Monday, October 12, 2015

Untuk Tiga Jam

Khairul adalah seorang lelaki yang berusia 26 tahun. Dia sudah berkahwin dengan seorang wanita bernama Norhidayatul dan memiliki seorang anak perempuan berusia 1 tahun 4 bulan.
Pada setiap hari minggu, Khairul sering membawa isteri dan anaknya bersiar-siar. Khairul tinggal di sebuah pangsapuri di sekitar kawasan Subang yang bersempadan dengan Paya Jaras, Sungai Buloh. Walaupun hidup dalam keadaan yang sederhana dan tidak mewah, kehidupan mereka bertiga tetap bahagia dengan kemewahan kasih sayang.
Memandangkan hari ini adalah cuti hujung minggu, Norhidayatul telah mengajak Khairul untuk keluar bersiar-siar di sekitar kawasan Batu Caves untuk melihat pemandangan gua batu kapur. Khairul bersetuju dengan ajakan isterinya itu dan menetapkan selepas waktu Asar sebagai penanda aras untuk mereka keluar.
Usai menunaikan sembahyang Asar, Khairul, isteri dan anaknya menyiapkan diri untuk keluar beriadah ke Batu Caves. Khairul menyarungkan sehelai seluar jeans Levi’s yang dibelinya sempena bonus tahunan. Jika tiada bonus tahunan, mungkin Khairul akan membeli jeans Levi’s tiruan sahaja yang mudah diperolehi di uptown, downtown, car boot sale dan laman Instagram.
Usai bersiap, Khairul menyiapkan pula anaknya ketika isterinya sedang sibuk berdandan di hadapan cermin. Tugas menyiapkan anak bukanlah tugas isteri seorang sahaja. Sebagai ketua keluarga, seorang suami mestilah sering bertolak ansur dalam hal sebegini. Rumah tangga tanpa tolak ansur ibarat sebuah lori treler tanpa sistem brek. Mudah tergelongsor dan terbabas walaupun sekecil-kecil kesilapan.
Setelah semuanya selesai, mereka bertiga menaiki sebuah kereta berjenama negara yang megah menyusur di jalan raya. Bukannya tidak mampu memilik kereta buatan Jepun yang berteknologikan variable valve timing and lift electronic control, namun Khairul mahu menyahut seruan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang bersungguh-sungguh mahu rakyatnya merealisasikan Wawasan 2020. Salah satu daripada cara merealisasikannya adalah dengan memandu kereta berjenama negara.
Apa yang digambarkan tentang Wawasan 2020 melalui poster pada zaman persekolahan dahulu adalah mengarut. Imej seperti kereta terbang melalui celah bangunan berkembar KLCC, landasan keretapi setinggi bangunan 22 tingkat, manusia terapung ketika melintas jalan dan lembu memakai baju kalis peluru adalah mengarut sama sekali. Ia langsung tidak pernah disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir.
Setelah yakin dengan kondisi dan prestasi keretanya, Khairul memakai tali pinggang keledar dan memandu dengan penuh tertib. Setiap kali berniat untuk membelok pada simpang, signal kereta Khairul akan bernyala. Ia bukanlah suatu teknologi yang paling canggih, sebaliknya Khairul tidak pernah lupa untuk memberikan isyarat sebelum membelok.
Andai sebuah kenderaan itu berjaya dibangunkan dengan teknologi membaca minda dan niat manusia, maka ia bukanlah satu kejayaan. Ia adalah suatu musibah. Andaikan seorang penjahat memandu sebuah treler yang dicuri. Ketika dikejar sebuah kereta polis, penjahat itu terfikir agar polis yang mengejarnya itu segera mati. Maka, treler yang dipasang dengan teknologi membaca minda itu akan berpusing dan melanggar kereta polis tersebut. Bukankah teknologi itu bersifat kejam jika disalah guna?
Setelah beberapa minit memandu, Khairul menyedari yang cuaca mula bertukar. Langit yang tadinya cerah beransur gelap dengan awan mendung berarak pantas. Kedengaran kilat juga sabung-menyabung. Hujan akan turun dengan lebat berdasarkan kehitaman awan yang berarak.
Jangkaan Khairul nyata tidak meleset apabila awan mendung memuntahkan air yang mencurah-curah membasahi bumi. Maka, berselerakan sang penunggang motosikal mencari tempat berteduh demi menyelamatkan smart phone masing-masing.
Hujan semakin lebat disertai dengan angin ribut yang menerbangkan daun-daun kering. Tidak lupa juga bahan-bahan buangan seperti plastik makanan ringan, roti, polisterin nasi bungkus, kertas pembalut roti john, surat khabar, kotak rokok seludup, bungkusan air ikat tepi yang masih bertali dan sebagainya. Angin ribut membawa petanda jelas yang kesedaran masyarakat kita terhadap kebersihan alam sekitar masih di tahap monyet.
Kesan daripada angin ribut dan hujan lebat yang berlaku itu, keadaan trafik mula sesak dan bergerak perlahan. Semua pemandu menyalakan lampu kenderaan masing-masing dan memandu dengan penuh berhati-hati. Terdapat juga segelintir pemandu yang tidak menyalakan lampu. Samada mereka terlupa atau degil. Sekiranya degil, maka mereka tidak sepatutnya berada di atas jalan raya ketika ini. Sebaiknya, mereka harus ditempatkan ke dalam sebuah kandang, diberi makan dedak dan dibelai sehingga jinak, kemudian barulah dilepaskan semula ke jalan raya.
Dalam sekelip mata, jalan raya menjadi sesak akibat beberapa bahagian jalan yang tidak rata dinaiki air. Semua kenderaan memperlahankan kenderaan sebaik melintasi kawasan yang dinaiki air. Dibimbangi ada lubang yang terlindung di sebalik air bertakung itu lalu tayar kenderaan akan terjerumus sekaligus mengakibatkan perjalanan menjadi semakin tidak lancar.
Khairul mengeluh sambil membebel. Dia menyalahkan sistem perparitan yang lemah adalah punca utama jalan raya mudah dinaiki air. Benar apa yang dikatakan Khairul itu. Di tebing jalan, kelihatan longkang dan parit yang dipenuhi air melimpah sehingga ke jalan raya. Kemungkinannya ada dua. Yang pertama, longkang tersumbat. Yang kedua, sistem perparitan yang bangang.
Jika longkang tersumbat, maka rakyat akan dipersalahkan. Jika sistem perparitan tersumbat, rakyat juga yang dipersalahkan kerana asyik sibuk turun berdemo dan berhimpun mendesak pemimpin sedia ada digulingkan atau mempertahankan maruah sebuah bangsa misalnya. Akhirnya, isu sistem perparitan tidak juga selesai walau siapapun yang memerintah.
Apa gunanya air percuma jika air hujan pun tidak mampu dialirkan dengan baik? Apa gunanya slogan yang mantap jika longkang yang terbina macam setan?
Setelah lebih daripada sepuluh kali melalui kawasan yang dinaiki air, mereka tiba di kawasan Batu Caves. Memandangkan keadaan trafik yang sesak, mereka tiba hanya selepas satu jam tiga puluh minit menempuhi ranjau di jalan raya. Jika dalam keadaan trafik yang lancar, ia hanya memakan masa kira-kira setengah jam.
Khairul pantas merumuskan sistem perparitan adalah punca mengapa jalan raya menjadi sesak. Begitulah pintarnya Khairul berfikir. Dia tidak menyalahkan hujan lebat yang turun kerana jika sistem perparitan dibuat dengan cemerlang tanpa sepuluh sen pun rasuah dalam urusan mendapatkan tender projek, permasalahan ini tidak akan berlaku.
Bukankah hujan itu suatu rahmat? Hanya kita sahaja sebagai manusia yang bertanggungjawab mengubahnya menjadi malapetaka.
Disebabkan hujan yang masih belum berhenti, Khairul hanya mampu membawa isteri dan anaknya melihat gua batu kapur di Batu Caves dari bahu jalan. Kelihatan juga sebuah patung besar yang menjadi mercu tanda ia adalah tempat beribadat buat penganut agama Hindu.
Khairul berasa kagum dengan binaan patung tersebut yang kelihatan teguh. Namun, rasa kagumnya adalah terhadap binaan, bukan pada anutan agama tersebut. Inilah perkara yang sering menimbulkan kontroversi dalam masyarakat kita. Sedikit pujian terhadap agama lain terus dituduh sesat. Sedikit kritikan terhadap agamawan terus sahaja dilabel munafik.
Amboi, macam dia seorang sahaja yang mahu masuk ke syurga.
Setelah beberapa minit beriadah mata melihat gua batu kapur, Khairul mula terasa lapar. Dia mengajak isterinya untuk mencari kedai makan bagi mengisi perut yang lapar. Beberapa cadangan diajukan dan isterinya membalas dengan jawapan yang paling sukar di dunia – “Ikutlah,”.
Jawapan yang diberikan itu sekaligus meletakkan semua beban mencari tempat makan yang menarik terletak di bahu Khairul. Matanya liar memerhatikan bangunan dan gerai sekeliling. Ternampak sebuah restoran asam pedas, Khairul terus memberikan isyarat untuk membelok.
Tiba sahaja di hadapan restoran tersebut, Khairul berubah fikiran setelah melihat hanya ada tiga orang pelanggan di dalam kedai tersebut. Dia berpegang teguh kepada prinsip jika ramai orang, kedai itu sedap dan jika tidak ramai, kedai itu tidak sedap. Tak pernah terlintas di fikirannya kedai yang ramai pelanggan menggunakan pelaris dan kedai yang sendu tanpa pelanggan itu sedang diilmu hitamkan.
Maka, Khairul terus memusingkan keretanya dengan kadar segera untuk mencari kedai makan yang lain. Dilihatnya banyak restoran mamak di situ, namun seleranya pada masa itu tidak menginginkan masakan India. Lalu, diteruskan perjalanannya.
Khairul melihat jam di tangannya. Sudah semakin hampir dengan waktu azan maghrib. Dia memberitahu isterinya untuk berhenti di sebuah stesen minyak bagi menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah. Sekali lagi jawapan “Ikutlah,” diberikan oleh isterinya. Jelas di sini bahawa jawapan “Ikutlah,” boleh diguna pakai dalam pelbagai keadaan. Variasi penggunaannya adalah sangat meluas.
Sebaik tiba di sebuah stesen minyak sekitar daerah Selayang, azan maghrib berkumandang. Khairul bergegas menuju ke surau untuk mengambil wudhuk. Ketika ini, terdapat dua orang umat Islam sudahpun memulakan sembahyang secara berjemaah. Khairul menyertai mereka ketika rakaat kedua.
Surau yang terdapat pada sebuah stesen minyak tidaklah sebesar mana dan boleh menampung sehingga 5 atau 6 orang jemaah sekaligus sekiranya safnya disusun dengan betul. Malangnya, orang yang pertama sembahyang menyusun saf dengan berterabur, maka hanya dapat menampung tiga orang jemaah sahaja. Beberapa orang lain yang sudah mengambil wudhuk terpaksa menunggu sehingga ketiga-tiga jemaah ini selesai bersembahyang.
Sebaik selesai urusan sembahyang. Lelaki yang menjadi imam terus berwirid panjang dengan pelbagai zikir dibacakan. Usai berwirid selama beberapa minit, barulah lelaki itu menadah tangan untuk berdoa. Ibarat seorang imam di masjid negeri, dia membacakan doa yang panjang berjela tanpa mempedulikan orang lain yang sedang menunggu giliran untuk bersembahyang. Khairul mula berasa serba salah dengan tindakan imam tersebut.
Lantas, dia mengesot perlahan-lahan ke belakang dan mengaminkan doa setakat itu sahaja. Khairul bangun dan keluar dari surau. Dilihatnya muka seorang demi seorang yang sedang menunggu sudah masam mencuka.
Iya, berwirid dan berzikir adalah amalan yang sangat mulia. Ia ibarat sebuah bonus yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia. Doa yang panjang juga adalah bagus agar kita dapat memohon semua perkara yang kita kehendaki. Namun, melakukannya di sebuah surau yang bersaiz mini di saat sudah ramai orang sedang menunggu giliran untuk menunaikan fardhu Maghrib adalah perkara yang tidak patut.
Cukuplah dengan wirid dan doa yang ringkas. Allah faham dan tahu akan keikhlasan kita. Tidak pula jatuh hukum berdosa sekiranya doa yang dibacakan selepas solat hanya lapan potong ayat sahaja. Ampunkan dosaku dan kedua ibu bapaku, ya Allah misalnya.
Lagipun, bukan kita seorang yang mahu masuk syurga.
Khairul meneruskan pemanduannya dengan misi mencari kedai makan. Dia teringat akan sebuah kedai yang menjual soto berhampiran dengan Paya Jaras. Maka, GPS dalam kepalanya terus menetapkan kedai soto tersebut sebagai destinasi persinggahan.
Setibanya di kedai soto tersebut, perasaan kecewa menyelubungi Khairul apabila melihat pekerjanya sedang menggilapkan periuk belanga. Papan tanda “tutup” digantung. Sudah tidak menjadi rezekinya untuk menikmati soto. Mujurlah, kedai di sebelah masih buka.
Khairul terus duduk di kerusi sebaik dipelawa duduk oleh pelayan kedai tersebut tanpa rasa was-was. Dia berasa yakin dengan masakan kedai tersebut memandangkan ia terletak bersebelahan dengan sebuah masjid. Pasti makanan yang disediakan adalah suci dan mengikut syariat memandangkan ramai jemaah dari masjid akan mengopi di sini.
Selepas berzikir di masjid usai sembahyang, mereka akan berzikir pula di kedai makan dengan zikir-zikir memaki kerajaan, pembangkang, atlit sukan, artis realiti, pasukan bola sepak negara, penghulu mukim, dan sebagainya.
Khairul memesan burung puyuh masak kicap, telur bungkus, kailan ikan masin dan sate sebanyak sepuluh cucuk untuk dimakan. Kecur air liur dia bila terbayangkan akan kenikmatan meratah daging puyuh masak kicap tersebut. Melalui gambar pada menu, ia kelihatan sungguh menyelerakan.
Sebaik makanan yang dipesan tiba, Khairul membaca doa makan dan diaminkan oleh isteri dan anaknya. Dia mencubit sedikit daging buruh buyuh masak kicap tersebut untuk menilai kesedapannya. Dan markah yang diberikannya terhadap masakan itu adalah 3/10. Khairul pasrah.
Kemudian, dia mengambil sedikit telur bungkus untuk dijamah. Kali ini ada sedikit peningkatan kepada 4/10 namun Khairul masih kecewa. Disuapkan pula sayur kailan ikan masin ke dalam mulutnya. Markah 2/10 diberikan terhadap masakan yang langsung tiada rasa ikan masin itu. Khairul pasrah. Benar-benar pasrah.
Seorang lelaki hadir membawa sepuluh cucuk sate yang dipesan. Memandangkan sate adalah berlainan taukey, maka Khairul harus menyelesaikan bayarannya terlebih dahulu. Dia menghulurkan sekeping not sepuluh ringgit. Pekerja kedai sate itu mengambilnya tanpa memulangkan baki. Ketahuilah akan Khairul bahawa harga secucuk sate ayam di situ adalah RM 1.00.
Khairul hanya tersenyum. Fikirannya tentang kesucian kedai makan yang terletak bersebelahan masjid itu ternyata meleset sama sekali. Mungkin sate di sini lebih keberkatan kerana diperdengarkan dengan bacaan al-Quran dan laungan azan sebelum dibakar. Khairul mendoakan agar si penjual sate tidak diseksa di alam barzakh kelak.
Dalam terpaksa, Khairul dan isteri terpaksa juga menghabiskan makanan yang secara keseluruhan bermarkah 3/10 itu. Dengan sate berharga seringgit secucuk yang lebih rasa serai daripada ayam, mereka tiga beranak berjaya juga menghabiskan makanan tersebut.
Bersyukurlah juga Khairul mereka masih mampu mengunyah makanan sedang ada manusia yang terlantar sakit di hospital hanya mampu makan menggunakan tiub. Namun, yang tidak sedap tetap tidak sedap. Dia membayar harga sebanyak RM 25.00 untuk makanan yang tidak sedap itu.
Komen Khairul adalah mudah untuk semua masakan tersebut. Mereka masak tidak menggunakan jiwa. Hanya kerakusan memegang sudip dan kuali untuk mendapatkan pulangan wang dan keuntungan. Bukankah keuntungan jiwa pelanggan adalah lebih mustahak? Makanan yang lazat akan menenangkan jiwa semua orang. Maka, memasaklah dengan penuh kejiwaan. Usahlah membuka kedai makan jika anda memasak macam orang bangang.
Tidak mahu merungut lagi dan menganggap ia sebagai ketentuan Illahi, Khairul terus memandu pulang ke rumah. Allah menguji kita dalam pelbagai cara samada kita sedari ataupun tidak. Khairul melihat jam di tangan kirinya. Sudah jam 8.10 malam. Bermakna tepat tiga jam dia keluar dari perkarangan rumahnya dengan tujuan beriadah. Selama tiga jam itulah juga dia diuji dengan pelbagai peristiwa.
Setidak-tidaknya, ujian itu membawa Khairul lebih jauh berfikir sekaligus menajamkan akal dan mematangkan fikirannya. Bukankah Allah menguji semua hamba yang dikasihi-Nya?


No comments:

Post a Comment