Wednesday, September 30, 2015

Artikel Rakyat : Lelaki dan Wanita

Lewat kebelakangan ini, saya sering terbaca beberapa artikel mahupun petikan status terutamanya di laman sosial berkenaan perbezaan antara lelaki dan wanita. Mereka mengkaji pelbagai perbezaan antara dua jantina berbeza ini daripada pelbagai sudut.

Lazimnya, lelaki dan wanita dibandingkan dari segi sikap dan keletah. Misalnya, sikap ketika membeli-belah. Kaum wanita dikatakan mengambil masa sehingga beberapa jam untuk memilih sehelai baju manakala kaum lelaki hanya mengambil beberapa minit sahaja. Mungkin terdapat kaum lelaki yang mengambil masa yang lama untuk memilih baju, namun hanyalah dalam kiraan minoriti.

Ada juga pihak yang membandingkan lelaki dan wanita melalui cara memandu kereta di jalan raya. Sememangnya, kaum wanita sering dikecam kerana pemanduan mereka yang berbahaya. Malah, ada pihak yang melabelkan kaum wanita lebih berbahaya daripada lori treler. Justeru, adakah munasabah sekiranya sebuah jalan raya khusus untuk pemandu wanita dibangunkan? Atau setidak-tidaknya lorong khusus yang dilengkapi garisan berwarna merah jambu?

Benarkah kaum wanita penyumbang utama kepada kecelakaan jalan raya yang berlaku?

Fasa perbandingan terhadap dua jantina berbeza ini terus memasuki bab yang seterusnya apabila dinilai dari sudut cara menyiapkan diri. Kaum lelaki lazimnya hanya mengambil masa antara 5-10 minit sahaja untuk bersiap manakala kaum wanita memerlukan sekurang-kurangnya setengah jam. Itupun, wajah mereka polos tanpa solekan. Jika dengan solekan lengkap, mungkin akan memakan masa lebih daripada sejam.

Jika ada wanita yang mampu bersiap dalam masa 5 minit sahaja, maka kahwinilah beliau dengan segera. Jika wanita itu bersiap sehingga dua jam namun masih serabai penampilannya, maka buatlah solat sunat istikharah memohon petunjuk dari Illahi.

Perbezaan dan perbadingan ini terus didebatkan sehingga ke aspek cara bercinta pula. Baru-baru ini, pesanan ringkas mengenai wanita bernama Diana telah menjadi viral. Kebanyakan wanita lebih berminat untuk mengetahui siapa Diana berbanding bagaimana keadaan pasangan sendiri. Iya, tahap cemburu wanita itu sememangnya tinggi dan tak perlu disangsikan lagi. Namun, adakah lelaki tidak pernah cemburu?

Benar, kecederaan yang dialami tidak akan membunuh rasa cinta, namun kehadiran wanita yang bernama Diana mampu menjadi orang ketiga dan merosakkan perhubungan. Mujurlah Diana itu hanya rekaan semata-mata. Jika nyata, mungkin Diana itu sudah diserang melalui komen di Facebook berserta dengan hashtag #perampas.

Hakikatnya, perbezaan antara lelaki dan wanita itu adalah perkara yang menarik untuk dibincangkan hatta sehingga ke hari kiamat sekalipun. Tuhan sendiri telah menjadikan manusia itu berpasang-pasangan agar mereka bisa melahirkan zuriat dan terus menjadi khalifah di muka bumi ini. Bukankah perkara ini sudah disebut dalam beberapa potongan ayat al-Quran?

Malah, Tuhan sendiri mencipta lelaki dan wanita dengan fungsi organ dan tubuh yang berbeza. Wanita dicipta memiliki rahim untuk mengandungkan zuriat. Itu adalah salah satu kelebihan kaum wanita. Walaupun seorang lelaki itu bernama Rahim, dia tetap tidak akan berupaya untuk mengandungkan zuriat.

Perbezaan inilah sebenarnya akan mengindahkan rasa cinta dalam sesebuah perhubungan. Melly Goeslow juga pernah memberitahu - ada apa dengan cinta? Perbedaan aku dan engkau. Maka, cinta apakah yang tiada perbezaan antara pasangan? Cinta sejenis?

Melalui pernyataan ini juga kita boleh berfikir bahawa sebenarnya tiada istilah cinta sejenis. Kerana cinta hanya hadir untuk dua individu yang berbeza jantina. Jika anda mengatakan yang telah jatuh cinta dengan seorang kenalan sejantina, itu bermakna anda gagal dalam mentafsir rasa cinta.

Untuk apa anda bercinta sekiranya anda seluk dia, rasa testis dan anda seluk diri sendiri, rasa testis juga? Bukankah bangang namanya perlakuan sebegitu?

Justeru, sebagai manusia yang lahir dan hidup atas nama cinta, kita sebenarnya tidak perlu untuk mengkaji perbezaan antara lelaki dan wanita secara berlebihan. Cukup sekadar tahu dan faham. Memahami perbezaan pasangan anda adalah salah satu kejayaan terbesar yang perlu dicapai dalam hidup. Sekiranya gagal, usahlah berputus asa sehingga berubah menjadi pondan, gay atau lesbian.

Natijahnya mudah, lelaki dan wanita saling memerlukan. Jadi tidak perlu untuk kita menghentam antara satu sama lain berkaitan perbandingan yang telah dibuat. Anggap sahaja itu adalah suatu kitaran hidup yang wajib kita hadapi dalam meneruskan kesinambungan dan populasi manusia di atas bumi yang dipinjamkan ini.

Saya akhiri artikel ini dengan potongan lirik yang dipetik daripada lagu Pandang-Pandang, Jeling-Jeling dendangan duet Dato' Siti Nurhaliza dan Tan Sri S.M Salim.

Kereta kuda pedati lembu,
Singgah mari di tepi kuala,
Tuan sutera saya belacu,
Manakan boleh berganding sama,

Burung jelatik sarang kedidi,
Sarang tempua sarang berjuntai,
Sungguhpun cantik sutera diuji,
Belacu juga tahan dipakai.

No comments:

Post a Comment