Thursday, October 1, 2015

Roslan Dan Rahmat Melawan Bahaya

"Aku rasa kita perlu lakukan sesuatu dalam hidup kita ni, Mat. Sesuatu yang boleh membanggakan mak ayah kita misalnya" Ujar Roslan kepada rakannya, Rahmat.

Rahmat yang sedang terbaring bergelimpang secara solo ketika hanya berdiam diri. Cadangan Roslan itu sedikit pun tidak mengganggunya dari terus menikmati bintang-bintang di dada langit sambil berbaring di atas jalan raya, menikmati hangat panas jalan tar.

Di waktu 9 malam, jalan raya di kampung tidaklah terlalu sesak dengan kenderaan seperti di bandar. Jalan raya di kampung ketika itu agak lengang walaupun masa masih terlalu awal untuk orang muda seperti Roslan dan Rahmat atau kutu-kutu seangkatan yang lain. Dan keadaaan ini membolehkan anak muda seperti mereka berdua melepak di tepi atau tengah jalan tanpa menimbulkan cakap-cakap belakang orang kampung.

"Kau dengar tak apa aku cakap ni ?" Roslan bersuara lagi di atas motor Yamaha Sukan-nya. Kali ini suaranya ditekankan agar lebih keras sambil matanya merenung tajam kepada Rahmat yang masih dalam keadaan terbaring seperti tadi.

"Dengar. Aku dengar ni" Rahmat menjeling "Jadi, apa rancangan kau ?"

"Apa kata kita pergi berjumpa dengan Tok Anjang ?" Tanya Roslan.

"Buat apa jumpa orang tua tu ?" Soalan dijawab soalan oleh Rahmat.

"Kita minta apa yang patut. Kalau boleh kita minta no ekor, kita minta. Kalau boleh minta air penerang hati, kita minta." Roslan bakar sebatang rokok "Aku bukan apa, Mat. Aku rasa macam ada bala menimpa kita ni. Kau tengok eh, apa kerja yang kita buat mesti tak jadi, tak bertahan lama padahal apa yang kita buat tu kita buat bersungguh-sungguh. Orang yang berwawasan macam kita sepatutnya jadi cikgu ataupun pemuda UMNO paling kurang"

Rahmat merenung Roslan. Lama. Bila difikirkan lama-lama, masak-masak, dalam-dalam, ada benar juga kata-kata rakannya itu. Hendak kata banyak bermain dalam melakukan kerja, mereka bersungguh. Hendak kata tiada rupa, mustahil, sudah banyak perempuan rebah dalam pangkuannya.

Mungkin benar kata-kata Roslan, ada bala atau sial yang melekat pada diri mereka berdua.

"Jadi, bila kita nak pergi ?" Rahmat bersetuju, terus dia bangun dari terus bergelimpangan.

"Sekarang !" Kata Roslan sambil menendang penghidup motor berkali-kali. 6 kali tendang, motor mengaum.

                                                                                ***

Di hadapan Tok Anjang, Rahmat tidak banyak bersuara. Jika bersuara sekalipun apabila dia ditanya, itu pun sepatah ditanya sepatah dijawab. Menurut cakap-cakap belakang ada perkara yang Rahmat tidak berpuas hati dengan Tok Anjang, kerana itu dia tidak sebulu. Namun begitu tidak dapat dikenal pasti akan perkara itu.

Hanya Roslan yang banyak bercakap menerangkan itu ini apa tujuan ke mari. Percakapannya jelas dan banyak bercakap mengalahkan bakal pemimpin rakyat menagih undi.

"Jadi, sebab itulah kamu ke mari ?" Tok Anjang bertanya "Hendak minta air penerang hati ?"

"Iya Tok. Kalau boleh nak minta Tok buat air penerang hati, ubat pelaris untuk kami berdua ni. Tak dapat kerja kerajaan, dapat jadi peguam pun dah ok" Jawab Roslan. Rahmat mengangguk.

"Kalau begitu, mengapa tidak saja beli air yang sudah dibaca 30 juzuk seperti kebanyakkan dalam tv ?" Tok Anjang bermain tarik tali "Air itu pun boleh menerangkan hati"

"Errr, sebenarnya kami tidak yakin dengan air tu. Kami tak suka dengan kapitalis yang gemar menjual agama macam tu" Roslan mengatur bicara "Kami rasa daripada kami beli air tu lebih baik kami beli vcd bacaan 30 juzuk dan kami pasangkan bacaan itu di segenap ruang dapur, biar semua barang dapur termasuk beras, kicap, garam dapat berkat"

"HAHAHA. Handal juga kamu bermain kata ya, Roslan" Ketawa besar Tok Anjang.

"Tak adalah, Tok. Sebenarnya kami berdua lebih percayakan Tok. Disamping perubatan Tok yang mujarab, Tok juga tak mengenakan bayaran yang tinggi" Puji Roslan sambil mengenyit mata ke arah Rahmat.

"HAHAHA. Ada-ada saja kamu" Tok Anjang ketawa lagi tidak kering gusi. Bangga dipuji sedemikian rupa.

Itulah yang sebenarnya ditunggu-tunggu Tok Anjang. Puji-pujian dari orang ramai mengatakan perubatannya mujarab. Di atas dunia ini, manusia sihat akalnya mana yang tidak suka dipuji ? Hanya orang gila dan waras saja yang tidak gemar dipuji melambung. Walupun di mulut mengatakan tidak suka dipuji namun jauh dalam sudut hati hanya Tuhan saja yang tahu.

"Jika diperhatikan kamu berdua ni bukan calang-calang pendidikan. Orang yang pandai bercakap menyusun kata seperti kamu ini biasanya berpelajaran tinggi. Jadi, sebelum Tok buat air penerang hati, boleh Tok tahu universiti mana belajar dulu ?" Tok Anjang memandang Roslan. Sekejap dipandang Rahmat yang tidak banyak bercakap.

Roslan pandang Rahmat. Rahmat pandang Roslan.

"Kami berdua ni belajar setakat UPSR je, Tok" Roslan jawab tanpa rasa sedikit pun rasa bersalah.

Rahmat mengangguk mengiyakan kata-kata Roslan. Jari-jemarinya digenggam kemas menghasilkan bunyi letup Krak-Kruk-Krak-Kruk.

Wajah Tok Anjang berubah bagai seekor dubok lapar melihat 2 ketul daging. Keris di sebelahnya dicapai.

"Perangai korang macam babi ! Belajar takat UPSR tapi ada hati nak minta air penerang hati ! Pergi balik baca buku laa, setan !" Tok Anjang menjerit bagai orang gila.

No comments:

Post a Comment