Wednesday, September 9, 2015

Artikel Rakyat : Bola Sepak

Artikel Rakyat:  Bola Sepak

Umum mengetahui, skuad bola sepak negara sekarang ini sedang dilanda malapetaka yang maha dasyat. Diibaratkan seperti sebatang pohon pinang yang sedang meliuk ditiup badai lalu disambar halilintar. Ia rebah serta-merta dengan upihnya habis semua terbakar. Mujurlah, kanak-kanak sekarang tidak tahu bermain upih pinang, jika tidak mereka pasti kecewa.

Bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini, malah di dunia dan jika diperkenalkan sukan ini ke Planet Utarid nescaya mereka juga akan menjadikan ia sebagai sukan nombor satu walaupun terpaksa berpanas ketika bermain bola sepak. Sukan bola sepak adalah sukan rakyat di mana tiada had umur, jantina, bangsa, agama dan bentuk kening untuk meminatinya. Sesiapa sahaja boleh menonton dan meminati bola sepak.

Hakikinya, bola sepak juga adalah medium untuk menjana pendapatan yang lumayan. Persatuan-persatuan bola sepak yang ada (baca:FAM) akan mengaut untung hasil kutipan tiket, jualan jersi, sewa tapak bazar, tajaan dan denda kerana melanggar undang-undang yang mereka cipta sendiri. Golongan kapitalisme pula mengaut untung melalui jualan jersi klon yang dikatakan setaraf original, t-shirt bercetak gambar harimau mengaum, mafla dan vuvuzuela.

Justeru, malapetaka apakah lagi yang sedang melanda sukan nombor satu negara kita sekarang ini? Baik, kita bincangkan di sini.
Setiap negeri yang bernaung di bawah negara kita memiliki stadium sendiri. Ini bermakna kita mempunyai fasiliti yang sudah lengkap untuk bermain bola dalam suasana yang harmoni. Pemain bola sepak tidak perlu mengembara sejauh 10,000 kilometer untuk bermain bola sepak. Para penyokong boleh duduk menonton bola sepak sambil memakan kuaci tanpa perlu bergayut pada dahan pokok, meniarap di celah kawat besi pada tembok, memanjat antara satu sama lain dan sebagainya. Mereka hanya perlu bangun ketika lagu Negaraku dinyanyikan, kemudian boleh duduk dan sambung makan kuaci.

Malapetaka bola sepak tanah air sebenarnya telah lama berlaku, namun sejak kebelakangan ini ia dilihat semakin membimbangkan. Ditambah pula dengan medium-medium daripada media sosial, berita mengenai musibah-musibah yang melanda sukan nombor satu ini begitu cepat tersebar. Mungkin sepantas kelajuan cahaya.

Bermula dengan keputusan seri dengan negara angkat, Bangladesh, skuad negara terus mengorak langkah lintang-pukang. Ketua jurulatih bukan sekadar perlu memikirkan strategi dan taktikal sahaja malah perlu memikirkan alasan yang hendak diberikan kepada pihak media.

"Pemain kita kepenatan kerana penerbangan yang jauh,"

"Walaupun seri, ia adalah perkara yang positif. Pemain dilihat sudah mula menyesuaikan diri,"

"Kita perlukan seorang penyerang yang benar-benar cergas,"

"Beberapa pemain utama kita cedera. Kita tidak dapat bermain dengan baik,"

"Saya harap kita dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata,"

Maka, skuad negara terbang ke negara minyak, Emiriah Arab Bersatu dengan harapan yang menggunung untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata. Namun, langit tidak selalunya cerah, air yang tenang usah disangka tiada buaya dan usahlah kail panjang sejengkal, lautan dalam hendak diduga.

Rebahlah harimau tropika di bumi padang pasir yang kaya dengan minyak mentah itu. Diratah tanpa belas kasihan dengan jaringan yang hampir menyamai jumlah pemain dalam satu pasukan. Maka, bergoncanglah laman media sosial angkara kekalahan yang sekaligus dicatatkan sebagai kekalahan terburuk dalam sejarah. Mereka berperang dengan makian, kutukan, sindiran dan kejian terhadap persatuan bola sepak negara yang dikatakan sudah 31 tahun tidur.

Ketua jurulatih, Dollah Salleh terus mengambil langkah drastik dengan memecat diri sendiri dari jawatan yang disandangnya. Para peminat pula terus mendesak dengan komen 'berhashtag' di laman sosial. Lalu, presiden FAM muncul dengan kenyataan mahu melepaskan jawatannya. Berduyun-duyunlah cadangan menamakan individu ini, individu itu untuk mengambil alih tampuk pimpinan.

"Sabar, mengikut merit, Tuan Presiden akan memegang jawatan ini sehingga 2018. Selepas itu, barulah Tuan Presiden akan meletak jawatan," kata seorang ahli jawatankuasa persatuan.

Selang beberapa hari kemudian, skuad negara terus dirundung malang selepas tewas pula 1-2 kepada Arab Saudi. Kekalahan ini sebenarnya tidaklah mengaibkan. Namun, tindakan segelintir penyokong yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Malaya amat memeranjatkan semua pihak. Mereka meraikan kemenangan pasukan Arab Saudi ketika perlawanan masih berbaki dua minit dengan membakar suar dan membuat pertunjukan bunga api.

Belum pernah dalam sejarah tamadun bola sepak dunia penyokong meraikan kemenangan pasukan lawan dengan upacara yang gilang-gemilang sebegini. Syabas diucapkan kepada Ultras Malaya kerana berjaya melakukan majlis keraian yang luar biasa ini.

Beberapa orang pemain dan penyokong pasukan Arab Saudi juga dilihat berlari-lari sebgai tanda kegembiraan dan terharu yang tidak terhingga dengan upacara tersebut. Dikhabarkan, mereka masih berlari sehingaa ke saat artikel ini ditulis. Ada juga maklumat memberitahu mereka telah ke Uptown Shah Alam selepas perlawanan untuk menikmati shisha dan membeli Jubah Hipster.

Kesimpulannya, malapetaka yang melanda bola sepak tanah air ketika ini adalah malapetaka yang akan terus berlarutan tanpa kesudahan. Apakah dengan menukar tampuk pimpinan, kita akan layak ke Piala Dunia? Dengan pemain yang pada minit ke 60 sudah mencekak pinggang? Dengan penyokong yang meraikan kejayaan pasukan lawan? Dengan burger stadium yang tidak bersos?

Apakah dengan menukar Tuan Presiden dari seorang raja ke raja yang lain kita akan berjaya? Adakah kita akan ke Piala Dunia sekiranya pada usia 17 tahun kita masih berlatih cara menahan bola dengan betul? Adakah kita akan menjulang sekurang-kurangnya Piala Asia sekiranya membina stadium berhawa dingin? Adakah pemain kita mahu dikenali kerana kehebatannya bermain bola sepak atau gaya potongan rambut sahaja?

Ketika saya menulis artikel ini, saya bertanya kepada seorang sahabat yang kaki bangku dan lansung tidak meminati bola sepak. Saya bertanya kepada beliau, siapakah yang layak menjadi Presiden FAM dan siapakah yang layak menjadi ketua jurulatih negara. Beliau menjawab dengan penuh tenang, berserta dengan alasan yang munasabah.

"Kalau presiden, kita lantik je Jaafar Onn dan untuk jurulatih boleh beri peluang kepada Azwan Ali. Sebab apa? Kalau kalah nanti, taklah malu sangat sebab orang tahu presiden dan jurulatih memang out! Lagipun, kalis maki depa semua ni. Setakat kena keji apalah sangat,"

Jadi? Anda di pihak mana? Yang menyanjung atau yang mengeji? Wassalam.

No comments:

Post a Comment