Tuesday, August 4, 2015

Bercakap Dengan Orang Tua

"Woi Daniel Haikal Mustaqim, mari laaa minum air dulu woi ?!" Pak Hitam menjerit lantang.

Daniel Haikal Mustaqim yang sedang menunggang motor Suzuki Cup-nya kucar-kacir mencari siapa gerangan memanggil namanya. Kepalanya ditoleh ke kiri ke kanan serupa kepala kura-kura baru keluar dari cengkerang.

"Sini woi, sini !"

Di seberang jalan, Daniel Haikal Mustaqim melihat Pak Hitam sedang melepak secara solo. Dari jauh Pak Hitam mengangkat tangan memanggilnya. Dengan senyuman melebar ke telinga, Daniel Haikal Mustaqim menuju ke Pak Hitam.

Pak Hitam dengan kedai makan Janda Maimunah memang berpisah tiada. Boleh dikatakan kedai makan Janda Maimunah ni rumah ketiga Pak Hitam selepas rumahnya yang pertama dan rumah kedua di masjid.

Mengikut cakap-cakap belakang orang Kampung Cekenik, Pak Hitam ni sebenarnya ada menaruh perasaan yang mendalam pada Janda Maimunah tetapi bimbang dikatakan "Orang Tua Biang Keladi", Pak Hitam simpankan sahaja perasaan hendak melamar Janda Maimunah itu dalam hatinya sendiri. Mencintai dalam diam.

"Kau nak pergi mana ni, Daniel Haikal Mustaqim ? Laju semacam je kau tunggang tenggiling tu" Kata Pak Hitam setelah Daniel Haikal Mustaqim duduk semeja dengannya.

"Pergi kait buah sawit laaa, Pak Hitam oii. Tak kan nak pergi main golf pulak" Daniel Haikal Mustaqim cuba bersarkastik. Tangannya diangkat tinggi memanggil Janda Maimunah.

"Nescafe o panas satu, kak" Jerit Daniel Haikal Mustaqim.

Di sebalik rak tempat letak makanan, Janda Maimunah menjengukkan kepalanya. Dianggukkan kepalanya berkali-kali tanda faham setelah menerima order dari Daniel Haikal Mustaqim. Tangannya laju mencapai itu dan ini membuat order.

"Banyak ke buah sawit di ladang kau wahai Daniel Haikal Mustaqim ? Tak nak upah orang kait ke ?" Pak Hitam bertanya secara tiba-tiba.

Daniel Haikal Mustaqim mengambil masa lama untuk menjawab soalan Pak Hitam. Rokok daun kepunyaan Pak Hitam diambil lalu digulung tanpa minta kebenaran daripada tuan rokok. Selesai rokok digulung, diletakkan rokok daun itu ke mulutnya tanpa dicucuh. Nampak macam Jai KL Gangster sikit-sikit.

"Banyak tu tak adalah tapi boleh laa nak buat hidup. Kalau saya upah orang berapa sen sangat saya dapat, Pak Hitam ? Zaman sekarang ni barang semua mahal, taraf hidup dah tinggi. Bukan macam zaman Pak Hitam dulu. Zaman Pak HItam dulu lain, makan ubi kayu pun boleh masuk meminang anak dara orang. Zaman sekarang ni kalau saya tak buat menda kerja saya buat ni, mati saya kebulur. Pak Hitam oii" Daniel Haikal Mustaqim jawab panjang lebar dan kemas.

Pak Hitam menjeling tajam. Dicicip air kopi yang masih lagi berasap ke mulut. Seteguk. Dua teguk.

"Hmmmm. Nampaknya kau ni nak memperkotak-katikkan zaman aku, Daniel Haikal Mustaqim" Pak Hitam jawab pendek. Ada nada tidak puas hati di dalamnya.

"Zaman aku dulu lagi susah dari zaman sekarang ni, Daniel Haikal Mustaqim oii. Zaman aku sebelum merdeka setiap hari aku bangun pagi pergi menentang komunis. Menentang penjajah tu bukan perkara senang. Kalau kena tangkap, kena minum sabun sampai berbuih mulut. Tak bernasib baik, kena bunuh gitu je. Hidup kena tindas dengan penjajah ni penat" Tambah Pak Hitam lagi.

Terasa mula bosan dengan rokok daun yang masih belum dicucuh dan air nescafe-nya yang belum lagi sampai, Daniel Haikal Mustaqim membakar hujung rokok daun-nya. Asap rokok berperisa cengkih ditarik dalam sehingga memenuhi paru-paru.

"Ginilah Pak Hitam. Saya tanya Pak Hitam satu soalan, antara kena ditindas dengan penjajah bangsa asing dan ditindas, ditipu dengan pemimpin bangsa sendiri, mana lagi baran ?" Daniel Haikal Mustaqim mengangkat sebelah keningnya persis Ziana Zain.

"Macam cilaka" Pak Hitam maki.

"Kah kah kah kah kah"

Mereka berdua pun ketawa riang.

No comments:

Post a Comment