Tuesday, October 13, 2015

Kari Ayam

"Nak masak apa ni, Bahari ?" Baharom bertanya kepada rakan serumahnya. Bakul ditangannya disisip kemas gaya-gaya makcik pergi pasar malam.

Bahari yang ketika itu ralit membelek kepak ayam di bahagian bahan mentah di dalam pasaraya Giant hanya mendiamkan diri. Tangannya lincah memilih kepak ayam yang bagus dan baik kualitinya dan memasukkanya ke dalam plastik. Cukup 5 ketul, plastik yang berisi kepak ayam itu dihulurkan kepada pekerja Giant untuk menimbang sekaligus menentukan harga.

"Aku cadang nak buat kari ayam. Apa pendapat kau ?" Bahari bertanya.

"Eh, aku ok je. Dah lama aku tak makan kari ayam. Last aku makan kari ayam masa balik kampung 2 bulan" Balas Baharom. Matanya kuyu memandang syiling bangunan bilamana cuba mengingati detik manis itu. Makan kari ayam bersama makwenya - hasil masakan makwenya di kampung adalah satu kenangan terindah yang sukar dimengertikan setakat ini.

"Ok. Kalau macam tu, jom kita pergi cari bahan-bahan. Kau jangan risau, hari ni aku masak" Balas Bahari sambil menunjukkan simbol OK.

Baharom tersengih menggangguk kepala beberapa kali seperti suami terkena nasi kangkang.

Maka bermulalah jelajah mereka berdua di dalam pasaraya Giant. Habis saja mencari bahan basah seperti kentang, cili padi dan sedikit sayur, Bahari dan Baharom menuju ke tempat bahan kering pula.

Di waktu itu, keadaan tidak terlalu ramai dengan manusia yang bermacam ragam. Jika dibilang dengan hanya menggunakan jari, nescaya cukup bilangannya 20 jari yang ada. Keadaan ini menggembirakan sesiapa saja kerana dapat membeli-belah dengan hati yang riang tanpa perlu mengelakkan diri daripada kanak-kanak yang berlari serupa hilang pedoman.

"Kau ada nampak serbuk kari ?" Tanya Bahari.

Baharom menggeleng.

"Kalau tak ada serbuk kari, kari ayam jadi tak sedap. Tak ada kick. Rasa ayam tu hilang" Bahari bercakap gaya-gaya seorang chef termuka dunia

Baharom mengangguk.

                                                                            Pap Pap Pap

"Ok laaa, semua barang dah ada ni. Kau nak tambah beli apa-apa lagi ke ?" Tanya Bahari kepada Baharom. Bakul yang dipegangnya dibelek satu persatu untuk memastikan barang keperluan kari ayam cukup lengkap. Tidak mahu ada barang yang tertinggal atau tidak cukup.

"Tak ada dah" Baharom jawab pendek. Jiwanya gelisah. Berkecamuk.

"Kalau macam jom pergi bayar" Kata Bahari "Nah. Bakul ni kau pegang"

Bakul yang dihulur Bahari, Baharom sambut bersulamkan perasaan penuh gugup. Perasaan gugup itu sama seperti ketika Baharom darjah 5, ketika Baharom hendak berkhatan. Rasa gelisah, takut akan kehilangan dan merasa bimbang ke tahap yang tertinggi.

"Errrr.....siapa nak bayar ni ?" Baharom bertanya. Bakul yang dipegang diangkat sedikit tinggi.

"Pakai duit kau laa dulu. Nanti aku bayar..." Bahari jawab perlahan sambil tersengih-sengih.

Baharom rasa hendak pitam.

No comments:

Post a Comment