Monday, August 3, 2015

Surat Terbuka Untuk Datuk Najib

Assalamualaikum Datuk Najib yang kacak, Perdana Menteri Malaysia yang peramah dan berjiwa rakyat, apa kabor ? Saya sebagai pemuda harapan bangsa dan kutu-kutu berwawasan yang lain berharap Datuk Najib selalu berada dalam keadaan sihat dan baik-baik selalu. Semoga Datuk Najib menjaga kesihatan diri supaya terus dapat memimpin negara Malaysia ke arah yang lebih padu dan jitu dan juga dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Oh ya, sebelum itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Najib kerana semenjak dua menjak ni nama Datuk Najib sering bermain di laman sosial berikutan isu politik Malaysia yang kucar-kacir. Bermula isu 1MDB, kejatuhan nilai ringgit, rombakan kabinet sekaligus pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin, nama Datuk Najib terus bermain dibibir rakyat. Tahniah sekali lagi saya ucapkan.

Tujuan saya mengutus surat ini bukanlah hendak mempertikaikan isu politik negara kerana saya tahu, saya belum cukup handal untuk bercakap tentang urusan negara. Ketepikan soal politik dan masalah negara yang lain dan mari kita bercakap tentang piramid.

Begini ceritanya,

Mengikut cerita zaman dahulu kala, sesebuah piramid melambangkan kemegahan dan kemasyhuran sebuah negara di tangan seorang pemimpin. Dengan rupanya yang berbentuk tiga segi, batu konkrit menghiasi luaran piramid dan tajam di bucunya, piramid sangat sesuai untuk dijadikan tugu sempena memperingati jasa dan kuasa seorang pemimpin negara.

Ambil contoh ketika zaman kegemilangan Mahathir, beliau sendiri tidak teragak-agak untuk membina Menara KLCC dan bangunan berkembar berbentuk jagung untuk memperingati jasa beliau semasa zaman pemerintahannya. Errrr, Apa Nama.....Apa Nama....Apa Nama bangunan berkembar berbentuk jagung itu saya sudah lupa, Petronas barangkali.

Dan perkara serupa di Johor, TMJ bijak memberi ruang kepada pelabur untuk membina Lego Land dan dengan adanya Lego Land di Johor, sedikit sebanyak ia membantu menaikkan Bangsa Johor di mata dunia.

Datuk Najib, sebagai anak jati negeri Pahang yang mempunyai wawasan, saya mewakili Belia 4B mencadangkan agar Datuk Najib membina satu piramid bersaiz King di Pekan sebagai tanda kemegahan empayar Datuk Najib. Ya, di kampung Datuk Najib sendiri, bukan di Kuala Lumpur ataupun di Tasik Chini. Dan untuk menjadikan ianya lebih rare dan power, sangat elok jika piramid itu dibina di atas Sungai Pahang.

Untuk menjadikan cadangan saya ini menjadi satu kenyataan, saya cadangkan agar Datuk Najib mengambil saya bertindak sebagai incas dalam usaha pembinaan piramid ini. Datuk Najib hanya perlu keluarkan modal dan saya akan melaksanakannya dengan penuh bergaya.

Jika hendak jimatkan kos pembinaan piramid ini, sangat molek jika tenaga kerja diambil dari kalangan budak hipsters berseluar singkat tergantung yang gemar berkeliaran dalam shopping mall, warga Burma yang baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia, budak lepasan SPM, brader sado dan penyanyi AF yang tersingkir awal.

Dengan libasan ekor pari di atas belakang badan mereka, saya dapat rasakan, mereka yang merangkap sebagai tenaga kerja ini akan melakukan kerja mengangkat batu bata sebesar kereta Kancil dengan penuh berdispilin tanpa sebarang rungutan dan cakap-cakap belakang. Yang mana tak dengar cakap, saya akan paksa mereka minum air sabun. Biar mulut mereka berbuih.

Datuk Najib, dengar terbinanya piramid bersaiz King ini, saya yakin ianya mampu menutup mulut-mulut parti pembangkang yang selama ini hendak menjatuhkan kepimpinan Datuk.

Demikianlah serba sedikit cadangan saya itu, saya harap Datuk Najib dapat mempertimbangkan hal ini sebaik mungkin. Xoxo

                                                                                                                                         Dari Saya,
                                                                                                                                    Baharom Bahari

No comments:

Post a Comment