Thursday, July 23, 2015

Keriangan Hari Raya Datang Lagi

"Assalamualaikum tuan rumah, kami datang nak beraya"

Suara kanak-kanak di luar rumah meragut ketenangan Jeri yang asyik menonton Melodi versi raya di kaca tv. Perasaan malas hendak melayan kanak-kanak yang datang beraya menyelubungi dirinya dan sebetulnya, Jeri tidak mahu terlepas dari melihat Tasha Shila yang bertubuh genit dan molek dari ditemubual oleh skuad Melodi.

"Assalamualaikum oooo assalamualaikummmmmmmm. Tuan rumah, kami nak beraya niiiiiiiiiii"

Kali ini suara kanak-kanak di luar rumah ditarik lebih panjang dan nyaring. Jika dilihat dari sudut positif, daya tarikan suara itu mampu mengalahkan suara Ziana Zain dan jika dilihat dari sudut negatif, sebiji macam suara monyet mengadu kesakitan dilanggar lori papan.

Mendengar kesungguhan suara kanak-kanak yang hendak beraya, Jeri bangun menuju ke muka pintu dengan bermalas-malasan sambil mengeluh pendek. Bengang.

Di halaman rumah, 5 orang kanak-kanak dalam lingkungan umur darjah 5 hingga darjah 6 tersengih memandang Jeri di muka pintu. 3 lelaki 2 perempuan.

"Kami datang ni nak beraya, pakcik" Seorang dari 5 kanak-kanak bersuara.

Dengar saja perkataan "pakcik" yang dikeluarkan kanak-kanak itu, Jeri tarik muka ketat. Tidak patut betul kanak-kanak itu memanggilnya dengan panggilan "pakcik" padahal boleh saja memanggilnya "abang".

"Hah ya laa. ABANG tahu laa korang datang nak beraya, tak kan pula korang datang sebab nak masuk meminang ABANG" Jeri meningkah. Perkataan "abang" sengaja ditekankan supaya kanak-kanak itu faham maksud yang tersirat dan tersurat.

"Hehehe" 5 orang kanak-kanak tersengih lagi.

"Naik laa" Jeri pelawa ringkas.

Kucar-kacir 5 kanak-kanak membuka kasut yang dipakai setelah dipelawa Jeri. Yang mana tersengih, terus tersengih sambil menanggalkan kasut. Yang mana berbisik, terus berbisik.

"Macam budak kecil, panggil pakcik pun nak tarik muka ketat" Seorang daripada 5 kanak-kanak berbisik pada kawan-kawannya yang lain.

                                                                              ***

"Abang, kami dah nak balik ni" Kanak-kanak paling gempal dalam kumpulan kanak-kanak itu bersuara sambil menggosok perutnya yang bertingkat ditindih lemak. Kawan-kawannya lain tersengih-sengih.

Jeri yang duduk bersandar di kerusi malas memandang ke arah kanak-kanak itu. Ditatapnya raut wajah kanak-kanak itu satu persatu. Melihat dari cara kanak-kanak itu tersengih memandangnya, fahamlah Jeri akan kehendak kanak-kanak itu.

Beraya tapi tak memberi duit raya pada kanak-kanak samalah seperti makan nasi tidak berlauk. Makan tapi tiada kepuasan.

"Kejap" Jeri masuk ke dalam biliknya.

Kanak-kanak yang duduk di ruang tamu mengangguk kepala berkali-kali di antara satu sama lain. Masing-masing tersengih. Sengih seperti watak jahat Sinetron berjaya menipu watak baik.

Jeri keluar dari biliknya dengan memegang beberapa keping angpau berwarna merah. Angpau yang tertulis Gong Xi Fa Cai. Angpau raya Cina milik bos tempat kerjanya.

Di muka pintu, kanak-kanak sudah bersedia hendak menyalam Jeri dan mengucapkan selamat hari raya. Atau sebetulnya menerima duit raya.

"Selamat hari raya, bang" 

"Terima kasih, bang"

Ucapan itu hanya dibalas dengan anggukkan kepala oleh Jeri. Malas hendak berlebih-lebih dengan kanak-kanak.

                                                                             ***

"Cilakanya punya budak, kot iya pun tak nak makan kuih raya, janganlah sorok kuih bawah karpet rumah aku. Ni siapa nak sapu ni, beruk" Jeri maki hamun sambil cekak pinggang memandang kuih-kuih yang berselerakkan di bawah karpet.

Sementara itu, selang beberapa buah rumah dengan rumah Jeri, kelihatan 5 orang kanak-kanak sedang melepak di bawah rambutan.

"Kedekut gila. Rm1 je duit raya" Yang paling gemuk bersuara. 

"Padan muka abang tu. Mengamuk la dia kena menyapu kuih bawah karpet tu"

"Hahahaha" Kelima-lima orang kanak-kanak terus ketawa dengan riang menuju ke rumah yang lain untuk beraya.

No comments:

Post a Comment