Thursday, December 31, 2015

Selamat Tinggal 2015



Senja tadi, matahari menyinsing ke arah Barat. Perlahan-lahan cahayanya suram dan hilang. Itulah matahari terakhir buat tahun 2015. Esok, mungkin masih sama cahayanya menyinari bumi dan membekalkan vitamin E secara percuma kepada semua makhluk. Tiada cas tambahan yang akan dikenakan kepada sesiapa yang mahu menikmati cahaya matahari dari mula ia terbit hingga terbenam. Terima kasih, Tuhan! 

Selama 365 hari kita harungi untuk menempuh hidup yang penuh dengan ranjau dan cabaran. Itulah hakikatnya kehidupan seorang manusia. Hidup tanpa cabaran adalah perkara yang paling mencabar. Justeru, tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran semenjak 1 Januari hingga 31 Disember sepanjang 2015 ini. 

Pelbagai peristiwa telah kita lalui sepanjang tahun ini. Ada yang mendukacitakan, ada yang menggembirakan, ada yang serupa gampang dan ada yang tak memberi sebarang makna langsung kepada kehidupan kita. Buat yang telah tiada dan gagal mengakhiri 2015 ini, sama-samalah kita panjatkan doa kepada roh mereka agar dicucuri rahmat.

Januari 2015 dimulakan dengan harapan. Iya, harapan adalah kelangsungan kepada manusia. Jika anda tidak pernah memiliki harapan, maka anda bukanlah manusia. Sedangkan beruk memiliki harapan agar mendapat pisang, ikan Dolphin memasang harapan agar boleh melompat di atas permukaan air, kunang-kunang mempunyai harapan agar kekal bercahaya, malah syaitan juga senantiasa berharap agar dapat menghasut manusia ke arah kejahatan.

Jadi, siapakah sebenarnya anda yang tidak memiliki sebarang harapan?

Kesedihan kita bermula pada Januari apabila Perdana Menteri mengumumkan penerbangan pesawat MH 370 telah berakhir di lautan Hindi. Kesemua 239 penumpang dan anak kapal dianggap terkorban. Tanpa sebarang penemuan sebarang jasad, ia lenyap begitu sahaja. Ia mungkin lebih sedih daripada tragedi MH 17 yang sekurang-kurangnya telah ditemui terhempas pesawatnya.

Namun, apa yang lebih membimbangkan daripada tragedi ini adalah kemunculan orang-orang bangang. Raja bomoh misalnya. Malaysia di mata dunia ketika ini dan kebangangan mereka juga di mata dunia. Lalu, apakah lagi persepsi dunia terhadap kita jika bukan yang bangang-bangang? Kewujudan pakar teori konspirasi juga tidak kurang tongongnya. Bermula dengan buah manggis, emas dan sebagainya yang dikaitkan dengan tragedi ini.

Perkara yang paling sukar untuk dibendung adalah komen-komen di Facebook. Rakyat bertikam lidah di pautan komentar untuk menunjukkan siapa yang lebih bijaksana. Sudahnya, semua jadi bangang dan tongong. Saya selalu tertanya-tanya, dari manakah datangnya manusia yang bangang-bangang dan tongong-tongong ini sebenarnya?

Lupakan Januari, kita terus sahaja ke Februari. Al-fatihah setulusnya buat Allahyarham Tuan Guru Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat. Saya bukanlah seorang pemuda Pas mahupun peminat politik tanah air. Namun, kehilangan ini amatlah dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia buat tokoh yang boleh saya katakan hanya ada satu di Malaysia ini. Anda bukanlah manusia jika tidak bersedih dengan pemergian ini.

Tentang bulan Mac, saya sukar untuk mengingati apa yang berlaku kerana sudah tidak sabar untuk mengolah perihal bulan April.

Dukacita buat rakyat Malaysia apabila tarikh 1 April diumumkan sebagai tarikh perlaksanaan GST. Bagi saya, ia sangat memeritkan kerana terpaksa berkongsi sambutan tarikh lahir dengan perlaksanaan GST. Saya tak pasti, samada hadiah yang isteri saya belikan itu termasuk dengan 6% cukai ataupun tidak.

Apa lagi yang hendak kita perkatakan tentang GST? Sudah cukup Ahmad bin Maslan menerangkan kepada kita dengan penuh kesungguhan. Jika tidak, mungkin kita tidak tahu menghias nasi goreng dengan beberapa hirisan timun di sekeliling kuali. Untuk menjadi rakyat yang inovatif, mungkin kita boleh menukar hiasan timun tersebut dengan meletakkan bunga raya, daun sireh, ranting cempedak dan sebagainya.

Apa kesannya GST setakat ini masih belum menunjukkan sebarang tanda-tanda positif. Pengangkutan awam masih lagi celaka servisnya. Sudahlah celaka, tambang pula dinaikkan. Pada pendapat saya, semakin banyak cukai dipungut maka semakin baik servis perkhidmatan. Adakah anda menikmati servis perkhidmatan yang semakin baik sehingga ke hari ini?

Anda jujur orangnya jika menjawab tidak.

Perodua Myvi Dominic Toretto. Mungkin itu sorotan terbaik untuk bulan Mei. Kemalangan jalan raya yang berlaku melibatkan beberapa buah Perodua Myvi dengan Mitsubishi Pajero yang telah meragut nyawa satu keluarga. Perodua Myvi dikecam teruk dek tragedi ini. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan apa jua bentuk hukuman kepada mereka yang bersalah.

Untuk semua pemilik Myvi, memandulah seperti manusia yang memiliki akal dan perasaan. Untuk semua pengguna jalan raya di Malaysia, usahlah memandu dalam keadaan bangang menguasai diri anda. Pastikan semua aspek keselamatan terjamin pada kenderaan anda. Lampu, brek, tekanan angin tayar, cermin sisi, tali pinggang keledar, prestasi enjin, kejajaran roda dan yang paling penting adalah otak. Jangan sesekali memandu sekiranya terlupa untuk membawa otak.

Gempa bumi yang berlaku di Sabah pada bulan Jun menjadi peristiwa tergempar. Seluruh negara melahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terbunuh. Tiada siapa yang menyangka akan berlaku gempa bumi kerana dalam buku geografi mengatakan bahawa negara kita bebas gempa. Itulah kuasa Allah. Sebagai manusia, kita perlu bersedia menerima walaupun tidak bersedia mengharunginya.

Kes yang berlaku di Low Yatt Plaza pada bulan Julai menjadi viral hangat. Tidak perlu diulas lagi tentang apa yang berlaku. Masing-masing sudah baca pelbagai versi cerita dan laporan. Apa yang hendak saya ulaskan di sini adalah bahawa penipu ada di mana-mana sahaja tanpa mengira kaum. Samada Melayu, Cina atau India. Jika memang kaki temberang, beruk pun dia mahu temberang. Justeru, sebelum membeli sesebuah telefon bimbit, pastikan anda membuat kajian menyeluruh terlebih dahulu tentang model yang hendak dibeli. 

Jangan jadi bebal sangat, sikit-sikit nak bergocoh. Akal yang panjang boleh mengalahkan kudrat yang gagah.

Sementara itu, lagu Najwa Mahiaddin – You Got to Go sangat sesuai ditujukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada bulan Julai. Kes 1 MDB ini jika hendak diulas pun buat sakit hati sahaja. Jadi lebih baik kita langkau sahaja daripada mengulas hal yang penuh mistik ini.

Ogos adalah bulan kemerdekaan. Jika anda tidak tahu tarikh kemerdekaan negara, mungkin anda patut keluar dari negara ini. Itu lebih  baik daripada anda keluar dari negara akibat makan hati dengan status Twitter Pak Menteri. Bulan Ogos juga menyaksikan ulang tahun keempat perhimpunan Bersih. Mungkin tahun 2016 akan ada Bersih 5.0, kemudian 6.0, 7.0, 99.0 dan seterusnya. Begitulah juga dengan perhimpunan baju merah agaknya.

Itulah, masa sekolah dulu suka ponteng perhimpunan, dah besar baru nak sibuk pergi perhimpunan.

September menyapa dengan angin kotor. Sesak sampai ke dada. Bulan jerebu buat seluruh nusantara. Hal jerebu ini telah saya ulaskan dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh Penerbitan Langit secara percuma. Pandai-pandailah cari sendiri kalau nak baca. Saya pun malas nak tulis lagi pasal jerebu. Harap-harap tidak berjumpa lagi di tahun hadapan dan seterusnya.

Oh ya, pada 3 September juga menyaksikan skuad bola sepak negara kalah 0-10 kepada UAE. Jadi, apa lagi? Gelaklah. Kahkahkahkahkah!

Tiada apa yang menarik selain daripada pembentangan bajet 2016 pada bulan Oktober. BR1M akan dinaikkan dan seluruh rakyat bersorak mengenainya. Tidak berapa lama kemudian, pelbagai lagi harga barangan dan servis dinaikkan dan rakyat terus bersorak. Entahlah bersorak marah atau gembira. 

Sebenarnya, tiada apa-apa yang menarik langsung bagi saya dalam bajet 2016. Sama sahaja seperti tahun-tahun terdahulu. Dibagi satu, diambil sepuluh. Sudahnya, kita juga yang ternganga dengan cungap nafas tersekat-sekat. Bak kata Mael XPDC “Orang buncit makan daging, yang kurus makan ikan kering,”

Bulan November menyaksikan kehadiran Presiden Barrack Obama yang juga ketua polis dunia di Malaysia. Apa yang menarik sangat tentang Barrack Obama ini saya pun tidak tahu sampai nak kena tutup jalan untuk bagi laluan kepada dia, kemudian pisau di hujung senapang (bayonet) dalam acara perbarisan tidak dibenarkan untuk digunapakai. Penakut juga rupanya Barrack Obama ini, ya?

Salam takziah diucapkan kepada seluruh warga Johor di atas kemangkatan Tunku Abdul Jalil pada bulan Disember. Baginda dikatakan berjiwa rakyat dan semua orang yang pernah berjumpa dengannya menceritakan perihal tersebut. Jika kita hidup dengan penuh kebaikan, maka orang akan bercerita tentang kebaikan kita hatta sudah 100 tahun kita meninggalkan dunia. Alfatihah juga buat pelawak Pak Yus yang pergi menghadap illahi. Tidak ada pelawak yang seumpanya lagi bagi saya. Semoga kalian semua damai dan tenang di sana.

Perlu ke nak ucap tahniah untuk Selangor di atas kejayan misi 33? Sebenarnya, saya nak ucap terima kasih kerana dengan tercapainya misi 33 tersebut, dapat juga saya menikmati cuti umum di Selangor. Saya harap ia akan terus menjadi cuti umum yang akan disambut setiap tahun.

Sebenarnya masih banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2015 tak dapat saya ulas. Jika hendak diulas semua sekali mungkin akan menjangkau sehingga 60,000 patah perkataan. Lebih baik saya tulis novel dan jual. Guna sahaja tajuk seperti Suamiku Encik Kodok, Sebenarnya Dia Isteri Keempat Saya, Love You Mr. Bajingan dan sebagainya. Pasti laku keras.

Isu vape dan rokok naik harga juga antara yang menyentuh perasaan sepanjang tahun 2015. Buat perokok yang masih membeli rokok bukan seludup, saya menyanjung anda setingginya kerana menjana pendapatan negara tanpa ragu. Besar sebenarnya pengorbanan seorang perokok bukan seludup ini kepada negara. Buat pengevape, bertabahlah sekiranya selepas ini sudah tidak boleh selfie gambar hembus asap dengan kapsyen hashtag #VapeOn.

Jadi, apakah yang kita harapkan pada 2016 kelak? Sudah pastilah kita mengharapkan yang baik-baik sahaja. Orang gila pun tak berharap akan berlaku yang buruk-buruk terhadap dirinya. Malah, iblis pun takkan berharap yang buruk-buruk berlaku ketika cuba menghasut manusia.

Buat adik-adik yang masih bersekolah, belajar rajin-rajin. Cukup-cukuplah main WeChat. Dah macam beruk abang tengok status kat WeChat. Jadilah pelajar sekolah yang berjasa kepada ibu bapa, keluarga, negara dan bangsa.

Buat adik-adik yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi, usahlah setiap kali semester baharu maka pasangan juga baharu. Elakkan menggunakan wang pinjaman ke arah kecelakaan. Melabur ke dalam Multilevel Marketing misalnya. Kalau guna untuk belanja makwe minum sirap bandung di kantin sambil acah-acah berbincang hal pelajaran mungkin boleh dipertimbangkan. Cinta itu boleh lahir dari segelas air sirap bandung jika kena dengan caranya.

Buat yang masih bujang dan sedang mencari jodoh, berusahalah. Mungkin 2016 ini, anda akan ketemu jodoh. Kata orang, kalau sudah jodoh tidak ke mana dan kalau tiada jodoh pun takkan ke mana-mana juga. Usahlah ditangisi makwe lama yang sudah berkahwin pada 2015. Masih ramai di luar sana yang menunggu kamu. Jika masih tidak ketemu jodoh pada 2016, mungkin ia akan tiba pada 2017, atau 2018, atau 2019 atau 2099.

Bukankah di Facebook ramai yang share “Jangan risau jika jodoh lambat tiba kerana yang terbaik itu biasanya memang lambat tiba,’? Jadi, kau tunggulah jodoh sampai kerepot nanti kalau mahu yang terbaik. Kahkahkah!

Apa sekalipun harapan dan impian anda untuk tahun mendatang, biarlah anda sendiri yang tentukan. Bukan saya, bukan makwe anda, bukan jiran anda, bukan Najib Razak, bukan Jasmin Hamid, dan bukan The Faiz Ibrahim yang tentukan. Tanamlah keazaman agar menjadi manusia yang lebih baik daripada tahun 2015. Samada hendak melakukan #2kerja, #3kerja mahupun #77kerja sekalipun, anda yang tentukan bukan Ahmad Maslan yang tentukan.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada anda semua kerana berjaya menghabiskan tahun 2015 ini yang penuh dengan tipu daya dan muslihat. Selamat tahun baru.


Zaim Ramli,
31 Disember 2015, Port Klang.

No comments:

Post a Comment