Friday, June 12, 2015

Perbualan 2 Kutu

"Umur baya-baya kau ni sepatutnya dah ada kehidupan sendiri, ada kerjaya, ada harta, anak bini, pendek kata semua lengkap laa senang" Di kedai Kak Wah Laici Kang, Roslan bersuara kepada Hafiz.

Hafiz yang ketika baru saja hendak menyuap laici kang ke dalam mulutnya, tersentak bila dengar kata-kata Roslan. Serta-merta Hafiz menjadi down, keropok lekor yang masih tersisa di dalam mulutnya ditelan laju tanya kunyah. Selera hendak makan laici kang terputus secara mengejut.

Namun, untuk nampak steady di mata Roslan, Hafiz cuba berlagak steady. Walaupun kata-kata Roslan itu membuatkan dirinya menjadi down, Hafiz cuba mengawal emosinya sebaik mungkin.

"Apa maksud kau, Roslan ?" Hafiz bertanya. Laici kang yang masih penuh di dalam mangkuk ditolak ke tepi, gayanya seperti ingin berdebat dengan Roslan.

"Aku cakap ni kau jangan laa terasa. Aku rasa umur kau ni dah menjangkau ke angka 28 tahun tapi cuba kau tengok diri kau, apa yang kau ada sekarang ?" Roslan seolah-olah menyindir.

Hafiz terdiam. Lama masa yang diambilnya untuk menjawab soalan Roslan. Soalan begini harus difikir panjang sebelum diberi jawapan. Silap beri jawapan, pasti dirinya akan dipandang serong oleh Roslan. Pasti Roslan akan mengejeknya dengan ejekkan "Kutu tak berwawasan".

Hafiz ingat lagi masa nak menjawab soalan UPSR dulu. Di atas kertas soalan UPSR dulu ada ungkapan berbunyi "Faham dahulu soalan, baru jawab". Hafiz berpegang kuat pada ungkapan itu.

"Kau nak cakap aku tak berguna pada masyarakat ke ?" Hafiz menjawab soalan Roslan dengan soalan. Tiada jawapan.

"Bukan macam tu maksud aku. Aku kesian tengok kau ni, kerja dah laa tak menjamin masa depan. Makwe pun tak ada. Orang yang sama umur dengan kau semua dah beranak pinak, kerja pun semua mantap. Ada kehidupan sendiri" Roslan bercakap dengan keropok lekor penuh dalam mulut. Air liurnya merecik merata tak tentu hala.

Hafiz memandang air liur Roslan yang terkena pada tangannya. Ada cebisan keropok lekor bercampur dengan dengan air liur Roslan. Hafiz ingin marah tetapi bila mengingatkan kata orang tua-tak elok maki depan makanan, Hafiz diam maki dalam hati.

Hafiz tahu. Punca air liur Roslan merecik keluar kerana gigi Roslan yang berterabur jarang-jarang dan berlapis. Mengikut kata bijak pandai, bila seseorang itu mempunyai gigi yang jarang-jarang dan berterabur, sistem kunyahannya tidak akan mengikut sistem yang betul lalu makanan yang dimakan akan terkeluar semasa makan sambil bercakap.

"Kau yang cakap aku tak ada kerja, tak masa depan, tak ada kehidupan ni, kau apa ada ? Kau pun kerja tunggang-langgang, harta pun tak ada, makwe jauh sekali" Hafiz pulangkan paku serpih.

"Aku lain, kau jangan nak samakan aku dengan kau. Aku berwawasan" Roslan jawab pendek. Keropok dalam mulutnya dikunyah laju tak ikut tempo.

Hafiz tarik nafas dalam-dalam. Laici kang yang tadinya ditolak ke tepi, ditarik kembali di hadapannya. Dikacau-kacau laici kang itu sehingga sebati.

"Mengikut perkiraan aku, umur kau tahun ni dah masuk 32 tahun, Lan. Aku rasa kau patut lebih bimbangkan pasal diri kau sendiri dari kau bimbangkan pasal aku. Umur sebaya kau ni dah banyak yang masuk kubur, kau entah bila lagi agaknya. Cuba kau check balik kehidupan kau, sepanjang kehidupan ni, apa pahala yang kau pernah buat untuk diri kau sendiri ?" 

Roslan terkesima dengan kata-kata Hafiz. Roslan rasa nak menangis.

"Babi kau, babi" Roslan maki pendek.

                                  KAH KAH KAH KAH KAH

Mereka berdua pun ketawa riang sambil diselang-seli-kan dengan makan kerepok lekor bilas laici kang.

No comments:

Post a Comment