Monday, July 20, 2015

Cinta Pandang Pertama di Hari Raya

"Cantik betul cucu Makcik Dayang tu, Azmi," kata Kifli kepada Azmi. "Aku tengok dia pakai baju kebaya kaler Jingga. Menawan sungguh," sambungnya lagi. Azmi hanya mendengar dan mengangguk sambil mencungkil gigi. Masih banyak lebihan dan sisa daging rendang yang lekat di celahan giginya. Azmi menjeling Kifli sambil mengenyit mata sebelah kiri, isyarat yang biasa mereka gunakan jika mahu menjalankan sesuatu rancangan yang menarik.

"Jom kita beraya ke rumah Makcik Dayang," kata Kifli. Azmi terus mencampakkan lidi runcing yang digunakan untuk mencungkil gigi. Dia bingkas bangun dari kerusi yang didukinya lantas menggenggam tangan dan menumbuk ke udara sambil berkata "Jom!". Kifli yang melihat semangat Azmi, terus ketawa dengan bunyian seperti seekor gagak jantan yang mahu memikat gagak betina di musim mengawan.

                                                     " Arkkk... Arkkk... Arkkkkkkkk... "

Mereka berdua tiba di rumah Makcik Dayang. Kifli memberi salam dengan penuh tatasusila, bertajwid dan bermakhraj. Kedengaran seperti salam yang diberi oleh kumpulan Tabligh yang datang rumah ke rumah untuk menyampaikan dakwah pun ada. "Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh. Hah, jemputlah masuk Kifli dan Azmi," Makcik Dayang menjawab salam yang diberi oleh Kifli tanpa sedikitpun nafasnya tersekat-sekat. Mereka pun masuk ke dalam rumah Makcik Dayang dan duduk di atas kerusi sofa yang baharu dibeli di Courts Mammoth. Mampuslah Makcik Dayang bayar hutang sofa lepas raya nanti.

"Ina, kau buatkan air untuk budak berdua ni. Nanti kau layanlah diorang sekejap. Nenek nak sembahyang Zohor sekejap," Kata Makcik Dayang kepada cucunya, Ina. "Baik, nenek." balas Ina ringkas. Kifli yang mendengar suara Ina terus menjadi tidak keruan. Peluh dingin mula bertampi di dahi, degup jantung terasa semakin laju dan darahnya mengalir bagai air yang turun dari puncak bukit securam 17 darjah. "Rilekslah woi, cepat sangat kau ejakulasi ni," Azmi cuba menenangkan Kifli yang sudah kelihatan seperti monyet kepedasan mengunyah cili.

Ina datang membawa satu jag air sirap ais dan dua biji gelas percuma di atas pembelian sabun  basuhan berjenama Daia. Kemudian, Ina mencurah air ke dalam gelas tersebut dengan penuh lemah-lembut. Dia menyinsing sedikit lengan baju kebayanya dan menampakkan kulit lengannya yang putih mulus. Saat itu, Kifli merasakan sedang berada di kayangan bersama permaisuri yang akan menjadi teman sehidup semati. Azmi menyiku lembut pinggang Kifli supaya mengawal perasaannya. Kifli tersedar dari lamunan, lalu mengelap bibirnya yang hampir sahaja menitik air liur.

"Jemputlah makan ye abang berdua. Jangan malu-malu," kata Ina. Kifli tersenyum dan memandang ina tanpa berkelip mata. Ina tertunduk malu dengan pandangan mata Kifli yang kelihatan sungguh bernafsu itu. Wajah Kifli tidaklah sekacak Zul Ariffin, namun dia memiliki sepasang mata yang bundar dan berwarna coklat seperti seekor burung undan. Keunikan itulah yang menjadikan Kifli bisa membuatkan wanita menjadi lemah jika bertentang mata dengannya.

"Awak ni cucu Makcik Dayang yang mana ye? Umur berapa? Macam tak pernah nampak sebelum ni," Kifli membuka bicara setelah melihat Ina masih tertunduk malu sambil memintal-mintal ropol kain alas meja. Ina mendongak dan membalas, "18 tahun. Saya ni anak Dino, yang tinggal di Kuala Lumpur tu, Alah, yang ayah saya kerja askar. Dia bertugas dengan kedutaan Malaysia di India lebih 10 tahun, saya pun ikut ke sana juga,". Serentak dengan itu, Kifli terus bangun, keluar menghidupkan motosikalnya dan terus berlalu pergi dari situ. Azmi yang  sedang asyik makan biskut Almond London terkesima dengan kelakuan Kifli itu.


19 tahun yang lalu...


"Nah ambik kau! Ooh, umur baru 7 tahun dah berani buat macam ni! Nah ambik kau penampar kapit askar jepun ni! Ambik kau!" Dino menampar kanak-kanak lelaki itu dengan kekuatan sederhana untuk tujuan mendidik. Dia memulas-mulas telinga budak lelaki itu sambil mengilas lengannya ke belakang. Marah betul Dino kepada budak lelaki itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dilanyak budak itu sampai pengsan. Namun Dino masih memiliki perikemanusiaan.

Dino baru saja berkahwin, malam itu adalah malam pertama dia dengan isterinya, Nurmah, anak perempuan Makcik Dayang. Namun kehangatan malam pertamanya terganggu setelah mendengar ada bunyi ranting kayu dipijak berhampiran bilik pengantin di sebelah luar. Kehebatan Dino sebagai seorang askar membolehkannya menangkap si penghendap cilik itu. Dino mencekup seorang budak lelaki yang sedang ralit mengintai di celahan dinding kayu biliknya. "Siapa nama kau?" tanya Dino sambil mencekik belakang tengkuk budak lelaki tersebut. "Kifli. Aduh! Aduh! Saya minta maaf. Saya minta maaf." kata budak lelaki itu merayu-rayu dilepaskan.


No comments:

Post a Comment