Friday, March 17, 2017

14 February

Hari itu tarikh 14 Febuari 2017. Hari Kekasih. Di tepi pantai Teluk Cempedak, sepertimana dalam drama Melayu jam 7 malam, Sahak ditemani deruan angin yang bukan sepoi-sepoi bahasa dan bunyian ombak menghempas. Klise.

Sedang Sahak termenung, memerhati orang ramai berkasih menyulam cinta, melihat si lelaki melutut memberi jambangan bunga kepada si perempuan, si perempuan menutup mulut lalu membeliakkan mata berpura-pura terkejut, Sahak didatangi seorang lelaki kerdil bersayap kecil di bahagian belakang badan.

"Hai" Sapa lelaki bersayap kecil. Tubuhnya terapung di udara.

Sahak memandang lelaki itu dengan pandangan jelik - pandangan masyarakat jika kamu didapati bersalah merogol ayam peliharaan jiran kamu. 

"Kamu kelihatannya dilanda sepi. Jika kamu tidak kisah, bolehkah kamu menjawab betul atau tidak tekaan aku ini wahai pemuda?" Sayap kecilnya semakin kuat mengibas-ngibas untuk membolehkan dirinya terapung.

"Kamu siapa?" Sahak tidak menjawab soalan, sebaliknya bertanya.

"Akulah Cupid. Dewa Cinta yang masyhur yang selalu disebut-sebutkan orang. Dahulu, akulah yang memberi cinta jika orang itu tulus hatinya mencintai seseorang"

"Ouhhhh. Tapi betulkah kau Dewa Cinta? Mengapa kamu bertangan kosong? Bukankah Cupid, Dewa Cinta itu selalu membawa busur dan anak panahnya ke mana saja?"

"Ah. Kamu terlalu naif"

"Aku yang naif?" 

"Iya. Zaman sekarang tidak lagi orang berharap pada Dewa Cinta, pada busur dan anak panah yang aku bakal panah tepat ke dalam hati orang" Suara Sang Cupid sedikit kendur.

"Maksud kamu?"

"Orang sekarang lebih mempercayai teknologi. Handphone. Atau apa-apa sahaja alat yang berteknologi" Sang Cupid diam sebelum mnyambung "Orang sekarang sudah tidak lagi berdoa kepada aku agar ditemukan cinta seperti dahulu"

Sahak mengangguk. Diam.

"Kamu tidak memiliki cinta?"

Sahak menggeleng.

"Tapi kenapa?"

"Entah" Sahak mengangkat bahu "Mungkin aku tidak sekacak seperti Fattah Amin. Tidak pandai bermain kata seperti George Orwell. Dan mungkin juga aku tidak memiliki kewangan yang stabil macam Azizan Osman. Iya, seperti kamu tahu, perempuan lebih tertarik kepada lelaki yang kewangannya stabil. Ada tapi sangat-sangat jarang perempuan akan jatuh cinta dengan lelaki yang lebih miskin darinya"

"Ah, kamu terlalu pesimis, anak muda. Sikap yang ada pada kamu sekarang ini langsung tidak membantu kamu kemudian hari. Kamu harus yakin pada diri sendiri" Sang Cupid senyum "Ingat, anak muda. Dunia ini bukan berputar di sekeliling pusat kamu sahaja. Masih banyak kebaikan yang berkeliaran di luar. Kadang kamu perlu optimis. Untuk mencapai itu kamu harus mengenal dunia luar"

"Ah, kamu terlalu banyak bercakap" Sahak bakar sebatang rokok U2 "Berikan aku cara bagaimana mahu mengenal dunia luar tanpa perlu mengeluarkan wang? Asal kamu tahu ya, aku tidak punya banyak wang untuk menjelajah ke serata dunia, untuk mengenal dunia luar"

"Hahaha. Kamu betul-betul naif" Sang Cupid tergelak "Kamu perlu tahu, di dunia ini tiada yang percuma untuk beroleh sesuatu. Semua perlu dibayar. Bezanya banyak atau sedikit yang perlu kamu bayar"

Sahak mengeluh.

"Baiklah. Kamu memiliki smarphone?"

Sahak angguk.

"Di smarphone kamu ada aplikasi Twitter?"

Sahak geleng. Asap rokok dihembus keluar melalui hidung.

"Wechat? Instagram? Atau aplikasi lain selain Fac......"

"Aku ada Facebook" Sahak pintas laju.

"Itu tidak bagus, anak muda. Tidak bagus" Sang Cupid menggeleng kepala "Facebook bukan tempat yang sesuai untuk kamu mengenal dunia luar. Jauh sekali untuk mencari cinta. Facebook tempatnya bercerita hal anak, berkongsi resepi makanan atau mengumpat. Lain tidak"

"Jadi?"

"Begini, anak muda" Sang Cupid menarik nafas dalam-dalam "Ada pepatah Pahang lama mengatakan: Jika kamu sunyi, inginkan hiburan, download lah aplikasi Twitter. Jika kamu ingin berkenalan dengan orang, mahu tahu pe'el orang, mainlah Wechat. Dan jika kamu ingin melihat gambar menarik serata dunia, dan gambar makwe berdenyut, skroll laa garis masa Instagram"

"Semudah membuat dosa" Mata Sahak bersinar harapan.

"Ya, benar. Semudah membuat dosa sahaja" Sang Cupid menggangguk "Dengan adanya semua aplikasi itu, percayalah, orang tidak lagi mempercayai aku, Sang Cupid Dewa Asmara. Akan tetapi, ketahuilah kamu, semua aplikasi itu ada baik buruknya. Bergantung kepada kamu bagaimana mahu mengendalinya nanti. Andaikata kamu tidak mengendalinya dengan betul, maka rosaklah kamu kemudian hari. Dan jika kamu beroleh hikmat darinya, kamu akan berbahagia suatu hari nanti. Oh, sebelum aku terlupa, jika kamu tidak menyukai aplikasi itu, aku ada jalan cepat dan mudah bagi menghilangkan kesunyian kamu. Kamu taip sahaja ON CINTA dan hantar ke 32322. Okay?"

Mata Sahak bergenang hendak menangis.