Tuesday, July 28, 2015

Kempimpinan Diktator Seekor Ketua Monyet.

Di dalam sebuah hutan hujan tropika yang tebal, tinggal sekumpulan monyet dengan populasi antara 70 ke 80 ekor. Tidaklah dapat diketahui berapa jumlah monyet yang tepat kerana sukar untuk mengira bilangan monyet-monyet ini dek perangai mereka yang sering terkinja-kinja tidak tentu pasal.

Adapun sekumpulan monyet ini telah sepakat untuk memilih ketua mereka yang bernama Johnny. Johnny adalah anak kepada ketua monyet beberapa puluh tahun yang lalu, Johnson. Dek kerana berasa terhutang budi oleh jasa yang dilakukan oleh bapanya terhadap tamadun monyet, sekumpulan monyet ini melantik Johnny menjadi ketua mereka.

Johnny telah memilih seekor penolong untuk membantu ia melaksanakan tanggungjawab memimpin monyet-monyet yang lain. Penolong Johnny bernama Bernard yang kadangkala lembam juga dalam melaksanakan tugas. Walaubagaimanapun, kumpulan monyet ini tetap hidup dalam suasana muhibbah di dalam hutan ini.

Pada suatu hari, Johnny telah keluar ke kawasan kumpulan monyet yang lain untuk melawat tapak pembinaan sarang monyet yang dikatakan sangat strategik untuk membina suatu penempatan baharu. Johnny ditemani oleh pasangannya, Rosemary dan Loews, seekor pakar rundingan. Pemergian mereka ini bagaimanapun tidaklah diketahui oleh Bernard.

Johnny sangat berpuas hati dengan lawatan tersebut. Ia berminat untuk menjadikan tapak lawatannya itu sebagai kawasan baharu bagi penempatan baharu buat kumpulan monyet yang dipimpinnya. Johnny meminta Loews berunding dengan pemilik tanah kawasan tersebut, Franklin yang juga merupakan ketua kepada kumpulan monyet yang lain. Mereka berbincang selama beberapa hari dengan urusan secara sulit.

Akhirnya, persetujuan telah diperolehi. Franklin meminta Johnny membayar kawasan tersebut dengan harga sebanyak 300 tandan pisang emas. Johnny bersetuju untuk membayarnya dalam tempoh 14 bulan dan sekiranya gagal berbuat demikian, kebun-kebun pisang milik kumpulannya akan dirampas. Rosemary pula mencadangkan agar Johnny memberitahu kumpulan monyet yang dipimpinnya bahawa harga kawasan tersebut bernilai 400 tandan pisang emas. Johnny mengangguk.

Setelah beberapa hari berurusan, Bernard mula mengesaki ada sesuatu yang tidak kena setelah melihat hasil pisang emas semakin susut namun tiada pulangan yang setimpal. Bernard melantik monyet kanannya, Kelvin untuk menyiasat perkara ini. Kelvin adalah monyet yang sangat licik dalam hal membongkar rahsia monyet lain.

Setelah beberapa minit sahaja menyiasat, Kelvin berjaya membongkar rahsia sulit tersebut apabila melihat Loews sedang bersuka-ria dengan beberapa ekor monyet betina jalang. Di sekeliling Loews terdapat banyak kulit pisang emas yang berteraburan. Kelvin juga menyamar menjadi monyet betina jalang untuk mendengar perbualan Loews dengan Franklin. Maka bergegaslah Kelvin pulang untuk menyampaikan berita itu kepada Bernard.

Bernard menjadi sangat berang dengan hal tersebut. Ia terus memanggil monyet-monyet yang lain untuk mengadakan perhimpunan tergempar. Ketika itu, Johnny dan Rosemary sedang bercuti di sebuah kebun pisang montel yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kawasan penempatan mereka. Maka berkumpullah monyet-monyet yang sedang sibuk menguruskan kebun pisang mereka untuk mendengar ucapan Bernard.

Bernard berdiri di atas sebatang dahan pohon tualang dan memberikan ucapannya. Bernard memberitahu monyet-monyet lain supaya menghentikan sebarang aktiviti berkaitan pisang emas. Bernard meminta agar monyet-monyet lain terus memberikan sokongan terhadap Johnny dan mengesyaki bahawa Loews dan Rosemary telah menipu Johnny berkenaan harga kawasan penempatan baharu mereka.

Adapun selepas pulang dari percutiannya, Johnny mengetahui akan hal ini selepas diberitahu oleh seekor monyet yang merupakan perisik rahsianya. Oleh kerana ia adalah perisik rahsia, maka nama monyet ini akan dirahsiakan juga. Jika tidak, bukanlah perisik rahsia namanya sekiranya namanya didedahkan kepada netizen.

Oleh kerana rasa tidak puas hati terhadap Bernard, Johnny telah melakukan kejutan dengan membuat rombakan besar-besaran terhadap tampuk pimpinan kumpulan monyet itu. Kelantangan Bernard akhirnya hanya membawa padah, apabila jawatannya selaku penolong ketua monyet dilucutkan dan diberikan kepada Zealand, bekas monyet tali barut yang acah-acah samseng.

Bernard amat terkejut dengan keputusan Johnny itu. Ia tidak menuduh Johnny menyonglap hasil pisang emas, sebaliknya Bernard mahu agar ketelusan dalam proses jual beli kawasan penempatan baharu yang diuruskan Loews. Namun Johnny tetap berkeras dan menunjukkan penguasaan diktatornya. Di sebalik tirai daun pelepah pisang, Rosemary hanya tersenyum nipis melihat reaksi kecewa Bernard yang dilucutkan jawatan.

Loews pula menghilangkan diri, namun ada maklumat mengatakan yang ia sedang berpeleseran dengan beberapa monyet betina jalang berketurunan Israel di hutan yang lain. Khabarnya, Loews membawa beratus-ratus tandan pisang emas yang dibeli dengan harga murah daripada monyet-monyet etniknya sendiri. Johnny pula merasakan yang dirinya telah berjaya melakukan suatu tindakan yang tepat untuk melantik Zealand sebagai penolong baharu. Zealand tersenyum dan mengenyit mata kepada Rosemary.

Maka dengan perlucutan jawatannya, Bernard pun mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain. Ia turut membawa ahli keluarganya dan 4 ekor pengikutnya yang setia termasuk Kelvin. Mereka membina tamadun baharu di tebing sebatang sungai yang airnya mengalir sendu. Sesendu hati Bernard yang amat terluka. 

Loews menghubungi Rosemary selepas mengetahui hal perlucutan jawatan Bernard.  "Hoi, Rosemary. Marilah datang ke tempat aku di Hutan Vegas ni, banyak barang hiasan mewah yang kau boleh beli. Jangan lupa ajak Zealand sekali. Ok, bye. "

Keesokannya, Johnny mendapat surat jemputan dari ketua pemerintah monyet Vegas untuk menghadiri majlis harijadinya. Ia pun berangkat ke sana membawa bersama Rosemary dan Zealand.


"Kau tulis apa dalam surat tu, Zealand?" tanya Rosemary kepada Zealand . "Aku tulis jemputan ke majlis hari jadi untuk ketua, isteri dan penolong," Zealand menjawab. "Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah!" mereka berdua gelak bersama-sama.

No comments:

Post a Comment