Monday, June 15, 2015

Lazatnya Memakan Daging

Pada suatu petang, Abraham sedang berehat di halaman rumahnya. Isterinya, Catherine menyediakannya secawan kopi campuran berperisa kurma dan beberapa hirisan buah Zaitun yang dipotong nipis. Abraham membaca akhbar tempatan sambil Catherine sedang sibuk menyiram pokok bunga.

Abraham membuka helaian demi helaian akhbar yang dibacanya. Tiba di sisipan hiburan, dia membaca laporan berita dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Catherine yang sudah siap menyiram bunga menghampiri Abraham dan duduk di sebelahya.

"You baca berita apa sayang?"
"Dear, you tengoklah artis tempatan, tayang body sana sini."
"Oh, artis perempuan ini bukankah sudah berkahwin?"
"Betul. Sudah ada anak pun. Tapi suaminya macam tak kisah. Apa suaminya tak tahu dia yang kena tanggung dosa isterinya?"
"Itulah, dunia akhir zaman. Pakaian makin singkat, akal pun makin singkat. Syukurlah kita masih mampu berfikir kan sayang?"
"Iya, I berbangga ada isteri macam you, sentiasa berpakaian sopan dan menutup aurat."
"I buat semua tu kerana sayangkan you dan agama kita ni sayang. I love you."

Perbualan mereka terhenti apabila melihat anak gadis jiran mereka, Alice pulang ke rumah. Alice dihantar pulang oleh teman lelakinya, Matthew dengan menaiki motosikal. Mereka memerhatikan gerak-geri Alice sehingga gadis itu masuk ke dalam rumah.

"You nampak anak jiran kita? Pakaian ketat, tidak bertudung dan membonceng motosikal dengan lelaki bukan mahram."
"Iya, apa ibu bapanya tak pernah ajar? Mujur anak kita, Elizabeth tidak begitu."
"Ah, lihat sahajalah ibu bapa nya. Encik Douglas dan Puan Angeline tu, mana pernah ke masjid. Kalau ada pun masa sembahyang raya nanti."
"Agaknya mereka dah terbiasa dengan dosa. Jadi, mereka tak rasa bersalah."

Abraham membuka helaian akhbar yang seterusnya. Kali ini sisipan agama. Dia mengajak Catherine membaca bersama-sama artikel yang ditulis oleh seorang agamawan negara itu. Selepas membaca artikel itu, mereka pun masuk ke dalam rumah, berwuhuk dan melakukan solat taubat.

Artikel itu bertajuk:  Memakan Daging Saudara Sendiri. Dalam artikel itu, penulis turut melampirkan;

Firman Allah swt :
" Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik dengannya. (Oleh sebab itu,patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat, lagi Maha mengasihani"
- (Surah al Hujurat, ayat 12)

No comments:

Post a Comment