Wednesday, January 13, 2016

Bila Larut Malam

Bila larut malam,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)
Suasana sepi,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)
Tiada pun insan,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)
Yang kulihat lagi,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)

Kelopak mata kian berat untuk terus dibuka. Cahaya dari televisyen yang menayangkan filem hitam putih kian kabur. Sudah lebih sepuluh kali Odah menguap. Sudah ke tahap maksima rasa mengantuknya. Mungkin perlu beradu sekarang juga. Namun, suaminya masih belum tiba di rumah. Kerja lebih masa mencari lebih wang demi anak sulung yang sudah lima bulan dikandung Odah.

Beep!

Bunyi pesanan masuk menyegarkan sedikit ruangan kornea Odah yang kian sarat.

“Abang lambat lagi ni, ada kerja yang belum setel. Odah tidurlah dulu,”

Skrin telefon bimbit kembali gelap dituruti keluhan hampa Odah. Alat kawalan jauh televisyen dicapai malas lalu ditekan butang switch off. Terasa tegang urat betis Odah saat melangkah masuk ke bilik. Implikasi normal buat ibu mengandung. Bukan kerja mudah membawa jasad yang menumpang di tubuh.

Tik… Tik… Tik…

Sudah lebih sebulan pili di bilik air kebocoran. Walaupun hanya minor, tiadalah kesempatan masa untuk Omar membaikinya dek kesibukan kerja. Keluar pagi ketika lampu jalan masih bernyala dan pulang pun masih lagi bernyala lampu jalan. Odah membuka pili air dengan keluhan hampa sekali lagi.

Wajahnya yang bujur sireh dirembes air dan disapukan pencuci muka yang khabarnya mampu menghilangkan 99.9% bakteria. Hanya 0.1 % lagi bakteria yang gagal dinyahkan. Mungkin saintis syarikat perlu membuat penyelidikan yang lebih mendalam untuk mengatasinya.

Usai membilas wajah, Odah menggosok gigi. Dilihat wajahnya di cermin dengan keluhan hampa yang masih belum hilang. Odah berkumur membilas ubat gigi yang telah digosok rapi tadi. Dia meludah ke dalam sinki. Merah!

“Ya Allah! Darah apa ni?” pekik Odah.

Digosok-gosok matanya kerana tidak percaya dengan apa yang diludahkan tadi. Warna merah bertukar putih. Syukurlah, itu hanya lamunan Odah sahaja. Bibirnya mengetap rapat dalam kalimah istighfar yang diucap cemas.

Odah terus berwudhuk meredakan kembali rasa kurang selesa yang melanda. Mungkin dia sendiri yang terlalu kepenatan. Siang harinya bekerja. Pulang ke rumah, suami tiada. Tidak seperti di awal perkahwinan dia dengan Omar dahulu. Jarang sekali Omar pulang lewat sebegini. Namun, semenjak berbadan dua, Omar sering kerja lebih masa. Persiapan harta untuk menyambut cahaya mata.

Perasaan Odah berbolak-balik. Perkahwinan tidaklah sepanjang masa seronok. Ada ketika, ujian itu datang dalam bentuk yang tidak terzahir. Odah pasrah dalam keluhan hampa yang terus menemani malam sepinya. Perutnya diusap lembut. Moga anak ini menjadi insan berguna di sebalik pengorbanan kedua ibu bapanya.

Odah melempiaskan diri ke atas tilam. Suis lampu sudah dipadamnya tadi. Selimut ditarik hingga ke pangkal leher. Dalam gelap, Odah termenung sendirian. Otaknya lekas membawa babak-babak kenangan manis bersama Omar.

Saat mula-mula mereka kenal. Temu janji kali pertama yang sarat dengan rasa malu-malu dan senyum sipu. Kali pertama dibawa Omar berjumpa dengan kedua orang tuanya. Saat hari ibu Omar menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya. Saat Omat mengucup dahinya ketika upacara membatalkan wuhdhuk. Juga hari pertama dia disahkan mengandung oleh seorang doktor swasta berbangsa India. Semua itu datang serentak ke dalam kotak imbas kembali Odah.

Prang!

Odah bergegas ke dapur. Bunyi kaca pecah datangnya dari situ. Mungkin gelas, mungkin juga pinggan. Dalam degup jantung yang kencang, Odah membuka suis lampu. Dilihatnya berselerakan kaca di atas lantai. Gelas jernih yang dibeli di Ikea pada awal perkahwinan terhempas jatuh. Siapa pula yang jatuhkannya. Odah kaget. Kaku tubuhnya melihat tingkap dapur yang sedikit terbuka. Ada sesuatu yang tidak kena.

Meow! Si comel Tompok benar-benar membuatkan Odah cemas. Kucing berbaka Parsi itu berlari ke arah Odah dan menggesek-gesek kepalanya di betis Odah. “Hisy! Buat orang terkejut je! Bertuah punya Tompok!” marah Odah sambil memulas telinga Tompok. 

Tompok yang dimarahi setia sahaja menemani Odah yang membersihkan serpihan kaca di lantai. Tidak sedikitpun ia berdendam terhadap tuannya itu. Usai membasuh tangan, Odah terus menuju ke bilik tidur menyambung hasratnya yang tertangguh tadi. Tompok setia menuruti dan dibiarkan sahaja oleh Odah. Sekurang-kurangnya ada juga teman.

Saat Odah berbaring di atas tilam, Tompok di sebelahnya menjilat-jilat bulunya yang lembut itu. Sudah bersih sebenarnya dimandikan Odah petang tadi, tapi itulah  fitrah seekor kucing. 

Odah menggosok-gosok kepala Tompok. Digarukan leher kucing itu sehingga terlentok. Mata Tompok terkatup bagai dilanda keasyikan tak terlawan. Lalu, Odah juga hanyut bersama dalam malam sepi itu. Tidur kedua-dua makhluk yang berbeza fitrah itu atas satu tempat yang sama.

Odah terjaga saat dia mendegar bunyi pagar dibuka dan deruman enjin motosikal milik Omar. Bingkas dia bangun sambil menggosok mata dan meluru ke muka pintu untuk menyambut kepulangan Omar. Sempat Odah mengerling ke arah jam dinding, sudah 2 pagi.

Tangan Omar dikucup mesra dengan penuh rasa cinta. Dari rasa cinta, lahirnya rasa hormat. Omar mengucup dahi isterinya itu. Beg sandang yang dibawanya diletakkan di balik pintu. Omar melabuhkan punggung ke atas sofa sambil mendengus keletihan.

“Abang nak air?”

“Boleh juga,”

“Kopi? Milo?”

“Milo. Kopi nanti tak tidur pula,”

Odah terus ke dapur. Air panas memang sudah tersedia. Tinggal lagi hendak dibancuh sahaja minuman yang diinginkan. Siap membancuh, Odah membawa air kepada Omar yang sedang menonton televisyen siaran sukan antarabangsa.

“Tadi, berdebar juga Odah tau, Abang?”

“Kenapa pula?”

“Bunyi gelas pecah kat dapur, masa tu Odah baru je nak tidur. Odah pergi tengok, rupanya gelas yang kita beli kat Ikea tu jatuh atas lantai,”

“Macam mana boleh jatuh pula?”

“Si Tompok tulah, main apa entah kat situ. Odah pulas telinga dia. Lepas dah kemas, dia ikut Odah masuk bilik. Tu ada tengah tidur atas tilam kita,”

“Tompok? Kan minggu lepas kita hantar balik kampung?”

Mata Odah terbeliak. Jantungnya berdegup kencang. Nafasnya terasa tersekat-sekat. Macam mana dia boleh lupa minggu lepas dia dan Omar hantar Tompok ke kampung sebab adik iparnya teringin nak kahwinkan Tompok dengan kucing betina di sana.

Meow! Tompok mengiau di dalam bilik. Mencari Odah yang hilang di sebelahnya barangkali.

Tarakucha... cha, tarakucha... cha!

No comments:

Post a Comment