Monday, March 14, 2016

Malapetaka Di Port Dickson

Cuaca panas terik. Kami tiba di Port Dickson pukul 1.35 petang. Melalui pantai Port Dickson, kami teruskan perjalanan sehingga ke Lukut, sebuah pekan yang saya kira agak kecil namun disebabkan ianya betul-betul menghadap ke arah pantai, pekan Lukut agak maju jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain seperti Rompin atau Kemaman.
     20 minit perjalanan dari Port Dickson, kami tiba di tempat yang dituju. Bangunan rumah kedai berdiri megah dihadapan kami sebaik kami melangkah keluar dari kereta. Alive 3D Art Gallery.
     Kami menuju masuk ke dalam bangunan rumah kedai Alive 3D Art Gallery. Sampai di kaunter, Zaim bertanya kepada seorang remaja yang saya kira baru habis SPM bekerja di situ.
     "Berapa bayaran masuk ?"
     "Kalau ada Mykad..ehhh silap, ada IC rm20 seorang. Kalau tak ada IC rm30 seorang" Remaja tersebut jawab yakin walaupun cara percakapannya agak berterabur.
     Di sini saya fikir firasat saya itu benar. Remaja itu baru lepas tamat sekolah atau baru pertama kali bekerja. Dia nampak keliru dengan percakapannya sendiri walaupun dia cuba untuk nampak yakin di mata pelanggan. Mykad dan IC apa yang membezakanya ?
     "Kami ni nampak macam pendatang asing ke ?" Zaim cuba bersarkastik "Kami orang Malaysia. Kalau awak dengar betul-betul cara kami bercakap atau tengok muka kami pun, saya rasa awak dah boleh tahu kami ni warganegara Malaysia atau asing"
     Saya yang berdiri di sebelah Zaim hanya tersenyum. Begitu juga dengan remaja itu. Dia hanya senyum tidak berkata-kata apa. Dari pemerhatian saya, jika remaja itu terus bekerja disitu selama beberapa tahun lagi, pasti mudah dia dinaikkan pangkat menjadi supervisor yang hanya duduk di dalam bilik kerja sendiri dan kadang-kalanya meninjau-ninjau anak buah membuat kerja kerana kebolehan tahan maki yang dimilikinya sangat tinggi.
     Atau mungkin juga jika dia bekerja lagi dalam masa beberapa tahun, kemungkinan untuk dia membunuh pelanggan atau bunuh diri adalah sangat tinggi kerana setiap hari dimaki pelanggan jika bertanyakan soalan yang sama "Ada IC tak ?"
     "Baby besar ni kena bayar tak ?" Jari telunjuk Zaim ditalakan pada anaknya yang sedang meringkuk di dalam pelukkan isterinya.
     Remaja itu menjengukkan sedikit kepalanya untuk mengintai bayi yang dimaksudkan Zaim. Saya beranjak sedikit ke tepi untuk memberi remaja itu ruang melihat anak Zaim.
     "Ouh. Untuk baby sebesar tu tiada bayaran yang dikenakan" Remaja itu tidak lekang dari senyuman "Berapa orang dewasa masuk ?"
     "3" Zaim jawab pendek sambil jarinya lincah menunjukkan saya, dia dan isterinya bergilir-gilir.
     Dompet dikeluarkan dari poket belakang seluarnya. Melihatkan itu, saya juga turut berbuat demikian.
     "Boleh bagi Mykad ?" Remaja itu meminta. 
     Sekejap IC, sekejap MyKad. Budak ni keliru ni.
     "Semua ke, dik? Tiga-tiga nak kena bagi IC ?" Saya bertanya dengan penuh berhemah, kemas, yakin dan beradab. 
     "Tak. Bagi seorang pun dah cukup" 
     Di sini saya kira sistem dan syarat untuk masuk ke dalam muzium seni ini adalah sesuatu yang teruk. Saya tidak nampak di mana relevannya menetapkan harga rm20 untuk yang memiliki MyKad dan rm30 untuk untuk tidak memiliki MyKad atau warga asing kerana ketika membuat pembayaran, hanya seorang saja yang perlu memberi MyKad. Saya terfikir, bagaimana pula jika datang 10 orang ? Dalam 10 orang itu, hanya 2 orang sahaja memiliki MyKad dan selebihnya ialah warga asing yang tidak memiliki MyKad dan bayarannya pula sama, rm20 seorang ?
     Zaim hulurkan MyKad milikinya kepada remaja itu. MyKad bertukar tangan. 
     "Rm60" Remaja tu berkata setelah menekan papan kekunci komputer di hadapannya berulang kali.
     Zaim mengeluarkan sekeping duit rm50 dari dompetnya dan saya menambah jumlah itu dengan sekeping rm10 lalu Zaim hulurkan duit itu kepada remaja di dalam kaunter. Duit bertukar tangan. MyKad dipulangkan beserta resit.
     "Kena tanggal kasut ?" Saya bertanya kepada remaja tersebut setelah melihat beberapa pengunjung lain menanggalkan kasut yang dipakai mereka dan meletakkan kasut di dalam satu loker.
     Remaja itu mengangguk.
     "Rm2 untuk sewa loker" Seorang pemuda bangsa India menegur kami sebaik kami tiba di muka pintu masuk.
     Saya keluar 2 keping duit rm1 dari dompet dan dihulurkan pada pemuda India. Kunci loker diserahkan kepada saya. Saya tanggalkan kasut dan letakkan di dalam loker bersama-sama kasut Zaim, isteri dan anaknya. 
     Kami masuk ke dalam. Gambar 3D pemandangan di Itali saya kira, menyambut kedatangan kami. Gambar pertama yang kami jumpa sebaik kaki melangkah masuk. 
     Saya kaget. Zaim terpana. Isteri Zaim tercengang. Sofea, anak Zaim yang baru berusia setahun lebih, melilau memandang kiri kanan. Masing-masing berfikir bagaimana mahu mengambil gambar dengan cara yang betul. Agaknya.
     "Jika encik tidak tahu bagaimana cara menggayakan reaksi di gambar, encik boleh melihat contoh gambar yang ditampal di sini. Dan untuk mendapatkan gambar yang lebih berkesan, encik perlu mengambil gambar di ruang petak bergambar kamera ini. Sila ikut garisan di bawah lantai untuk lukisan yang lain" Seorang perempuan Cina menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil setelah melihat kami seperti hilang punca.
     Perempuan Cina beredar setelah kami mengucapkan terima kasih. 
     Saya keluarkan kamera Canon 650D dari dalam beg. Saya laraskan pada sistem automatik dan mula mengambil gambar lukisan yang terbentang di dinding dan lantai. Sungguh saya kagum kepada pelukis lukisan 3D ini. Lukisan itu berjaya membuatkan gambar yang diambil nampak hidup dan penuh berseni.
     Habis menggayakan lukisan di tingkat bawah, kami bergerak naik di tingkat satu. Lukisan di tingkat satu lebih mengagumkan dan hidup jika pandai memberi reaksi. 
     "Kau tolong ambil gambar aku" Zaim menyerah handphone berjenama Lenovo kepada saya. Kamera Canon saya sangkutkan di leher.
     Zaim, isteri dan anaknya berdiri di dinding berlatarbelakangkan lukisan jambatan yang lantainya retak dan berlubang-lubang. 2 ekor raksasa yang sedang berkelahi sedikit terkeluar dari bingkai lukisan itu, seolah-olah mengamuk melepaskan amarah di antara satu sama lain.
     Cak ! Cak ! Cak !
     Kamera handphone Zaim berbunyi setiap kali saya menekan butang kamera.
     Krak ! Krak ! Krakkkkkk !
     Saya terkejut mendengar bunyi itu. Zaim menoleh ke belakang, begitu juga dengan isteri dan anaknya. Sedikit demi sedikit ketiga-tiga anak beranak itu berganjak ke belakang, menghampiri ke arah saya yang sedang ternganga.
     Raksasa yang tadinya berada di dalam lukisan di dinding, perlahan-lahan merangkak keluar dari kedudukan asalnya. Bagaikan gorila mengamuk tidak dapat pisang, dinding dihentak-hentak bagi membolehkan dirinya keluar dari lukisan itu. Bukan 2 ekor, hampir kesemua keseluruhan lukisan di dalam bangunan itu terjadi hal serupa.
     Di dinding sebelah kami, seekor naga melibas-libas ekornya sebaik berjaya keluar dari lukisan di dinding. Dan di sebelah kiri kami pula, 3 ekor ikan paus menggelupur di atas lantai akibat kelemasan. Saya kira ikan paus itu tidak cukup nafas akibat tidak cukup air. Anehnya air di dalam lukisan itu tidak pula turut terkeluar dan hidup sepertimana binatang yang ada di dalam lukisan itu.
     Kami panik melihat keadaan itu.
     Ah, mungkin ini cuma satu mimpi...atau halusinasi.
     Dup !
     Saya berikan satu tumbukan ke perut Zaim yang sedang panik. Perlahan tapi cukup padu saya kira. Zaim menggelupur di atas lantai sambil memegang perutnya yang senak diterjah saya tiba-tiba.
Isteri Zaim terkejut bukan kepalang melihat tindakan saya. Anaknya Sofea dirangkul kemas-kemas.
     "Kau dah gila ke ? Kenapa kau tumbuk Zaim ?"
     Saya abaikan seolan isteri Zaim. Saya memegang bahu Zaim yang masih lagi tertunduk tidak berkata.
     "Sakit ?" Saya tanya padanya.
     "Mestilah sakit, setan. Kenapa tumbuk aku, cilaka ?" Zaim menyumpah seranah. Matanya memandang tajam ke arah saya seperti helang mahu menerkam mangsa.
     "Cilaka. Aku ingatkan aku bermimpi, tu pasal aku tumbuk kau. Dah kau rasa sakit tu memang betullah apa yang sedang kita lalui ni" Saya menerangkan tujuan sebenar mengapa saya melancarkan tumbukan padanya. 
     Pujangga Pahang lama ada mengatakan, "Jika kamu merasa keliru dengan apa yang sedang kamu lihat/rasakan, cuba sakiti rakan kamu yang berdiri di sebelah, dan jika dia merasa sakit, maka benarlah apa yang sedang kamu lihat/rasakan itu"
     Saya berpegang kuat pada pepatah pujangga itu dan inilah masa yang sesuai untuk praktiskannya dan ternyata ia berkesan.
     "Arghhhhhh !"
     "Sofea !" Zaim menjerit tiba-tiba. 
     Serentak saya menoleh ke belakang. Isteri Zaim dan anaknya, Sofea kini berada di dalam genggaman raksasa yang mereka sekeluarga bergambar sebentar tadi.
     Cilaka. Hari ini akan menjadi hari yang panjang.
     Zaim bangun. Saya bangun. Bersedia melawan bahaya di hadapan mata.
     "Hoi raksasa terkutuk, lepaskan isteri dan anak aku. Kalau kau tak memenuhi permintaan aku, aku tidak teragak-agak melancarkan perang terhadap kau biarpun rupa kau seperti jiran sebelah rumah aku, Kifli" Zaim menjerit lantang dalam satu nafas. Dadanya berombak menafas nafas.
     Saya genggam penumbuk kemas. Bersedia jika Zaim memulakan pertarungan, saya akan di belakangnya akn turut serta.
     "Arghhhhh" Raksasa itu bertepik bagaikan tidak bersetuju melepaskan anak dan isteri Zaim. Atau mungkin 'Arghhh' itu bermaksud 'Pergi jahanam' di dalam bahasa raksasa, itu saya tidak pasti.
     Bergempa bangunan itu dengan suaranya. Seekor lagi raksasa di belakangnya memandang kami sinis. Seolah-seolah mengejek.
     "Babah !" Sofea menangis ketakutan.
     "Bang, tolong bang" 
     Suara Sofea dan ibunya bersilih ganti meminta pertolongan.
     Tidak sanggup mendengar rintihan itu, bagaikan peluru dimuntahkan dari muncung pistol, Zaim meluru ke arah raksasa tu. Penumbuk di tangan kanan digenggam kemas. 
     Dup !
     Penumbuk yang dilayangkan Zaim tepat mengenai raksasa yang memegang kedua beranak itu sehingga teralih sedikit rahangnya ke atas. Melihat rakannya diterjah, raksasa yang berdiri di belakang sedari tadi turut masuk campur pertarungan itu. Dilibasnya ekornya ke arah Zaim. Buku bertemu ruas. Zaim pantas melakukan Tendang Balik Kuang tepat hujung ekor raksasa itu sehingga ekor raksasa itu memantul ke arah tuan punya badan. Bergolek raksasa itu rebah ke lantai akibat dilibas ekor sendiri.
     Melihat peluang terbentang di depan mata, pantas saya meluru ke arah raksasa yang sedang bergolek merintih nasib lalu menghadiahkan Tendangan Pemusnah Zuriat di celah kelangkangnya.
     Meraung raksasa itu merintih keperitan sebelum menghembus nafas terakhir dengan mata terbelalak.
     Kini urusan kami menjadi mudah, hanya perlu mengalahkan seekor lagi iaitu raksasa yang sedang merangkul kemas isteri dan anak isteri Zaim dan semuanya selesai. Boleh pulang ke rumah dan menganggap ini satu mimpi ngeri.
     "Aku serang dulu. Kau tunggu sini" Zaim pasang kekuda. Bersedia hendak mara melawan kejahatan.
     "Aku tunggu sini ?" Saya bertanya dengan wajah terkejut. Kegilaan apakah hendak melawan kejahatan seorang diri. Ini bukannya cerita Power Rangers atau Ultraman atau hero Tamil yang heronya memiliki kudrat tidak habis diguna. 
     "Ya. Kau tunggu sini. Bersedia dengan segala kemungkinan"
     "Tapi...lebih baik kalau kita serang bersama-sama. Dengan cara ini urusan kita menjadi lebih mudah. 2 lawan 1 sudah tentu kemenangan menjadi milik kita" Saya meningkah. Tidak bersetuju dengan cadangan Zaim.
     "Kau tunggu isyarat dari aku" 
     Zaim terus berlari ke arah raksasa di hadapannya. Menggunakan taktik seperti tadi, tumbukan dilayangkan ke arah muka raksasa itu. Namun bagaikan ahli nujum, raksasa itu dapat mengelak tumbukan itu dengan mudah. Pantas Zaim menggerakkan kakinya untuk menerjah ke perut raksasa itu. Sekali lagi raksasa itu dapat mengelak.
     Zaim berundur beberapa tapak ke belakang. Raksasa itu juga berbuat demikian. 
     Isteri dan anaknya di tangan raksasa kelihatan tidak bermaya. Mungkin terlalu penat untuk menempuh hari yang panjang atau sudah kehabisan kudrat untuk melepaskan diri dari genggaman raksasa itu. 
     Raksasa itu tersenyum. Dimasukkan isteri dan anaknya Zaim ke dalam poket badannya yang berupa seperti kanggaro. 
     "Bianatang !" Zaim berteriak lalu terus mara ke arah raksasa itu. Saya hanya memerhati mencari peluang terbuka dan menunggu isyarat dari Zaim untuk terus bertindak. Namun isyarat masih belum diberikan kepada saya.
     Ah, cilaka. Mungkin Zaim terlupa wujudnya saya di sini. 
     Tidak seperti diharapkan, ketika Zaim meluru ke hadapan dengan perasaan marah membuak-buak, raksasa yang tadinya saya sangkakan sudah mati itu tiba-tiba bangkit dan menyerang Zaim yang tidak perasan akan dirinya.
     Saya tidak sempat berbuat apa-apa, hanya menyaksikan satu tumbukan hinggap di atas dahi Zaim dan terus dirinya terkulai layu. Rebah tidak sedarkan diri dan sekelip mata nasib Zaim kini sama seperti kedua-dua anak dan isterinya. Berada di dalam genggaman kedua-dua raksasa itu.
     Cilaka. Kini saya keseorangan.
   
                                                                                        ***
"Rm24, dik"
     Saya hulurkan not rm50 kepada penjual coconut shake. Duit lebih dihulurkan kembali kepada saya dan terus saya memasuknya ke dalam poket seluar tanpa mengiranya terlebih dahulu.
     Saya berjalan menuju ke arah meja makan diduduki tiga beranak itu dengan membawa 3 botol coconut shake yang baru dibeli.
     "Aku rasa macam nak tulis cerita kita berlawan dengan raksasa laa. Kau rasa macam mana ? Agak-agak kau boleh tak aku tulis cerita macam tu ? Boleh pergi tak ?" Saya bertanya sebaik melabuhkan punggung di kerusi.
     "Macam gampang cerita" Zaim dan isterinya jawab serentak sebelum memasukkan putu bambu ke dalam mulut.

No comments:

Post a Comment