Wednesday, August 26, 2015

Pukul

Adapun di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Selamat, dua orang pemuda yang tidak mempunyai wawasan apatah lagi masa depan, melepak di warung kopi. Entah tokoh mana yang berikan nama Kampung Selamat tiadalah orang ketahui, mungkin Kampung Selamat itu bebas daripada anasir-anasir jahat, menyebabkan nama itu kekal sehingga sekarang lamanya.

Dua orang pemuda itu, Nasir dan Jalal sangat disegani oleh penduduk Kampung Selamat. Hal ini kerana kedua-dua ayah mereka orang kuat dalam kampung itu. Ayah Nasir memegang jawatan ketua kampung manakala ayah Jalal merangkap Tok Imam dalam kampung berkenanan.

Dan begitulah kehidupan, siapa kita dalam masyarakat itu tidak penting, yang pentingnya siapa bapak kita dan apa jawatan mereka yang digalas dalam kehidupan bermasyarat. Jika ada salah satu daripadanya, hidup menjadi mudah kerana memiliki cable kemas dan jika memiliki kedua-duanya, ia merupakan satu bonus.

Nasir orangnya berbadan besar, bengis, mudah baran dan kaki pukul, sama seperti bapanya. Sebut saja Nasir Si Pembelah Angin, terketarlah kepala lutut penduduk kampung ingin mencari gaduh dengannya. Berbeza dengan Nasir, Jalal bertubuh kurus melengkung. Jalal berdamping atau dalam erti kata lain - menjadi kuli batak kepada Nasir kerana Jalal selalu dibuli. Jalal selamat bila berada di bawah lindungi Nasir. 

"Kadang-kadang aku down jugak bila mengenangkan keadaan geng kita ni, Lal. Nama je geng tapi ahli ada dua orang je, kau dan aku je" Di warung port melepak, Nasir meluahkan perasaannya kepada Jalal. Asap rokok dihembus ke langit. Sesekali Nasir membuat bulatan asap rokok sebesar tayar Kancil.

"Dah tu tak ada orang nak join geng kita, nak buat macam mana. Menda ni konsep dia sama jugak macam jodoh, dah kalau tak ada jodoh, terima je laa hakikat. Tak kan nak melawan takdir pulak" Balas Jalal selamba.

"Babi. Sekarang ni, aku ke kau ketua dalam geng ni ?" Soal Nasir geram. Matanya menjengil memandang Jalal.

Bimbang tubuhnya diterajang secara membabi-buta, Jalal hanya tersengih. Hendak menjawab lebih-lebih dia tidak berani. 

Baran Nasir susah dijangka. Jalal ingat lagi, pernah satu ketika, Nasir mengamuk hanya kerana kedai makan yang dikunjunginya di Kuala Rompin tiada jual rokok. Habis tunggang-langgang kedai makan itu dikerja Nasir dan akibatnya, Nasir dan Jalal dipukul secara berjemaah. Nasib baik bapanya orang kuat, dapat juga kes itu diselesaikan dengan menghulur ganti rugi.

"Kau pergilah cari budak-budak baru nak naik. Tarik dia orang ajak masuk geng kita ni. Lepas tu suruh dia orang bayar duit pelindung, baru laa nampak macam kaki pukul yang sebenar. Dah ada duit baru sedap nak enjoyy. Ni nak bayar makan pun kita tak mampu ni" Cadang Nasir. Tangannya ditudingkan ke arah pinggan dan gelas di atas meja.

"Alaaa. Menda ni sama jugak macam cinta. Ada masa, cinta tu tak perlu dicari, sampai masa dan tarikh yang ditetapkan oleh-Nya, cinta tu akan datang sendiri. Kita rilekss je, kalau ada rezeki, ada laa orang datang cari kita, nak masuk dalam geng kita" Jawab Jalal tanpa menoleh ke arah Nasir. Matanya ralit membaca TWEET.

                                                                               BEDEBUK

Sebiji penumbuk singgah di pipi Jalal. Kesemua mata memandang ke arah Jalal yang sedang menggelupur kesakitan.

                                                                                      ***


Setelah dua jam lamanya, Jalal kembali ke warung di mana Nasir sedang menunggu keseorangan. Wajah Nasir sedikit ceria bila terpandang Jalal kembali dengan tidak bertangan kosong.

Seorang remaja dalam linkungan 15 tahun dibawa Jalal mengadap Nasir.

"Ni hah, budak ni nak join kita" Jalal bersuara. 

Di belakang Jalal, remaja itu hanya tersengih-sengih. Gerun melihat Nasir yang berwajah bengis.

Jalal menarik kerusi yang tinggalkan tadi lalu duduk di situ sementara remaja itu masih berdiri kaku di hadapan Nasir dan Jalal. Kepalanya yang benjol akibat ditumbuk Nasir tadi digosok berkali-kali.

"Berikan satu sebab kenapa kau nak join geng aku ?" Nasir bertanya. Nada suaranya ditekankan supaya nampak lebih garang dan tidak berhati perut.

"Errrr......saya nak kena pukul, bang" Remaja itu jawab gugup.

"Tak apa. Kau jangan risau, lepas kau duduk bawah aku, dah jadi geng aku, tak ada siapa lagi berani pukul kau lagi. Aku ni Nasir Si Pembelah Angin tau" Nasir bercakap dalam nada angkuh. Dadanya ditepuk berkali-kali seperti gorila hendak mengamuk kerana anaknya dicuri pemburu haram.

Jalal mengangguk ke arah remaja itu sambil mencium tangannya berkali-kali. Bunyi Cup Cup Cup yang dihasilkan dari ciuman itu jelas kedengaran. 
 
Remaja tersebut hanya berdiam diri. Berdiri kaku tiada respon. 

"Hmmmm. Disebabkan hari ni aku ada masa terluang, jom kau bawa pergi jumpa dengan orang yang nak pukul kau tu. Biar aku ajar dia" 

"Tapi bangg......"

"Tak ada tapi-tapi. Ni bukan dalam drama Melayu nak ada tapi-tapi. Kalau aku cakap sekarang, maknanya sekarang. Kau faham ?" Nasir mencelah.

Sebaik saja Nasir habis bercakap, Jalal bingkas bangun dari duduknya. Tidak mahu ditumbuk kali kedua.

 Maka, bergeraklah mereka ke tempat yang dituju. Di sepanjang perjalanan, Nasir sudah berkira-kira, apa-apa hal harus dahulukan dengan sebiji penumbuk ke muka pengacau. Stelah itu baru berbincang elok-elok.

Manakala Jalal pula sudah 2 3 kali berhenti untuk mengikat tali kasut yang dipakainya. Di kotak fikiran Jalal, dia sudah merancang jika Nasir tewas dalam pergelutan, dia akan berlari selaju mungkin. Tali kasut diikat supaya kasutnya tidak tercabut semasa aberlari nanti.

"Tu laa tempatnya, bang" Remaja tu berkata sebaik tiba di tempat yang dituju. Jari telunjuknya tercokeng.

Nasir tergamam. Jalal sudah bersedia hendak berlari menyelamatkan diri.

                                                                                         ***

Di dalam sebuah bangsal buruk, Nasir memukul telur dengan penuh beremosi sambil diselang-selikan dengan senyuman palsu ke arah makcik tua yang sedang mengaul tepung sehingga sebati.

"Untung laa anak ni datang tolong makcik pukulkan telur ni. Nak harapkan si Sahak tu entah bila dia rajin agaknya. Dah laa banyak tempahan kuih makcik nak kena buat ni" Ujar makcik tua.

Nasir tidak menjawab.

"Kau dua orang tunggu situ kejap. Kejap lagi aku dah siap pukul telur ni, kita balik sama-sama. Ok" Nasir separuh menjerit memandang ke arah Jalal dan remaja tersebut yang berada di muka pintu.

No comments:

Post a Comment