Thursday, October 1, 2015

Rahmat Bermonolog

Pagi itu ketika Rahmat bersandar pada dinding beranda rumahnya, memerhati orang lalu-lalang di jalan raya, matahari mula menunjuk garang dan ditemani sebatang rokok, fikirannya menerawang jauh memikirkan tentang hala tuju dan masa depannya yang masih belum lagi pasti.

Rahmat tidak berpelajaran tinggi, tidak ada ada sijil yang boleh dikagumi, kerjaya tidak memuaskan hati dan tidak pula mempunyai kemahiran itu dan ini namun jauh di dalam sudut hatinya teringin sekali dia mempunyai isteri, anak dan kehidupan sendiri. 

Di usia yang sudah menjangkau 28 tahun, di saat rakan sebaya sudah mengecapi impian dari sejak azali, Rahmat masih lagi hidup sendirian, tidak ada belahan hati yang menemani dan masih bertemankan tilam kusam hapak di dalam bilik rumah sewanya sendiri.

Masih Rahmat ingat kata-kata bapa saudara belah bapanya ketika dia berbual, ketika dia pergi beraya di rumah itu, kata-kata yang memedihkan menyucuk sanubari.

"Kau berhentilah dari apa yang kau kerjakan sekarang ini. Kerja yang kau lakukan sekarang ini tidak menjamin masa depan kau, tidak mampu menyenangkan kehidupan kau. Kau pergilah minta kerja kerajaan, kerja di sektor kerajaan ini menjamin masa depan dan kau tidak perlu runsing memikirkan kehidupan kau 20 tahun akan datang. Kau tengok anak Pak Andak, semuanya berjaya"

Rahmat yang ketika itu hendak menyuap lemang ke mulut, ketika tangannya laju mencelup-celup lemang itu dalam rendang daging, hilang seleranya, putus anginnya hendak meneruskan rasa. Bagai halilintar merentap jantung mendengar akan kata-kata itu.

"Saya bukan tidak mahu, Pak Andak. Dengan sijil tidak seberapa, belajar tidak habis menengah, tiada kenalan di sektor kerajaan, tiada surat sokongan boleh membantu. Siapa yang mahu menerima saya ?" Jawab Rahmat kesal dengan kebodohan masa lalu. 

Dahulu ketika emak dan bapanya hantar dia ke sekolah untuk belajar, supaya jadi pandai, jadi orang berguna, dapat menunaikan cita-cita dan impian, ringan saja kakinya melangkah keluar sekolah. Pagar sekolah dipanjat, pengawas catit nama sedikit dia tidak peduli. Sekarang melingkuplah meratapi nasib bodoh sendiri.

"Itulah kau. Dahulu bapa kau hantar kau pergi sekolah, mak kau pesan kau belajar rajin-rajin, kau malas. Tahunya mementingkan hati sendiri, orang tua habis duit sedikit pun kau tidak peduli" Pak Andak bidas lagi.

"Untuk apa disesalkan lagi dengan apa yang sudah terjadi. Hidup ini terlalu singkat untuk terus meratapi. Dari terus mengingatkan hal lalu yang boleh menjatuhkan keyakinan diri, lebih baik saya cuba memperbaiki diri" Rahmat cuba berdiskusi.

"Ah. Ada saja alasan kau hendak membela diri. Orang sekarang belajarnya tidak tinggi tapi bercakapnya selalu hendak mengangkat diri. Padahal sekadar untuk menyedapkan hati sendiri" Perli Pak Andak lagi.

Rahmat terdiam terus. Bercakap dengan orang tua memang susah begini. Kebiasaannya mereka hanya bercakap melalui pengalaman sendiri, meletakkan rasa marah dan sedikit emosi. Jika orang muda memberi pendapat itu dan ini, mereka ini akan mengeluarkan fatwa "Ah, aku dulu makan nasi".

"Senyap saja rumah ini, di mana Sabri, Zamri, Rafizi dan Ramli ? Keluar beraya sampai saya tidak nampak dari tadi" Rahmat bertanya. 

"Hmmmm, sudah berjaya, ada keluarga sendiri, wang sendiri, sudah jarang pulang ke sini" Pak Andak jawab ringkas.

Di wajah Pak Andak yang bergaris seribu, rambut memutih menghilangkan yang hitam dulu, jelas tidak selesa bila diaju soalan begitu. Antara mahu senyum atau tidak, digagahi juga menguntum bibir biar tidak nampak oleh Rahmat.

Dan di dalam hati Rahmat pula, kemenangan berpihak kepada dia.

"Apa gunanya berjaya di dunia tapi dilupakan orang yang pernah menyambung nyawa. Lebih baik menjadi seperti aku. Tidak banyak keping kertas kepala Agung mencecah beribu namun masih ingat, ada masa dan setia pada bapa dan ibu. Tuhan Maha Mengetahui"

Setelah kejadian itu. fikiran Rahmat terus sesak. Di fikirnya, mungkin Tuhan tidak mahu dia berkahwin, sekurang-kurangnya untuk masa sekarang kerana Tuhan Maha Mengetahui, jika dia berkahwin kelak akan lupalah dia pada orang yang pernah menyambung nyawa untuknya. Akan lalai dia dari terus mengingati orang tua itu.

Tapi jauh di dalam hatinya, ketika dia bersandar pada dinding beranda rumahnya, memerhati orang lalu-lalang di jalan raya, matahari mula menunjuk garang dan ditemani sebatang rokok, dia terasa ingin berkahwin namun takdir masih lagi tidak menyebelahi dirinya.

No comments:

Post a Comment