Thursday, September 17, 2015

Dialog Rakyat : Perhimpunan

Warung Kak Saadiah sering menjadi tumpuan penduduk Taman Halilintar Ria berkunjung pada waktu petang untuk menikmati juadah seperti kuih-muih, pisang goreng, roti jala dan air batu campur. Terletak bersebelahan dengan sebuah petrol pam, Kak Saadiah dan pekerjanya menyediakan pelbagai juadah untuk penduduk setempat mengisi perut yang lapar dan menghilangkan dahaga sementelah melalui hari yang berliku.

Seorang guru pencen bernama Cikgu Dino mengambil tempat di baris kedua dari kanan warung. Sememangnya itulah tempat yang akan diduduki Cikgu Dino setiap kali singgah ke warung Kak Saadiah. Lazimnya, Cikgu Dino akan ke situ usai sahaja solat asar berjemaah di masjid berhampiran. Seperti biasa, Cikgu Dino akan memesan roti jala dan cendol campur untuk dinikmati sambil membaca akhbar harian di situ.

Satu persatu helaian akhbar dibelek. Sesekali, Cikgu Dino membetulkan kedudukan kaca matanya yang terlondeh. Sesekali, biji matanya mengecil membaca tulisan yang kadangkala kabur kerana dicetak bertindih. Sesekali, biji matanya terjegil seperti mahu tersembul keluar pabila terbaca laporan berita tentang manusia yang mahu menjadi lebih syaitan daripada syaitan. Kes membuang bayi misalnya.

Tatkala Cikgu Dino sedang leka membaca akhbar, datang dua orang pemuda setempat yang dikenalinya. Kedua-duanya adalah bekas pelajarnya dahulu sewaktu di sekolah menegah - Qusyairi dan Badrul Zaman. Anehnya, Qusyairi dikenali dengan gelaran Kuchai manakala Badrul Zaman digelar Badman. Seorang seperti nama sayuran, seorang seperti nama adiwira.

Mereka mengambil tempat di sebelah meja Cikgu Dino. Sambil menghulurkan tangan mereka mengucapkan ucapan selamat sejahtera dalam bahasa Arab kepada Cikgu Dino. Salam dijawab mesra sambil dan tangan disambut untuk dijabat erat.

Sebaik memesan juadah dan minuman untuk dinikmati, mereka berbual-bual perihal aktiviti yang dilakukan tempoh hari. Cikgu Dino hanya memasang telinga untuk merakam perbualan mereka sambil matanya tegak memandang akhbar.

Kuchai : Semalam aku turun KL. Join perhimpunan baju merah.
Badman : Alah, berapa kerat je yang turun. Ramai lagi masa perhimpunan baju kuning yang aku pergi dulu.
Kuchai : Aku pergi perjuangkan bangsa. Kau?
Badman : Aku perjuangkan negara. Kau punya perhimpunan tu racist!
Kuchai : Pasal apa pula racist? Ini tanah kita, tanah orang Melayu. Kau nak tengok negara kita dijajah bangsa lain?
Badman : Tapi kita semua ni satu bangsa. Bangsa Malaysia!
Kuchai : Ah, kau takkan faham. Jiwa kau dah memang nak membangkang sahaja. Apa yang kerajaan buat semuanya tak betul.
Badman : Kita ada hak untuk bersuara, bukan? Jadi, itu hak aku, suara aku.
Kuchai : Samalah, itu hak aku juga untuk berhimpun semalam. Suara aku.
Badman : Akan datang, aku yakin perhimpunan baju kuning akan lebih power!
Kuchai : Aku pun akan pastikan perhimpunan baju merah lepas ni akan lebih power!

Mereka berdua terus berdebat mengenai perhinpunan yang telah mereka sertai. Pelbagai isu dibahaskan dan diulas. Beberapa fakta juga cuba diputar belitkan untuk memenangi debat masing-masing. Cikgu Dino tidak mahu perkara ini terus berlarutan sehingga menimbulnya konflik. Lantas, dia bangun dari kerusinya dan menuju ke arah mereka berdua. Matanya menikam kedua-dua wajah yang pernah menjadi anak didiknya dahulu.

"Hebat kamu berdua ni. Rajin sertai perhimpunan. Tak sangka juga saya. Masa sekolah dahulu, muka kamu berdualah yang paling kerap ditangkap kerana ponteng perhimpunan sekolah. Kamu masih ingat? Ditangkap menyorok di dalam stor dengan asap rokok yang berkepuk. Kemudian, dirotan di khalayak ramai sewaktu perhimpunan. Jadi, sekarang kamu sudah berubah? Turun sertai perhimpunan untuk menebus kesilapan kamu dahulu yang suka memonteng perhimpunan? Begitu?"

Soal Cikgu Dino nyata membuatkan mereka membisu seribu bahasa. Wajah tertunduk menyembah bumi. Baik Kuchai mahupun Badman, keduanya tidak terlawan dengan kata-kata bekas guru mereka itu.

"Sudahlah, daripada kamu bertekak isu perhimpunan, bangsa dan negara lebih baik kamu ikut saya ke tanah perkuburan sekejap lagi. Bersihkan tanah kubur lebih besar jasanya daripada kamu terpekik melolong di perhimpunan kuning dan merah tu. Takkan nak harapkan ahli kubur pula yang bersihkan? Lagipun, kalau-kalau ada tempat pembiakan nyamuk di situ, dapat juga kita hapuskan sekaligus menghapuskan pembiakan aedes yang membawa kepada wabak denggi. Bukankah itu dikira sebagai satu sumbangan juga?" ujar Cikgu Dino lagi.

Nasihat yang diberikan Cikgu Dino itu diterima mereka dengan hati terbuka. Sebaik selesai menikmati juadah petang di warung Kak Saadiah, mereka menyertai Cikgu Dino membersihkan tanah perkuburan. Benar, perjuangan kita sebagai rakyat bukanlah sekadar berhimpun membawa sepanduk dan melaungkan slogan semata-mata. Perjuangan kita adalah memastikan bumi yang dipinjam ini terus makmur dan harmoni. Sumbangan kita bukanlah sekadar memberikan derma wang ringgit atau harta, malah menjaga keseimbangan organisasi di muka bumi.

Bukankah membunuh nyamuk aedes itu seribu kali lebih baik daripada membunuh hati sahabat kita yang berlainan bangsa, agama dan fikrah politiknya?

"Terima kasih, Cikgu Dino!"

No comments:

Post a Comment