Thursday, July 16, 2015

Selamat hari raya.

29 Ramadhan 1420 Hijrah ( Tahun 1999 )

Sekumpulan kanak-kanak sedang sibuk bermain mercun 'plug' (baca:bom plug) buatan sendiri. Mereka menggunakan belerang daripada kepala mancis sebagai bahan api. Selepas puas 'berperang',  mereka ke pinggir kampung di kawasan lereng bukit. Beberapa bungkus karbait dan sebotol besar ( 1.5 Liter ) turut dibawa bersama. Selepas siap semua S.O.P, mereka berperang pula dengan dentuman meriam tanah. Sekumpulan kanak-kanak di lokasi lain kemudian membalas dentuman itu. Dentuman demi dentuman kedengaran pada malam itu sehinggalah kabait yang dibawa telah habis digunakan. Sementara itu, sekumpulan kanak-kanak yang kurang nakal bermain bunga api di halaman rumah yang dilimpahi cahaya pelita minyak tanah. Ada yang mencuri berus periuk berbulu halus di dapur untuk dijadikan bunga api. Sekumpulan remaja usia belasan tahun pula sedang sibuk berbincang aktiviti yang hendak dilakukan pada hari raya esok. Rumah-rumah makwe di kampung sebelah menjadi sasaran. Mereka kemudiannya meggilap motosikal hingga berkilat dengan harapan dapat menarik perhatian makwe-makwe kampung sebelah.

29 Ramadhan 1436 Hijrah ( Tahun 2015 )

Sekumpulan kanak-kanak sedang sibuk meniarap di dalam rumah menghadap gadjet masing-masing. Mereka berperang melalui aplikasi game yang berasaskan 'war'. Sementara itu, sekumpulan remaja usia belasan tahun sedang berkumpul namun tiada suara percakapan yang jelas kedengaran. Mereka hanya tersengih menghadap smart phone sambil berbalas chatting di aplikasi wechat. Untuk aktiviti raya di hari esok masih belum jelas. Mungkin berkunjung di rumah makwe-makwe hasil 'people nearby'.

Selamat hari raya aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

No comments:

Post a Comment