Friday, July 24, 2015

Sahak Bukan Superman

Di ruang tamu, Sahak khusyuk menaip di komputer ribanya, jarinya lincah seolah-olah orang sedang asyik menari-nari di atas butang huruf dan nombor. Penat jarinya menaip, Sahak berhenti sejenak mengambil nafas dengan membakar sebatang nikotin sekaligus memberi ruang kepada otaknya untuk terus mencari idea.

Minatnya Sahak terhadap penulisan memang tidak dapat dinafikan oleh kawan-kawannya. Beri saja pen dan kertas jika tiada komputer riba, pasti kertas itu akan dipenuhi dengan lukisan orang lidi dan ayat-ayat falsafah yang entah dari mana Sahak petik. Dan menurut dari sumber yang boleh dipercayai, Sahak pernah mengatakan "Aku rela ke penjara asalkan ada pen dan kertas bersama aku dan yang paling penting sekali, aku boleh keluar masuk penjara bila masa aku suka".

Akan tetapi, sudah menjadi lumrah manusia. Ada baik ada buruknya, ada kacak ada hodohnya, begitu jugalah dengan Sahak. Walaupun penulisan Sahak agak bagus dan agak "deep", Sahak tidak pernah walaupun sekali menghantar karya-karya miliknya ke pihak terbitan buku. Sahak tidak yakin dengan karya-karya yang ditulisnya.

"Sampai bila kau nak menulis untuk diri sendiri, Sahak ?" Mahadi, rakan serumahnya menegur.

Sahak yang asyik menghembus asap rokok berbentuk O terkesima mendengar pertanyaan rakan karibnya. Soalan yang berupa satu pertikaian terhadap sesuatu keputusan.

"Kau jangan salah faham. Maksud aku, bila kau nak hantar karya-karya milik kau ni ke syarikat penerbitan buku ? Bagi orang baca karya kau ? Aku tengok penulisan kau ni boleh pergi jauh ni" Mahadi bersuara lagi, menjelaskan niatnya yang sebenar.

Sahak menarik nafas. Dalam. Lama masa yang diambil untuk menjawab soalan Mahadi.

"Hmmmmm, aku tak yakin dengan penulisan aku" Sahak jawab pendek. Puntung rokok ditenyeh ke bekas abu rokok.

"Apa yang kau tak yakin ? Tatabahasa ? Ayat tak lengkap, berterabur ? Aku baca tengok ok je, tak ada masalah pun"

"Bukan pasal tu. Masalahnya sekarang ni, kat luar sana lagi ramai penulis yang lebih bagus dan power dari aku. Setakat karya aku ni apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan dia orang. Lagi pun aku rasa, aku lebih selesa menulis di blog. Sesiapa pun boleh membaca. Percuma"

"Itulah masalah orang kita ni, belum buat lagi dah rasa down. Kau kena tahu ni, Sahak. Menulis ni macam berniaga juga, penulis atau peniaga mesti kena ada perasaan optimis, kena berani main dengan risiko. Aku tengok ramai je penulis luar sana terlebih syok sendiri, perasan karya bagus tapi tak adalah bagus sangat sebenarnya. Kalau dia orang ada perasaan itu, kau pun patut kena ada perasaan tu. Baru adil. Lagipun kau belum cuba hantar harya kau, mana kau tahu orang tak boleh terima ?" Mahadi berikan pendapat.

"Kita ni dijadikan Tuhan dengan rasa dan perasaan yang berbeza-beza. Tak semua orang suka membaca di blog atau mana-mana laman sosial. Ada sesetengah orang, mereka lebih gemar membaca buku, bau kertas buku tu sendiri kadangkala boleh mengkhayalkan pembaca. Boleh membawa pembaca menghayati setiap ayat yang ditulis penulis" Mahadi sambung lagi.

Sahak terdiam. Sesungguhnya Sahak terkejut dengan pendapat yang diberikan oleh Mahadi, tidak pernah Sahak menyangka yang Mahadi mampu memberikan pendapat yang membina padahal Mahadi bukanlah seorang yang gemar membaca. Hanya kerja bengkel besi dan membaca pula mengikut statik rakyat Malaysia-baca buku bawah 12 buah dalam masa setahun.

"Aku bimbang penulisan aku ni dibayangi penulis-penulis tersohor je, Mahadi. Aku bimbang orang tuduh aku tak ada trademark sendiri dan tiru gaya penulisan orang lain. Benda ni pun kena pandang serius juga, pembaca sekarang bukan bodoh" Sahak meluahkan apa yang terbuku di hati. Wajah Mahadi yang dipenuhi dengan jerawat batu ditenung dalam.

Mahadi senyum. Nyalakan sebatang rokok. Bersembang tanpa ditemani bau nikotin memang menjerutkan perasaan. Mudah mati idea untuk terus bersembang rancak.

"Soal gaya penulisan tu kau tolak je tepi. Kalau dah gaya penulisan kau macam tu, siapa lagi mampu untuk menafikannya ?" Muncung mulut Mahadi hembus asap rokok.

Sahak mengangguk memikirkan ada benarnya kata-kata Mahadi. Seperti Indiana Jones yang baru berjaya mengalahkan musuh dengan libasan cemeti, semangat untuk Sahak terus menulis dan menghantar karyanya ke pihak penerbitan berkobar-kobar bagai api sukan Olimpik. Marak menyala.

"Terima kasih kerana terus bersama aku, Mahadi. Semoga kau terus aman di sana dan selalu dibawah lindungan Tuhan" Sahak bercakap dalam hati sebelum menuju ke bilik air, mengambil wuduk, menunaikan solat sunat dan panjatkan doa agar roh Mahadi dicucuri rahmat.

No comments:

Post a Comment