Monday, August 3, 2015

Hari Isnin Yang Pundek




Hari ini adalah hari Isnin. Kebiasaannya pada hari Isnin, umat manusia akan dilanda penyakit kemalasan Monday Syndrome. Sindrom ini tidak mengira bangsa, agama, negara, keturunan, jenis darah, saiz cuping telinga, kadar kelebatan bulu dada, bentuk kuku dan sebagainya. Ia mampu menjangkiti sesiapa sahaja baik yang muda atau yang tua namun jauh sekali untuk yang sudah meninggal dunia. Walaubagaimanapun, sindrom ini bukanlah satu penyakit kronik yang sedang dikaji oleh saintis-saintis seluruh dunia.

            Di pejabat-pejabat kerajaan, masalah kelewatan yang mencatatkan kes tertinggi adalah pada hari Isnin. Perkara ini mungkin berkecuali bagi negeri-negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Mereka mungkin boleh menggunakan perkataan Sunday Syndrome, namun ia tidaklah sebegtitu popular. Justeru, kupasan yang lebih menarik untuk dibincangkan adalah berkaitan hari Isnin, hari permulaan kita bekerja secara mudahnya.

            Fakrul Ramzi adalah seorang pekerja yang memulakan kerja pada hari Isnin selepas bercuti pada hujung minggu. Beliau bekerja makan gaji sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat pembinaan terunggul di Kuala Lumpur. Memegang jawatan sebagai seorang eksekutif bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Banyak tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada Fakrul Ramzi.

            Sebagai seorang manusia biasa yang berbangsa Melayu, Fakrul Ramzi juga tidak lari daripada sindrom hari Isnin. Sehari sebelumnya, Fakrul Ramzi telah keluar dating bersama kekasihnya yang tercinta, Nurul Zulaikha. Mereka menghabiskan waktu seharian bersama dengan aktiviti-aktiviti sosial seperti menonton wayang, membeli-belah, minum air batu campur di tepi tasik dan sebagainya.

            Oleh hal demikian, Fakrul Ramzi merasakan sangat malas untuk memulakan kerja pada pagi Isnin ini. Jiwa dan mindanya masih dikuasai detik-detik indah bersama kekasihnya semalam. Senyuman manis Nurul Zulaikha masih terbayang di mata Fakrul Ramzi, suara manja masih terngiang-ngiang di telinga. Fakrul Ramzi hampir terbabas melanggar pembahagi jalan ketika memandu ke tempat kerja kerana asyik memikirkan tentang peristiwa semalam.

            Sampai sahaja di pejabat, hanya ada 17 saat sahaja untuk Fakrul Ramzi tidak dicas lewat oleh majikannya. Perkara ini sudah biasa baginya pada setiap hari Isnin. Entah mengapa, pada hari lain Fakrul Ramzi akan tiba di antara 5 ke 10 minit lebih awal. Itulah magisnya hari Isnin dalam tamadun umat manusia pada masa kini. Selesai sahaja semuanya, Fakrul Ramzi terus ke biliknya sambil menegur teman-teman yang diselisih dengan ucapan “ Selamat Pagi “ yang agak malas bunyinya.

            Di atas meja Fakrul Ramzi masih banyak kerja yang perlu disiapkan. Ada kerja yang masih tertangguh akibat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Ada juga kerja yang baru sahaja diberi oleh pihak atasan. Dan ada juga kerja yang tidak sepatutnya dibuat olehnya. Namun begitulah lumrah kehidupan, yang diatas akan pijak yang di baawah, yang di bawah akan pijak yang lagi bawah. Siapa yang bawah sekali akan mati dipijak.

            Jam 10 pagi, Fakrul Ramzi perlu menghadiri satu mesyuarat bersama beberapa pegawai atasan. Selepas selesai mesyuarat, dia perlu berjumpa pula dengan seorang client syarikat pada waktu makan tengah hari. Kemudian, Fakrul Ramzi perlu memberikan briefing pula kepada pekerja-pekerja yang di bawah seliaannya berkenaan beberapa projek baharu. Sejam sebelum waktu pulang, dia perlu menyiapkan laporan penuh yang perlu dihantar dengan kadar segera.

            Fakrul Ramzi berasa amat letih pada hari itu. Sudahlah hari Isnin, banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. Akibat kesibukan itu, Fakrul Ramzi tidak sempat menghubungi Nurul Zulaikha untuk bertanyakan khabar. Namun, Nurul Zulaikha memahami. Dia bukanlah jenis wanita yang suka merajuk tidak tentu pasal akibat perkara-perkara yang remeh. Nurul Zulaikha seorang wanita yang cool pada pandangan Fakrul Ramzi.

            Dalam perjalanan pulang ke rumah, Fakrul Ramzi singgah di sebuah gerai kuih-muih. Dia membeli beberapa ketul kuih karipap untuk dimakan apabila tiba di rumah nanti. Kata seorang kawan, makan juga mampu mengurangkan stress. Namun, mengambil makanan secara berlebihan juga mampu mendatangkan stress yang teruk. Iya, siapa yang tidak stress jika berat badan naik mendadak seperti seekor kerbau bunting akibat makan terlalu banyak? Siapa ?

            Fakrul Ramzi tiba di rumah dengan selamat. Dia membuka kemeja yang dipakainya kemudian membancuh air kopi segera. Dia membawa bersama kuih karipap yang dibelinya tadi ke balkoni rumah apartmentnya. Angin senja meniup lembut membangkitkat aroma kopi yang sarat dengan kafein itu. Bau karipap juga menusuk segenap deria dan nafsu Fakrul Ramzi. Ah, nikmatnya.

            Fakrul Ramzi menghirup kopi segera dengan mata yang sengaja dipejamkan. Kemudian, dia mengunyah karipap yang dibelinya tadi. Dalam beberapa saat, seketul karipap telah lesap ditelan oleh Fakrul Ramzi. Kemudian, dia menyuap pula karipap yang kedua. Air kopi segera dihirupnya lagi dengan cara yang serupa seperti tadi. Ah, nikmatnya dunia.

            Kemudian, Fakrul Ramzi mengeluarkan sebatang rokok Marlboro dan mencucuhnya. Berkepul-kepul asap dihembuskan ke udara yang kemudiannya ditiup angin senja lalu menipiskan ozon bumi yang semakin menipis. Tiada rasa bersalah di raut wajahnya. Kandungin nikotin dan kafein menjadikan Fakrul Ramzi bagai terkhayal dalam dunia yang penuh dengan angan-angan dan tipu daya muslihat. Juga musibat.

            Ketika rokok sudah hampir separuh dibakar, Fakrul Ramzi mencapai smartphone. Seharian juga dia tidak membuka laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp. Kesibukan menghalangnya. Namun Fakrul Ramzi reda, kerja adalah ibadah. Dia telah diamanahkan oleh majikannya untuk melaksanankan ibadah itu.

            Fakrul Ramzi membuka aplikasi Facebook untuk melihat apa yang berlaku pada hari ini. Sebaik sahaja berjaya dibuka, satu link yang dikongsi oleh seorang rakan sekolahnya terpapar pada garis masa. Link itu bertajuk “ Menteri Nyanyi UMNO Budak Baik “. Fakrul Ramzi membuka link tersebut dan menonton video yang berdurasi 34 saat itu. “Gampang! Menyesal aku buka.” Bisik Fakrul Ramzi di dalam hati dan serentak itu dia terus menutup aplikasi Facebook.

            Fakrul Ramzi kemudian membuka pula aplikasi Twitter yang lebih pantas tersebar berita-berita baharu. Dia berharap agar tidak bertemu lagi dengan link video tadi. Sebaik berjaya aplikasi Twitter dibuka, keluar pula satu link yang di retweet oleh seorang pengikutnya, “ @astroawani – RM 2.6 bilion didakwa dalam akaun Najib dari dana penderma, bukan 1 MDB – SPRM bit/ly/10ZugTs.pic.twitter.com/ “. “Babi!” maki Fakrul Ramzi dalam bahasa yang ringkas tapi cukup padat.

            Air kopi yang tadi pahit berlemak sudah tidak sedap, karipap yang tadi lazat sudah masuk angin. Fakrul Ramzi meninggalkan semua itu di balkoni. Dia mencapai tuala dan segera mandi. Selesai sahaja sembahyang maghrib, Fakrul Ramzi membuka Playstation 3 dan bermain permainan FIFA 15 sehinggalah mengantuk. Dia kemudian masuk tidur untuk menunggu hari Selasa mendatang. Selamat tinggal hari Isnin yang pundek.

No comments:

Post a Comment