Tuesday, March 8, 2016

Cintaku Tertinggal Di Langkawi

Cuaca di Cameron malam agak dingin sehingga kadang-kala saya merasakan dingin itu menggigit tulang hitam. Walaupun saya tidak pernah pergi London, namun saya tidak teragak-agak untuk menyamakan cuaca di Cameron Highland pada malam itu sama seperti London mengalami musim salji.
     Saya bakar rokok yang ketiga untuk malam itu. Asap berterbangan di dalam bilik hotel. Tingkap hotel saya buka luas-luas bagi memberi ruang udara segar masuk ke dalam bilik hotel. Ya, saya tahu buka tingkap menambah kesejukkan tapi itu saja caranya untuk menghilangkan bau rokok di dalam bilik. Pihak hotel tidak membenarkan pelanggan menghisap rokok di dalam bilik yang disewa. Saya membacanya ketika masuk ke dalam bilik hotel dan amaran "No Smoking" tertera betul-betul di sebelah suis lampu ketika saya hendak menekan suis itu siang tadi. Dan walaupun saya seorang perokok tegar, saya tidak sukakan bau asap rokok berkempam di dalam bilik. Asap rokok sangat busuk dan ianya mengganggu tidur saya.
     Habis dihisap rokok di tangan, puntungnya saya campai ke luar tingkap. Saya tahu perbuatan saya itu salah dan tidak beradab, namun apa yang saya boleh lakukan ? Hotel itu tidak sediakan bekas abu rokok dan melarang pelanggan menghisap rokok di dalamnya.
     Remote tv yang tadinya berada di atas meja saya capai lalu ditalakan tepat pada tv. Tv terpasang. Siaran Astro terpapar di kaca tv. Saya kurang pasti cerita apa yang sedang ditayangkan kerana saat itu fikiran saya mula melayang pada kejadian semalam.
     "Hai, tumpang tanya. Macam mana saya nak pergi ke Pulau Langkawi ? Err...maksud saya nak pergi ke jeti feri ?" 
     "Oh, awak nak pergi Langkawi ? Awak ambil jalan tu" Jari telunjuknya ditalakan pada sebuah bangunan "Lepas sampai bangunan tu awak pusing kiri. Jalan depan sikit awak pusing kiri lagi. Bila awak nampak teksi, awak boleh ambil teksi ?"
     "Kalau berjalan kaki dari sini ke jeti tu jauh tak ?"
     "Tak jauh. Lebih kurang 10 minit je" Dia jawab dengan senyuman di bibir. Senyuman yang mampu mencairkan ego seorang lelaki.
      Saya mengangguk. Senyumannya saya balas. Setelah mengucapkan terima kasih, saya memusingkan badan hendak memulakan langkah ke tempat yang dituju tetapi langkah saya terhenti bilamana dia bertanya.
      "Pertama kali ?"
     Saya buat muka pelik dengan sedikit kening terangkat. Jujur, saya tidak tahu bagaimana riak wajah saya ketika itu. Mungkin seperti seekor musang pandan.
     Melihatkan wajah saya dipenuhi tanda tanya - mungkin dia faham yang saya tidak faham dengan soalannya, dia berkata.
     "Errr...maksud saya, ini kali pertama awak datang sini ?"
     Saya mengangguk "Haah. Ni kali pertama saya datang sini. Saja jalan-jalan nak merasa naik feri"
     "Kali pertama naik feri ?"
     Saya mengangguk lagi.
     "Macam mana awak nak naik feri kalau awak tak tahu caranya ?"
     Seperti kebanyakkan manusia lain, saya menggaru kepala yang tidak gatal bila tidak tahu hendak memberikan jawapan. Sesungguhnya manusia pertama yang menggarukan kepala yang tidak gatal apabila tidak tahu berkata apa-apa layak diberikan anugerah Nobel kerana berjaya membuatnya menjadi satu tabiat. Ia digunakan dari turun temurun baik dari tua, muda dan anak kecil.
     Kadang-kadang pernah juga saya terfikir, adakakah isyarat menggaru kepala yang tidak gatal ini dipraktikkan di seluruh dunia ?
     "Saya tak tahu. Mungkin saya patut bertanya pada orang..macam saya bertanya jalan pada awak" Saya jawab yakin.
     "Kalau macam tu apa kata awak tunggu sekejap ? Kebetulan arah destinasi kita sama. Saya boleh tunjukkan pada awak kaunter tiket dan mungkin saya boleh ceritakan serba sedikit tentang Langkawi ?"
     "Boleh juga kalau awak ada masa"
     "Saya ada masa cuma izinkan saya pergi toilet sekejap" Dia tersenyum. Manis.
     Saya angguk.
                                                                                            ***
"Awak bercuti ?" Dia bertanya ketika kami bersarapan di sebuah warung berhampiran jeti feri. Jarak teminal bas Kuala Perlis ke Jeti Feri tidak jauh. Melalui jalan kecil di celah-celah bangunan rumah kedai, ianya memakan masa kurang 15 minit.
     "Ya. Saya bercuti. Saya bercadang hendak menjenguk tanah air" Saya jawab sesudah menelan roti canai ke dalam perut.
     "Seorang ?"
     "Ya. Saya seorang"
     "Dari mana ?"
     "Kuantan. Pahang" Saya jawab sebelum melihat tiket feri di tangan. Pukul 9.30 pagi. Bermakna kami ada masa lebih kurang 40 minit sebelum menaiki feri.
     Kami terus bersembang. Dari isu politik, bola, hal semasa, tempat menarik, semua kami jadikan topik untuk terus bercerita itu dan ini. Katanya dia orang Kemaman, Terengganu. Dia ke Langkawi kerana bekerja di sebuah hotel di Langkawi. Namun tidak pula saya bertanya lebih lanjut mengenai pekerjaannya.
     Menariknya, kami berdua menaiki bas yang sama ke sini tetapi tidak pula saya atau dia perasan tentang satu sama lain. Siapa sangka 2 jam yang tadinya 2 manusia tidak pernah mengenali atau sedar kewujudan masing-masing boleh duduk satu meja dan bercerita tentang politik atau Datuk kahwin artis. Hidup ini kadang-kadang aneh, ada masanya selagi kita terus berjalan di atas muka bumi ini, kita tidak boleh menyangka siapa yang akan datang atau pergi dalam hidup kita.
     "Errrr, awak siapa nama ? Tak patut betul dah duduk semeja, bersembang lama-lama tapi tak tahu nama ?" Saya gelak dan dia pun turut sama gelak.
     "Baru sekarang nak tanya ?"
     "Tak sangka pula kita boleh sejauh ni" Saya gelak lagi.
     "Mariam. Siti Mariam" Dia jawab sambil tersenyum "Dan awak ?"
     "Amir" Saya jawab ringkas.
     "So, berapa lama awak di Langkawi nanti ?"
     "Saya tak pasti lagi. Mungkin sehari atau dua hari, bergantung pada suasana Langkawi"
     "Langkawi tu tak besar mana pun. Dalam masa 5 atau 6 jam awak dah boleh habis keliling Langkawi. Bergantung pada awaklah" Mariam senyum "Lepas tu balik terus ke Kuantan ?"
     "Tak. Mungkin saya cari tempat yang menarik yang lain untuk saya singgah, laipun cuti saya banyak lagi. 10 hari"
     "Ouh. Lamanya awak cuti. Kenapa awak tak pergi bercuti luar negara ? Bali ke, Bandung ke, Phuket ke ? Sana lagi banyak tempat menarik" Mariam bertanya. Air milo yang masih berbaki di dalam gelas dicapai lalu diminum.
     Saya ralit memerhatikannya. Dengan kulit yang putih, bermata galak dan rambutnya yang ditocang menjadi bun itu menjadikan dia sangat comel. Sempurna di mata saya.
     Ketika angin pantai meniup lembut, anak rambutnya berterbangan bebas dari rambut yang disanggul sehingga kadang-kala anak rambut itu terjurai mengganggu penglihatannya dan dia akan menyisipkan anak rambut itu di belakang telinga. Entah mengapa, saya rasa itu satu perkara yang agak comel dan seronok untuk dipandang.
     "Amir ?!"
     Saya tersentak bilamana dia memanggil nama saya dengan sedikit keras sambil tangannya memetik-metik di hadapan saya. Dengan kucar-kacir dan keadaan yang berterabur, saya memandang ke kiri ke kanan. Bimbang jika semua mata yang berada di dalam kedai itu memandang ke arah saya, namun saya bersyukur kerana mereka membuat hal masing-masing. Tidak mempedulikan kewujudan kami barangkali.
     "Ya ?" Saya bertanya dengan perasaan malu.
     "Kenapa pandang saya macam tu ?"
     "Eh, tak adalah. Muka awak ni macam saya pernah tengok tapi saya tak ingat di mana. Mungkin dalam mimpi ataupun deja-vu. Hahahaha" Saya cuba menipu "Awak tanya apa tadi ? Lepas ni saya pergi mana ?"
     "Ingatkan awak nak cakap muka saya sama macam makwe awak. Hahaha"
     Saya turut gelak. Ayat itu tidak kelakar tapi di dalam awal perkenalan, gelak itu perlu demi menunjukkan kita ini peramah dan senang didekati, namun jika ia berlarutan tidak kira waktu dan agak kuat sehingga mengganggu orang lain, ia agak menjengkelkan. Itu hanya pandangan peribadi saya sendiri, tidak pasti kamu bersetuju ataupun tidak.
     "Tak. Saya tanya awak, kenapa tak pergi ke Indonesia, sana banyak tempat menarik" Dia bertanya lagi. Bezanya kali ini struktur soalan diubah namun masih membawa maksud yang sama.
     "Mungkin tahun depan saya pergi sana. Lagipun dalam Malaysia ni banyak lagi tempat menarik saya belum pergi. Habis Malaysia dulu, baru saya pergi luar negara. Agaknyalah" Saya jawab jujur.
     Belum sempat dia berkata, seorang lelaki menghampiri meja. Tiada fail mahupun barang jualan di tangannya seperti mana orang yang mengadakan jualan secara langsung. Dan pakaiannya juga tidak menunjukkan yang dia seorang ejen jualan.
     "Dah lama tunggu ?" Kata lelaki itu.
     Mariam terkejut. Hampir-hampir dia melatah akibat dari teguran yang tidak disangka-sangka itu. Dan seperti orang papa kedana yang baru saja terima imbuhan atau durian runtuh sebanyak satu juta ringgit, saya tercengang tidak tahu memberi apa-apa reaksi.
     "Dah lama dahh. Kenapa you lambat ?" Mariam merengek.
     "Sorry sayang. I ada hal sikit tadi" Lelaki itu senyum sambil memandang saya "Errrr, kawan you eh ?"
     "Ouh. Ni Amir. Kenalkan Amir, ni Azhar, boyfriend i..bla bla bla..bla bla bla...Amir bla bla bla"
     Saya tidak mendengar lagi butir bicara Mariam selepas itu kerana tiba-tiba saya rasakan dunia ini seolah-olah terhenti bersama degupan jantung saya.
     "Asal cantik je bini orang, asal mantap je tunang orang, asal comel je mesti makwe orang" Saya bercakap dalam hati sambil sedikit mengangguk kepada lelaki itu. Saya hulurkan tangan dengan lemah-longlai.

No comments:

Post a Comment