. Kau tahu berapa dapat kalau 6D ?” Pidot kata lagi sambil menaikkan jarinya menujukkan isyarat 6. Kali ini riak muka berubah, teruja.

Rosli mengangkat bahu. Bibir dijuihkan lagi. Kali ini lebih panjang bibir yang dijuihkan itu sehingga boleh disangkut penyangkut baju di muncung bibir.

“Satu juta ringgit, Li. Satu juta !” Pidot teriak kecil sehingga air liur bersembur keluar. Jarinya pula dinaikkan semua menunjukkan sepuluh semuanya.

“Satu juta ?!” Rosli menjerit terkejut. Serta-merta kesemua mata yang berada di dalam kedai Wak Garip memandang ke arah Rosli.

“Apa yang satu jutanya, Rosli ?” Wak Garip bertanya dari meja kaunter sambil mungusap misainya yang lebat tercokeng lentik

“Errrrr...tak ada apa-apa, Wak. Tiba-tiba je saya teringat iklan lemon dulu-dulu tu….alaaa..yang ada lelaki menjerit sejuta lemon tu…” Rosli tersengih-sengih sambil mengangguk ke arah Pidot.

Wak Garip mengangguk. Surat khabar di tangannya diselak meneruskan pembacaan yang tadinya tertangguh. Orang-orang tua yang tadinya berhenti bersembang disebabkan jeritan ‘Satu Juta’ Rosli pula kembali menyambung bergebang tentang bentuk badan perempuan. Yang mana kuat imannya pula, yang pernah naik Haji, menyambung naik Haji sekali lagi tetapi kali ini di atas kertas permainan dam. Keadaan kembali tenang seperti di awal cerita.

“Kau serius ke dapat satu juta ?” Rosli bertanya kepada Pidot namun kali ini suaranya diperlahankan, bimbang orang-orang disekeliling mendengar apa yang dibualkan. Wajahnya serius teruja. Pesanan bapanya yang mati tidak diterima bumi terus hilang di ingatannya. Yang tinggal kini hanyalah gambar-gambar kertas kepala Agung di dalam mindanya.

Pidot memandang ke kiri ke kanan sebelum mengangguk kepala tanda mengiyakannya.

Begitulah manusia, sesungguhnya manusia ini berevolusi. Baik dari segi fizikal, mentaliti ataupun emosi. Apa yang dikatakan hari ini mungkin tidak boleh digunapakai untuk esok hari. Kerana kepingan kertas kepala Agung, pembangkang politik boleh bersekutu dengan pihak kerajaan.

Sudah hampir 30 tahun Rosli hidup di atas muka bumi ini namun tidak pernah dia tahu bahawa menikam nombor boleh membuatkan seseorang itu menjadi jutawan segera. Apa yang diketahuinya, menikam nombor ekor ini untungnya tidak banyak. Hanya sekitar dua tau tiga ratus saja jika nombor itu bertuah.
Jika dari dahulu lagi Rosli tahu yang menikam nombor mampu mengubah hidup, nescaya lahir saja ke dunia terus saja dia pergi menikam nombor dengan keadaan merangkak. Siapa tidak mahu menjadi jutawan apatah lagi dengan semudah menikam nombor, tidak perlu berusaha gigih. Hanya bermodalkan nombor yang dipilih dan sekeping wang kertas satu ringgit dan menikam ke bahagian 6D, ia mampu mengubah kehidupan dengan bergaya.

“Moh laa kita berjumpa dengan Tok Anjang” Kata Rosli bersemangat mengalahkan Pidot. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menuju ke arah motor di luar kedai.

“Errrr….air ni siapa nak bayar ?”

“Kau bayar dulu. Kang kita cerita” Rosli menjerit dari atas motor “Cepat sikit ! Lincah !”

Kucar-kacir Pidot berlari ke arah meja kaunter untuk membayar harga air sebelum berlari ke arah Rosli yang sudah siap menunggu di atas motor di luar kedai.

                                                                                     ***
“Begitulah ceritanya Tok Anjang. Itu sebabnya kami berdua ke mari” Pidot bercakap tentang tujuannya dia dan Rosli datang berjumpa dengan Tok Anjang - bomoh nombor ekor terkemuka di kampung berhampiran.

Tok Anjang hanya mengangguk mendengar setiap butir bicara Rosli satu persatu. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang langsung tidak didengari Pidot dan Rosli. Sesekali Tok Anjang menambur kemenyan yang sudah dihancur halus ke dalam mangkuk berasap di hadapannya. Bau dan asap kemenyan bertebaran memenuhi ruang tamu rumah Tok Anjang.

“Kamu tahu barang-barang yang aku mahu kan ? Ada bawa ?” Ujar Tok Anjang dengan mata terpejam.

“Ada Tok, ada. Ni saya dan Rosli dah siapkan semua barang tu” Jawab Pidot teruja lalu menghulurkan bungkusan kain sebesar komputer riba “Semua barang ada dalam tu, Tok”
Tok Anjang mengangguk. Bungkusan kain yang diterimanya itu dibuka dan dikeluarkan satu persatu barang yang berada di dalamnya.

“Keris ni pernah digunakan untuk bunuh orang tak ? Pernah mandi darah tak ? Kau kena tahu, kalau nak dapatkan nombor yang bagus dan tepat perkiraannya, senjata yang nak dipuja tu mesti pernah mandi darah, kalau tak susah aku nak buat kerja” Tanya Tok Anjang.

“Pernah Tok, pernah. Moyang saya pernah membunuh guna keris tu, Tok. Keris tu keris keturunan, Tok” Jawab Rosli. Pidot disebelahnya mengiyakan kata-kata Rosli.

Tok Anjang mengangguk.

“Kalau macam tu mari kita mulakan upacara” Tok Anjang bersuara.

Rintik-rintik peluh mula mengalir di dahi Rosli. Berdebar.
                                                                                                                                 
                                                                                 ***
“Kau pasti ke tempat tu ada roh tak tenang, orang mati kena langgar ?!” Tanya Rosli separuh menjerit melawan angin dan bunyi enjin motor.

“Aku pasti. Minggu lepas ada orang mati kena langgar kat tempat tu, kesan darah pun ada lagi” Jawab Pidot di belakang Rosli.

Jam di tangan Pidot pandang lama. Pukul 4.33 pagi. Waktu yang sesuai untuk menurut perintah Tok Anjang. Menurut Tok Anjang, buah limau yang sudah dibaca jampi serapah itu harus dihiris dengan menggunakan keris yang juga turut dibaca jampi serampah. Kemudiannya air limau itu harus dititiskan pada tompokan darah supaya roh yang tidak tenang itu menjerit kesakitan.

Apabila roh tidak tenang itu muncul meracau-racau, itulah masa yang sesuai untuk mereka meminta nombor ekor. Jika roh tidak tenang itu tidak mahu memberikan nombor ekor seperti yang diminta, mereka boleh mengugutnya dengan titiskan perahan limau pada tompokkan darah sekali lagi. Mengikut kata Tok Anjang, perahan air limau pada tompokkan darah sama sakitnya seperti wanita hendak bersalin, sakit gigi dan luka yang dicuci dengan menggunakan pati limau.

Motorsikal yang dinaiki Rosli dan Pidot terus meluncur laju membelah kabus pagi. Preng-Preng-Preng-Preng bunyi ekzos memecah sunyi pagi.

15 minit perjalanan, Rosli dan Pidot tiba di tempat dituju. Keadaan lengang. Tiada kereta dan motorsikal melalui jalan itu. Sebaik enjin motorsikal dimatikan, Pidot dan Rosli turun dari motor dan meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Lampu suluh di tanggan Pidot digenggam kemas menyuluh mencari tempat yang diperkatakan.

“Ni tempat tu, Rosli” ujar Pidot “Tu, darah kering tu ada lagi tu”

Rosli berlari-lari anak menuju ke arah Pidot. Lampu suluh dihalakan tepat ditunjuk Pidot. Di tepi jalan berhampiran garis putih, jelas kelihatan tompokkan hitam darah kering menghiasi garis putih. Walaupun sudah seminggu kejadian itu berlalu, namun bau hanyir darah masih lagi dapat dibau mereka berdua.

Bulu roma Pidot dan Rosli berdiri tegak bila mana terbau hanyir darah. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Cepat laa titis air limau tu, aku tak nak lama-lama kat sini” Ujar Rosli dengan peluh mengalir laju di dahi.

“Eh, apa aku pulak ? Kau laa titis, tak kan semua aku nak kena buat ?” Pidot tidak mahu mengalah. Di dalam dirinya ketakutan mula menguasai diri. Fikirannya mula berfikir negatif, bimbang jika dirinya yang titiskan air limau itu, roh itu akan mencarinya untuk membalas dendam.

“Kau tak payah takut laa, kalau apa-apa hal kita tanggung berdua” Rosli cuba menyakinkan “Dah, cepat. Kau tititskan air limau tu, aku tolong suluh ni”

“Kita buat sama-sama laa, apa-apa hal kita berdua kena. Amacam ?”

“Gampang” Maki Rosli.

Tidak mahu berlama-lama membuang masa kerana emosi ketakutan mula menjalar menguasai diri, keadaan gelap yang menyeramkan, Roslan pantas mengeluarkan barang-barang di dalam bungkusan kain yang sudah dijampi Tok Anjang. Selesai dia memotong limau, keris bermandi darah yang sudah dibaca jampi itu diberikan kepada Pidot. Pidot juga melakukan perkara yang sama.

“Habis aku kira 1 2 3, kita serentak perah air limau atas darah ni, ok ?” Cadang Pidot dengan kedudukan mencangkung di hadapan tompokkan darah.

Rosli mengangguk. 1 2 3….

Serentak mereka berdua memerah limau itu ke atas darah yang telah kering. Sebaik habis memerah, kedua-dua mereka bangun berdiri dan memandang keadaan sekeliling dengan perasaan berdebar-debar. Kelajuan jantung mereka berdetak ketika itu persis baru berjaya berlari mengelilingi padang bola dalam kiraan 1 minit.

3 minit berlalu, keadaan masih lagi sepi. Kedua-dua mereka diam tidak berkutik.

30 minit.

1 jam.

“Berapa kau bayar kat Tok Anjang tadi ?”

“RM111, sekali dengan pengeras” Pidot jawab.

“Aku syak kita dah kena lipat (tipu) ni” Balas Rosli. Kini, perasaan takut mula bertukar ganti dengan perasaan amarah. Tangannya digenggam kemas. Kepingan kertas kepala Agung mula beterbangan di kotak fikirannya perlahan-lahan.

“Aku pun rasa macam tu jugak. Dah sejam kita bertenggek kat sini, rokok pun dah habis, jangankan roh yang tak tenang, roh yang tenang pun tak muncul ni. Babi punya Tok Anjang !” Maki Pidot sambil menjentik semut hitam yang bertenggek di buku lalinya.

No comments:

Post a Comment