Thursday, October 15, 2015

Kilang Cik Michael

Memandangkan cuti tahunan aku masih berbaki banyak dan perlu dihabiskan, aku mengambil keputusan untuk pulang bercuti ke kampung selama seminggu. Bolehlah aku berehat sepuasnya.

Aku sampai di kampung menjelang tengah malam sebaik bertolak selepas waktu Isyak dari Kuala Lumpur. Mak dan abah masih belum tidur. Setia menunggu kepulangan anak bongsu mereka. Satu-satunya anak yang masih bujang.

Keesokan paginya aku bangun seawal jam 9 pagi. Iya, itu adalah kategori awal sekiranya aku sedang bercuti. Usai mencuci muka dan gosok gigi aku terus membuka tudung saji. Ada nasi lemak dan kuih karipap pusing. Abah sedang leka membaca Utusan Malaysia. Tiada kelibat mak di dapur mahupun di luar rumah.

"Mak pergi mesyuarat kat balai raya. Makanlah, abah dah makan tadi," kata abah yang tidak pernah tidak memahami.

Selepas kenyang, aku berehat di pangkin bawah pokok rambutan di halaman rumah. Harapan aku supaya ada rakan sebaya yang lalu-lalang, boleh aku panggil mereka untuk diajak berbual atau mungkin boleh diajak memancing udang galah.

Dua batang rokok telah habis dicucuh dalam masa 20 minit. Aku hampa. Hanya pakcik-pakcik rakan sebaya abah yang lalu-lalang. Mustahil aku mahu mengajak mereka pergi memancing udang galah. Aku masuk ke dalam rumah dan melihat Utusan Malaysia sedang 'membaca' abah.

Aku mengambil keputusan untuk keluar ke tapak gelanggang sepak takraw pada waktu petang. Aku menyelongkar rak kasut untuk mencari kasut yang sesuai untuk bermain takraw. Malangnya, hanya kasut kulit abah sahaja yang ada dan padan dengan saiz kakiku.

Petang itu, aku hanya jadi penonton melihat Man Panjang menservis kuda, Sapuan Pakcu melipat gulung dan Abdul Hakim tenang mengumpan bola tanggung untuk direjam si pelibas. Nyata, mereka masih berbisa seperti lima tahun yang lalu ketika aku mula berhijrah ke Kuala Lumpur.

Sedang ralit menonton, aku didatangi oleh seorang pemuda yang usianya dua tahun lebih muda dari aku. Namanya Anip. Orang kampung menggelarnya Anip Pelat. Tidaklah sepelat manapun Anip ni sebenarnya, namun mungkin kerana beberapa perkataan yang masih tidak dapat disebut dengan betul, dia digelar begitu. Sedikitpun aku tidak terganggu dengan kehadirannya. Ada juga teman berbual sekurang-kurangnya.

Anip bertanyakan soalan yang klise buat perantau yang pulang ke desa "Macam mana kerja Kolumpo? Okey ke?". Aku menjawab dengan jawapan yang klise juga. Jika menjawab tidak okey, mungkin orang kampung akan menyuruh aku pulang dan bekerja di kampung sahaja.

Aku bertanya Anip tentang pekerjaan yang dilakukannya sekarang. Dia cuba berseloroh dengan mengatakan dia sedang berbual dengan aku sekarang. Melihat air muka aku yang tidak puas hati, Anip pantas menjawab dia bekerja di Kilang Cik Michael. Aku hanya mengangguk.

Sebenarnya aku ingin bertanya lebih lanjut, namun teringat pula pesan mak yang meminta aku membeli roti buku di kedai runcit Wan Azmi. Kata mak, nak buat cicah dengan bubur durian. Terkenangkan keenakan bubur durian, aku terus meninggalkan Anip di situ tanpa rasa kesal.

Malam kian tua, dan aku menutup televisyen untuk beradu. Mak dan abah sudah lama masuk ke bilik. Aku menutup suis lampu dan menarik kain selimut. Tiba-tiba fikiranku terganggu dengan kata-kata Anip petang tadi. Kilang Cik Michael!

Otakku ligat mengandaikan Anip bekerja di sebuah kilang dan nama pengurusnya adalah Michael. Ada kemungkinan Michael itu lelaki, ada kemungkinan wanita. Firasat aku mengatakan lelaki kerana orang kampung sering memanggil orang yang berpangkat dengan gelaran 'Cik'. Misalnya, pengurus ladang yang dipanggil Cik Haji Marzuki. Mujurlah ada gelaran haji dan nama Marzuki itu untuk lelaki. Jika tidak, mungkin orang luar juga akan keliru.

Fikiranku semakin ligat mengandaikan Cik Michael bukan berbangsa Inggeris kerana sudah ramai kaum Cina dan India di negara ini menggunakan nama berpangkal Michael. Michael Ang misalnya. Malah, di tempat kerja aku juga ada seorang manager bernama Michael Joseph yang berbangsa India. India Albino, kerana kulitnya putih melepak!

Disebabkan Anip, aku sukar melelapkan mata pada malam itu kerana terlalu memikirkan perihal Cik Michael. Entah kenapa, ia begitu mengganggu aku. Mujurlah aku tidak mimpikan Cik Michael mahupun Anip.

Mak mengejutkan aku seawal jam 6.30 pagi untuk menunaikan sembahyang Subuh. Selesai bersembahyang, aku terus duduk di sebelah mak yang sedang membersihkan kaca matanya.

"Petang semalam jumpa Anip kat gelanggang takraw,"

"Anip anak Cik Din tu ke?"

"A'ah, katanya dia kerja dengan Cik Michael. Siapa Cik Michael tu, mak?"

"Hah? Manalah mak tahu,"

"Tapi dia cakap macam orang kampung kenal je dengan Cik Michael,"

"Dia mainkan kau je kot. Baru semalam mak jumpa dengan mak si Anip tu kat balai raya. Katanya, Anip kerja kilang kat Gebeng. Takde pula mak dia cakap kerja dengan Cik Michael,"

Kata-kata mak membuatkan aku hampa. Nampaknya, Anip telah mempermainkan aku. Hati aku pantas mengutuk kepelatan Anip yang selama ini aku tidak peduli.

Sedang aku melangkah mengambil tuala untuk mandi aku teringatkan kawasan industri di Gebeng. Langkahku terhenti lalu aku tersenyum sendirian sambil ketawa kecil.

"Kenapa kau ketawa sorang-sorang ni?" tanya Mak yang sudah menyarungkan kaca matanya.

"Bukan kilang Cik Michael lah mak. Kilang Chemical! Kat Gebeng kan banyak kilang chemical," Balas aku.

Mak turut ketawa bersama. Kini, aku dipalit rasa bersalah pula terhadap Anip kerana menuduhnya yang bukan-bukan dan meninggalkannya dengan tergesa-gesa kerana mahu membeli roti.

Petang itu, aku ke gelanggang takraw lagi. Namun, hingga fajar menyinsing tiada kelibat Anip yang mendatang. Aku pulang ke rumah dengan hampa sekali lagi.

Mungkin hari ini Anip bekerja lebih masa di Kilang Cik Michael!

No comments:

Post a Comment