Tuesday, September 8, 2015

Kegagalan Menanti Pasti

Di ruang tamu, Sahak khusyuk menaip di komputer ribanya. Jari-jemarinya lincah bergerak di atas papan kekunci seperti pasangan kekasih menari tarian samba. Penat jarinya menaip, Sahak berhenti sejenak mengambil nafas dengan membakar sebatang nikotin sekaligus memberi ruang kepada otaknya untuk terus mencari idea.

Minatnya Sahak terhadap penulisan memang tidak dapat dinafikan oleh kawan-kawannya. Beri saja pen dan kertas jika tiada komputer riba, pasti kertas itu akan dipenuhi dengan lukisan orang lidi dan ayat-ayat falsafah yang entah dari mana Sahak petik. Dan menurut dari sumber yang boleh dipercayai, Sahak pernah mengatakan "Aku rela ke penjara asalkan ada pen dan kertas bersama aku dan yang paling penting sekali, aku boleh keluar masuk penjara bila masa aku suka". Punyalah Sahak taksub pada penulisan.

Akan tetapi, sudah menjadi lumrah manusia. Ada baik ada buruknya, ada kacak ada hodohnya, begitu jugalah dengan Sahak. Walaupun penulisan Sahak agak bagus dan kadang-kadang agak acah-acah "deep", syarikat penerbitan buku tidak pernah menerima karya-karya milik Sahak. Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi sudah banyak kali Sahak hantar karyanya ke pihak penerbitan namun jawapan yang diterimanya semua menghampakan. Tiada satu pun pihak penerbitan yang berminat pada karyanya. Dan perkara ini membuatkan Sahak menjadi down teruk.

"Kali ni kau nak hantar manuskrip kau kat syarikat mana pulak, Sahak ?" Mahadi, rakan serumahnya menegur.

Sahak yang asyik menaip sambil kadang-kala menghembus asap rokok berbentuk O sebesar kereta kancil, berpura-pura tidak mendengar soalan Mahadi. Tangannya terus ligat menaip.

"Kau buat laa pekak. Esok lusa jadi pekak betul baru tau" Mahadi bersuara lagi.

Sahak tersengih memandang Mahadi. Ditariknya nafas dalam-dalam serupa kanak-kanak kecil hendak mengaku kesalahan selepas memecahkan pasu bunga. Lama masa yang diambil Sahak untuk menjawab soalan Mahadi.

"Hmmmmm, aku tak yakin laa dengan penulisan aku. Sebelum ni dah banyak kali aku hantar tapi semua kena rejek" Jawab Sahak. Rokok jenama U2 ditenyeh ke bekas abu rokok.

"Alaaa. Manuskrip kena rejek tu perkara biasa, lagipun nak cipta nama dalam bidang penulisan ni bukan macam mengeja ABC. Dan setahu aku, manuskrip kena rejek ni bukan kau seorang je yang kena. Penulis yang dah ada buku pun kadang-kadang manuskrip dia kena rejek. Jadi, kau buat rileks je laa " Mahadi jawab gaya-gaya CEO syarikat penerbitan buku.

"Aku rasa malas dah nak hantar karya aku ke mana-mana syarikat penerbitan. Cukuplah aku menulis dalam blog, meroyan dalam Twitter, buat status sedap sikit dalam Pesbuk. Kalau nak tulis novel pun, aku tulis je dalam Wattpad. Sesiapa pun boleh membaca. Percuma" Sahak jawab sambil lewa serupa orang baru putus cinta. Langsung tak bersemangat.

Mahadi geleng kepala. Kesal dengan sikap Sahak yang cepat berputus asa. Mudah mengalah dan langsung tidak memiliki darah pahlawan seperti Datuk Najib yang kental dan selalu maju ke hadapan walaupun beribu kata-kata makian yang mendatang. Tidak mencontohi pemimpin.

“Nasib baik kau tak lahir sebelum Merdeka”  Mahadi berkata dengan tenang.

“Pulak dah. Apa kena mengena aku dengan Merdeka ?”

“Iyalah. Kalau kau lahir masa sebelum Merdeka, mesti negara kita lambat mencapai Kemerdekaan sebab orang macam kau ni laaa. Baru ada halangan sikit dah putus asa, ada masalah sikit terus tak berusaha gigih”

"Masalah orang kita ni, belum buat lagi dah nak rasa down. Kau kena tahu ni, Sahak. Menulis ni macam berniaga juga, penulis atau peniaga mesti kena ada perasaan optimis, kena berani main dengan risiko. Aku tengok ramai je penulis luar sana terlebih syok sendiri, perasan karya bagus tapi tak adalah bagus sangat sebenarnya. Kalau dia orang ada perasaan itu, kau pun patut kena ada perasaan tu. Baru kau boleh pergi jauh." Mahadi cuba menyedapkan hati Sahak. Padahal Mahadi bukanlah seorang pembaca buku yang bagus, masanya banyak dihabiskan dengan menonton rancangan Pondok-Pondok yang dihoskan oleh Pak Nil.

"Kita ni dijadikan Tuhan dengan rasa dan perasaan yang berbeza-beza. Tak semua orang suka membaca di blog atau mana-mana laman sosial. Ada sesetengah orang, mereka lebih gemar membaca buku, bau kertas buku tu sendiri kadangkala boleh mengkhayalkan pembaca. Boleh membawa pembaca menghayati setiap ayat yang ditulis penulis" Mahadi sambung lagi.

Sahak terdiam. Otaknya ligat berfikir menghadam kata-kata Mahadi. Sesungguhnya Sahak terkejut dengan kata-kata semangat yang diberikan oleh Mahadi, tidak pernah Sahak menyangka Mahadi mampu memberikan kata-kata semangat yang bernas dan membina. Jarang sekali Mahadi mampu memberikan kata-kata semangat begini. Setahun ada 365 hari, namun kata-kata yang boleh diterima pakai dari mulut Mahadi hanya 2 hari saja. Itupun hanya ketika Mahadi sedang lalok.

Mengambil iktibar dari buah pendapat Mahadi yang kerjanya bergelumang dengan habuk besi, minyak gris dan tidak mempunyai pelajaran tinggi, Sahak sebulat suara bersetuju dengan satu kata pujangga ‘ Jangan melihat siapa yang berkata tetapi dengarlah apa yang dikata’

“Ni aku nak cakap sikit ni. Tadi aku tengok dalam Twitter, Terfaktab nak cari manuskrip kisah-kisah kegagalan. Tak kisah laa cerpen atau esei, yang penting dia nak manuskrip. Kau mengarang lepas tu kau cuba laa hantar, mana tahu ada jodoh. Hihihi” Kata Mahadi dengan keningnya sedikit terangkat. Skrin iPhone miliknya ditalakan tepat kepada muka Sahak.

Mata Sahak mengecil membaca satu persatu butiran di dalam gambar yang tertera pada iPhone Mahadi. Keningnya berkerut melihat gambar seorang perempuan gemuk duduk menangis bersandarkan sebuah meja diperbuat daripada batu, gayanya seperti orang lapar yang sedang menunggu makanan dan di bawah gambar itu, tulisan kecil menerangkan sedikit info. Ayat paling akhir membuatkan hati Sahak berkutik ‘Mereka kata aku gagalis, kerana masih menulis bait-bait cinta yang kau kalis’

“Gagalis ?” Sahak bertanya.

“Ya. Gagalis bro, gagalis. Kau karang laa cerita pasal manuskrip kau yang gagal tu. Pasal manuskrip kau tak diterima tu pun boleh dijadikan cerita juga tu” Mahadi beri cadangan. Ibu jari dijempul naik menunjukkan isyarat bagus.

Sahak diam. Otaknya ligat mencari idea hendak mengarang cerita. Mengikut dari gambar dalam iPhone Mahadi sebentar tadi, manuskrip yang hendak dihantar tidaklah terlalu rumit. Hanya berkisarkan tentang kegagalan. Tidak kira walau apa pun jenis kegagalan. Dan manuskrip itu harus panjangnya 1500-2500 patah perkataan. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, dan ianya tidak menjadi masalah kepada dirinya.

Menulis cerita pendek bukanlah menjadi satu masalah baginya kerana sebelum ini Sahak sudah lali bermain dengan kata-kata, pernah dulu dia menaip sehingga berpuluh ribu patah perkataan. Jadi, setakat 2500 patah perkataan dia cuma pejam mata. Sahak senyum sendiri. Riak sikit-sikit.

"Hmm.. tapi aku bimbang penulisan aku ni dibayangi penulis-penulis tersohor je, Mahadi. Aku bimbang orang tuduh aku tak ada trademark sendiri lepas tu tiru gaya penulisan orang lain. Benda ni pun kena pandang serius juga, pembaca sekarang bukan bodoh" Sahak meluahkan apa yang terbuku di hati. Wajah Mahadi yang dipenuhi dengan jerawat batu ditenung dalam.

Mahadi senyum. Rasa hendak terajang dada Sahak membuak-buak di dalam hatinya. Mahadi berasa geram dengan alasan yang diberikan Sahak.

Sebatang rokok dinyalakan Mahadi demi mengendurkan perasaan amarahnya terhadap Sahak. Dan ssungguhnya bersembang tanpa ditemani bau nikotin memang menjerutkan perasaan. Mudah mati idea untuk terus memanjangkan perbualan dan bersembang rancak.

"Soal gaya penulisan tu kau tolak je tepi. Kalau dah gaya penulisan kau macam tu, siapa lagi mampu untuk menafikannya ? Lagi satu hal, sebelum kita jumpa dengan cahaya yang terang dan menyakitkan mata, kita terlebih dulu akan mengharungi ribut dan badai. Itu bukan kata-kata aku, itu kata-kata TMJ – Tuanku Muda Johor" Muncung mulut Mahadi hembus asap rokok.

Sahak mengangguk memikirkan ada benarnya kata-kata Mahadi. Jika dia tidak mulakan dari sekarang, masakan hendak menunggu jasad bertukar menjadi jenazah. Jika jasad sudah bertukar menjadi jenazah, semuanya sudah terlambat. Jangankan hendak menghantar manuskrip, hendak bertaubat pun sudah tidak ada manfaat.

Seperti Indiana Jones yang baru berjaya mengalahkan musuh dengan libasan cemeti yang berlatar belakangkan bangunan meletup kuat, semangat untuk Sahak terus menulis dan menghantar karyanya ke pihak penerbitan berkobar-kobar bagai api sukan Olimpik. Marak menyala. Sahak merasa dirinya bagai pahlawan yang baru pulang dari berperang.

“Baik. Kalau macam tu aku ikut kata kau. Aku cuba buat lepas tu hantar” Sahak jawab bersemangat. Tangannya digenggam kemas lalu memberikan tumbukan padu ke udara.
Komputer riba ditarik Sahak dan jari-jemarinya terus ligat menari-nari di atas papan kekunci.

Mahadi sudah berkira-kira, jika manuskrip Sahak diterima, Mahadi mahu Sahak belanja makan Ana Ikan Bakar sebagai upah memberikan kata-kata semangat. Sedang ralit Sahak menaip, Mahadi melemparkan satu flying kiss dan Sahak membalasnya dengan jari tengah.
                                                                                                                                               
                                                                      3 bulan kemudian

“Macam mana dengan manuskrip Gagalis yang kau hantar tu ? Ada berita tak ? Dapat tak ?” Tanya Mahadi bertali arus dengan soalan yang membawa maksud yang sama cuma struktur ayatnya saja berlainan.

Sahak yang ketika itu sedang bergelimpangan di hadapan tv, tersenyum memandang Mahadi. Matanya sedikit berkaca, ada cecair jernih di kelompak mata. Seperti orang yang terharu memenangi hadiah besar gayanya.

“Hahaha. Aku dah agak dah kali ni mesti manuskrip kau diterima punya. Tahniah la woi” Mahadi separuh menjerit. Tangannya ditepuk berkali-kali tanda menumpang gembira di atas kejayaan rakan baiknya. Tidak disangka-sangka kata-kata membina yang diberikan 3 bulan lepas berjaya membuahkan hasil.

“Aku tak dapat laa woi…wuuuu..wuuuuu...kroni-kroni Terfaktab je yang terpilih…wuuu…wuuuu” Sahak menangis tak berlagu.

Mendengar sahaja jawapan yang dikeluarkan dari mulut Sahak, Mahadi terus berlari masuk ke dalam bilik. Tidak berani berikan apa-apa komen dan kata-kata membina.

Dan di ruang tamu, suara nyanyian Ali XPDC dari kaca tv terus membuatkan air mata Sahak mengalir laju.

Semarak impian
Segunung harap dipulang
Usahlah diragukan
Keupayaan diri
Hati yang membara
Mengikutkan kata apa
Jaawpannya di sini
Semangat kita hilang


No comments:

Post a Comment