Saya
singsingkan sedikit tirai di jendela. Jauh memandang ke arah timur. Melihat
percik-percik cahaya sang suria pagi yang pertama untuk tahun ini. Masih sama
cerahnya seperti tahun-tahun terdahulu. Menyapa dunia dengan selembut bahangnya
pada hari ini – Khamis, 1 Januari 2015. Syukurlah, masih mampu saya menikmati
vitamin E yang percuma ini.
Lalu
saya melangut tinggi. Dongak memandang dada langit yang kian berdendang
kecerahan. Pagi yang terlalu indah untuk ditinggalkan. Jika saya mampu, ingin
saya hentikan putaran waktu sekarang juga. Agar keindahan ini tidak akan
terginjak. Agar keindahan ini tidak terkhianati oleh janji-janji.
Tapi
saya tidak mampu. Dan bumi semakin hangat.
Manusia
berlumba-lumba mengejar kepastian dalam gumpalan cabaran yang semakin kronik.
Konflik-konflik meditasi menyelinap di setiap lorong kehidupan tanpa ada rasa simpati.
Dalam sedar atau tidak, luluh jua keringat yang tidak berpatutan dengan upah
yang diterima. Yang gendut, terus gendut dan yang kerempeng terus kerempeng.
Semput
dan gagap.
Dalam
sedu, saya mendaki denai perjalanan yang tidak berbukit dan berpuncak. Rata dan
sekata. Tapi terlalu perit untuk ditempuhi. Tiada hentian rehat untuk
melepaskan hatta sedehem batuk. Masa yang terlalu jaguh untuk kita tewaskan.
Paksalah juga diri untuk menuruti agar tidak tertinggalkan yang mustahak.
Kadangkala,
langkah hanya sedikit terlewat. Barangkali setapak dua. Tapi terlalu
jauh ditinggalkan. Dari setapak dua itu, kelewatannya sampai berskala seribu
langkah. Makin dikejar, makin sakit. Tidak dikejar, juga sakit.
Saya
perhatikan ulas buah harapan yang masih berbaki ini. Seakan sudah lemau dimamah
waktu. Elokkah lagi untuk saya jamah agar esok hari tidak kelaparan? Perut
sudah kenyang sebenarnya. Menjamah janji-janji manis, manifesto mega jaya, dan
provokasi lantang kosong. Terlalu sarat dengan semua itu. Mahu saja saya jeluakkan semua isi perut ini.
Satu
berganjak dua. Dua berganjak tiga. Tiga, empat, lima dan seterusnya. Sudahnya,
sampai ke tiga puluh satu. Januari mahu ucap selamat tinggal dengan lambaian
yang penuh jerih. Pergilah, wahai sayang Januari. Ada rezeki, panjang umur kita
ketemu lagi. Doa-doalah kepada Illahi.
Saya
masih melangkah ketika Februari datang. Katanya, bulan cinta, bulan romantis.
Saya lihat, manusia masih berlumba-lumba. Mengejar cinta atau ditinggalkan
cinta sehingga tiada masa untuk menoleh langsung. Tiada! Tiada bulan cinta dan
romantis. Tiada! Semua bulan sama sahaja. Manusia terus berlumba-lumba lalu gila kerana ditabur janji dusta.
Cinta
sudah lenyap.
Mac
menyapa tanpa salam perkenalan. Dalam gerung hati yang lunak menjerit kesakitan sampai tak terluah suara. Saya menggerumuk memandang hutan batu yang kian
bersemak-samun ini. Langit tak terlihat lagi aura impian. Hanya menggermang
pada dinding kedustaan. Belakang badan sarat dengan beban helah yang digalas.
Wahai
janji, usah berdalih lagi. Saat melangkah ke sempadan April, saya sedar yang
langkah ini semakin kejauhan walaupun telah digesitkan berkali ganda kudrat. Semakin
laju, semakin ditinggalkan. Celakalah keseluruhannya bila Mei menjemput April
yang bagai tidak terkalih ia berlalu.
Jarum
saat terus setia berputar seperti paksi yang menuruti kejadian siang dan malam.
Angan, impian, doa, harapan juga turut berputar sama. Tinggal lagi, hendak
diterjemahkan menjadi lukisan realiti yang saya sendiri tidak pasti bila, di
mana dan bagaimana. Sudahnya, kalendar menginjak Jun. Dosa-dosa terus giat
terkumpul dalam gerombongan bahu kiri.
Bila
saya pejamkan mata, saya terdengar bunyi angin yang maha merdu. Damainya memeluk
tubuh yang kian gering beralaskan harapan. Adakah ini petanda makbulnya doa-doa
saya sepanjang perjalanan ini? Seperti enggan membuka kelopak mata. Bimbang dek
kedamaian ini akan mati.
Tapi,
saya perlu terus melihat dunia.
Lalu,
dibuka perlahan-lahan mata. Ah, terus sahaja Julai menerpa. Dalam siksa, saya
gagahi jua. Memburu janji-janji yang pernah dilaung. Mengejar impian yang
pernah dihamparkan dahulu. Jerihnya kaki ini hendak melangkah lagi dalam
kecelakaan sakti.
Saya
terjerongok bila melihat papan iklan yang memaparkan si tua bongkak berpakaian
segak. Iklannya menempel janji-janji lama. Yang saya buru sejak Januari lalu. Kini,
sudah Ogos. Janjinya masih tak terungkai. Manakan si bongkak tahu saya sedang gering.
Saya makan ikan kering, dia makan daging.
Jadilah
saya manusia yang kebuluran harapan ditanam hidup-hidup oleh janji si tua
bongkak berpakaian segak.
September
menjelma. Saya seakan mahu mengalah. Sembilan purnama terpaksa berjinjit-jinjit
untuk meneruskan hidup. Bernafas pun mengah, bernyawa pun semput. Tinggal lagi
hendak bercerai dengan badan sahaja. Bagai menapak dalam lubuk jerung yang lapar.
Dalam
keluh saya yang semakin menggeru, Oktober tiba. Maka, sesal saya masih belum
berkesudahan. Bila papan iklan diturunkan, kemudian diganti dengan yang baru ia
kian menggermang saya. Iklan baharu, janji baharu dan kedustaan baharu.
Warna
putih ternampak hitam, merah ternampak hitam, biru ternampak hitam, hijau
ternampak hitam dan semuanya ternampak hitam. Zulmat. Hitam dengan janji-janji
dusta kamu. Lalu, November tiba dengan awan hitam yang memberikan harapan
hujan.
Lenjun
bermandikan hujan. Saya harap setiap titis kerasnya melunturkan janji-janji
dusta.
Bayu
Disember menyapa keras. Menggigit tubuh dengan kedinginan hingga ke temulang. Meliatkan
urat-urat dan otot-otot yang selama ini berpanji memandu pergerakan saya. Sedingin
harapan yang semakin tipis. Saya termenung melihat matahari pagi bulan
Disember. Kaku dan tidak berganjak sehingga cahaya menipis jauh di barat. Senipis
impian yang mega ketika Januari lalu.
365
hari melangkah, memburu janji-janji dusta. Yang saya dapat hanya lelah. Keringat
tak terkira tenatnya. Tipisnya harapan untuk mengharap lagi. Juga impian yang sudah
bertranformasikan mimpi. Sekadar mimpi. Lekaslah saya bangkit menggali lubang
sedalamnya. Menguburkan semua janji dusta, harapan dan impian. Saya semadikan
ke dalam tanah yang menangis kecewa.
Untuk
si tua bongkak berpakaian segak, lurutkan suit mewahmu. Melangkahlah bersama
manusia-manusia yang menderita dek janji dustamu. Nikmatilah angin kecelakaan
yang engkau hembuskan bersama impian dahulu. Berhentilah menghambur slogan
harapan. Undur dan pergi sahaja jauh-jauh.
No comments:
Post a Comment