Tuesday, October 6, 2015

Kelajuan, Egois Dan Bertolak Ansur

Di atas jalan raya yang tidak pernah lekang dari kesesakkan lalulintas, Sahak memandu keretanya bagaikan perempuan baru lepas diceraikan suami. Dengan hanya mengawal streng menggunakan siku, Sahak mencelah sekejap ke kiri sekejap ke kanan. 

Bunyi hon dari pengguna jalanraya lain sedikit pun tidak menggangu Sahak dari terus memandu bagai orang gila dirasuk syaitan. Tumpuannya ketika itu hanya dua, mesti fokus pada jalanraya dan sampai ke destinasi dengan selamat. 

"Hok aloh. Time aku nak cepat ni laa kau nak bercinta dalam kereta !" Sahak merungut.

Di hadapan kereta Wira-nya yang diubah suai menjadi kereta Evo 3, sebuah kereta Kancil bergerak perlahan. Perlahan bagaikan kura-kura merangkak hendak melintas jalan gayanya. Dan Sahak nampak dengan jelas di dalam kereta Kancil itu ada sepasang remaja sedang bercinta bergurau senda memupuk kasih.

Di bahagian kanan, laluan memotong, kereta Wira Evo 3 Sahak rapat mencucuk angin belakang kereta Kancil itu. Sesekali hon dibunyikan agar kereta Kancil itu mengubah haluan ke kiri, supaya dia dapat meneruskan perjalanan dengan tenang dan riang tanpa halangan di hadapan.

Dan di laluan kiri pula kereta tersusun cantik dan keadaan ini tidak membolehkan Sahak terus mencilok.

"Faker laa. Kalau nak seluk makwe, pergi hotel bajet la, Babi !" Sahak maki lagi setelah si pemandu masih lagi tidak memberi laluan kepadanya. Mungkin si pemandu kereta Kancil tidak perasan akan kereta di belakangnya kereta terlalu khusyuk menyeluk makwe, ataupun si pemandu itu memang seorang yang bangang. Itu andaian Sahak.

Lampu kelip-kelip dinyalakan Sahak beberapa kali. Sebaik saja pemandu kereta Kancil itu menyedari Sahak di belakang, terus dinyalakan signal ke kiri untuk memberi laluan kepada Sahak. 

Sahak menukar gear. Cermin di sebelah pemandu diturun rapat. Tanpa membuang masa, terus Sahak memaksa kereta Wira Evo 3-nya membakar lebih bahan api untuk memotong kereta Kancil itu. Dan sebaik saja kereta Wira Evo 3-nya berada bersebelahan kereta Kancil itu, Sahak menjerit.

"Woi faker ! Kalau nak bercinta, pergi taman bunga laa ! Fakiu !!" Sahak menjerit kepada pemandu kereta Kancil. Jari tengah dilayangkan tepat ke arah anak mata pemandu kereta Kancil di saat mereka bertikam pandangan.

                                                                                    ***

"Babi ! Dah bagi lalu pun tunjuk fuck !" Roslan, si pemandu kereta Kancil merungut. Mukanya merah menahan amarah. Tangan kirinya berada di dalam kain makwenya dikeluarkan lalu digenggam penumbuk.

"Sabar awak, sabar. Mak saya pesan, atas jalan raya tak elok marah-marah" Mira, makwe Roslan cuba menenangkan amarah Roslan.

"Duduk elok-elok. Pakai tali pinggang" Roslan memberi arahan. Matanya berkaca memandang ke arah kereta Evo 3 palsu meluncur laju membelah angin. Roslan tahu itu kereta Evo 3 palsu kerana semasa kereta itu bersebelahan dengan keretanya, sempat dia menjeling ke arah stereng kereta Evo 3 itu dan di stereng itu tertera lambang Proton.

Tanpa memberi signal terlebih dahulu, terus Roslan masuk ke laluan kanan dan menekan pedal minyak dalam usaha mengejar kereta Evo 3 palsu. Kereta meluncur laju.

                                                                                    ***

"My ass ! Faking hell ! Stupid car ! Masuk line kanan tak bagi signal !" Pak Man, seorang pakcik yang baru hendak belajar memaki dalam bahasa English, memaki hamun pada kereta Kancil no pendaftaran JDT 3231 di hadapannya yang tidak memberi signal. Masuk secara mengejut. 

Dan sesungguhnya memaki hamun dalam bahasa English sangatlah tidak memuaskan hati kerana itu saja carutan yang diketahui. Hendak mencarut berlebihan dalam bahasa English, tidak reti. Dan untuk memuaskan hati yang baran setelah diperkotak-katikkan oleh kereta Kancil itu, Pak Man terus menyambung maki.

"Perangai macam beruk. Berlanggor laa kau depan tu !" Stereng kereta Pak Man kawal kemas "Ni laa budak-budak sekarang, baru dapat pakai kereta dah memandu serupa orang gila. Itu baru kereta buatan Malaysia tu, kalau pakai kereta Skyline tu tak tahu laa macam mana dia punya berlagak tu..agaknya habis semua kereta dia sondol"

"Kau Baharom, kalau kau jadi manusia, kau jangan laa buat macam ni. Kesian kat orang. Tau ?" Pak Man sambung lagi. Matanya tajam memandang ke arah penumpang.

"Meowwwww" Kucing yang diberi nama Baharom mengiau, tanda mengiyakan kata-katakan Pak Man.

Pak Man sengih. Kereta dipandunya bergerak perlahan.

                                                                                   ***

Sahak terus menekan pedal minyak. Sesekali matanya menjeling ke arah cermin pandang belakang melihat kereta Kancil mencucuk angin keretanya. Sengaja dia tidak menekan pedal minyak sehingga rapat ke lantai kerana hendak bermain-main bersama si pemandu kereta Kancil.

Sekejap kereta Wira Evo 3 ke kanan. Sekejap ke laluan kiri bagi menghalang si pemandu kereta Kancil memotongnya. 

"Hmmmm, makan laa angin tu puas-puas"

Dan di dalam perut kereta Kancil, Roslan masih berusaha memotong kereta Evo palsu di hadapan. Terasa air muka dan maruahnya dipijak-pijak sepi bila dipermainkan sebegitu rupa di hadapan makwe sendiri. 

Sebagai seorang pemandu berkaliber dan pernah dapat jolokkan "Si Pembelah Angin"- seperti yang pernah dikatakan pada makwenya: Mira, Roslan harus memotong kereta Evo palsu itu demi menjaga maruahnya dan kepentingan sejagat.

"Ingatkan laju sangat Evo palsu ni. Hambar je padahal"

Kedua-dua kereta terus bersaing hebat bagaikan polis mengejar pencuri dalam drama gayanya.

Begitulah kehidupan, tidak semua berjalan seperti mana kita rancangkan. Kadang di saat kita leka meniti kehidupan tanpa langkah berjaga-jaga akan bahaya dan risiko bakal di hadapi, ada lubang dalam yang sentiasa menanti mangsa di hadapan. 

                                                                                 ***

Dari jauh, kelihatan orang ramai berkerumun di tepi jalan raya. Dan di atas jalan raya pula keadaan bersepah dengan serpihan kaca dan bahagian kereta. Tidak dapat dipastikan bagaimana ia berlaku namun jauh dalam sudut hati paling dalam, hati Pak Man kuat mengatakan ia satu kemalangan tapi tidak pasti apa jenis kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Jalan raya menjadi sesak dengan orang ramai mahu melihat kejadian itu. Kenderaan bergerak perlahan. Tidak nampak ambulans dan pihak polis mengawal keadaan.

Pak Man nyalakan signal kiri. Dalam jarak setengah kilometer, Pak Man memberhentikan kereta di bahu jalan dan terus menuju ke tempat orang berkerumun. Dan sebaik saja tiba di tempat kejadian, Pak Man terkejut melihat 2 buah kereta berantakkan di antara satu sama lain dan bertambah terkejut bila terpandang no pendaftaran salah satu dari kereta itu. JDT 3231.

"Uish ! Macam mana boleh jadi ?" Pak Man berbisik sendiri di celah hiruk-pikuk orang ramai membuat andai sendiri. Suaranya perlahan namun cukup didengari oleh pemuda yang berdiri di sebelah.

"Dia orang berlumba. Entah macam tiba-tiba ada biawak melintas. Kereta Wira tu brek mengejut lepas tu kereta Kancil terus rempus belakang kereta Wira tu. Kuat rempuhan tu...kereta Wira tu tak boleh nak kawal agaknya terus langgar tiang. Kereta Kancil tu bergolek 3 4 kali" Tanpa disuruh, pemuda itu menceritakan keadaan sebenar.

Pak Man menggeleng. Menyesal kerana menyumpah dan sumpahannya kini dimakbul Tuhan.

"Pemandu macam mana ?" Pak Man bertanya lagi.

"Tiga orang. Kereta Wira tu seorang, lelaki. Dalam kereta Kancil tu dua orang, seorang lelaki seorang perempuan......tapi....rasanya tiga-tiga tu dah tak ada dah gayanya" 

Pak Man mengucap panjang.

No comments:

Post a Comment