Sunday, August 16, 2015

Kacau

"Aku bukan cakap besar laa, Pidot. Sengaja laa aku nak bagitau kau ni, semalam lepas kita balik dari main snuker tu, aku berlawan dengan jembalang tanah, betul-betul depan kolam Pak Usop tu. Baran betul aku dengan jembalang tanah tu, dahlah perasaan marah aku pasal kalah main snuker tu tak hilang lagi, lepas tu berani pulok jembalang tu usik mengacau aku. Dia ingat dia tu siapa ?"


Di kedai kopi Wak Garip, Rosli bercerita pada kawannya, Pidot. Asap rokok yang dihembus Rosli berkepul-kepul menjulang naik ke udara. Pidot yang tekun mendengar cerita Rosli hanya mengangguk kepala beberapa kali.


Rosli ni kalau hendak dikira ilmu batin, ilmu santau menyantau, memang tidak dinafikan ilmu dia memang power. Kalau dibawa masuk bertanding di Pertandingan Ilmu Hitam Peringkat Dunia, mesti dia boleh merangkul gelaran juara.


Nyaris-nyaris juga Rosli hendak dapat gelaran Pawang di dalam kampung, namun dek kerana kesilapan terlewat bangun pagi ketika Hari Pemilihan Pawang, nama Rosli digugurkan sekaligus digantikan dengan nama Tok Anjang. 


"Power gila kau, Rosli. Siapa menang dalam pergaduhan tu ?" Pidot bertanya.


"Hmmmm. Aku nyaris dah nak menang tapi kau tau laaa, jembalang tanah ni suka main kotor. Minit-minit terakhir tu boleh pulak dia baling pasir dalam mata aku, kalah laa aku" Rosli jawab jujur. Air teh o yang masih berasap dicicip elok ke mulut.


Pidot geleng kepala tanda kasihan, bersimpati dengan nasib yang menimpa Rosli. Pidot tahu, kalah di saat-saat akhir boleh membuatkan mangsa mengalami kemurungan berpanjangan. Pidot pernah lalui dan rasa bagaimana sakitnya kalah di saat-saat terakhir itu - tunang yang dicintai lari bersama kekasih gelap ketika malam akad nikah.


Sedang enak Rosli dan Pidot bersembang Pom Pam Pom Pam serupa orang hilang pedoman, seorang pemuda yang duduk di meja bersebelahan datang menghampiri mereka berdua. Wajahnya barai, rambut kusut tidak bersikat, bawah mata lebam menghitam seperti kebanyakkan orang tidak cukup tidur, misai panjang sebelah akibat tidak trim sekata.


"Bang, saya terdengar perbualan abang tadi. Dengarnya abang ni handal dalam bab berilmu ni, kalau abang tak keberatan, boleh tak abang tolong saya ?" Mamat berserabai bertanya tanpa malu-malu. Laju percakapannya.


"Stop. Kau stop bercakap. Kau jangan cakap apa-apa. Sekilas kambing berlari, aku dah tau mana jantan, mana betina. Masa kau duduk kat meja sebelah tu tadi pun aku dah dapat rasakan apa masalah kau. Kau bertenang, rilekss" Rosli bercakap gaya-gaya bomoh dalam drama Melayu. 


Pidot menganggukkan kepala ke arah mamat barai tanda menyokong keras dengan pendapat Rosli. Matanya mengecil.


"Brader ni power. Hal ilmu hitam, santau orang, semua dalam poket seluar dia je. Brader ni boleh tolong kau tapi itulah, setiap kerja mesti ada pengeras" Pidot menambah secukup rasa.


"Wak Garip, mee goreng basah dua. Milo ais dua !" Rosli menjerit mantap. 


Dua tiga orang pakcik yang berada di dalam kedai memandang ke arah Rosli. Rosli balas pandangan dengan senyuman sehingga menampakkan giginya yang berterabur dan berlapis.


"Jangan risau, bro. Pengeras aku tak banyak, tak payah pulut kuning ayam panggang, kau belanja cawan dan pinggan yang ada atas meja ni pun dah cukup dah. Ouh ya, dan mee goreng basah yang aku baru order tu" Rosli menunjukkan pinggan mangkuk kosong yang berada di atas meja.


Pidot tersengih memandang Rosli. Ibu jari Pidot terangkat kemas menunjukkan tanda bagus. 


"Boleh bang, boleh" Mamat berserabai jawab pendek.


"Kau cerita laaa menda masalah kau" 


"Eh, tadi abang kabor abang dah tau masalah saya ?" Mamat berserabai bertanya.


"Err...Errrr... Aku tau masalah kau tapi aku tak faham. Jadi sekarang ni kau cerita laa apa masalah kau sampai aku faham. Hah, gitu" Rosli beri alasan.


Pidot mengangguk kepala seperti seekor kucing digigit kutu babi. 


"Hmmm. Gini bang, sebenarnya saya ni kena kacau. Saya dah tak larat dah bang, tiap-tiap hari saya kena kacau, bang. Hidup saya dah jadi tak menentu, kadang-kadang nak tidur pun tak boleh sebab selalu sangat kena kacau. Ni, abang tengok rambut saya ni, saya nak sikat rambut pun tak sempat, bang. Abang tolong laa saya" Mamat berserabai merayu serupa anak kecil meminta gula-gula.


"Cilaka punya setan ! Aku tahu ni mesti angkara setan laknat nak menyesatkan kita umat manusia ! Setan sengaja kacau kau supaya kau tunduk pada dia !" Rosli baran. Meja makan ditumbuk kecil tanda menahan amarah.


"Kau bawa aku kat mana tempat selalu kau kena kacau tu ! Sekarang !" Rosli menambah lagi.


"Errr.... mee goreng tu tak siap lagi tu. Lepas makan mee goreng, budak ni bayar semua, baru kita pergi. Amacam ?" Pidot bercakap perlahan, berbisik pada Rosli.


Rosli angguk. Tersengih.


                                                                                      ***


"Ni laa tempat saya yang selalu saya kena kacau tu, bang" Kata mamat berserabai. Jari telunjuknya ditunjukkan ke arah sebuah bangsal buruk menanti rebah ke Bumi.


Di tepi bangsal buruk, seorang pakcik tua bongkok sedang memegang sebatang kayu merenung mereka bertiga dengan pandang tajam seperti seekor helang mahu menangkap tikus padi. 


Rosli terkumat-kamit membaca jampi serampah yang mana patut dibaca. Garam dan beras diadun sebati digenggam kemas.


Pidot berdebar. Rintik-rintik peluh mengalir laju di dahi. Sekali-sekala Pidot lap dahi dengan menggunakan lengan baju.


Mamat berserabai buat rilekss.


"Hah, balik pun kau, Leman. Ni siap bawa kawan-kawan ni bagus laa, boleh korang bergotong-royong kacau dodol ni sama-sama. Kayu api, bahan-bahan nak buat dodol ni semua ni abah dah siap potong dah, tinggal kau je nak kacau dodol ni, Leman" Pakcik tua bersuara tersekat-sekat.


Rosli pandang Pidot. Pidot pandang Rosli. Rosli dan Pidot pandang mamat berserabai. Mamat berserabai tersengih.


                                                     DUP DUP DUP DEBUK DUP DUP DEBUK


Esoknya, Wak Garip geleng kepala baca muka pertama Harian Metro.



KUANTAN, Selasa - Dua sahabat ditahan polis kerana mencederakan seorang pengacau dodol bertempat di bangsal buruk pada pukul 4.35 petang semalam. Menurut saksi, kejadian berlaku apabila kedua-dua sahabat itu tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memberi maklumat palsu tentang "Kacau". 


Dikatakan mangsa iaitu tukang kacau dodol cuba meminta pertolongan dari kedua-dua sahabat itu namun kerana salah faham, kedua-dua bertindak agresif kerana terasa diri mereka dipermainkan sedemikian rupa.

No comments:

Post a Comment