Wednesday, March 23, 2016

Semalam Di Pangkor

Malam itu saya tidak ke mana-mana. Hanya duduk di lobi bertemankan kertas, pen dan iPhone. Di hadapan meja saya duduk, seorang pelancong luar negara sedang ralit menelaah membaca sesuatu di komputer riba miliknya. Ya, saya tahu dia sedang membaca kerana tangannya hanya sesekali bergerak di atas papan kekunci dan selebihnya tangan itu hanya menongkak dagunya dan mulutnya pula terkumat-kamit.
     Saya abaikan dia dan terus menyambung membuat kerja saya.
     Ketika saya sedang ralit menulis, sekumpulan remaja yang saya kira 22 hingga 25 tahun duduk di sebelah meja saya. 3 lelaki 1 perempuan. Saya fikir mereka baru balik dari makan malam. Cara mereka bersandar di kerusi sudah menunjukkan yang mereka dalam keadaan kekenyangan tanpa perlu saya berfikir panjang untuk meneka dari mana datang.
     Keadaan di ruang lobi yang tadinya tenang, ketika hanya ada saya dan pelancong luar, bertukar menjadi riuh dengan suara-suara mereka. Paling menjengkelkan, perempuan itu bercakap dalam nada kuat. Kuat seperti kawan-kawannya yang lain mengalami masalah pendengaran yang kritikal.
     "Aku rasa lepas ni kita patut pergi Korea. Malaysia ni boring dowh. Panas" Perempuan itu bersuara. Jelas dan kuat butir bicaranya sehingga saya boleh mendengarnya walaupun jarak meja saya dan dia dalam lingkungan 2 meter.
     Kawan-kawan lelakinya yang lain hanya mendiamkan diri. Masing-masing sibuk bermain dengan gajet sendiri sekaligus mengabaikan rakan-rakan mereka di sekeliling. 
     "Macam mana, lepas dari trip ni kita pergi Korea, nak ?" Tambahnya lagi.
     Senyap tidak berbalas. Rakan-rakannya yang lain masih lagi leka dengan gajet masing-masing.
     "Kau pernah pergi Krabi ? Phuket ke ?"
     Kedengaran salah seorang dari 3 remaja lelaki itu bertanya. Saya tidak pasti yang mana satu kerana ketiga-tiga mereka duduk membelakangkan saya. Hanya baju saja yang dapat saya lihat. Seorang baju t-shirt berwarna hitam, seorang lagi memakai baju sejuk berwarna merah dan seorang lagi berwarna putih yang tertulis "I Love Pangkor" di belakangnya.
     "Dah. Aku dah pergi sana. Boring dowh. Sama jugak macam Malaysia" perempuan itu nyalakan sebatang rokok Dunhill "Aku ingat nak pergi Korea. Jom laa, sediakan duit rm2000 pun dah cukup untuk seminggu"
     "Dalam Malaysia ni tempat peranginan mana lagi kau pernah pergi ?" Salah seorang dari remaja lelaki itu bertanya. Yang pastinya bukan lelaki pertama tadi.
     "Pangkor inilah. Tempat lain aku tak pergi lagi" Perempuan itu balas. Asap rokok dihembus ke udara.
     Melihat daripada caranya memegang dan menghembus asap rokok, saya fikir perempuan itu baru belajar merokok. Mungkin dalam seminggu atau lebih sedikit dia belajar merokok. Saya pasti akan hal itu kerana setiap kali puntung rokok menyentuh bibirnya, dia kelihatan ragu-ragu seperti bimbangkan puntung rokok itu membuatkan bibirnya menjadi hitam.
     "Dalam Malaysia pun tak habis jelajah lagi, ada hati nak pergi Korea" Lelaki itu balas selamba.
     "Entah. Macam mana kau tahu Malaysia ni membosankan kalau kau tak pergi jelajah habis 1Malaysia ? Kau tengok dalam Facebook ? Kau tengok gambar dalam Twitter, orang duk cakap Malaysia ni membosankan ?" Lelaki berbaju "I Love Pangkor" menambah.
     Pertelingkah di antara mereka semakin menjadi-jadi. 3 lawan 1. Ketiga-tiga remaja lelaki itu bersependapat menentang dan melawan hujah-hujah perempuan itu. Tidak mahu kalah, perempuan itu bercerita apa yang membosankan di Malaysia. Buku dan artikel-artikel di blog yang pernah dibaca semua dibentangkan di meja perdebatan. Dan lelaki-lelaki itu itu menentangnya dengan pendapat dan idea mereka sendiri.
     Saya menyumpah di dalam hati. Saya menyumpah kerana tidak berada di lobi ini di masa yang sesuai dan terpaksa mendengar perdebatan mereka secara langsung.
     Saya jeling kepada pelancong di hadapan saya. Dia tenang dengan situasi yang menjengkelkan itu. Mungkin dia seorang yang tabah.
     Saya teruskan membuat kerja sendiri. Menulis dan terus menulis. Sekejap saya berhenti menulis dan bakar rokok Winston yang saya beli di Langkawi tempoh hari. 
     "Weih, banyak gila nyamuk dalam bilik. Rimas aku"
     Tiba-tiba, muncul 2 perempuan menghampiri meja remaja yang sedang bertelagah itu. Seorang berambut lurus dan seorang lagi memakai tudung. Namun kedua-duanya memakai baju tidur yang hampir menampakan yang tidak sepatutnya saya nampak. 
Kedua-dua perempuan itu mengambil tempat. Perempuan berambut lurus memandang ke arah saya dan kebetulan saya memandangnya. Mata kami bertemu sebelum bertukar senyuman.
     "Weih, nanti kita pergi Korea, nak ?" Perempuan bermulut lantang itu berbunyi lagi. Kali ini bertanya kepada kedua-dua rakan perempuan. 
     "Banyak duit nak pergi Korea" Perempuan bertudung membidas.
     "Alaa. Rm2000 pun dah cukup" Kata perempuan itu lagi "Kau simpanlah duit mulai sekarang"
     "Banyaklah kau. Nak pergi Pangkor ni pun dah kena berpuasa, kalau pergi Korea mahu mati kebulur sebelum sampai sana" Perempuan bertudung membetulkan tudung dipakai "Kau lainlah. Kau cop duit, tak macam kami ni"
     Rakan-rakannya yang lain ketawa. 
     "Eh, aku rasa kulit aku ni dah hitamlah. Kau perasan tak ?" Perempuan bermulut lantang bakar sebatang lagi rokok. 
     "Aku tengok sama je. Tak berubah pun" Balas salah seorang rakan lelakinya. Rakan yang lain mengiyakannya.
     "Eiii. Aku tak kisah kalau kulit aku hitam tapi aku tak sukalah kalau ada orang tegur kulit aku hitam" Balas perempuan itu sebelum menghembus asap rokok.
     Saya geleng kepala mendengar kata-kata perempuan itu. Di sini saya terfikir, perempuan itu mengalami masalah kekeliruan yang kritikal. Bagi saya, jika orang itu tidak kisah bagaimana rupa fizikalnya, dia tidak akan ambil peduli cakap-cakap belakang mengenainya. 
     Mungkin benarlah kata-kata pujangga yang pernah saya dengar - perempuan itu adalah kanak-kanak yang tidak pernah matang. Selalu keliru tentang kemahuan dan keinginan yang dikecapi.
     Perdebatan di antara mereka semakin menjadi-jadi. Dari topik melancong ke Korea, beralih ke warna kulit, sedikit hal artis kahwin dan kemudian ditukar topik mengenai agama - perempuan bertudung/tidak bertudung. Perempuan bermulut kecoh yang menghisap itu bermati-matian pertahankan perempuan seangkatan dengannya. Katanya walaupun dia tidak bertudung dan merokok, hatinya lebih baik berbanding perempuan yang bertudung. Manakala rakan-rakan lelakinya menghentamnya soal aurat berpanduankan ayat-ayat ulamak tersohor.
     Tumpuan saya hendak menumpukan pada kerja terganggu dek kerana perdebatan mereka. Saya tidak boleh fokus kerana mereka bertelagah dengan volume suara yang tinggi. Mungkin ke tahap maksima saya kira.
     Di dalam hati, saya berdoa kepada Tuhan agar diturunkan musibah kepada mereka. Biar mereka dihempap bumbung yang berada di atas mereka, atau sebuah lori merempuh mereka secara mendadak ketika mereka sedang duduk bertelingkah, atau tiba-tiba mereka menjadi bisu, atau mereka menjadi mengantuk secara tidak sedar lalu tertidur di situ. Saya mendoakan perkara itu terjadi agar suara mereka hilang tidak didengari di halwa telinga saya.
     Saya tahu itu tempat awam, namun tidak menghormati orang lain yang berada di sekeliling, hanya beruk saja melakukan perkara seperti itu.
     3 minit.
     5minit.
     7 minit.
     Tiada apa yang berlaku. Tiada petanda yang bumbung di atas mereka akan rebah ke bumi. Tiada hon lori yang kedengaran memberi isyarat menyelamatkan diri. Tiada petanda yang mereka akan menjadi bisu kerana di saat ini, mereka masih terus bertelingkah. Dan tiada tanda-tanda yang mereka masih mengantuk lalu tertidur di meja itu.
     Melihatkan itu, saya terfikir mungkin doa saya tidak ditunaikan Tuhan kerana meminta yang bukan-bukan. Atau saya ini bukan manusia yang terkena khianat. Atau mungkin Tuhan tidak memperkenankan doa saya kerana saya tidak sembahyang dan mentaati perintahnya.
     Saya mengemas barang-barang saya. Saya masukkan ke dalam beg dan sesekali saya menjeling ke arah meja yang diduduki sekumpulan remaja itu. Saya bangun dan terus berlalu meninggalkan kumpulan itu. Sampai di bilik, sekali saya berdoa pada Tuhan agar nyamuk merempuh masuk ke dalam bilik dihuni mereka.

No comments:

Post a Comment