Thursday, November 5, 2015

Tanpa Tajuk 2

"Pelanggan ini ramai yang bodoh, dia rasa dia saja yang betul. " Kata Alif.

Roslan di hadapannya hanya tersenyum bersetuju dengan pendapat Alif. Dia juga seperti Alif, berniaga di pasar malam dan dia tahu bagaimana perangai pelanggan. Sepanjang dia berniaga 5 tahun di pasar malam, ramai pelanggan bodoh yang selalu datang bertandang. Pelanggan bodoh ini seperti serangga, jarang membeli tetapi sebaliknya hanya datang dengan niat mengusik-usik barang jualan dan jika tidak dilayan seperti seorang Sultan, mereka akan pulang ke rumah dan memuat naik status di Facebook dengan rasa tidak puas hati terhadap peniaga.

Mereka akan melancarkan boikot terhadap peniaga yang mereka tidak puas hati. Jika perlu dimasukkan ke dalam mana-mana kumpulan, mereka akan masukkan status itu supaya orang lain turut melakukan hal yang sama seperti mereka lakukan atau dalam erti kata lainnya, menghasut. Dan orang-orang yang bebal pula akan lekas saja mempercayai status yang dimuat naik itu tanpa menyelidiknya terlebih dahulu.

Mempercayai berita tanpa usul periksa, mendengar cerita dari sebelah pihak dan melancarkan boikot secara membabi-buta bukanlah kelakukan masyarakat yang berilmu namun sebaliknya hanya menunjukkan bertapa ceteknya tahap pemikiran seseorang itu.

Pernah dahulu, ketika Roslan berniaga seperti biasa menjual barang permainan kanak-kanak, gerainya dikunjungi oleh seorang lelaki. Melihat kucing permainan yang boleh bergerak-gerak dan mengeluarkan suara seperti kucing sebenar, Lelaki itu memanggil anak lelakinya yang ketika itu bersama ibunya berada di berhampiran gerai bersebelahan. Kanak-kanak itu berusia dalam lingkungan 4 tahun mengikut perkiraan Roslan.

Lelaki itu mengambil patung kucing yang diletakkan Roslan di atas meja dan memberikan patung kucing itu kepada anak lelakinya. Anak kecil itu gembira bukan kepalang. Menjerit anak kecil itu sehingga melonjak-lonjak badannya bergembira. Bagi anak kecil seperti itu, seperti kebanyakkan kanak-kanak sama usia dengannya, patung kucing yang boleh mengeluarkan bunyi itu sangat ajaib dan itu miliknya.

Lantas anak kecil itu membawa lari patung kucing itu kepada ibunya yang sedang membeli di gerai bersebelahan. Melihat itu, lelaki itu marahkan anak kecil itu. Ditarik patung kucing itu daripada tangan anak kecil itu namun anak kecil itu cepat caja memeluk patung kucing ditangannya erat-erat. Katanya dalam pelat, itu barang permainannya.

Roslan menggelengkan kepala melihat kejadian itu. 

Lelaki itu memukul anak kecil itu dan dirampasnya patung kucing itu sehingga tercarik bulu-bulu halus patung kucing itu. Dengan riak muka yang ketat dan marah, segera lelaki itu memulangkan patung kucing itu kepada Roslan tanpa meminta maaf dan diraut wajahnya sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah. 

Anak kecil itu terus menggelupur berguling-guling di atas tanah kerana barang permainannya telah dirampas.

Ketika itu di dalam hati Roslan timbul rasa kasihan pada anak kecil itu. Tetapi dalam masa yang sama rasa marah mula meresap masuk ke dalam diri. Marah kerana lelaki yang merangkap seorang bapa itu bertindak bodoh, kelakuannya cukup menjengkelkan orang. Dan disebabkannya juga, Roslan menanggung rugi.

Dalam kes ini cukup mudah konsepnya, jika tidak berniat mahu membeli, jangan sesekali cuba menyentuh barang jualan tanpa meminta izin daripada penjual kerana manusia sememangnya tidak tahu apa yang akan terjadi dalam jangka masa 5 minit akan datang. Jika barang jualan yang disentuh itu rosak di tangan pelanggan, seperti kebanyakkan kedai yang tidak mahu menanggung rugi, pelanggan harus dikenakan penalti iaitu membayar separuh harga dari barang itu dan jika kedai yang tidak bertimbang rasa, barang yang rosak itu dikira jual beli dan semestinya dibayar dengan harga penuh.

Hal itu tidaklah merunsingkan Roslan kerana ruginya tidaklah terlalu besar namun yang paling menyakitkan hati, anak kecil yang tidak bersalah itu dipukul bapanya padahal hal itu berpunca daripada bapanya sendiri. Jika bapanya tidak menunjukkan patung kucing itu kepada anak kecilnya, pasti perkara itu tidak terjadi. Tapi apakan daya, manusia ini tidak gemar mencegah dari merawat.

"Tapi kena ingat, Alif. Buruk baik macam mana sekalipun perangai pelanggan, mereka inilah yang memberi kita duit. Dalam berniaga, customers always right. Ingat tu" Kata Roslan setelah menghalau kenangan lama.

"Kau jangan percaya dengan istilah customers always right. Istilah itu direka oleh pelanggan yang berotak udang untuk mereka berotak udang yang lain supaya mereka ini rasa disanjung tinggi"

Roslan tergelak besar mendengar kata-kata Alif. Tidak tercapai dek akalnya bagaimana Alif boleh berfikir dan berkata-kata sedemikian. Mungkin dari pengalaman lepas ?

"Betul. Aku setuju dengan apa yang kau cakap itu sebab pelanggan itu bukan Tuhan. Dah nama pun manusia, mestilah ada salah. Mana ada manusia yang selalu betul, tidak pernah melakukan kesalahan" Kata Roslan "Tapi kita harus tahu, menjadi satu kesalahan kalau kita bertindak kasar terhadap pelanggan"

"Pelanggan ini sebenarnya ingin menjadi Tuhan. Ingin disanjung tinggi, dipuji-puji dan kalau boleh mahu disembah olah pekerja atau tuan kedai. Dengan berbekalkan istilah customers always right seperti kau katakan tadi, mereka akan masuk ke dalam kedai persis James Bond menang mengalahkan orang jahat yang cuba menakluk dunia. Mereka bongkak dan mendabik dada padahal perkara paling asas dalam kehidupan adalah menghormati orang lain terlebih dahulu sebelum kita dihormati orang. Kalau tidak mustahil Malique Ibrahim boleh cipta lirik, 'masuk ke tempat orang bawa otak bukan pisau'" Alif membebel panjang.

Roslan ketawa lagi. Kali ini ketawanya lebih besar berbanding tadi. Hatinya terasa digeletek dengan kata-kata Alif dan dia sendiri tidak tahu di mana kelakarnya kata-kata Alif itu. Mungkin Alif terlalu serius dengan kata-katanya itu atau perumpaan Alif itu tidak masuk akal. Mana mungkin James Bond boleh disamakan dengan pelanggan ?

Melihat Roslan gelak, Alif turut tergelak walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang digelakkkan Roslan.

"Kau selalu jumpa dengan pelanggan macam ni ?" Tanya Roslan. Ketawanya masih tersisa.

"Boleh dikatakan setiap hari. Bezanya teruk atau tidak saja tapi masih juga dalam kategori yang sama, bebal" Jawab Alif

"Paling teruk kau pernah jumpa ?"

"Paling teruk aku pernah jumpa, pelanggan minta beli dengan harga kos" Jawab Alif "Cuba kau bayangkan, kalau beli dengan harga kos apa gunanya berniaga ? Apa gunanya kau kerahkan kudrat kau buka konopi tengah-tengah panas ? Kau pergi Kuala Lumpur ambil stok jualan, kau bayar tol, minyak, tenaga kau dan hasilnya kau dapat sekadar modal, tidak lebih tetapi kurang ?"

"Hahaha. Mana boleh. Berniaga apa-apa pun mesti kena ada untung. Kalau macam itu, baik buat amal jariah"

"Itulah aku cakap pelanggan ini sepatutnya pergi belajar dahulu menghormati orang. Aku cakap ni bukanlah aku nak cakap semua pelanggan berperangai teruk, ada saja yang elok perangainya sampai boleh dibuat berkawan tapi hendak berjumpa yang macam itu, setahun mungkin 2 atau 3 kali" Kata Alif "Lagi pula, ada sesetengah pelanggan mahu kurangkan harga tapi tiada idea, dia boleh pula cakap soal riba. Katanya Nabi pun berniaga tapi tidak mengambil untung lebih"

"Zaman Nabi dahulu lain. Zaman itu tiada kos petrol, pengangkutan, sewa kedai atau upah tenaga kerja. Dan paling penting sekali, mungkin di zaman itu belum wujudnya kapitalis" Kata Roslan "Perkara ini matematiknya mudah, ambil contoh bos kau. Bos kau tetapkan harga itu ini disebabkan mahu membayar sewa kedai, kos barang, pengangkutan dan gaji kau. Kalau semua barang dijual dengan harga kos, alamatnya kau tak bergaji dan bos kau boleh gulung tikar"

"Tapi itulah, ramai yang tidak faham....." 

"Alif, tolong tengokkan kedai boleh tak ? Saya nak pergi tandas" 

Suara perempuan memotong percakapan Alif. Serentak Roslan dan Alif memandang ke arah muka kedai. Di muka kedai, Rahina seorang perempuan kacukkan Cina-Asli berdiri tersenyum-senyum memandang Alif sebelum pandangannya singgah kepada Roslan.

Alif mengangguk. Dibangun dari duduknya dan terus berjalan menuju ke muka pintu kedai dan di belakangnya, Roslan juga turut bangun dari duduknya dan mengekori Alif. Dengan senyum-senyum di bibir yang manis, pantas Rahina berjalan menuju ke tandas. Kakinya terkepit-kepit menahan kencing.

"Siapa tu ?" Tanya Roslan.

"Budak kedai sebelah. Kedai kasut Vincci" 

Dari kejauhan, Roslan memerhati bentuk badan Rahina denga pandangan yang sukar dimengertikan dan perbualan mereka beralih kepada topik bentuk badan perempuan.

No comments:

Post a Comment