Tuesday, October 6, 2015

Artikel Rakyat : Aplikasi Whatsapp

"Semua jabatan kerajaan termasuk klinik dan hospital diarahkan ditutup selama dua hari mulai hari esok. Arahan ini berkuat kuasa serta-merta berikutan keadaan jerebu yang mencapai indeks tidak sihat. Semua kakitangan kerajaan diminta mengambil maklum berkenaan paras IPU semasa. Penutupan pejabat kerajaan termasuk klinik dan hospital berkuat kuasa pada tingkap dan pintu sahaja. Kerja macam biasa..."

Itu adalah salah satu daripada pesanan yang kerap diterima dalam group whatsapp sepanjang musim jerebu ini. Adakah ini satu jenaka atau prank? Adakah anda akan menyalin pesanan ini dan menghantar ke group lain pula? Sejujurnya, ini adalah pesanan yang tidak kelakar. Sedikitpun tidak kelakar. Malah, Amir Raja Lawak jauh lebih kelakar berbanding pesanan ini.

Topik yang ingin dibincangan di sini bukanlah berkaitan permasalahan jerebu yang semakin meruncing pada hari ini. Apa yang ingin diutarakan adalah berkenaan dengan aplikasi Whatsapp.

Aplikasi ini dibangunkan untuk memudah komunikasi antara manusia dalam dunia yang serba moden pada hari ini. Melalui aplikasi ini juga, kita dapat berinteraksi dalam satu kumpulan chatting yang ramai. Jika anda masih ingat, sebelum ini kita berkomunikasi sebegini menggunakan komputer melalui perisian MIRC, Msn, Yahoo Messenger dan Skype. Itupun, jika anda tidak dilahirkan sebelum era gadjet menakluki dunia.

Seingat saya, ketika menggunakan semua perisian yang disebut di atas, belum pernah rasanya saya mendapat pesanan dari kenalan yang mirip seperti contoh pesanan pada perenggan pertama.

Selepas berakhirnya era chatting menggunakan komputer, maka bermulalah zaman kegemilangan telefon pintar atau gajet. Saya lebih suka memanggilnya gajet, kerana rakan-rakan saya kerap memberikan alasan tiada baki kredit jika diminta untuk menelefon seseorang. Sebaliknya, mereka membeli kad prabayar untuk menambah nilai kerana internet telah kehabisan kuota. Justeru, wajarkah ia dipanggil telefon jika tidak mampu membuat panggilan hatta untuk bertanya selama lima saat? Itu adalah alasan saya untuk memanggil ia gajet. Jika anda tidak suka, terpulang kepada anda semua. Apa yang penting, pastikan baki kredit sentiasa mencukupi atau bertukar ke plan prabayar jika mampu dan yakin.

Baiklah, kita berbalik kepada aplikasi Whatsapp. Semenjak kebanjiran gajet dari negara China yang mampu dimiliki dengan hasil mengumpul syiling lima puluh sen selama 45 hari, semua orang di Malaysia mampu memiliki Whatsapp untuk berkomunikasi. Bermula sebagai kehendak, ia kini semakin hampir ke arah keperluan. Sama seperti kehadiran telefon bimbit monofonik suatu ketika dahulu.

Whatsapp menjadikan kita lebih mudah untuk berbual dengan saudara-mara, rakan sekolah, rakan sekolej, rakan sekerja, rakan kongsi dan sebagainya. Ia, pada zaman urban ini, manusia berbual menggunakan jari sahaja. Mungkin akan datang sebuah aplikasi yang mampu membaca minda akan tercipta. Hanya perlu menekan butang 'send' sahaja.

Fitnah juga dihujung jari.

Perkara yang paling menarik tentang Whatsapp adalah kebolehupayaannya untuk mencipta sebuah kumpulan chatting yang terdiri daripada ramai peserta. Memetik pepatah Melayu lama, banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Begitulah yang dapat diibaratkan melalui group Whatsapp ini. Semakin ramai ahli dalam sesebuah group, maka semakin banyak ragam yang dapat dilihat.

Izinkan saya mengungkit kembali tentang pesanan pada yang dilampirkan pada perenggan pertama artikel ini. Sebenarnya, apa yang mahu dibangkitkan adalah tentang sikap. Iya, sikap sesetengah daripada kenalan kita yang gemar membuat jenaka terhadap sesuatu isu semasa. Jerebu adalah contoh yang terdekat pada masa kini. Adakah wajar untuk kita bergelak ketawa dengan lawak yang tidak kelakar dari pesanan tersebut? Sama seperti kejadian banjir yang berlaku pada penghujung tahun lalu, sesetengah orang cuba berjenaka dengan menaip pesanan yang seumpamanya. Tidakkah kita terfikir jika pesanan itu dibaca oleh keluarga mangsa, sahabatnya atau mangsa sendiri?

Selain itu, kita juga kerap mendapat pesanan yang berjela-jela panjangnya hasil kerja copy & paste atau forward. Malah, pesanan yang dihantar juga jauh lebih panjang daripada artikel yang saya karangkan ini. Lazimnya, pada permulaan pesanan ada sedikit nota seperti "Salam. Info dari group sebelah..." dan pada penghujung pesanan akan ada nota "Sebarkan!".

Sejujurnya, jika mendapat pesanan sebegini, saya tidak akan membacanya kerana terlalu banyak sumber dan maklumat yang tidak sahih. Ketika musim jerebu ini, pelbagai pesanan sebegini masuk dengan memberikan info yang bukan-bukan. Mengaitkan jerebu dengan Lim Kit Siang, menyalahkan Najib Razak tidak memadam kebakaran hutan, mengedit gambar coli dijadikan topeng pelindung jerebu dan sebagainya.

Apa sudah gila kau orang semua?

Di samping itu, terdapat juga golongan yang gemar menghantar pesanan berantai. Kebiasaannya, pesanan itu berbentuk sebegini, "...sebarkan kepada 44 orang rakan-rakanmu dalam masa 44 jam dan kamu akan beroleh ganjaran selepas 44 hari. Awas! Jika kamu mengabaikan mesej ini, kamu akan ditimpa bencana yang maha dasyat dalam masa 44 saat dari sekarang..."

Apa sudah gila kau orang semua ini?

Mesej berantai ini sebenarnya telah lama menghantui masyarakat kita iaitu semenjak zaman berbalas surat dengan sahabat pena lagi. Saya masih ingat, seorang posmen pernah menghantar sepucuk surat yang mengandungi mesej berantai ini. Saya melihat abah saya dengan tenang membuka sampul surat itu, membacanya kemudian menggumpal dan mencampakkan ke dalam tong sampah. Selepas itu, abah saya tenang sahaja menyambung pembacaan akhbar harian yang sedikit terganggu dengan kehadiran surat berantai tersebut. Jadi, apakah rasionalnya anda menghantar pesanan berantai ini kepada 44 orang kenalan dalam masa 44 jam?

Ingat kembali enam rukun iman yang kita pelajari dahulu. Tidak ada satu pun rukun yang menyuruh kita supaya percaya kepada pesanan berantai.

Perbincangan yang seterusnya adalah berkenaan hal penyebaran berita. Lazimnya, berita tentang kemalangan yang paling mendapat tempat untuk disebarkan. Semua orang berlumba-lumba untuk menjadi penyebar berita yang paling awal. Malah, tidak kurang juga yang menokok tambah berita tersebut supaya ia tidak kelihatan sama seperti berita orang lain. Misalnya, kemalangan melibatkan tiga pemandu kereta dan cedera parah. Maka, si penokok tambah cerita ini akan menyambung ceritanya dengan mengatakan ada pemandu yang putus tangan. Dia kemudiannya menghantar gambar tangan yang telah putus untuk membuktikan berita palsu terbitannya.

Beberapa orang rakan yang membaca kemudiannya tanpa ragu terus menyebarkan kepada group lain. Begitulah pantasnya ia tersebar, sedang mangsa yang kemalangan masih belum tiba di wad kecemasan, berita mengenai kemalangannya yang berlaku di Kuala Sepetang telah tersebar jauh sehingga ke Rio de Janeiro melalui Whatsapp.

Kepantasan penyebaran ini adalah lebih pantas daripada seorang posmen yang menghantar surat dari rumah ke rumah, seorang wartawan yang berlari lintang-pukang sambil membawa mikrofon dan kamera dan seorang editor yang mampu menulis artikel sepanjang dua ribu patah perkataan dalam masa sejam.

Apa yang dibimbangkan di sini adalah tentang penyebaran maklumat yang tidak benar, tidak sahih, palsu dan bangang. Misalnya, menyuruh umat Islam membaca ayat-ayat tertentu dari surah-surah tertentu sambil memetik nama-nama Pak Arab yang tidak diketahui kesahihan individu tersebut. Sunni, Wahabi, Syiah atau Yahudi? Lalu, kita yang tidak tahu-menahu akan kesahihan ini terus menyebarkannya. Sepatutnya, kita mengkaji terlebih dahulu. Jika tidak mahu mengkaji, maka abaikan sahaja pesanan sebegitu.

Penyebaran gambar-gambar palsu juga semakin meruncing. Misalnya, gambar kemalangan yang telah berlaku lima tahun yang lalu kemudian disebarkan kembali dengan mengatakan ia baru sahaja berlaku. Tidak kurang juga penyebaran gambar-gambar pemimpin yang diedit menjadi haiwan mahupun pokok bunga, baik pembangkang mahupun kerajaan. Seterusnya, gambar-gambar perempuan yang entah dari mana-mana dengan kapsyen berkaitan malam jumaat. Penyebaran gambar-gambar perempuan seksi juga antara masalah yang paling sukar untuk diatasi. Apa kejadahnya hantar gambar perempuan telanjang ketika waktu makan tengah hari?

Adakah semakin maju teknologi, semakin bangang jadinya manusia?

Natijahnya, gunakanlah kemudahan yang dibina ini untuk tujuan yang bermanfaat. Sesekali berhibur dan berjenaka tidak ada salahnya asalkan bukan dengan isu yang tidak sepatutnya hingga menampakkan kita golongan yang bangang. Usahlah dek kerana kebangangan kita, rosak sebiji gajet akibat dibaling ke dinding kerana terlalu kerap menghantar pesanan dan gambar yang terlalu bangang.

Jadilah orang yang tidak bangang. Sekian.



No comments:

Post a Comment