Tuesday, March 15, 2016

Kejahatan Di Pulau Pinang

Kamera Canon 650D saya gantung di leher. Tidak, jangan salah sangka. Saya buka seorang jurufoto sambilan atau sepenuh masa. Saya juga bukan wartawan yang bekerja di mana-mana syarikat penerbitan. Tidak. Saya hanya seorang manusia biasa yang membeli kamera untuk melengkapkan kehidupan. 'Cukup sekadar ada' biarpun tidak pandai menggunakannya.
     Sama seperti 2 jam sebelumnya, habis jelajah satu lorong, saya akan masuk ke dalam satu lorong. Tidak, saya bukan penagih dadah atau mencari 'ayam' untuk melepaskan nafsu seks. Saya hanya seorang manusia seperti kebanyakkan pelancong yang lain, mencari lukisan dan seni jalanan di tiap-tiap lorong.
     Apa ? Saya gila ? Tidak. Saya tidak gila. Jika kamu pernah ke Georgtown, pasti kamu mengerti mengapa saya masuk ke dalam setiap lorong-lorong mencari lukisan di dinding.
     "Hey, awak boleh bercakap english ?" Seorang pakcik warga asing seusia bapa saya bertanya tiba-tiba. 
     Saya tahu dia bertanyakan soalan itu kepada saya kerana di waktu itu hanya ada saya dan dia sahaja di lorong berkenaan. Ouh, sebelum saya terlupa, pakcik itu bercakap dalam bahasa english. Saya menterjemahkannya ke dalam bahasa Malaysia supaya senang untuk orang faham. Dan sebenarnya saya juga tidak pandai menulis dalam bahasa english.
     "Ya. Saya boleh bercakap english sikit-sikit" Saya balas dalam bahasa english sambil menunjukkan isyarat sikit - hujung ibu jari hampir bercantum dengan hujung jari telunjuk.
     "Ouh. Terima kasih Tuhan kerana dipertemukan saya dengan anak ini" Katanya tiba-tiba dengan nada sebak.
     Saya hanya tersenyum padanya. 
     Mesti dia mahu bertanya arah jalan
     "Kereta yang saya sewa dilanggar orang. Duit saya banyak digunakan untuk membayar gantirugi pada pemiliknya" Tiba-tiba dia bercerita.
     Dan secara tiba-tiba juga saya menjadi tidak sedap hati. Mengikuti pengalaman saya, jika seseorang itu menceritakan kesusahan yang sedang dialaminya secara tiba-tiba, itu petanda yang tidak baik.
     Di sini saya boleh simpulkan dua keputusan tentang diri pakcik itu. Pertama, dia ingin meminta belas ikhsan dari saya. Kedua, dia orang gila.
     "Dan lebih memeritkan, tidak lama dari kejadian itu, saya dirompak. Saya kehilangan kesemua duit saya, pakaian saya, dokumen diri saya dan harga diri yang selama ini saya sanjung tinggi" Tambahnya lagi.
     Saya mengangguk tanda memahami keadaannya. Saya mengerti bagaimana cilakanya rasa terdesak kerana saya pernah melalui pengalaman sepertinya dahulu. Hidup di perantauan, biarpun masih di dalam tanah air sendiri, tetapi tiada tangan untuk membantu di saat dilanda malapetaka kehidupan memang memenatkan. Baik dari segi mental, emosi ataupun fizikal.
     "Boleh awak beri saya sedikit duit yang awak ada kepada saya ? Saya lapar kerana sudah beberapa hari saya tidak menjamah makanan walaupun secebis roti" Katanya dengan nada sebak.
     Seperti yang saya jangka. Tidak mahu berlama-lama mendengar rintihan yang entah benar atau tidak itu, saya seluk tangan ke dalam poket seluar dan mengeluarkan kesemua wang kertas yang berada di dalam. Saya selalu menyimpan wang kertas not kecil di dalam poket seluar kerana mudah jika berurusan dengan situasi seperti ini.
Ingat, jika hendak memberi sedekah atau apa-apa pertolongan berupa wang, jangan sesekali mengeluarkan wang yang berada di dalam dompet bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku. Itu saya pelajari dari orang tua-tua yang selalu berpesan kepada saya.
Rm16 kesemua wang kertas di dalam poket seluar saya. 1 not rm5. 1 not rm10. 1 keping not rm1. Saya hulurkan not rm10 kepadanya. Not rm5 dan rm1 saya masukkan kembali ke dalam poket.
     Saya katakan itu sahaja yang mampu saya tolong.
     Dia mengambil duit itu lalu dipandang duit itu lama sebelum berkata "Awak bergurau ? Dengan wang sebanyak ini apa yang boleh saya lakukan ?"
     Saya terkejut mendengar kata-katanya. Saya kira pakcik yang sama usia dengan ayah saya ini tidak reti bersyukur dengan pertolongan orang lain. Sudah diberi paha hendak betis.
     Saya menggeleng. Saya tegaskan padanya yang saya tidak lagi punya wang untuk diberikan padanya. Cukup hanya untuk kegunaan saya sendiri.
     Dia membantah dengan kata-kata berbaur kemarahan sebelum menujah perut saya dengan penumbuknya. Saya yang tidak menjangkakan hal itu hanya mampu menunduk menahan kesakitan. 
     Belum sempat saya menarik nafas, sekali lagi tumbukan ditujah kuat ke muka saya. Mata saya berpinar. Di saat saya merintih kesakitan, dia menyentap kamera Canon 650D milik saya yang tergantung di leher sebelum melarikan diri.
     Saya merintih kesakitan.
                                ***
Larian saya laju. Saya kerahkan semua tenaga saya dan meletakkan sepenuh tenaga itu di bahagian kaki supaya saya dapat berlari bagaikan tidak jejak bumi. 2 3 orang hampir saya langgar, saya berteriak meminta maaf. Saya tiada masa untuk berhenti dan bersembang dan menundukkan kepala kepada mereka untuk meminta maaf.
     Ada yang lebih penting daripada itu untuk saya kerjakan. 
     Seperti mana saya, seketul daging yang saya anggap tidak berguna itu turut menghayun langkah dengan laju. Lariannya juga pantas bagaikan seekor tikus menyusup masuk ke dalam lorong kecil selepas mencuri keju.
     Tong sampah di tepi jalan, dia campakkan ke arah saya yang masih lagi gigih mengejarnya di belakang. Saya mengelak dengan sukses dari terkena tong sampah yang dibaling.
     Kelebihan berpihak kepada saya kini. Saya orang muda yang memiliki stamina agak tinggi berjaya menghampirinya yang sudah separuh abad itu. 
     Tiba di satu simpang ke jalan besar, di saat dia hendak menyeberangi jalan dan saya sudah hampir berjaya menerkamkannya dari belakang, tubuhnya melambung tinggi ke udara akibat dihentam kereta yang kebetulan melalui jalan itu. 
     Tidak sampai 5 saat tubuhnya melayang di udara, tubuh terhempap di atas bonet kereta yang melanggarnya. Kakinya terpeleot. Saya kira kakinya sudah patah. Saya menghampirinya sebelum orang ramai berkerumun melihat kemalangan itu.
     Saya merampas kamera Canon 650D milik saya yang tergantung di lehernya. 
     "Kenapa awak merampas kamera saya walaupun saya dah menolong awak ?" Saya menengkingnya. Orang-orang di sekeliling memandang saya dengan penuh tanda tanya.
     Dia ketawa terbahak-bahak. Dengan nada sinis dia menjawab.
     "Sebab di awal perenggan pertama cerita ini awak sudah ceritakan tentang kamera Canon itu. Awak harus tahu, jika di awal cerita ada menceritakan tentang sebuah kamera tetapi sehingga habis cerita kamera tidak digunakan, maka, itu menjadi kesalahan yang paling besar di dalam cerita itu" 

No comments:

Post a Comment