Tuesday, April 19, 2016

Adik

Entah apa mimpi malam semalam, tiada ribut, tiada angin, tiada khabar berita, tiba-tiba abang saya pulang ke kampung. Mengikut perkiraan saya, sudah hampir 3 tahun Along tidak pulang ke kampung. Semenjak emak meninggal dunia, jarang benar dia pulang ke kampung melihat adik-adik.
     Dia lebihkan mementingkan isterinya, mengikut nafsu isterinya melancong ke mana-mana di masa terluang berbanding pulang bertanya khabar adik-adik.
     Namun bezanya kali ini, pulangnya dia bersendirian, tiada anak dan isteri disampingnya. Ketika dia melangkah keluar dari perut kereta, hanya dirinya dan sebuah galas saja yang dibawa.
     “Seorang je, Long ?” Angah, abang kedua saya bertanya sebaik Along menanggalkan kasut di gigi tangga.
     Along diam. Tidak memberikan sebarang reaksi pada pertanyaan Angah. Saya yang duduk bingkai tingkap, hanya memerhati keadaan itu. Sejujurnya saya malas hendak mengambil tahu tentang diri Along. Rasa pedih di hati masih melekat di sanubari. Kejadian kira-kira 3 tahun lepas masih kuat terpahat di ingatan.
                                                                                          ***
     “Zira, kau mari sini kejap” Suara Along meninggi memanggil saya ketika saya baru saja hendak masuk ke dalam bilik sebaik pulang daripada kerja.
     Saya menuju ke ruang tamu. Di ruang tamu, Kak Ila, Fairuz, Faizul dan Along duduk di sofa. Fairuz dan Faizul si kembar itu kelihatan baru lepas menangis. Matanya merah dan masih ada sendu masih tersisa. Kak Ila kelihatan marah, seolah-olah jeneral perang kalah perang dan Along bagaikan singa lapar memandang saya.
     “Kenapa. Long ?” Saya bertanya sebaik mengambil tempat duduk berhadapan mereka 4 beranak.
     Along mengambil nafas panjang sebelum bertanya  “Semalam kau balik kerja pukul berapa ? pukul 5 kan ?”
     “Haah” Saya memandang Along dan Kak Ila bergilir-gilir. Keliru dengan pertanyaan Along kerana sebelum ini, 5 bulan saya duduk di sini, tidak pernah soalan begini ditanya Along. Dan saya tidak sukakan cara mereka memandang saya ketika itu, ianya pandangan sinis bagaikan saya melakukan jenayah terkutuk.
     “Petang semalam duit Kak Ila hilang”
Saya terkejut. Jujurnya saya tidak tahu hendak memberikan reaksi bagaimana ketika itu. Kak Ila mengalihkan pandangannya bila mana saya memandangnya dan Along memandang saya dengan pandangan kosong dan si kembar itu pula hanya tunduk memandang lantai.
     “Macam mana boleh hilang ?”
     “Entahlah Zira. Sebelum ni kami 4 beranak duduk rumah ni tak pernah pun ada hilang apa-apa, kalau hilang pun sebab salah letak, tapi sekarang ni, entahlah….sekali dua tak jumpa barang yang dicari mungkin boleh Kak Ila cakap salah letak tapi bila dah empat lima kali jadi macam ni, ni bukan salah letak dah. Dalam rumah ni ada pencuri ni”
     Jantung sakit terasa pedih. Hati saya terasa ditikam-tikam beribu pedang. Sungguh, jika tidak teringat kata-kata arwah emak “Hidup ni kena kuat. Jangan pedulikan sangat cakap orang. Orang kalau dah tak suka kita, macam-macam hal dia tuduh kita. Apa yang kita tak buat pun dia boleh buktikan yang kita buat sebab manusia tak memerlukan alasan untuk membenci”, pasti saya sudah melenting mendengar sindiran tajam Kak Ila.
     Sambil melihat urat-urat di jari-jemari, saya mengeluh panjang. Jujur, saya tidak ada idea untuk membalas serangan itu. Hanya mendiamkan diri adalah langkah yang terbaik.
     “Handbag kau tu baru kan? Mana kau dapat duit?”
     Saya tersentap. Serta-merta pandangan saya menikam wajah Along yang sedang bersandar di sofa. Mencari adakah benar soalan tu benar-benar keluar daripada mulutnya. Namun Along hanya mengalihkan pandangan ke tempat lain, dengan sinis.
     “Maksud Long, Long nak nak cakap Adik curi Kak Iza?” Suara saya bergetar.
     “Hairan juga. Baru kerja 2 bulan dah boleh pakai handbag mahal”
     Saya menggeleng “Kak Iza, handbag yang saya beli ni harga rm55 je kat pasar malam. Setakat gaji saya rm1800, saya rasa logik kot saya mampu beli handbag berharga macam ni. Tak akanlah saya tergamak nak mencuri barang dalam rumah ni semata-mata nak beli handbag murah macam ni, melainkan handbag saya ni harga beratus”
     “Orang kalau dah nak mencuri, tak perlukan alasan”
     Badan saya bergetar. Perlahan-lahan kesabaran saya kian menipis mendengar kata-kata Kak Iza. Saya melihat Along, langsung tidak cuba membela darah dagingnya dituduh sebegitu. Hanya mendiamkan diri endah tidak endah.
     “Arwah mak saya tak pernah ajar anak-anak dia mencuri atau ambil barang hak orang lain” Saya menyeka airmata di hujung mata. Entah, perasaan sebal tiba-tiba meresap dalam jiwa bila menyebut perkataan ‘mak’.
     “Arwah mak pun tak pernah ajar anak dia menipu” Sindir Along.
     Lidah saya kelu. Kesal bercampur sedih. Bagaimana mungkin untuk saya percaya yang kata-kata itu keluar daripada abang kandung saya itu. Menuduh saya tanpa bukti kukuh dan saksi. Jika ini perbicaraan yang dikendalikan di mahkamah, saya rasa ini satu tindakan yang tidak adil buat saya. Seolah-olah menjadikan saya sebagai kambing hitam supaya kes ini ditutup dan selesai.
     Saya menarik nafas dalam-dalam. Keputusan telah saya buat. Kuatkan hati untuk berhadapan segala kemungkinan. Saya memaandang kedua-dua kembar yang masih menunduk itu buat sekian kalinya, kali terakhir saya kira.
     “Adik kecewa dengan Along” Saya menahan sebak “Macam inilah, Kak Iza dan Along beritahu berapa jumlah duit yang hilang tu. Saya bayarkan dan keluar dari rumah malam ni juga. Tapi Along kena ingat, lepas apa yang terjadi malam ni, lepas Adik keluar dari rumah ni, Along anggaplah yang Along tak pernah ada Adik. Along anggaplah yang Adik ni tak pernah wujud dalam hidup Along dan andaikata kita terjumpa di mana-mana, kita tak pernah mengenali antara satu sama lain”
     Kak Iza tersentak. Along hanya mendiamkan diri.
     Saya keluarkan dompet dari handbag. Saya keluarkan 7 keping duit rm50 yang baru saya keluar dari ATM sebelum balik kerja tadi dan letakkan di atas meja “Kalau tak cukup, beritahu”
     Saya berdiri menunggu reaksi Kak Iza dan Along. Kedua-duanya diam tidak berkutik. Langsung tiada nafas yang kedengaran dari kedua-duanya. Hanya Kak Iza yang saya lihat seperti serba salah, tidak senang duduk dan seolah-olah dia juga seperti saya, menunggu jawapan daripada Along. Namun Along kekal mendiamkan diri.
     Tidak menunggu lama, setelah yakin itu yang Along tidak membantah keputusan saya, saya masuk ke dalam bilik. Saya kemaskan barang-barang saya dan memasukkan ke dalam beg. Setelah semuanya beres, saya keluar dari bilik. Di ruang tamu, Along kekal seperti tadi. Kak Iza juga begitu-gelisah.
     “Assalamualaikum” Saya beri salam kepada keduanya sebelum melangkah keluar dari rumah tanpa menoleh ke belakang lagi.
                                                                                                 ***
     Di meja makan waktu itu hanya ada Along, Angah, isteri Angah dan Ain, anak Angah merangkap anak saudara saya. Saya hanya duduk di ruang tamu menonton tv, tidak berminat untuk duduk semeja bersama mereka. Walaupun puas Angah mengajak kami makan bersama namun saya menolaknya dengan mengatakan saya masih lagi kenyang.
     “Berapa lama cuti ni, Long?” Saya terdengar suara Angah di dapur.
     “Aku ada masalahlah” Suara Along kedengaran lemah “Aku dengan Iza dah bercerai”
     Tiada kedengaran suara dari dapur. Baik dari Angah atau Along atau Kak Ina, isteri Angah atau Ain. Saya memasang telinga. Suara tv saya rendahkan dengan menggunakan alat kawalan jauh.
     “Aku ceraikan Iza lepas dia kena tangkap khalwat dengan bos dia kat hotel. Dan untuk pengetahuan kau, ini bukan kali yang pertama”


No comments:

Post a Comment