Friday, January 1, 2016

Azhar Si Luncai

Berkerut-kerut dahi Azhar membaca artikel di salah satu blog termuka Malaysia. Blog yang mencecah ribuan pengikut itu tidak pernah lekang dari dikunjungi orang yang dipenuhi dengan sifat ingin tahu melampau dan sebaik selesai membaca, 8 daripada 10 dari mereka akan menekan butang Share. Baik hal politik, bola sepak, artis kahwin Datuk, artis bercerai, semua ada di dalam blog itu. Semuanya hal hangat yang pembaca mahu berada di dalam blog itu.

Azhar jika tiada kerja mahupun ada kerja, masa kerjanya banyak dihabiskan dengan membaca blog itu. Selesai membaca, dia akan menekan butang Share untuk dikongsi ke laman Facebook miliknya.

 “Kau buat apa, Azhar ?”

“Tak adalah. Aku baca artikel pasal budak kena culik tadi. Dalam artikel tu siap ada rakaman suara budak perempuan tu minta tolong. Dia kabor penculik tu nak jual dia. Kesian doh.” Jawab Azhar tanpa mengalihkan pandangan dari skrin komputer.

Razak, rakan sekerja Azhar menggeleng kepala melihat akan hal itu. Diperhatikan separuh dari ruang meja Azhar bertimbun dengan fail-fail yang belum siap dikerjakan.  Jika dicampur dengan fail yang kini berada di tangannya, ruang meja kerja Azhar pasti membusut tinggi.

Jauh di dalam sudut hati Razak, terfikir juga apa pegangan hidup rakan sekerja itu. Datang kerja sekadar datang kerja. Punch card pukul 8 pagi, keluar rehat pukul 9 pagi hingga kadang kala berlarutan pukul 11 pagi, masuk kerja dan keluar rehat pukul 1 hingga pukul 2 petang dan selepas itu menghadap laman sosial atau sesawang menunggu waktu pulang.

Kerja bertimbun tidak dikerjakan. Bila pihak atasan mahukan kertas kerja barulah Azhar kucar-kacir meminta belas simpati rakan-rakan untuk menolongnya. Dan orang yang paling banyak melakukan kerja itu semestinya Razak. Atas dasar simpati, terpaksalah Razak menolong menyiapkan kerja itu walaupun mulut menghambur seribu makian.

“Kerja ni bila nak buat ? Bertimbun dah macam Gunung Everest dah aku tengok kerja kau ni” Razak bercakap perlahan bagi mengelakkan didengari pengampu orang atasan. Sengaja dia berdiri di meja kerja meja Azhar sambil membelek-belak fail di tangan supaya nampak berbincang tentang kerja bersama Azhar.

“Nantilah aku buat. Orang atas bukan nak sekarang pun” Jawab Azhar selamba. Masih lagi mengadap skrin komputer.

Razak menoleh ke skrin komputer kerja Azhar. Tertampang artikel bertajuk ‘Tolong Aku..Diorang Nak Jual Aku’.Artikel mengenai kisah seorang remaja perempuan diculik. Razak tidak dapat membaca lebih lanjut kerana tulisan yang lain agak kecil dan menyukarnya unruk membaca isi penting.

“Kau baca menda ini pun bukan boleh siap kerja kau tu” Razak mengeluh. Jika diikutkan hati, berbakul kata-kata makian mahu dilemparkan kepada Azhar.

“Orang tengah susah ni. Sebagai rakyat yang prihatin dengan masyarakat sekeliling, masa inilah kita perlu menolong. Apa gunanya kita hidup dilengkapi dengan teknologi canggih tapi perkara kecil macam ni pun kita tak boleh nak buat ?” Kerusi dipusingkan Azhar menghadap Razak.

“Ya. Memang orang tengah susah..tapi kau kena faham, Azhar. Sebelum kau tolong orang, ada baiknya kau tolong diri kau sendiri. Kau tolong orang tak beragak ni, Azhar. Tolong  sampai kerja kau sendiri pun tak siap. Apa cerita ?”

“Aku buat ni untuk pahala akhirat. Kerja yang bertimbun ni semua kerja dunia, kerja sementara” Balas Azhar “Nanti bila kita mati, bekalan ni kita bawa ke hari pembalasan nanti, Razak. Kau ingat ni Razak, bila kita mati nanti kita akan ditanya apa yang kita lakukan di atas dunia ni”

Razak diam. Tidak mahu bertikam lidah dengan Azhar, bimbang nanti perbualan melarat kepada hal yang tidak sepatutnya. Ini bukan kali pertama Razak bertikam lidah dengan Azhar bahkan sudah muak dia dengan perangai rakan sekerjanya itu.

Jika bertikam lidah, cepat saja Azhar masukkan unsur agama ke dalam perdebatan itu agar mengusai perdebatan itu. Bekalan akhirat, hari ini hari orang lain esok hari kita dan berbagai alasan lagi membuatkan Razak sudah jemu mendengarnya.

Razak bukanlah manusia yang liberal berfikiran haluan kiri, tetapi mengaitkan hal agama dengan keadaan sekeliling cuma menunjukkan bertapa ceteknya tahap pemikiran seseorang padahal di setiap kejadian itu sudah terang-terangan ada tangan yang melakukannya. Baling batu dan sorok tangan.

“Terpulanglah pada kau, Azhar. Cuma aku nak minta kau jangan percaya sangat dengan perkara macam ni, kelak nanti kau yang menyesal. Lagipun apa yang kau baca ni cuma blogpsot, ia ditulis bermacam orang, bukannya laman rasmi berita.” Razak berhenti kata sebelum menyambung “Hal culik ni janganlah kita pandai-pandai buat spekulasi. Kita ada polis yang buat kerja”

“Nak harapkan polis, polis pun bukan buat kerja” Balas Azhar.

“Tak elok cakap macam tu. Kita ni penjawat awam je, kita tak tahu macam mana kerja polis” Razak kemaskan fail di tangan “Lagi satu hal, elok kita belajar daripada sejarah. Ambil contoh kes Villa Nabila dulu. Kau tengok apa keputusan kes itu”

“ Ni lain, Razak. Ni siap ada rakaman suara lagi minta tolong ni, kalau kau tak percaya kau boleh dengar sendiri rakaman suara ni” Tetikus komputer Azhar gerak ke kiri ke kanan.

Belum sempat dia menekan rakaman suara itu Razak terlebih dahulu bersuara.

“Tak apa laa, Azhar. Aku pun nak buat kerja ni, nanti bertangguh pula kerja aku nanti. Ni fail kau ni” Razak letakkan fail di atas meja Azhar dan berlalu pergi meninggalkan Azhar terkulat-kulat .

                                                                                           ***

“Macam gampang. Bangang punya manusia !” Azhar memaki hamun di hadapan komputer kerjanya. Suaranya perlahan namun cukup jelas didengari hingga ke hujung meja Razak.

Tidak berpuas hati dengan berita yang dibaca itu, Azhar buka laman sosial Facebook-nya. Rata-rata pengguna Facebook turut berkongsi hal yang sama seperti berita yang dibaca. Garis masa Facebook-nya menjadi sibuk dengan kata-kata berbaur makian dari kawan-kawannya yang dahulu berkongsi rasa sedih.

Razak menghampiri meja kerja Azhar. Seperti kebiasaannya, di tangannya memegang fail-fail yang berhubung kait dengan Azhar. Tidak pernah dia ke meja itu dengan tangan kosong melenggang, dia ke meja itu atas dasar melakukan kerja semata-mata. Jika hendak bergosip, Razak lebih gemar berkongsi rasa bersama Kak Minah Murai yang mana beritanya lebih pantas daripada mana-mana laman portal.

“Apahal ni muka macam ayam berak kapur ? Angin kentut tak lepas ke apa ni ?” Razak cuba berjenaka.

Lama keadaan senyap tidak berjawab, seolah-olah Malaikat melintas sebelum Azhar menjawab “Kau ingat pasal kes kehilangan budak minggu lepas ? Yang siap ada rakaman suara tu ?”

“Haah. Ingat. Kenapa ? Dah jumpa ?” Razak teruja. Sesungguhnya Razak tidak mengikuti perkembangan kes ini, dia tiada masa untuk itu atau dalam erti kata lainnya, dia tidak berminat.

“Jumpa tu memang dah jumpa tapi punca dia macam cilaka. Aku rasa penulis novel pun tak boleh fikr plot twist macam ni” Jawab Azhar. Tetikus komputer digerak ke kiri ke kanan.

“Pulakk..apahal ?”

“Sebenarnya dia lari ikut pakwe dia. Cilaka, satu Malaysia kena tipu. Perangai serupa Najib masa isu 1MDB. 2.6 billion dikaitakan dengan IMDB. SPRM buat siasatan. Last-last sekali polis cakap 2.6 billion tu orang kasi derma. ” Bentak Azhar “Budak yang hilang ni boleh laa bagi dia borang keahlian UMNO. Bangang dia pun dah lebih kurang sama dah ni”

“Kahkahkahkahkahkah ! Bangang !” Razak ketawa bagai orang gila “Aku rasa kau pun patut dapat borang keahlian UMNO tu sebab kau pun termasuk dalam kategori bangang tu. Percaya bulat-bulat semua menda. Kahkahkahkah”

Razak ketawa lagi. Kali ini lebih besar ketawanya sehingga rakan-rakan sekerja yang lain mengangkat kepala dari celah-celah meja masing-masing – memberi isyarat ‘Kenapa ? Apa yang kelakar ?”

Wajah Azhar merah padam disindir sedemikian. Mahu tidak mahu, terpaksa dia menerima kutukan dan gelakkan Razak dengan penuh ketidakrelaan. Hendak bertikam lidah dia sudah mati modal kerana segala-galanya sudah terang Razak berada di pihak yang benar.

“Ni..fail minggu lepas yang aku beri kau tu dah siap ? Bos nak sekarang” Tanya Razak dengan tawa yang masih tersisa.

Wajah Azhar berubah kaget. Pucat lesi. Dengan berat seperti sebutir emas berada di kerongkongnya, Azhar menjawab “Belum wei”

“Kahkahkahkah. Mampuslah kau, Azhar. Masak laa kau kena maki karang” Razak ketawa lagi. kali ini lebih besar gelaknya seolah-olah mengejek.

No comments:

Post a Comment