Tuesday, November 3, 2015

Tanpa Tajuk

Sedang Alif melakukan kerja seperti hari-hari yang lepas - menyusun kasut, seluar dan baju semenjak dia mula bekerja di kedai menjual pakaian jenama Converse 5 tahun lepas, dia didatangi kawan baiknya, Roslan. Bekerja di kedai Converse ini agak bebas, jika tiada pelanggan ataupun kerja, boleh saja kawan-kawan datang melepak kerana di kedai ini bosnya jarang berada di kedai. Hanya sebulan 2 atau 3 kali bosnya datang melihat-lihat keadaan kedai kerana bosnya cukup mempercayainya.

Roslan pula jika ada kelapangan selalu saja datang bertegek di kedai tempat Alif bekerja. Datangnya kadang-kadang membawa cerita perihal semasa keadaan kampung, kadang-kadang hanya berceloteh tentang kerjaya dan ada masanya pula diajak bersembang tentang hala tuju kehidupan dan ketikanya lagi, hal bentuk badan perempuan menjadi isu dibualkan.

Hari itu, Roslan berpakaian kemas. Katanya baru pulang dari menghadiri temuduga di sektor kerajaan. Selama ini Roslan hanya berniaga sendiri di pasar malam namun demi mencari kestabilan hidup untuk kemudian hari, Roslan nekad berhenti berniaga kerana berniaga sekarang memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mengikut cakap-cakap belakang, kuasa membeli tidak seperti dahulu.

Jika dahulu berniaga di pasar malam boleh memberikan kesenangan hidup namun kini ianya tidak ubah seperti menjerut leher sendiri jika tidak pandai membuat percaturan. Jika barang makanan yang diniagakan boleh saja untuk menampung hidup tetapi jika barang kehendak yang diniagakan bukannya keperluan, agak susah hendak menjual barang itu. Tidak seperti tahun 90an dahulu, berniaga apa saja di pasar malam pasti membawa keuntungan.

Itu kata Roslan yang selalu bersembang dengan peniaga-peniaga lebih lama merangkap otai pasar malam. Alif mempercayai hal itu kerana Roslan sudah cukup lama bercimpung dalam perniagaan pasar malam. Alif yang tidak tahu menahu tentang perniagaan pasar malam hanya mengganggukkan kepalanya mendengar cerita Roslan.

“Tahun ni kau dah 28 tahun kan ?” Roslan mengubah topik dari terus bercerita tentang perniagaan pasar malam. Rasa tidak seronok mula membuak-buak ke dalam dirinya kerana dirinya saja yang berceloteh dan Alif hanya mengangguk kepala tanda mengiyakanya. Perbualan akan menjadi tidak seronok jika hanya sebelah pihak sahaja yang bercerita namun di sebelah pihak lagi hanya mendiamkan diri. Terasa seperti bersembang dengan pokok. Tiada reaksi.

“Haah. Cepat betul masa berlalu” Alif balas pertanyaan Roslan.

“Kau agak bila kau nak kahwin ?”

Alif diam. Alif tidak suka ditanya dengan soalan itu. Baginya soalan itu terlalu sensitif untuk dirinya. Alif percaya hidup ini berlandaskan takdir, Tuhan sudah menetapkan takdir hidup seseorang dan manusia akan terus hidup dengan takdir yang sudah tertulis olehNya. Jika Tuhan tidak menetapkan itu dalam kehidupannya, sekurang-kurang untuk masa sekarang, berusaha sekuat mana pun tidak akan tercapai hasrat itu.

“Entah. Aku tak fikir pun pasal tu” Alif jawab pendek.

“Suka atau tak, kau kena fikir juga pasal tu. Kau buat atau tidak perkara tu belakang kira tapi yang pentingnya hidup kau ada tjuan. Hidup ni kalau setakat hidup saja tak bermakna. Hidup ini menjadi sia-sia sebab tak ada tujuan sebenar untuk hidup, sekadar menjadi seketul daging yang bergerak saja”

“Aku bukan tak berfikir pasal tu tapi buat masa sekarang aku tak nak semakkan kepala aku dengan hal macam tu. Lagipun kau pun tahu, nak cari teman hidup ini bukan semudah mencari baju. Pergi ke kedai macam kau datang ke sini lepas tu tengok yang mana berkenan, bayar” Bidas Alif “Nak cari teman hidup ni susah, Roslan. Nak cari yang betul-betul serasi dengan kita, susah senang ada bersama kita, sependapat dengan kita, aku tak nak nanti aku buat silap di kemudian hari. Kalau dah berkahwin baru nak rasa menyesal tu dah terlambat”

“Kau terlampau banyak sangat berfikir ni, Alif. Kalau kau nak cari yang serasi dengan kau, sependapat dengan kau, aku rasa baik kau berkahwin saja dengan diri kau sendiri. Sepatutnya nak cari teman hidup kena berlawanan dengan sikap kau, barulah kehidupan rumahtangga jadi tak hambar”

Alif senyum mendengar kata-kata Roslan. Entah dari mana Roslan cedok kata-kata berupa nasihat itu tidak diketahui. Hendak dikatakan dari pengalaman sangatlah mustahil kerana Roslan belum mendirikan rumahtangga dan tiada pengalaman dalam memenangi hati budi seorang perempuan.

Belum sempat Alif membalas kenyataan Roslan, sepasang kekasih masuk ke dalam kedai. Alif fikir itu pasangan kekasih kerana pasangan itu masuk ke dalam kedai dengan berpimpin tangan. Mana mungkin seorang abang atau adik lelaki sanggup berjalan beriringan berpegang tangan bersama adik atau kakak perempuannya. Dan jika ada sekalipun keadaan itu, agak sukar dilihat.

Alif berdiri menghormati pelanggan. Perkataan “Hai” Alif cakap dengan jelas. Senyuman diberikan tanda bersedia memberikan bantuan kepada pasangan itu jika perlukan apa-apa sebarang bantuan dan pertanyaan. Dan Roslan masih lagi duduk di kerusi itu. Handphone di dalam poket dikeluarkan dan menekan aplikasi Twitter.

“Tak ada buat sales ke ?!” Tanya pelanggan lelaki dengan nada keras. Perempuan disebelahnya membelek-belek kasut di rak.

“Setakat ini tak ada sales lagi. Harga memang macam yang tertera di barang” Alif tersenyum dengan tangan di belakang. Jika diikutkan hati hendak saja Alif meninggikan suara seperti pelanggan itu namun memikirkan yang dirinya masih normal dan waras, nada suaranya masih dikawal elok. Alif tidak tidak apa puncanya sehingga dirinya ditanya dengan nada suara seperti itu. Atau mungkin suara pelanggan lelaki itu memang begitu, kasar, tinggi dan tegas. Alif cuba bersikap positif.

Pelanggan lelaki hanya mencebikkan mukanya “Huh, orang lain pun berniaga juga tapi boleh saja tawar-menawar”

Alif masih tersenyum. Dipandangnya Roslan yang masih di kerusi dan Roslan juga turut melakukan hal yang sama – memandang Alif. Sambil tersenyum melihat Alif diperli, Roslan menggelengkan kepalanya.

“Saya hanya bekerja saja di sini. Bos sudah tetapkan harga, saya tak boleh buat apa-apa. Lagipun harga mengikut sistem komputer, saya tak boleh tukar harga sesuka hati sebab komputer itu sudah dikunci dengan kata laluan”

“Kau bagi tahu bos kau. Berniaga bukan macam ni, dalam berniaga mesti ada tawar-menawar !” Kata pelanggan lelaki “Kena ada tawar-menawar baru pelanggan datang lagi. Kalau macam ni dia punya berniaga, aku tak rasa pun yang pelanggan akan datang untuk kali kedua !”

Alif diam. Tidak mahu menjawab. Sangkaan Alif meleset. Jika tadi dia cuba bersikap positif terhadap pelanggan lelaki itu, ternyata ianya silap 100%. Pelanggan lelaki itu seorang yang bodoh dan tidak tahu menghormati orang lain. Tidak angin, ribut dan dikacau oleh sesiapa, tiba-tiba saja hendak marah-marah. Atau kemungkinan besar pelanggan lelaki itu cuba menaikkan saham diri sendiri di hadapan perempuan itu.

Sesetengah lelaki akan merasa lebih kool jika meninggikan suara atau berlagak kuat di hadapan perempuan yang disayangi. Dengan membuat demikian, dirinya akan dipandang hebat oleh perempuan itu. Jika tidak percaya, lihat saja orang yang memandu kereta serupa orang gila, pasti akan ada perempuan di bangku penumpang.

Alif memandang Roslan sekali lagi – tertunduk di kerusi sambil menekan-nekan skrin di handphone.

“You…I nak try kasut ni” Perempuan itu menunjukkan kasut yang dipegangnya kepada lelaki itu.

Di dalam hatinya, Alif menyumpah. Bertapa bodohnya perempuan ini, hendak mencuba kasut tapi meminta izin daripada lelaki itu padahal sepatutnya dengan dirinya perempuan itu perlu meminta izin kerana dirinya yang bekerja di kedai itu bukannya lelaki itu. Jadi benarlah ada pepatah Pahang lama mengatakan selama ini, lelaki yang bodoh diciptakan untuk perempuan bodoh.

Alif bersetuju dengan pepatah itu kerana Alif yakin jika kedua-dua manusia itu bercantum di ranjang– memasukan penis ke dalam ovari, ianya mampu menghasilkan genetik yang bebal di masa akan datang. Dan generasi yang bebal ini akan terus hidup dengan memberi hiburan kepada manusia yang lebih celik dan terbuka mindanya. Hiburan dengan mempamerkan kebodohan sendiri.

“Boleh duduk di sana” Jari telunjuk Alif dihalakan di kerusi kosong berhampiran Roslan.

 Roslan yang menyedari akan hal itu, tidak mahu menganggu, terus bangun untuk memberi ruang kepada pasangan itu. Si lelaki duduk di kerusi yang diduduki Roslan dan perempuan itu duduk di kerusi kosong.

Alif dan Roslan tercegat berdiri.

Perempuan itu menanggalkan kasut yang dipakai dan menyarungkan kasut Converse berwarna merah. Selesaikan kedua-dua kakinya memakai kasut dan diikat talinya itu, perempuan itu bangun dan berjalan menuju ke cermin yang boleh memuatkan seorang dewasa.

Dipusing-pusing badannya ke kiri ke kanan ke balakang sebelum dia berdiri betul-betul menghadap cermin. Persis sedang mencuba sepasang gaun pengantin gayanya ketika itu padahal sekarang dia hanya mencuba sepasang kasut Converse buatan China yang berharga tidak lebih RM200.

“Cantik tak you ?” Tanya si perempuan kepada si lelaki. Dan si lelaki tersenyum sambil mengangguk.

“Saiz ok tak ?” Tanya Alif.

“Saiz ok” Balas perempuan itu.

“Jadi, awak nak yang ini ?” Tanya Alif lagi. Roslan sudah keluar kedai, berdiri di depan muka kedai melihat orang lalu-lalang di luar kedai kerana tidak mahu menganggu urusan jual beli itu sekaligus memberi keselesaan pasa pelanggan.

Perempuan itu tidak menjawab. Diduduknya kembali di kerusi kosong dan menanggalkan kasut Converse yang dicubanya itu dan memakai kasut Carlo Rino-nya kembali. Diberikan kasut Converse itu kepada Alif yang masih tercegat berdiri.

“Kalau saya nak beli, saya datang lagi nanti” Kata perempuan itu yang kemudiannya merangkulkan lengan teman lelakinya dan berjalan keluar kedai.

Di dalam kedai, Alif menggeleng kepalanya beberapa kali dan di luar kedai pula, Roslan tersengih-sengih memandang Alif yang sedang menahan baran.

No comments:

Post a Comment